Wednesday, August 24, 2011

modem wi fi

Elak Wi-fi diguna orang lain

BAGAIMANAKAH cara untuk melindungi sambungan Internet Wi-fi di rumah daripada digunakan oleh orang lain yang tidak sepatutnya?

-Abang Ron, Serdang.

Pertama, pastikan modem router yang anda gunakan mempunyai kata laluan. Perlu ditukar kata laluan sedia ada atau default yang disetkan pada modem router seperti admin, 12345 atau apa-apa sahaja kepada kata laluan yang lebih selamat.

Ia akan menyukarkan untuk sesiapa sahaja meneka dan memecah masuk kata laluan tersebut. Kalau perlu naik taraf kepada modem router yang lebih baik lagi.

Kedua, setkan pada modem router anda untuk nyahkan fungsi Broadcast SSID. SSID (Service Set Identifier) merupakan perimeter bagi nama rangkaian anda dalam persekitaran rangkaian tanpa wayar.

Dengan ini, nama SSID tersebut disembunyikan daripada diketahui dan dicapai oleh pihak lain menerusi rangkaian tanpa wayar.

Ketiga, laksanakan fungsi enkripsi kepada rangkaian tanpa wayar anda.

Terdapat banyak fungsi enkripsi yang disediakan untuk rangkaian tanpa wayar ini seperti WEP (Wired Equivalent Privacy), WPA (Wi-fi Protected Access) dan WPA2. Penggunaan fungsi enkripsi WPA2 dengan teknik enkripsi AES (Advanced Encryption Standard) di cadangkan untuk talian tanpa wayar anda. Elak daripada menggunakan teknik enkripsi WEP kerana terdapat banyak program untuk menggodamnya dan ia mudah untuk digodam.

Keempat, hadkan capaian rangkaian tanpa wayar kepada alamat-alamat MAC tertentu sahaja seperti alamat MAC yang terdapat pada komputer anda.

Alamat MAC merupakan alamat fizikal bagi antara muka kad rangkaian yang digunakan oleh sesebuah komputer. Ia boleh dicapai dalam Windows dengan menaip perkataan ipconfig /all dalam program Command Prompt.

Kelima, seperti biasa sentiasa kemaskini sistem pengoperasian yang digunakan seperti Windows atau Linux, perisian anti virus dan perisian keselamatan yang lain seperti perisian Personal Firewall dan lain-lain. Pastikan kesemuanya berfungsi dengan baik dan menjalankan fungsi keselamatannya.

Elakkan daripada menggunakan rangkaian tanpa wayar anda secara terbuka kerana ia boleh mengundang sesiapa sahaja untuk menggunakan Internet menerusinya. Antara masalah yang timbul adalah ia akan menyebabkan capaian Internet anda menjadi perlahan. Ini kerana berkemungkinan ramai yang mencapai dan menggunakan rangkaian tersebut. Dengan itu, kadar capaian jalur lebar rangkaian anda akan dibahagi-bahagikan mengikut jumlah pengguna.

Seterusnya, rangkaian tanpa wayar secara terbuka ini juga boleh mengundang seseorang menggunakan talian Internet anda untuk melakukan pelbagai perkara yang tidak baik seperti perbuatan jenayah, fitnah, provokasi, penggodaman, melanggar undang-undang negara dan lain-lain. Jadi, berhati-hatilah.

Sunday, August 21, 2011

alat tani


‘Gajet’ bercucuk tanam UPM

Oleh LAUPA JUNUS


Nur Qamarina Salman (kanan) menunjukkan peralatan asas berkebun kepada pelawat yang berkunjung ke ladang UPM baru-baru ini.

HARI ini, pertanian menjadi satu kerjaya yang semakin mendapat perhatian ramai. Ini berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan melalui pelbagai program-program pertanian dan ramai yang minat untuk menceburinya sama ada secara serius atau sekadar untuk mengisi masa lapang.

Didorong oleh semangat melihat kejayaan orang lain atau sekadar gemarkan kedamaian dan keindahan alam semula jadi serta minat kepada pemeliharaan haiwan, bidang pertanian seakan satu tarikan baru kepada rakyat di negara ini.

Berkebun, bercucuk tanam dan menternak haiwan peliharaan mungkin agak merumitkan bagi sesetengah orang, tetapi sebahagian besar pula melihatnya sebagai aktiviti masa senggang yang menyeronokkan.

Apa jua faktor dan alasannya, pertanian sebenarnya menjanjikan pulangan lumayan setelah mengharungi satu tempoh kepayahan dan bidang ini juga menjanjikan suatu kepuasan.

Disebabkan itu sejak kebelakangan ini, banyak teknologi baru dan inovasi yang dihasilkan bagi memberi suntikan baru dalam sektor pertanian ini untuk terus maju seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Perkembangan sektor pertanian kini boleh dilihat sebagai satu sinar baru kepada pekerjaan tradisi manusia sejak permulaan tamadun mereka lagi.

Perkembangan-perkembangan itu mencetuskan idea dan inisiatif kepada pereka cipta untuk menghasilkan inovasi daripada yang paling rumit kepada yang paling mudah dan canggih.

