Tuesday, June 26, 2012

lintah untuk lelaki

ARKIB : 25/06/2012

Ekstrak lintah untuk lelaki

Ekstrak lintah digunakan untuk menghasilkan produk kesihatan.
Lintah! Jika dilihat dari bentuk fizikalnya, mungkin ramai antara kita yang tidak gemar dan jijik untuk menyentuh lintah kerana keadaan badannya yang berlendir, lembik dan licin.
Tidak kurang pula ada yang akan rasa geli-geleman terutamanya golongan wanita hingga berdiri bulu roma apabila bercakap mengenai haiwan kecil tersebut.
Secara amnya, apabila bercakap mengenai lintah pengetahuan masyarakat hanya terhad kepada sifat semulajadinya yang menghisap darah mangsa lalu mengeluarkan bahan anti pembekuan darah yang dinamakan hirudin.
Namun jika dikaji dengan lebih teliti, lintah atau nama saintifiknya Hirudo medicinalis juga mengandungi kolagen yang boleh digunakan dalam industri kosmetik dan juga perubatan dalaman tubuh badan.
Menyedari keistimewaan yang terdapat pada haiwan yang sedia maklum hidup di kawasan berpaya terutama sawah padi, Zamri Ibrahim, 40, memberanikan diri untuk mengkomersialkan keistimewaan lintah dalam dunia perubatan.
Menubuhkan syarikat Artsoulist Holdings Sdn. Bhd. (Artsoulist) bagi memudahkan perusahaannya, usahawan kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, lendir yang terdapat pada haiwan kecil itu diyakini mampu membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan masalah pada sendi badan.
"Faktor yang menarik perhatian saya untuk mulakan penyelidikan mengenai lintah ini bermula apabila melihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan pasangan yang sudah berumahtangga.
"Tidak dinafikan antara faktor penceraian berlaku berpunca daripada masalah ketika pasangan melakukan hubungan kelamin yang mana suami tidak mampu mengekalkan ketegangan alat sulit.
"Walaupun kedengaran agak remeh, namun ia tetap menjadi antara punca penceraian berlaku kerana pasangan tidak mampu memberi kepuasan maksimum kepada isteri ketika melakukan hubungan kelamin," kata Zamri.
Justeru, beliau menjalankan penyelidikan mengenainya dan cuba mencari jalan penyelesaian sekali gus yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.
Apabila mengetahui lintah mampu membantu memulihkan tenaga batin serta menambah saiz alat sulit, Zamri menanam cita-cita untuk menternak haiwan tersebut sekali gus menguruskan perniagaan yang mengkomersialkan pati minyak haiwan itu.
Berkongsi pengalaman mengenai penubuhan Artsoulist yang membawa jenama Sensaoil di pasaran, Zamri yang mula menceburkan diri dalam bidang ternakan lintah sejak tahun 1997 menjalankan penyelidikan dengan kerjasama beberapa buat universiti tempatan.
Jelasnya, seorang penternak lintah perlu mengetahui cara hidup di samping memahami sifatnya bagi memudahkan sistem ternakan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah.
Bermula dengan cara hidup, habitat hinggalah makanan ruji haiwan kecil penghisap darah tersebut, penternak juga perlu benar-benar arif mengenai spesies lintah yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.
"Jika penternak lintah tidak mahir dan arif mengenai perkara asas yang diperlukan lintah, induk yang diternak tidak mampu mengeluarkan ekstrak berkualiti.
"Tempoh matang bagi induk adalah antara enam hingga lapan bulan dan haiwan ini mampu hidup sehingga lima tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan oleh penternak," ujarnya.
Bercerita lanjut, haiwan yang mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina ini mempunyai enzim yang dihasilkan daripada air liur berfungsi untuk menahan darah dari membeku semasa gigitannya.
Bagi memperoleh ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti dan menerusinya, ia menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair atau pun minyak.
Teknologi pengekstrakan yang digunakan terdiri daripada beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan.
Pengekstrakan menggunakan pelarut boleh dilakukan menggunakan empat jenis teknik iaitu maserasi, perkolasi, refluks dan soxhlet.
Teknik maserasi dijalankan di dalam bekas tertutup pada suhu bilik kira-kira 25 darjah celsius menggunakan bahan pelarut organik seperti etanol dan air manakala teknik perkolasi pula menggunakan bahan pelarut yang dipanaskan.
Teknik pengekstrakan refluks pula menggunakan bahan pelarut dan air dan dijalankan pada suhu tinggi.
Bagi teknik soxhlet, ia dijalankan secara berterusan dan berperingkat dengan menggunakan pelarut yang berbeza mengikut pola.
"Kesemua teknik ini jalankan di kilang Artsoulist yang terletak di Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu dan di sana juga terletaknya kolam ternakan lintah yang dijadikan sumber utama pembuatan pati minyak lintah.
"Bagi setiap satu kilogram lintah, ia mengandungi kira-kira 100 ekor lintah dan kesemuanya akan diperiksa kualiti sebelum diasingkan untuk proses pengekstrakan," jelasnya.
Sementara itu menurut pembantu makmal Artsoulist Holding Sdn Bhd, Saharudin Abdullah Omar kaedah penyulingan minyak pati sedikit berbeza yang mana ia menggunakan bahan-bahan seperti air dan hidrostim.
"Kaedah ini akan dijalankan secara langsung di dalam makmal untuk mendapatkan pati minyak lintah tersebut.
"Selain itu, pengekstrakan lintah juga boleh dijalankan menggunakan teknologi bendalir lampau genting iaitu pengekstrakan hasilan semula jadi menggunakan karbon dioksida pada suhu sehingga 60 darjah celsius.
"Kaedah pengekstrakan ini digunakan bagi mendapatkan hormon-hormon yang terkandung di dalam badan lintah yang dijadikan bahan asas pembuatan produk kesihatan sama ada dalam bentuk cecair atau minyak," jelasnya.
Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut mengenai rangkaian produk minyak lintah keluaran Artsoulist, boleh menghubungi talian 03-90801678 atau layari laman web www.artsoulist.com.my.