Sebatang cangkul direka dan dihasilkan kerana manusia perlu membajak tanah dan kini kerja-kerja tersebut disempurnakan oleh jentera yang lengkap dan menjimatkan masa.

Demikian peralatan pertanian lain dicipta dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan aktiviti pertanian.

Berbeza pula dengan inisiatif oleh sekumpulan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mewujudkan satu inovasi baru dengan mengumpulkan lapan peralatan pertanian asas dalam satu beg untuk dipakejkan sebagai satu gajet pertanian.

Inovasi tersebut merupakan ilham daripada sekumpulan petugas di Taman Pertanian Universiti (TPU) yang diminta untuk memikirkan satu idea menyelesaikan masalah membawa peralatan pertanian ke ladang.

Kumpulan tersebut yang dinamakan kumpulan Malaxis dibentuk pada tahun 2009 hasil didikan daripada kumpulan inovasi dan kreatif yang telah mengadakan sesi lampas minda bagaimana menghasilkan sesuatu yang inovatif dan kreatif.

Kumpulan tersebut terdiri daripada lapan ahli yang mempunyai pelbagai kepakaran terdiri daripada Kamarul Zaidi Abd. Ghani yang juga ketua unit buah-buahan di TPU, Hasnul Hadi Hussain (penyelaras agroteknologi) dan Nur Qamarina Salman (Penyelia Landskap dan Orkid).

Ahli kumpulan lain termasuk Nor Haimanshah Ismail (Penyelia Semaian Buah-buahan), Ahmad Rodhi Kamaludin (Penyelia Fertigasi), Muhd. Rizal Che Jid (penyelia biji-benih), Mohamad Faiz Mohd. Shapie (penyelia tanaman pelbagai) dan Mohd. Harlizan Mohd. Darus (Penyelaras Tanaman Industri).

Hasnul Hadi yang juga ketua kumpulan berkenaan berkata, cadangan mewujudkan satu kumpulan gajet pertanian asas memberi peluang kepada mereka yang gemarkan bidang pertanian untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

“Jika dilihat, set gajet ini mudah dibawa, sama seperti membawa laptop yang dibimbit dalam beg khas dan sesuai bagi mereka yang sukakan gaya kerja yang ringkas,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan dan pelancaran tidak rasmi set Agrokits di Serdang baru-baru ini.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas kumpulannya bercadang untuk menghasilkan inovasi baru bagi membantu mereka yang sukakan pertanian sebagai aktiviti harian.

“Pada sesi tersebut, kami mengenalpasti antara masalah utama dalam penyimpanan dan pengendalian peralatan pertanian ialah kesukaran membawa peralatan yang banyak dan besar dengan menggunakan kereta atau motosikal.

“Ia memerlukan ruang penyimpanan yang luas, terdedah kepada risiko bahaya kecederaan jika berlaku kecuaian sama ada sebelum dan selepas pengendalian peralatan tersebut,” ujar beliau.

Kumpulan tersebut, kata beliau kemudiannya menetapkan tujuh peralatan asas yang biasanya digunakan semasa aktiviti amalan ladang terutamanya kepada para pelajar jurusan pertanian dan ia boleh juga digunakan kepada mereka yang gemarkan aktiviti berkebun.

Peralatan tersebut ialah cangkul, pisau cantuman, serampang tangan, hand trowel, pencakar, gunting pangkasan dan L&key.

Sebuah beg bersaiz sebesar beg laptop direka khas untuk menyimpan peralatan tersebut supaya gajet pertanian itu mudah disimpan dan dibawa untuk berkebun.

Uniknya batang cangkul yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai keistimewaan tersendiri di mana ia tahan karat, ringan dan mudah untuk dibersihkan selepas aktiviti berkebun.

Batang cangkul ini juga boleh diselaraskan mengikut keselesaan pengguna ia bersama mata cangkul boleh ditanggalkan.

Nur Qamarina yang merupakan Setiausaha Kumpulan berkata, pihak mereka juga sedang menyiapkan satu manual penggunaan alat berkenaan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pengguna.

“Kami berharap idea seringkas ini dapat membantu pengguna menggunakannya serta mudah untuk dibawa berkebun di mana saja,” ujarnya.

Beliau juga berharap pencinta - pencinta pertanian dapat memanfaatkannya dengan adanya peralatan seperti ini dan ia akan memudahkan aktiviti berkebun di samping memudahkan lagi proses pembelajaran dalam jurusan pertanian untuk melakukan aktiviti amalan ladang.

Set Agrokits telah dipatenkan pada tahun 2009 dan masih dalam proses mencari pengusaha yang mahu mengeluarkan produk itu secara komersial.

Cetusan idea Agrokits membawa lembaran baru kepada TPU yang aktif dalam pengeluaran anak pokok buah-buahan dan aktiviti amalan ladang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya bagi pelajar jurusan pertanian.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, August 20, 2011

bi

Ubah kepada komunikasi intensif
Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
AJAR...pendekatan pembelajaran dengan menumpukan pada kaedah komunikasi boleh membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik.
AJAR...pendekatan pembelajaran dengan menumpukan pada kaedah komunikasi boleh membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

SEJAK dulu, isu bahasa Inggeris tidak pernah surut mencipta kontroversi hingga menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat selain mewujudkan polemik tidak berkesudahan.

Biarpun banyak cara dilakukan bagi mempertingkatkan penguasaan bahasa antarabangsa ini, kejayaannya masih samar dan gagal memuaskan hati pihak tertentu hingga menjadikannya sentiasa panas.
sebelum selepas

Foto

GEMBIRA...perlu ada mekanisme baru yang lebih interaktif dan gembira untuk menyuntik semangat sukakan belajar bahasa Inggeris.
Foto

ALTERNATIF...penggunaan kamus antara kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan penguasaan tatabahasa.
Foto

SALING MEMBANTU...kerjasama rakan sebaya boleh membantu mempertingkatkan kemahiran berbahasa Inggeris.
Foto

CUBA UJI...untuk mengetahui tahap penguasaan pelajar, cuba uji kemampuan mereka.

Sejarahnya bermula apabila bahasa ini terpaksa ‘ditamatkan’ bagi memberi laluan kepada bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara.

Selepas itu timbul konflik apabila ia digunakan dalam subjek Sains dan Matematik dengan harapan mampu mempertingkat–kan lagi penguasaannya

di kalangan pelajar.

Bagaimanapun, ia tetap mencetuskan pelbagai insiden pro dan kontra hingga akhirnya memaksa kerajaan mengembalikan semula penggunaan ke bahasa Melayu.

Terbaru, bahasa ini dipersalahkan pula dalam insiden kegagalan pelajar menguasainya dengan baik biarpun mempelajarinya di institusi pendidikan.

Persoalannya, sampai bila masyarakat terpaksa menerima pelbagai ‘cerita’ kurang menarik mengenai bahasa Inggeris?

Apakah tiada jalan penyelesaian efektif untuk menanganinya?

Mantan pensyarah pendidikan di Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Tajol Ariffin Nordin, berkata isu itu tetap sensasi sampai bila-bila jika kekeliruan yang melanda masyarakat tidak ditangani.

Beliau berkata, kekeliruan itu bukan hanya wujud pada pengenalan atau perubahan dasar semata-mata, malah mencakupi pelbagai aspek remeh atau tidak diselesaikan hingga menjadikannya satu polemik besar.

“Hakikatnya ia bukanlah isu besar yang tiada jalan penyelesaian cuma sering diprovokasi pihak tertentu. Dan, setiap kali ia timbul pasti menjadi panas.

“Dengan kata lain, masyarakat tetap keliru dan mempersoalkan apa jua aspek jika disogokkan dengan isu bahasa Inggeris kerana pemikiran mereka masih lagi dibayangi dasar pendidikan lama,” katanya.

Dasar pendidikan kebangsaan kini berpaksikan kepada penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar juga menjadikan pihak tertentu beranggapan pelajar gagal berbahasa Inggeris.

Melalui dasar pendidikan kebangsaan ini, katanya, bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam sistem pendidikan negara, justeru kebergantungan terhadap bahasa Inggeris tidak kukuh.

“Masalahnya, ramai beranggapan bahasa Inggeris ‘wajib’ dan sangat istimewa hingga perlu diberi penekanan secara menyeluruh sedangkan ia bukan bahasa utama. Sistem pendidikan kebangsaan kita adalah bahasa Melayu.

“Jadi sudah tentu bahasa itu diberi keutamaan kerana ia bahasa rasmi.

“Hakikatnya, sudah termaktub bahasa Melayu adalah bahasa penghantar utama, justeru lebih penting jika pelajar dapat menguasainya dengan lebih baik berbanding bahasa Inggeris meskipun ia bertaraf antarabangsa,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini berkata, Kementerian Pelajaran sedang menilai semula kurikulum pengajaran bahasa Inggeris kerana didapati gagal membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan meskipun selepas 13 tahun belajar di peringkat rendah dan menengah.

Langkah itu perlu kerana kementerian meletakkan matlamat supaya setiap pelajar menguasai dua bahasa selepas tamat persekolahan iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.

Ditanya adakah benar tahap penguasaan bahasa Inggeris pelajar masih di takuk lama, beliau berkata perbandingan tidak boleh dilakukan secara rawak.

“Dibandingkan kemampuan pelajar luar bandar dengan bandar, ada bezanya, begitu juga mahasiswa yang mengambil Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan yang lain. Kemampuan mereka tidak sama.

“Pasti ada kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum membuat rumusan muktamad,” katanya mengakui komen yang tidak membina juga boleh melunturkan semangat guru bahasa Inggeris untuk terus berkhidmat lebih dedikasi.

Katanya, alasan kegagalan itu ibarat mencerminkan kelemahan guru bahasa Inggeris sewaktu menjalankan tugas. Ini mencalar kredibiliti, integriti serta profesionalisme golongan itu.

“Masyarakat juga akan mempersoalkan adakah guru berkenaan melaksanakan tugasan dengan baik atau apakah mereka memiliki kriteria sesuai.

“Ini akan menimbulkan polemik atau konflik lain sedangkan isunya tetap sama iaitu kegagalan menguasai bahasa Inggeris,” katanya.