kamera telefon

ARKIB : 17/06/2012

Berkarya melalui telefon bimbit


Gambar ini dirakamkan menggunakan kamera telefon Nokia N8 melalui aplikasi HDR.
FOTOGRAFI sememangnya satu dunia yang menghiburkan, unik dan kreatif. Kebanyakan daripada kita mungkin menganggap untuk menghasilkan gambar, perlu ada kamera yang bagus tetapi hakikatnya dengan kamera telefon bimbit juga anda boleh berkarya, biarpun tidak sehebat jika anda merakamkannya dengan menggunakan kamera sebenar.
Kekurangan menggunakan kamera telefon bimbit adalah anda hanya boleh merakamkan foto mengikut kemampuan saiz sensor imejnya. Anda tidak boleh mencetak foto anda dengan saiz terlalu besar kerana kemampatan (compress) saiz imej pada kamera telefon bimbit dengan kamera biasa adalah berbeza.
Namun begitu, bak kata pepatah, daripada tak ada biarlah ada. Maksudnya dalam keadaan anda tidak membawa kamera sebenar, tentulah lebihbaik jika anda masih boleh merakamkan sesuatu peristiwa sebagai kenangan terindah.
Apa yang perlu anda buat adalah memahami terlebih dahulu kelebihan dan kekurangan yang ada pada kamera telefon bimbit anda. Jika ia mempunyai saiz sensor 5 Megapixel sudah memadai. Jika saiznya lebih besar lagi, tentulah lebih baik kerana ia dapat membantu penghasilan gambar yang baik.
Anda juga perlu mencari kamera telefon bimbit yang mempunyai lensa bukaan besar seperti 2.8 agar rakaman boleh dijalankan dalam semua keadaan cerah mahupun redup. Anda juga boleh memperbaiki hasilnya dengan aplikasi kamera seperti kawalan kecerahan, ketajaman, kontras, saiz fail, close-up dan banyak lagi yang boleh digunakan untuk mencantikkan gambar yang dirakamkan.
Fungsi-fungsi dalam aplikasi tersebut kadangkala hampir serupa dengan apa yang ada pada kamera sebenar. Terdapat juga sesetengah kamera telefon bimbit yang mempunyai kawalan penggambaran panorama dan high dynamic range (HDR).
Jika anda bijak mengawal segala fungsi dalam aplikasi kamera, anda boleh berkarya dengan kamera telefon bimbit. Anda boleh menghasilkan gambar siluet (silhouette), potret, pemandangan indah, sukan dan sebagainya mengikut kehendak sendiri.
Tambahan pula kamera ini juga dilengkapi dengan rakaman video yang boleh anda edit menjadi sebuah cerita menarik dengan menggunakan aplikasi edit movie yang terbina di dalam sesebuah telefon bimbit.
Apa yang penting, anda perlu ada asas fotografi untuk lebih cepat memahami kemampuan kamera tersebut.
Anda pastinya dapat merakamkan semua kenangan melalui kamera telefon bimbit apabila anda terlupa membawa kamera sebenar - dan yang menariknya, anda boleh terus menghantar foto rakaman anda kepada rakan taulan melalui telefon pintar anda atau memuat naik ke dalam laman sosial untuk dikongsikan!.