Mengulas kegagalan segelintir pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik, beliau berkata puncanya bahasa itu subjek manakala latihan tidak dilakukan secara intensif.

Untuk fasih, katanya, pelajar bukan saja perlu rajin malah memerlukan satu mekanisme atau latihan intensif yang agresif serta berterusan.

Katanya, subjek bahasa Inggeris diajar dalam tempoh singkat justeru sukar pelajar yang tidak menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan.

“Untuk mengatasinya, tukar konsep pengajaran kepada komunikasi intensif kerana boleh membantu. Corak pembelajaran sekarang lebih menumpukan kepada latihan penulisan semata-mata menjadikan mereka boleh menulis tapi gagal berkomunikasi.

“Yang menjadi masalah ialah pelajar tidak boleh bercakap dengan baik, justeru ubah corak pembelajaran kepada komunikasi intensif. Saya percaya ia mampu membantu kerana majikan juga hanya mementingkan aspek ini terutama ketika temu duga,” katanya.

Beliau juga mengakui sistem pendidikan kebangsaan tidak gagal dengan kejayaan melahirkan ramai bijak pandai yang cemerlang mengemudi dunia kerjaya.

“Jika ada pihak menyatakan ia puncanya, saya tidak bersetuju kerana kejayaannya sudah ada. Hanya kerana isu bahasa Inggeris, kita tidak boleh memukta–madkan sebagai tidak berjaya.

“Realitinya, masalah bahasa Inggeris bukan saja berlaku di negara kita malah seluruh dunia. Menyalahkan sistem pendidikan sedia ada bukan jalan penyelesaian.

“Yang penting, mesej ingin disampaikan berjaya, itu lebih baik daripada melakukan perubahan drastik atau menyalahkan pihak tertentu akibat kegagalan yang boleh diperbaiki,” katanya.



INFO:

Penyata Razak 1956 adalah cadangan yang dibuat satu jawatankuasa oleh kerajaan Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini ditubuhkan pada September 1955 dan dipengerusikan Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.

Cadangan yang dikemukakan Penyata Razak ini diluluskan kerajaan persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) serta menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi SRK. Penyata Razak juga mencadangkan satu sistem pendidikan menengah dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Friday, August 19, 2011

tutup akaun fb

Tutup akaun Facebook dalam telefon bimbit

BAGAIMANA cara untuk menutup akaun Facebook dalam telefon bimbit kerana setakat ini ia tiada berfungsi apa-apa pun pada saya?

Untuk makluman, tiap-tiap minggu nombor 32665 telah menghantar mesej untuk update expire dan tiap kali dihantar pasti dikenakan bayaran RM1.

MOHD RUSLI DERAMAN, Terengganu.

Terima kasih kembali di atas soalan tersebut. Ada beberapa cara untuk menghentikan perkhidmatan Facebook menggunakan telefon bimbit ini.

Kaedah pertama menggunakan kembali sistem pesanan ringkas atau SMS. Taipkan perkataan OFF pada telefon bimbit anda dan hantar mesej tersebut ke nombor 32665 tersebut.

Seterusnya, pihak Facebook akan menghantar mesej kembali ke telefon bimbit tersebut bagi status perkhidmatan Facebook anda di telefon bimbit telah ditamatkan atau OFF.

Bagi melihat kembali konfigurasi penggunaan SMS ini dalam perkhidmatan Facebook, sila ke alamat URL yang berikut:-

http://www.facebook.com/mobile/?texts

Pastikan anda pergi ke laman web Facebook. Seterusnya masukan login dan kata laluan bagi akaun Facebook. Setelah berjaya masuk ke akaun Facebook tersebut, pergi ke menu Account Setting.

Dalam menu Account Setting, pergi ke tab Mobile. Seterusnya, ubah konfigurasi telefon bimbit anda kepada OFF. Selain daripada itu, nombor telefon tersebut juga boleh dibuang terus daripada ruangan konfigurasi dengan menekan butang REMOVE di tepi nombor telefon tersebut.

Bagi melihat konfigurasi telefon bimbit dalam akaun Facebook, sila ke alamat URL yang berikut:-

http://www.facebook.com/mobile/?settings

Sekiranya tidak berjaya, boleh menutup terus akaun Facebook tersebut seperti yang telah dibincangkan dalam ruangan ini atau hubungi pihak Facebook dengan menyatakan masalah yang dihadapi dengan akaun Facebook.

bayar zakat melalui sms


Bayar zakat guna SMS

Membayar zakat menggunakan sistem SMS kini sudah semakin popular. - Gambar hiasan

PELANGGAN beragama Islam Maxis Berhad (Maxis), di Selangor, Melaka, Sabah, Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu akan menikmati kemudahan untuk membayar zakat fitrah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS hasil perkhidmatan mZakat yang ditawarkan syarikat terbabit

Dengan perkhidmatan mZakat, pelanggan boleh memenuhi tuntutan agama mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Perkhidmatan mZakat Maxis terbuka kepada pelanggan prabayar dan juga pascabayar.

Jumlah pembayaran zakat fitrah akan dicaj kepada bil telefon para pelanggan pascabayar atau ditolak dari baki prabayar pelanggan.

Perkhidmatan berkenaan amat mudah untuk digunakan.

Pelanggan boleh membuat pembayaran dengan hanya menaip “FITRAH (nama negeri)" dan menghantar SMS tersebut kepada 22032.

Mereka kemudian perlu membekalkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan bilangan orang yang zakat fitrahnya ditanggung

Selepas itu, mereka akan menerima SMS mengenai jumlah yang perlu dibayar yang mana jumlahnya perlu disahkan sebelum sebarang caj boleh dikenakan kepada pengguna.

Kesemua SMS yang dihantar mahupun diterima oleh pelanggan Maxis untuk perkhidmatan mZakat ini adalah percuma dan tidak dikenakan caj.

Tambahan lagi, perkhidmatan pencetakan resit secara dalam talian juga boleh didapati daripada portal Maxis, supaya pelanggan boleh mencetak resit untuk melakukan tuntutan rebat cukai.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah berkata, pihaknya gembira dapat menawarkan kemudahan tersebut kepada pelanggan beragama Islam

‘‘Ini merupakan suatu penyelesaian yang efektif kepada masalah ketiadaan masa untuk melawat kaunter-kaunter zakat fitrah atau kepada sesiapa yang ingin membuat pembayaran pada saat-saat terakhir.

‘‘Ia juga amat berguna kepada golongan yang mengalami kesukaran untuk ke kaunter-kaunter zakat kerana komitmen kerja, dan juga golongan komuniti kurang upaya. ,’’ kata beliau.

Malah kata , keseluruhan proses transaksi pembayaran ini mengambil masa kurang lima minit.

Dalam pada itu , Maxis pada tahun ini telah bekerjasama dengan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) bagi menawarkan pelanggan ketenangan minda melalui perlindungan insurans Islam tambahan (takaful) bernilai RM2,000 untuk segala kandungan rumah mereka bermula 1 Ogos hingga 16 September.

Untuk hanya RM2 sebulan, pelanggan dilindungi sehingga sebanyak RM70,000 untuk kematian tidak sengaja / kecacatan kekal, dan juga untuk RM2,000 faedah takaful tambahan yang meliputi perlindungan kandungan-kandungan rumah.

Pelanggan boleh menyertai program ini dengan hanya menghantar SMS beserta kata kunci “BUY TAKAFUL" kepada 27007.

Di samping perlindungan terhadap kematian tidak sengaja atau kecacatan kekal dan isi kandungan rumah, peserta beragama Islam juga boleh menikmati perkhidmatan “Haji Secara Perwakilan” (Badal Haji) dari HLM Takaful atau perwakilan mengerjakan haji kepada pihak yang sah.

Pilihan ini merupakan sebahagian daripada perlindungan kematian tidak sengaja dan kecacatan kekal.

Perkhidmatan “Haji Secara Perwakilan” ini diurus dan dikendalikan oleh TH Travel & Services, sebuah subsidiari milikan penuh Lembaga Tabung Haji.

Sempena Ramadan ini, Maxis amat berbesar hati untuk menawarkan Hotlink Ramadan Hot Tickets yang diubahsuai yang menawarkan lebih banyak nilai agar para pelanggannya dapat menghubungi orang yang tersayang, sama ada berdekatan mahupun berjauhan.

Mereka juga dapat menikmati ayam goreng KFC secara percuma dari kami semasa mereka berbuka puasa.

Maxis juga kata Fitri terus menjadi sebahagian dari perjalanan pelanggannya sepanjang Ramadan menerusi kandungan mudah alih yang telah direka khas untuk membantu mereka mengakses maklumat-maklumat relevan seperti waktu menunaikan solat dan juga waktu bermula dan berbuka puasa.

‘‘Perkhidmatan-perkhidmatan mudah alih bercorak keislaman kini semakin popular di kalangan pelanggan beragama Islam dan kami telah menyaksikan peningkatan terhadap penggunaannya.

‘‘Kami gembira untuk menawarkan kepada para pelanggan satu variasi perkhidmatan yang baru ini, bagi memastikan satu pengalaman yang lebih bermakna pada Ramadan ini,’’ ujarnya..

Para pelanggan Maxis juga boleh mengakses laman WAP mikro yang unik bernama Ramadan di portal WAP Maxis untuk melanggan atau memuat turun kandungan-kandungan Ramadan ke dalam peranti mudah alih mereka.

Laman WAP Ramadan itu menawarkan pelbagai kandungan mudah alih seperti SMS ALERTS untuk waktu berbuka puasa (waktu berbuka puasa dan waktu Imsak boleh didapati secara percuma), fadilat Ramadan (tazkirah harian untuk renungan sewaktu Ramadan) dan waktu-waktu menunaikan solat.

Mereka juga boleh melanggan perkhidmatan MMS ALERTS seperti Santapan Rohani (ayat-ayat al-Quran dan solat dihantar setiap hari) atau zikir (pembacaan Zikir kontemporari melalui MMS).

Sebagai tambahan, wallpapers, nada dering true tunes dan ucapan-ucapan MMS juga boleh diperoleh secara percuma.