Monday, June 25, 2012

perlu ramai pelaut tempatan

Malaysia masih perlukan 43,000 pelaut

25 Jun 2012

PELABUHAN KLANG - Malaysia masih memerlukan kira-kira 43,000 pelaut tempatan untuk memberi sokongan kepada industri maritim yang penting di dalam perdagangan antarabangsa, kata Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia, Datuk Kapten Ahmad Othman.

Buat masa ini jumlah pelaut tempatan yang menyertai industri maritim adalah 49,000 orang manakala 43,000 lagi tempat pula diisi oleh pelaut warga asing, katanya dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Pelaut Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, hari ini.

Ini menunjukkan masih lagi banyak peluang kerjaya untuk direbut oleh anak muda tempatan di dalam bidang ini, katanya.

Beliau berkata antara faedah yang boleh didapati sebagai pelaut ialah kemudahan melawat negara luar di mana kapal mereka berlabuh tanpa perlu visa.

Mereka hanya menggunakan Kad Pelaut yang dikeluarkan Jabatan Laut yang mempunyai tempoh sah selama lima tahun untuk pelaut tempatan dan setahun untuk pelaut warga asing yang bekerja dengan kapal Malaysia, katanya.

Ahmad turut melancarkan Kad Pelaut yang baharu tanpa cip dan skim perlindungan insuran kepada pelaut di bawah MAA Takaful.

Beliau juga menyampaikan biasiswa kepada 11 orang pelaut tempatan bagi meningkatkan tahap daya saing mereka sehingga peringkat tertinggi seperti pegawai jurutera atau navigasi.

Pada majlis itu juga beliau menyampaikan cenderahati dan sijil kepada dua pelaut Malaysia Lau Kah Chong, 36 dan Yusseri Yusuf, 24 yang masih belayar dan berkhidmat sebagai pelaut biarpun pernah dirompak oleh selumpulan lanun di Laut China Selatan pada April lepas semasa dalam pelayaran dari Langkawi ke Tawau, Sabah.