Para pelanggan Maxis dan Hotlink boleh mengakses laman WAP Ramadan ini dengan hanya menaip ‘GET RA’ pada telefon bimbit mereka dan menghantar kepada 26000.

Satu pautan ke laman WAP Ramadan kemudian akan dihantar kepada telefon bimbit mereka dan pelanggan hanya perlu klik pada pautan tersebut bagi mengakses portal WAP Ramadan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, August 17, 2011

bahasa inggeris

Ubah pendekatan ajar bahasa Inggeris

Oleh FAUZY HALIM
PENULIS ialah Pengarah Centre of Modern Languages (CML). Beliau pernah bertugas lebih 12 tahun di Amerika Utara, Eropah, Asia, dan Afrika sebagai jurulatih guru pelbagai bahasa.


SEBAHAGIAN graduan bersorak kegembiraan selepas Majlis Konvokesyen Institut Pendikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, di Kota Samarahan, Sarawak pada 7 Julai lalu.

Pada zaman Tan Sri Ahmad Kamil Jaafar menjadi Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu New York, apabila ada persidangan di peringkat wilayah atau antarabangsa, wakil-wakil dari Malaysia selalu diberi penghormatan untuk mempengerusi dan mengetuai perbincangan, berbagai-bagai jenis jawatankuasa kajian untuk pelbagai agensi antarabangsa.

Itu dulu. Itu cerita lama. Sejak sedekad dua kebelakangan ini, keadaan amat berbeza. Kini acapkali kita mendengar sesetengah graduan kita, antara mereka pemegang PhD, bertutur bahasa Inggeris dengan sebutan dan tatabahasa tunggang-langgang. Mereka masih takut-takut dan kurang yakin menyuarakan pendapat dalam forum atau mesyuarat pejabat.

Alangkah rugi buah fikiran cerdik pandai kita tidak dapat dikongsi, dimanfaat bersama dan mengakibatkan terencat kerjaya mereka hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris, terutamanya kekangan pertuturan.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran bertanyakan "kenapa setelah 13 tahun bahasa Inggeris diajar, kita masih tidak mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang menguasai bahasa Inggeris dengan baik."

Soalan itu merupakan satu cabaran kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan, lebih-lebih lagi kepada kalangan pengajar bahasa atau sebagai ibu bapa.

Masalah yang timbul sekarang adalah dari sudut penguasaan bahasa Inggeris komunikasi atau pertuturan. Dari segi bahasa Inggeris penulisan, kita sememangnya patut berbangga dengan ramai pelajar kita yang memperoleh A plus dan A atau B dalam peperiksaan SPM dan A di tahap O-Level.

Pada akhir tahun 1960-an dan awal 1970-an, Tun Hamdan Tahir berbincang dengan penulis perihal penguasaan bahasa Inggeris. Beliau juga bertanya bagaimana kaedah American Peace Corps berupaya dan sanggup menjadi perintis untuk memulakan pembelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Melayu di Sekolah-sekolah Berasrama Penuh (SBP) terpilih; walhal mereka belajar bahasa Melayu dalam masa 11 minggu sahaja.

Jawapan penulis ialah kami dilatih untuk mengajar American Peace Corps menggunakan pendekatan mendengar dan bertutur (Aural-oral) dengan kederasan di antara 120 - 160 perkataan seminit. Kami tidak mencampur-adukkan bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Ini disebabkan nilai bunyi bahasa sebutan walaupun menggunakan huruf rumi yang sama tetapi mempunyai nilai bunyi yang amat berlainan seperti p dengan b, t,d, k, dan g.

Nilai bunyi 'u' hanya satu sama ada 'unggu' atau 'buku' dalam bahasa Inggeris nilai bunyi 'u' seperti dalam perkataan berikut cut, cute, church, bury, quay, clue, audio.

Jika kita masih ingat, Kementerian Pelajaran pernah memulakan pembelajaran Bahasa Inggeris menggunakan kaedah 'Communication English' di sekolah rendah malangnya oleh kerana tenaga pengajar yang kurang terlatih dan kurang arif dan faham tentang pendekatan itu, kaedahnya berjalan hanya beberapa tahun sahaja.

Sekarang yang masih ada saki-baki pendekatan 'Communication English' itu hanya tentang cara mengatur tempat duduk pelajar-pelajar secara berkumpulan 4, 6 atau 8 orang setiap kumpulan.

Bagaimanapun, di Sarawak program ini terus berjalan dan semasa penulis bertugas dengan US Peace Corps dan Canadian CUSO, pernah melawat kelas-kelas ini di SK & SJK di Miri, Sibu & Kuching, ia dijalankan dengan sempurna dan berkesan. Sebab itu kita dapati pelajar-pelajar di Sarawak lebih yakin dan fasih bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Penulis pernah diminta oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia yang berasal dari Sarawak untuk membuat demonstrasi dan seminar tentang pendekatan 'Aural-oral' yang diguna pakai oleh American Peace Corps, di Kementerian Pelajaran di Jalan Duta.

Maklum balas yang penulis dapati dari hasil demonstrasi dan seminar sejam setengah itu secara ringkasnya, 'susah hendak dijalankan di sekolah kita' (di Semenanjung Malaysia). Dengan itu, berakhirlah riwayat 'Communication English' atau pendekatan 'Aural-oral.'

Sebenarnya, penggunaan pendekatan 'Aural-Oral' ini dapat menjimatkan masa untuk menyempurnakan sesuatu sukatan pelajaran itu di antara 20 hingga 50 peratus (%). Masa yang dijimat tersebut boleh digunakan membuat latih tubi, mengulang kaji untuk peperiksaan dan latihan amali pengukuhan menerusi pelbagai aktiviti kegemaran pelajar sesama atau antara darjah dan aliran.

Aktiviti seperti perbahasan, peraduan menyanyi, drama dan sebagainya. Rekaan pelajar atau guru patut digalakkan.

Kejayaan pendekatan 'Aural-Oral' ini yang digunakan sebagai pelengkap dalam pembelajaran Bahasa Inggeris adalah ketara sekali di Filipina di mana guru-guru TESOL yang kami latih di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii meneruskan program ini, melatih tenaga pelatih terpilih tempatan yang akan melatih guru-guru bahasa Inggeris rakan sejawat mereka untuk terus menggunakan pendekatan ini apabila guru-guru TESOL dari Peace Corps tamat tempoh perkhidmatan mereka di wilayah-wilayah tersebut.

Hasilnya kita dapati pembantu rumah yang didatangkan dari Filipina agak lebih baik penguasaan bahasa Inggeris mereka dari sesetengah graduan kita. Memang benar terdapat kelemahan-kelemahan lain seperti guru bahasa Inggeris sendiri tidak fasih bertutur dalam bahasa Inggeris seperti 'ketam mengajar anak berjalan lurus'.

Masih ada guru-guru TESL yang mempunyai tahap MUET 5, masih membuat kesalahan dalam sebutan, tatabahasa seperti I didn't went there dan sebutan atau tajwid yang salah tekanan dan intonasinya seperti sebutan 'lettuce', 'mayonaise', 'quay', 'audit' dan sebagainya.

Penggunaan 'malapropism' iaitu kosa kata yang tidak betul penggunaannya terutama seperti 'sensitive', 'bored', 'boring' dan lain-lain. Jika mereka yang pencapaian MUET tahap 5 melakukan kesalahan seperti itu, bagaimana pula nasib pelajar apabila guru-guru mereka yang hanya mencapai tahap dibawah 4.

Sekarang seramai lebih kurang 30,000 guru yang tidak terlatih dibenarkan mengajar bahasa Inggeris. Mereka ini tidak pernah atau tidak cukup latihan untuk membaca phonetic seperti yang terdapat pada semua kamus. Jadi bagaimana mereka nak tahu sesuatu sebutan itu salah atau betul. Dan bagaimana pula mereka boleh membuat analisis perbezaan dan cara-cara sebutan bagi pelajar majmuk dari berpuluh bahasa dan loghat.

Istilah guru TESL (mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa ke-2) juga adalah kurang tepat. Penggunaan yang lebih tepat adalah TESOL (Teaching of English to Speakers of Other Languages). Ini adalah kerana latihan untuk guru-guru TESL mempunyai perbezaan asas berbanding latihan guru-guru TESOL.

Latihan guru TESL penekanan adalah untuk mengajar, guru-guru yang mendapat latihan TESOL akan melatih (conditioning) muridnya secara bersepadu, spontan hingga sesuatu kemahiran itu menjadi kebiasaan atau 'habit' yang tidak mudah hendak dilupai.

Saranan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan agar pendekatan yang digunakan oleh American Peace Corps di Universiti Hawaii amat tepat sekali dan perlu ditangani dengan betul berasaskan kepada fakta dan bukan mengikut perasaan atau agakan.

Oleh itu, saya ingin mencadangkan pendekatan 'Aural-Oral' yang digunakan dalam latihan bahasa-bahasa di Pusat Latihan Peace Corps di Universiti Hawaii diguna pakai sebagai pelengkap kepada pembelajaran bahasa Inggeris, dan sembilan bahasa asing yang diajar di SBP dan beberapa sekolah harian terpilih.

Seandainya pendekatan 'Aural-Oral ' ini diguna pakai sebagai pelengkap dalam pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing, penulis berkeyakinan tahap pencapaian pelajar-pelajar kita akan meningkat bukan setakat dalam bahasa penulisan.

Malah, mereka boleh berkomunikasi atau bertutur dalam sesuatu bahasa dengan lebih cepat, mudah, dan berkesan untuk diguna pakai apabila di universiti, semasa menghadiri temu duga dan lebih penting lagi untuk mempertingkatkan keberkesanan serta kejayaan dalam kerjaya mereka di mana juga di dunia ini.

Apabila graduan kita fasih berkomunikasi dengan berkesan dalam berbagai-bagai bahasa yang dilatih sekolah, maka impian dan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan dan pendidikan terdahulu untuk melihat anak bangsa kita belajar dan menimba ilmu di universiti di serata dunia, berdagang dengan lebih meluas, membawa pulang ilmu, mempertingkatkan perdagangan dan modal antarabangsa ke Malaysia tercinta ini akan menjadi kenyataan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Wednesday, August 10, 2011

senang tanam sawi


Tanam sawi cara mudah

Terdapat banyak cara penanaman sawi termasuk menggunakan teknologi pertanian terkini menggunakan pasu.