Hari Pelaut disambut setiap tahun pada 25 Jun bermula tahun lepas setelah Pertubuhan Maritim Antarabangsa mendedikasikan tarikh itu untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan 1.5 juta pelaut di seluruh dunia ke arah peningkatan ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Pelbagai aktiviti sampingan juga diadakan sempena Hari Pelaut termasuk temuduga daripada syarikat perkapalan, taklimat 'Hak Anda Sebagai Pelaut', pameran dari agensi perkapalan dan institut latihan maritim dan pemeriksaan kesihatan percuma. - Bernama

Saturday, June 23, 2012

agensi pekerja asing di pahang

Semak sebelum terkena
NOOR AZIANTY NORMAN
23 Jun 2012
Semak sebelum terkena
Sayed (dua, kiri) menunjukkan borang permohonan pembantu rumah asing kepada Teck Loon (tiga, kanan) sambil diperhatikan Hong Seong (dua, kanan).
KUANTAN – Hanya sembilan agensi pembantu rumah didaftarkan secara sah di Jabatan Imigresen negeri ini.

Sembilan agensi tersebut adalah Supermaid Employment Sdn Bhd, Detik Jasa Sdn Bhd, Megawi Sdn Bhd, KAC Evergreen Sdn Bhd, Cekap Maju Sdn Bhd, 66 Sdn Bhd, Princeton Sdn Bhd, Seasons Sdn Bhd dan Narmada Sdn Bhd.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Ketua Bahagian Pekerja Asing, Sayed Abdul Rahman Sayed Mahmud berkata, majikan yang mahu mendapatkan khidmat pembantu rumah diminta menyemak senarai agensi berdaftar untuk mengelakkan kes penipuan.

“Jangan sesekali mengambil pembantu rumah daripada agensi tidak sah kerana jika berlaku sesuatu, sukar
untuk kita mengambil tindakan,” katanya di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Teruntum, semalam.

Beliau berkata, melalui agensi berdaftar, majikan boleh mendapatkan pembantu rumah yang sihat dan mampu melakukan kerja rumah dengan baik.

“Mereka perlu menjalani kursus di negara mereka terlebih dahulu sebelum layak bekerja di sini. “Selain itu, bakal pembantu rumah juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka benar-benar sihat untuk melaksanakan kerja harian di rumah majikan. Ini merupakan antara syarat-syarat perlu dipatuhi agensi sebelum membawa masuk pembantu rumah,” katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat tujuh negara sumber menyediakan khidmat pembantu rumah iaitu Indonesia, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Kemboja, India, Laos, Nepal dan Myanmar.

Bagaimanapun, pengambilan pembantu rumah dari Kemboja kini dibekukan buat sementara waktu.

Semalam, seorang kontraktor, Datuk Fong Teck Loon, 61, tampil membuat aduan di pusat khidmat tersebut berikutan dua pembantu rumahnya lari awal Februari lalu.

Katanya, sebelum ini dia terpaksa membayar sejumlah besar wang kepada agensi terbabit, namun kecewa pembantu rumah warga Indonesia itu lari.

“Saya harap perkara ini dapat menjadi pengajaran pada semua supaya mereka lebih berhati-hati jika ingin mengambil pembantu rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong turut menasihati orang ramai supaya mengikut garis panduan ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kerumitan.

“Kalau boleh berhenti dahulu ambil pembantu rumah Indonesia berikutan banyak kes membabitkan warganegara itu. Jika mereka benar-benar perlukan khidmat pembantu rumah, cuba dapatkan dari negara lain,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Ketua Unit Pembantu Rumah, Siti Zaleha Ismail

Friday, June 22, 2012

menjejaki pelari hutang

ARKIB : 22/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 7
Mudah jejaki peminjam bermasalah
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kumpulan penarik kereta di sekitar ibu negara dikesan mampu mengakses sistem pendaftaran kenderaan, sekali gus membolehkan mereka menjejaki senarai pemilik kenderaan yang disenarai tidak melunaskan bayaran sewa-beli.

Kumpulan itu didakwa mempunyai kemudahan yang biasanya hanya boleh diakses pihak bank bagi mencari mangsa, seterusnya menarik kereta yang tidak dibayar ansuran bulanan itu secara paksa dan kasar.

Perisian sistem itu difahamkan dipasang di dalam komputer riba yang akan dibawa ke mana-mana dan semakan akan dilakukan secara rawak atau ke atas kereta yang mencurigakan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman yang berkata, kes melibatkan kumpulan penarik kereta yang bertindak secara samseng ketika melakukan aktiviti itu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Dakwa beliau, kumpulan terbabit kini dapat melakukan ‘aktiviti’ mereka apabila dengan mudah apabila menggunakan sistem tersebut selain mendapat kerjasama daripada pegawai bank.

“Saya difahamkan, setelah mereka mengesan kereta yang disenaraikan tidak membayar ansuran bulanan, penarik kereta ini akan menghubungi pegawai bank untuk meminta dikeluarkan surat tarik kereta.

“Selepas itu mereka akan melakukan kerja itu apabila ‘surat kuasa’ ada pada mereka dan ia tetap dilakukan biarpun tiada pemilik kereta di kawasan sekitar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Roslan mendakwa, penarik kereta biasanya akan menarik kenderaan yang gagal dilunaskan bayaran ansuran sekurang-kurangnya selepas 20 hari dari tarikh yang sepatutnya dibayar.

“Cara mereka menarik juga menimbulkan kesangsian kerana penarik kereta ini bukan sahaja bertindak kasar malah seperti ah long dan akan mengasari pemilik kereta yang enggan bekerjasama.

“Pekida juga mendapat maklumat, mereka turut meminta habuan tidak lebih RM800 daripada pemilik kenderaan untuk tidak menarik kereta. Habuan itu kemudian dikongsi bersama pegawai bank berkenaan," dakwanya.

Roslan yang telah beberapa kali membangkitkan isu ini juga berkata, kegiatan sedemikian sepatutnya dilakukan dengan persetujuan bersama dan tidak harus menggunakan trak penarik untuk mengambil kereta yang ditinggalkan pemilik.

“Untuk itu, kami menuntut Bank Negara Malaysia (BNM) memandang serius perkara ini kerana pelbagai aduan daripada banyak mangsa telah dilaporkan tetapi ia tetap tidak berkesudahan.

“Garis panduan penarikan kereta juga harus diperketatkan dan setiap bank tidak sewajarnya melantik kumpulan penarik kereta yang tidak menepati syarat yang telah ditetapkan," ujarnya.

Roslan berkata, Pekida akan menyerahkan satu memorandum kepada BNM dalam masa terdekat sekiranya badan itu tidak memberi reaksi berhubung isu berkenaan.

Saturday, June 9, 2012

cinta rumit

Gadis terlanjur dalam dilema


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAYA remaja perempuan berumur 18 tahun yang ingin bertaubat, tetapi tidak tahu caranya. Sewaktu berumur 10 tahun, saya dirogol bapa saudara yang umurnya sebaya dengan saya ketika sedang tidur.
Sebelum kejadian, hampir setiap hari anggota badan saya diraba. Saya tidak melawan kerana amat takut dan dia juga tidak mahu saya memberitahu sesiapa.

Ketika di sekolah menengah, saya dirogol pula empat atau lima lelaki yang tidak dikenali. Perkara itu berlaku ketika menemani kawan ke majlis rumah kawannya.

Rupa-rupanya, kawan saya itu menipu dan sanggup menjadikan saya pemuas nafsu rakan lelakinya. Sejak kejadian itu, saya meminta untuk tinggal bersama emak saudara saya.


Saya fikir boleh mendapat kehidupan baik, tetapi malangnya saya berkenalan pula dengan seorang lelaki yang saya gelar ‘F’ dan kami pernah terlanjur.

Saya juga pernah terlanjur bersama teman lelaki lain yang saya gelar sebagai J.
Namun, alhamdulillah, saya kini tidak lagi terbabit dalam kancah perzinaan.

Namun pengalaman itu membuatkan saya takut berkawan dengan lelaki. Kini, saya sedang berkawan dengan seorang lelaki, ‘A’ yang berumur 20 tahun.

Kami berkenalan melalui kawan saya. Bagi saya, dia seorang lelaki yang baik dan menghormati saya namun kuat cemburu. Saya menceritakan semua kisah silam saya kepadanya dan dia menerima saya dengan ikhlas.

Dia berjanji akan menjaga saya. Kebetulan juga saya berkenalan dengan seorang duda ‘K’ yang berumur 41 tahun dan mempunyai dua anak.

Setelah sekian lama, baru saya tahu, duda itu abang kepada ‘F’. Sekarang dia sedang menantikan jawapan daripada saya kerana dia ingin menjadikan saya isterinya.

Namun saya buntu sama ada perlu menerima K atau memilih A kerana A sentiasa menyayangi saya. Jika saya berkahwin dengan K, saya dapat menyelamatkan anak perempuannya daripada F yang sentiasa mengambil kesempatan terhadap perempuan.

Buat pengetahuan Dr, dua orang anak K kini berada dalam satu rumah dengan F. K pernah memberitahu F pernah melakukan hubungan seks dengan ramai wanita dan salah satu sebab mengapa K bercerai dengan bekas isterinya kerana bekas isterinya itu pernah terlanjur bersama F.

Mana yang perlu saya pilih, K atau A? Bagaimana caranya untuk saya bertaubat?

MIERA,
Kuala Lumpur




MANA-mana orang Islam yang tersalah langkah sehingga melakukan perbuatan yang dilarang Allah seperti zina hendaklah segera ingat kepada Allah dan terus memohon keampunan-Nya, iaitu dengan beristighfar dan bertaubat.

Ini jelas apabila Allah s.w.t berfirman: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji (fahishah), atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka- dan sememangnya tiada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang telah mereka lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Surah Al ‘Imran (3): 135).

Seterusnya Nabi selalu mengucapkan kata-kata istighfar berikut: “Subhana-ka Allahumma wa bi-hamdi-ka Allahumma ‘ghfir-li inna-ka anta al-tawwab al-rahim.”
(Maha Suci Engkau Ya Allah dan dengan pujian Engkau Ya Allah ampunilah aku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang). Istighfar Nabi bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Setiap umat Islam amat digalakkan beristighfar seperti yang diamalkan Nabi kita. Sebenarnya beristighfar kepada Allah mempunyai dua tujuan utama, iaitu untuk memohon keampunan Allah daripada dosa dan akibat daripada dosa.

Ia ada hubungan dengan taubat. Kedua, mengharapkan supaya tidak terjerumus dalam dosa sehingga mendapat keredaan Allah dan layak masuk dalam syurga Allah nanti.

Istighfar sebegitu dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan dosa kerana sentiasa mengingati Allah. Taubat bermaksud kembali taat kepada suruhan dan larangan Allah.

Ia hendaklah disertai dengan keazaman yang penuh untuk meninggalkan dosa yang dilakukan. Dengan beristighfar dan bertaubat, Allah akan mengampunkan dosa yang lalu.

Itulah yang saudari perlu dilakukan. Sebenarnya apa yang berlaku kepada saudari menunjukkan tiada pembelaan terhadap nasib buruk yang menimpa.

Sepatutnya seorang anak gadis berada di bawah tanggungjawab penjaga atau wali.
Wali utama ialah ibu bapa. Mereka bertanggungjawab menjaga keselamatan dan maruah diri anak gadis masing-masing.

Sekiranya tidak, tanggungjawab dipikul keluarga terdekat dan akhirnya pihak pemerintah. Apabila seorang wanita berkahwin, beliau berada di bawah tanggungjawab suami.

Dalam kes saudari di atas, perkahwinan sepatutnya disegerakan kerana ia dapat menjaga kebajikan dan maruah diri. Mengenai calon pemilihan suami pula ialah dia hendaklah seorang yang bertanggungjawab, dapat menjaga maruah isteri dan keluarga.

Dalam membuat pilihan antara calon di atas, saudari hendaklah berterus terang menyatakan saudari menerima sesiapa yang lebih serius mengambil saudari sebagai isteri.

Itu dapat dilakukan, seperti meminta calon menghantar pinangan. Lebih baik mempercepatkan perkahwinan supaya tidak berlaku lagi perbuatan maksiat.

Mohon kepada Allah supaya mempermudahkan urusan perkahwinan dan pemilihan calon terbaik untuk kebaikan semua.

pilih sains atau sastera

Kedua-dua aliran bersifat subjektif

Oleh Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LANDASAN...gabungan ilmu sains dan sastera bukan saja berjaya melahirkan inovasi baru malah menjana pembangunan kemanusiaan generasi muda. - Gambar hiasan
LANDASAN...gabungan ilmu sains dan sastera bukan saja berjaya melahirkan inovasi baru malah menjana pembangunan kemanusiaan generasi muda. - Gambar hiasan
ENTAH mengapa aliran sains dan sastera sering kali dijadikan perbandingan masyarakat hingga timbul ‘konfrantasi’ tidak munasabah.
Ada melabelkan sains sebagai aliran elegan dan berprestij sementara sastera lebih menyuntik nilai kemanusiaan serta estetika. Walaupun sering dilanda kritikan dan konflik, sesiapa pun tidak boleh menafikan kepentingan dua aliran berkenaan dalam menjana pembangunan proses pendidikan serta pembangunan negara menerusi cara masing masing.
   
  • Foto BINCANG...pelajar sains atau sastera perlu fokus dalam pelajaran untuk mencapai kejayaan.
  • Foto DIDIK...tidak salah memberi didikan awal kepada pelajar menghargai kepentingan sains namun jalan lupakan juga kepentingan sastera. - Gambar hiasan
  • Foto BERJAYA...matlamat utama dunia pendidikan negara melahirkan pelajar yang baik dan cemerlang tanpa mengira aliran diikuti. - Gambar hiasan
  • Foto CEMERLANG...kejayaan bukan saja boleh dicapai melalui reka cipta berlandaskan sains semata-mata malah perlu disokong nilai estetika sastera. - Gambar hiasan
Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak faham?

Pensyarah kanan di Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Abdul Halim Ali berkata, sama ada sains atau sastera, kepentingan utama perlu didahulukan iaitu melahirkan pelajar yang boleh menjadi aset berguna negara.


Menurutnya, kedua-dua aliran itu bersifat subjektif dan hanya asas mengukur kemampuan pencapaian akademik pelajar.

“Justeru, tidak perlulah ia digembar-gemburkan secara keterlaluan hingga ‘melukakan’ hati sesetengah pihak.

Kedua-duanya hanya aliran yang diwujudkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Sama ada sains atau sastera, yang perlu ditekankan ialah bagaimana mahu melahirkan pelajar seperti dikehendaki Falsafah Pendidikan Negara.

“Pertikaian atau diskriminasi itu hanya menjadikan pelajar mahupun dunia pendidikan negara berkecamuk, sekali gus boleh menggagalkan usaha dilakukan,” katanya.

Isu berat sebelah aliran sains dan sastera yang disensasikan berupaya mewujudkan senario ‘diskriminasi’ kurang sihat antara satu sama lain.

Tanggapan bahawa aliran diikuti adalah yang terbaik secara dalamannya menjadikan proses pendidikan negara berlangsung dalam suasana tidak harmoni.

“Padahal pendidikan bertujuan melahirkan insan berhemah dan berkualiti dengan ilmu serta proses pendidikan diikuti.

“Bukannya melahirkan kelompok yang membuat perbandingan berdasarkan status aliran. Ini bercanggah dan lari daripada konsep penerapan ilmu disasarkan,” katanya.

Beliau tidak menolak kepentingan sains dalam dunia aliran moden, namun mengakui sastera juga mempunyai fungsi tersendiri serta penting dalam menjana kemajuan.

Menurutnya, jika semuanya berpaksikan sains dan teknikal semata-mata, nilai kemanusiaan pasti hilang, sekali gus melahirkan ‘manusia - mesin’.

“Biarpun konsep sains dan sastera berbeza, namun kedua-duanya penting untuk melahirkan insan dengan aplikasi ilmu yang mampu dimanfaatkan bersama.

“Sains dan sastera lahiriahnya tidak boleh dipisahkan biarpun globalisasi dunia menjadi agenda utama. Gabungan kedua-duanya berperanan melahirkan kemajuan.

“Tidak adil apabila salah satu pihak mendabik dada mengatakan dialah yang terbaik. Ditekankan, dalam proses menuntut ilmu, semuanya baik asalkan tidak melanggar batasan,” katanya mengakui gabungan sains dan sastera mampu melahirkan pelajar yang bukan saja sensitif juga praktikal.

“Sensitif dengan nilai kemanusiaan dan emosi sementara praktikal dalam menjana proses kehidupan yang berteraskan material.

“Dunia moden hari ini memerlukan gabungan semua aspek, justeru tidak perlu menjadikan sains atau sastera sebagai penanda aras tertentu.

“Pelajar berjaya adalah mereka yang bijak mengaplikasikan pelbagai nilai dalam kehidupan dan tahu mewujudkan peluang,” katanya.

Beliau juga menolak tanggapan pelajar aliran sastera kurang bijak.

Mengambil contoh ilmuwan terkenal seperti Albert Einstein, dia berkata, di samping menjadi ahli sains, mereka juga tidak mengetepikan kepentingan sastera.
“Mereka adalah golongan bijak sains, namun tetap mahu memartabatkan sastera.
Mengapa?

“Sebab tahu nilai ilmu diperoleh tinggi dan tidak terbatas. Malah gabungan kedua-duanya memudahkan mereka meletakkan diri dalam pelbagai situasi.

“Tidakkah ini membuktikan kedua-duanya sama penting? Ilmu biar apapun kondisinya, jika mampu memberi manfaat tetap berguna,” katanya yang meminta semua pihak memberi sokongan kepada pelajar biar apa pun alirannya.

“Paling penting, mereka berjaya merentas dunia pendidikan dengan baik dan menjadi insan berguna dan berilmu,” katanya.

Ketua Jabatan Biologi UPSI, Dr Hasimah Alimon berkata, perubahan pesat dunia dan teknologi moden hari ini menjadikan sains satu keperluan asas paling utama.

Beliau juga tidak menidakkan keperluan sastera, namun sangat berharap supaya kapasiti pelajar sains sentiasa dipertingkatkan.

“Keperluan zaman sentiasa berubah dengan sains dan teknikal mendominasi carta permintaan dunia hari ini.

“Disebabkan permintaan itu, semua pihak tiada pilihan selain menyahut cabaran disediakan supaya kita mampu berdiri sama tinggi dengan yang lain.

“Benar, sastera juga ada kepentingannya, namun kerana senario yang menguasai keadaan, pilihan utama perlu didahulukan,” katanya.

Walaupun dianggap berprestij dan penting, aliran itu bagaimanapun masih belum mampu menarik minat sebahagian besar pelajar memilihnya.

Subjek sukar, akuinya, adalah faktor mengapa ia kurang menjadi pilihan biarpun prospek ditawarkan cukup cerah.

“Jika sastera ada cabarannya, sains juga begitu kerana aliran ini ‘bergelut’ untuk menarik perhatian pelajar. Taraf prestij tidak menjanjikan ia menjadi pilihan.

“Justeru, saya bersetuju biar apa pun pilihan aliran, masing-masing ada kepentingannya kepada penjanaan proses pendidikan negara,” katanya.