Sawi atau nama saintifiknya Brassica sp. berasal dari keluarga Brassicaceae. Terdapat beberapa jenis sawi yang mudah ditanam di Malaysia. Antaranya sawi hijau atau choy sum (B.parachinensis), sawi putih atau pak choy (B.chinensis var. pekinensis Cruciferae), sawi mini atau bok choy (B.rapa chinensis), sawi bunga (B. rapa Cruciferae) dan sawi ropol.

Sawi diketahui mengandungi banyak vitamin A,B,C,E,K, karbohidrat, protein, kalsium, kalium, zat besi dan magnesium.

Ia juga sangat kaya dengan serat yang boleh membantu proses pencernaan.

Banyak juga penyakit yang boleh dihindarkan dengan mengamalkan makan sawi antaranya anemia, mengurangkan risiko penyakit barah, mengurangkan kadar kolestrol dalam darah dan mempercepatkan pembekuan darah semasa luka.

Penanaman

* Sawi sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah dengan kelembapan yang sederhana.

* Suhu yang paling sesuai antara 25 dan 35ºC.

* Keadaan yang terlalu lembap atau kekerapan hujan yang tinggi boleh menjejaskan kualiti daun sawi.

* Batas yang disyorkan berukuran satu meter lebar dan panjang bergantung pada luas kawasan.

* Batas digembur dan ditambah dengan kompos dan baja organik. Rapikan tanah sebelum menanam.

* Tanam sawi dengan biji benih sama ada ditanam terus atau disemai terlebih dahulu.

* Jika ditanam terus, tabur biji benih di atas batas selepas dicampur dengan pasir. Buat penjarangan selepas 10 hingga 14 hari ditanam.

* Bagi kaedah semaian, biji benih disemai dan disimpan di dalam rumah semaian selama lapan hingga 10 hari. Kemudian anak pokok boleh dipindahkan di atas batas.

* Selepas memindahkan anak benih, letak sungkupan (plastik silver shine, daun kering, jerami padi) di bahagian batas yang terdedah bertujuan mengekalkan kelembapan tanah dan mengawal pertumbuhan rumpai.

Pengairan

* Air adalah sumber yang terpenting untuk tanaman selain cahaya matahari, karbon dioksida dan baja.

* Sawi perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan menggunakan air bebas klorin. Kekurangan air boleh membantutkan pertumbuhan tanaman.

* Pengairan boleh dilakukan sama ada secara manual atau menggunakan sistem pengairan renjis bergantung pada kemampuan pengusaha.

Pembajaan

* Baja organik telah disediakan di peringkat awal semasa penyediaan tanah. Itu memadai bagi pertumbuhan awal anak pokok.

* Selepas dua minggu, baja organik diberikan sekali lagi dengan anggaran antara 40 dan 50g per pokok.

* Sebelum membaja, tanah di sekeliling pokok digembur untuk meningkatkan pengudaraan akar tanaman.

* Baja ditabur di keliling pokok tetapi jauh dari batang pokok. Tutup baja dengan sungkupan.

Kawalan rumpai

* Batas tanaman perlu sentiasa dibersihkan daripada rumpai sekurang-kurangnya seminggu sekali.

* Rumpai yang tumbuh di atas batas dibuang secara manual, manakala rumpai yang tumbuh di luar batas boleh dipotong dengan mesin pemotong rumput atau sabit.

* Ada juga sesetengah petani menggunakan alat membakar rumpai. Kaedah ini bukan sahaja berkesan mematikan rumpai dan biji benihnya, ia juga boleh membunuh telur serangga perosak yang bersembunyi di dalam tanah/batas.

Perosak dan penyakit

* Antara penyakit yang biasa menyerang sawi ialah reput daun, bintik daun dan reput lembut.

* Ulat ratus, ulat pangkas dan kumbang lenting adalah antara perosak yang mudah ditemui pada pokok sawi.

n Racun organik campuran cili padi, bawang putih, pudina, serai wangi, daun kesum dan beberapa repellent yang lain boleh membantu mengurangkan serangan perosak dan penyakit sawi.

* Tanaman bergilir juga disyorkan sebagai kawalan.

Penuaian

* Sawi boleh mula dituai selepas 27 hingga 30 hari ditanam.

* Cara menuai sawi adalah dengan memotong bahagian pangkal paling hampir dengan tanah. Akar dibiarkan reput di batas.

* Cuci kotoran tanah yang melekat pada sawi dengan air bersih.

* Rendam sawi di dalam air sejuk bersuhu 5ºC untuk proses prapenyejukan selama antara lima dan 10 minit. Ia untuk mengekalkan kualiti sawi dalam tempoh yang lebih lama.

* Bungkus menggunakan plastik lutsinar yang berlubang untuk pengudaraan sawi.

* Jika disimpan dalam suhu 10ºC, ia boleh tahan selama seminggu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: