Monday, June 20, 2011

Amil

Kedudukan asnaf amil zakat

Dalam pembahagian zakat, berapakah peruntukan yang boleh diambil oleh pihak amil? Adakah pihak amil boleh mendapat lebih daripada asnaf zakat yang lain? Ini kerana, saya mendengar ada dakwaan bahawa pihak amil telah melebihkan penggunaan wang zakat untuk kepentingan mereka sahaja. Harap dapat penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mahu bertanya. Mudah-mudahan dengan pertanyaan ini akan membuka horizon pemikiran kepada jawapan yang memberikan kelegaan kepada ramai orang dan dapat mengelakkan salah faham yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Hakikatnya, kalimah amil jelas disebut di dalam al-Quran dan al-hadis. Misalnya di dalam ayat 60, surah at-Taubah: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat...

Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW: Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya. (hadis hassan riwayat Imam Tarmizi)

Sudah jelas di sisi Islam, amil adalah salah satu daripada asnaf zakat yang lapan, bahkan amil tergolong ke dalam kumpulan empat asnaf utama atau disebutkan sebagai asnaf yang muqaddam. Ia bermaksud, asnaf-asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf mesti diberikan keutamaan dalam agihan zakat berbanding empat asnaf yang terkemudian, iaitu riqab, gharimin, ibn sabil dan fisabilillah.

Keutamaan ini mempunyai rasionalnya, iaitu kaum fakir, miskin dan muallaf memang mendapat tempat yang istimewa dan utama di dalam Islam demi menjaga keimanan mereka.

Amil pula perlu diberikan haknya agar dengan kecukupan yang mereka perolehi, maka mereka dapat menjalankan kerja-kerja menguruskan zakat dengan amanah, cekap dan berkesan.

Seandainya para amil sendiri tidak mempunyai kecukupan, maka akan terbukalah ruang-ruang fitnah, kerana sesungguhnya urusan zakat memang bermain dengan harta dan wang yang selalu menggoda manusia.

Bahkan tidak mustahil pula para amil akan melakukan kerja-kerja sampingan yang lain untuk mencukupkan keperluannya, sehingga boleh menjejaskan tumpuannya kepada kerja-kerja membangunkan zakat dan juga asnaf-asnaf zakat.

Maka, pihak amil memang berhak memperolehi sebanyak 1/8 daripada kutipan zakat keseluruhan. Jika dikutip lapan juta, maka satu juta adalah bahagian amil.

Semakin besar kutipan zakat, maka semakin besarlah bahagian amil. Misalnya kutipan zakat RM240 juta, maka bahagian amil adalah RM30 juta.

Dengan jumlah RM30 juta itulah, ia dijadikan belanja pengurusan misalnya bayaran upah atau gaji, belanja kelengkapan pejabat, membeli kenderaan dan selenggara bangunan, belanja utiliti, belanja membuat penyelidikan dan persidangan zakat serta sebagainya lagi.

Ia juga bermakna, segala perbelanjaan bagi keperluan pihak amil, tidak sama sekali mengambil peruntukan daripada asnaf zakat yang lain.

Maka, tidak benarlah tuduhan bahawa amil zakat menggunakan wang zakat sewenang-wenangnya. Bahkan amil zakat memanfaatkan peruntukan 1/8 bahagian amil tersebut demi kelangsungan pengurusan zakat yang menjamin tujuh asnaf zakat yang lain.

Misalnya, dengan kecanggihan sistem berkomputer yang ada, maka urusan permohonan bantuan zakat bagi setiap asnaf menjadi lebih mudah dan cepat.

Dengan prasarana yang baik, tempoh siasatan menjadi singkat dan bantuan dapat segera dihulurkan. Maknanya, asnaf-asnaf zakat yang lain telah mendapat manfaat yang besar apabila amil diperkasakan dengan hanya peruntukan 1/8 mereka.

Walau bagaimanapun, dalam perbahasan fikah zakat sebenarnya ada juga pandangan yang menyatakan pihak amil masih boleh mengambil lebih daripada 1/8 jika keadaan memerlukan.

Bahkan dalam kalangan fuqaha juga ada menyatakan, jika ada keperluan lain, pemerintah juga boleh mengambil tanggung jawab menanggung gaji dan keperluan para amil dengan wang daripada dana atau perbendaharaan kerajaan.

Namun begitu, apa yang diamalkan di Selangor, amil hanya mengambil 1/8 sebagai upahnya daripada kutipan zakat.

Kesimpulannya, amil adalah satu pekerjaan yang menanggung amanah yang cukup besar di sisi Islam. Seandainya para amil tidak diberikan hak mereka dengan sepatutnya, maka pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada perjalanan keseluruhan institusi zakat.

Maka, atas dasar itulah Islam memuliakan institusi amil dan memberikan para amil hak yang sewajarnya, sebagaimana yang diperuntukkan oleh syarak. Wallahu a'lam.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Didik Pemandu Wanita


Didik pemandu wanita

Menukar tayar kereta bukan perkara yang mudah bagi seorang wanita.

JULUNG kali Goodyear bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) melancarkan program Women With Drive ybagi mendidik pemandu wanita mengenai penyelengaraan kenderaan dan keselamatan di jalan raya.

Program itu merupakan peluang terbaik untuk wanita menimba pengalaman mengenai asas penyelenggaraan kenderaan terutama jika berlaku kes-kes kecemasan.

Menurut Pengarah Jualan Goodyear, Ivy Peng program ini merupakan peluang terbaik untuk wanita membina keyakinan mereka dan menjadi pemandu bijak di jalan raya.

Katanya, pengetahuan itu penting dan perlu untuk pemandu wanita menjaga diri dan keluarga ketika berada dalam kenderaan.

Jelasnya, program yang pertama kali dikendalikan di Malaysia itu menggalakkan pemandu wanita menyertai bengkel itu yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan, memberi pengajaran dan pendidikan.

Setakat ini program Women With Drive telah dilancarkan di Australia, China, Indonesia, India dan Filipina.

Setiap negara memulakan program itu dengan pelbagai aktiviti untuk golongan pemandu wanita.

Sebagai contoh, video penerangan dan buku panduan kecil dikeluarkan di China, program bual bicara dengan aktiviti yang menyeronokkan telah dilancarkan di Indonesia, klinik keselamatan Ride and Drive di Filipina dan bengkel umum diadakan di Australia dan India.

Bagaimanapun di Malaysia program itu meliputi siaran rencana tentang kereta dan keselamatan di jalan raya.

Program di Malaysia telah dimulakan pada 28 Mei dengan latihan Survival Pertama yang dianjurkan setiap tiga bulan dengan matlamat berkongsi petua dan cara untuk memandu dengan selamat bersama keluarga, menjaga kereta dan gaya memandu secara berhemah.

Bengkel itu yang diadakan di Nusajaza Goodyear Autocare Centre Shah Alam telah dihadiri 22 peserta termasuk media.

Peserta berpeluang belajar tentang penjagaan asas kereta seperti fungsi komponen yang berlainan di bawah hud kereta, menetapkan kedudukan untuk memandu dengan betul, amalan memandu yang terbaik dan juga pemeriksaan asas kereta dan tayar.

Selain itu peserta juga diberikan penjelasan mengenai aspek teknikal dan berkongsi masalah yang pernah dihadapi.

Bengkel selama enam jam itu dikendalikan dengan cara interaktif yang menyeronokkan, menggunakan gambar, sketsa dan video.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Senggara Kereta


Wanita perlu tahu selenggara kereta

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar SYADILA AMARI (Politeknik Johor Bahru)


Para peserta mencuba memutar skru untuk melonggarkan tayar.

wanita sering dilabel sebagai hanya pandai memandu tetapi langsung tidak tahu atau tidak berminat untuk ambil tahu tentang kereta yang dipandu.

Justeru tidak usahlah ditanya lebih-lebih tentang penjagaan kereta. Lebih-lebih lagi berkaitan komponen-komponen penting seperti enjin dan sebagainya. Jawapannya pasti mengecewakan.

Sebagai pemandu mungkin sudah tiba masanya wanita tidak boleh berkata 'tidak tahu', 'tidak minat hendak tahu' atau 'tidak sanggup melakukannya' kerana ada masa-masanya perkara berkaitan penyelenggaraan kereta perlu diambil tahu.

Sekalipun kebanyakan wanita mengakui agak lambat untuk memahami lebih mendalam perihal penyelengaraan kereta, tetapi adalah lebih baik jika mereka sekurang-kurangnya ada pengetahuan asas tentang kereta.

Selain mengisi minyak, pemandu wanita perlu juga peka dalam penjagaan enjin kereta seperti menghidupkan enjin selama minit sebelum bergerak, memeriksa air, air bateri, minyak dan sebagainya.

Malah, mereka juga perlu tahu bagaimana mahu menukar tayar jika berlaku kebocoran kerana ini antara perkara penting yang turut membabitkan keselamatan.

Baru-baru ini Goodyear melancarkan program Women with Drive dengan menawarkan bengkel latihan survival untuk golongan itu anjuran Nusajaza Tyre Autocare Centre di Shah Alam, Selangor.

Bengkel khidmat masyarakat percuma selama sehari ini dihadiri 22 peserta yang melibatkan media dan orang awam.

Memang pada awalnya semua peserta saling pandang-memandang satu sama lain.

Malah masing-masing mempamerkan wajah kelat apabila tiba giliran untuk melakukan sendiri tugas menukar tayar.

Sebelum ini mata masing-masing tidak berkelip melihat dengan penuh tekun cara-cara melakukannya.

Gelagat itu sebenarnya adalah pemandangan biasa kepada mana-mana pemandu wanita yang memang tidak berani melakukan tugas yang dianggap berati.

Menurut mekanik di Nusajaza Tyre Center (Shah Alam), Mohd. Ridzuan Jopri, menukar tayar memang nampak sukar untuk dilakukan dengan kudrat seorang wanita. Tetapi sebenarnya ada teknik untuk memudahkan.

''Biasanya berat tayar dan rim kereta adalah lima kilogram. Setiap wanita mampu melakukan kerja-kerja menukar tayar itu," katanya.

Sekurang-kurangnya katanya, kebolehan itu akan dapat membantu pemandu wanita supaya tidak cemas apabila tayar kereta tiba-tiba pancit kerana mereka tahu teknik untuk menukarnya.

Sementara itu pada sesi ceramah, jurulatih automotif, Mohd. Henzee Hamzah mengingatkan pemandu kereta supaya tidak lupa menghidupkan enjin selama lima minit pada waktu pagi sebelum memulakan perjalanan.

Petua itu perlu diamalkan oleh pemandu kereta memandangkan kereta yang enjinnya terbiar selama lapan jam perlu dipanaskan enjin terlebih dahulu sebelum bergerak.

Dalam tempoh ini, katanya, minyak enjin berada di bahagian bawah disebabkan tarikan graviti.

Tempoh lima minit itu bagi membolehkan minyak meliputi ke semua bahagian enjin sebelum kereta bergerak.

Selain itu, katanya, minyak enjin perlu ditukar selepas jarak perjalanan tertentu atau setiap tiga bulan sekali kalau kereta jarang digunakan atau hanya memandu dalam jarak dekat.

Pengarah Nusajaza Tyre Centre (Shah Alam) Sdn. Bhd., Adenan Masal berkata, setiap pemandu mesti memeriksa tekanan angin tayar kereta setiap dua minggu sekali.

''Ini kerana tekanan angin adalah bahagian paling penting untuk memastikan pemanduan berjalan lancar,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, tekanan angin pada jenis kereta berbeza. Oleh itu pemandu perlu semak jumlah tekanan angin yang tepat yang terdapat pada bahagian tepi tempat duduk pemandu.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Astro HD


Astro lancar B.yond IPTV

Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my
GAMBAR NOORADZRENE MOHD. NOOR


Rohana Rozhan (kanan) bersama Afzal Abdul Rahim pada pelancaran perkhidmatan Astro B.yond IPTV di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PERTENGAHAN tahun lalu, pengendali perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro memperkenalkan servis Astro B.yond sebagai platform baru operasi penyiaran mereka.

Menerusinya, para pelanggan Astro berpeluang menikmati pengalaman tontonan siaran beresolusi definisi tinggi (HD) selain aplikasi canggih fungsi perakam video peribadi (PVR).

Terus mempertingkatkan operasinya, Astro kini menampilkan pula medium penyiaran televisyen moden melalui sokongan protokol Internet (IP) iaitu Astro B.yond IPTV.

Secara asasnya, platform Astro B.yond IPTV menawarkan tiga perkhidmatan utama iaitu Astro TV (HD, PVR dan video permintaan), gentian jalur lebar berkelajuan tinggi serta komunikasi suara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, Astro telah menjalankan kerjasama dengan pihak TIME dotcom Berhad (TIME) bagi tujuan menyediakan infrastruktur servis berkenaan.

‘‘Perkhidmatan ini mengaplikasikan kemudahan pendawaian jalur lebar TIME bergentian seratus peratus dengan kelebihan kelajuan Internet terpantas serta komunikasi suara pada nilai terbaik.

‘‘Matlamat implementasi servis ini adalah untuk memberi peluang kepada hampir 320,000 pelanggan Astro di kediaman berpusat tinggi seperti pangsapuri dan kondominium yang tidak dapat menikmati servis Astro B.yond sebelum ini,’’ katanya pada pelancarannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebagai permulaan, infrastruktur Astro B.yond IPTV dibangunkan secara beransur-ansur kepada 167,000 kediaman di 730 bangunan berbilang kediaman (MDU) sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun ini.

Ketika ini, ia tersedia di 60 buah kediaman tinggi sekitar kawasan Mont Kiara, KLCC, Bangsar, Sri Hartamas dan Georgetown.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TIME, Afzal Abdul Rahim berkata, kepakaran TIME yang digandingkan bersama kecekapan pengaturcaraan Astro pasti menjadikan produk IPTV itu yang terbaik di pasaran.

Daripada segi perkhidmatan, Astro B.yond IPTV hadir bersama sambungan kotak tri-bird yang mampu menyokong operasi dalam pelbagai mod.

Untuk itu, setiap kediaman akan dibekalkan dengan sambungan jalur lebar berkapasiti 100 megabit sesaat (Mbps) untuk sokongan operasi dua kotak Astro B.yond seperti rakaman, tontonan serta muat turun program VOD.

Tidak cukup dengan itu, sebanyak 30 Mbps lagi diperuntukkan untuk aktiviti mengakses Internet secara sambungan Wi-Fi melalui peranti seperti komputer riba, komputer tablet, telefon bimbit dan sebagainya.

Bagi program televisyen Astro pula, pelanggan boleh menikmati pelbagai program menarik menerusi 130 saluran, 12 saluran HD, rakaman PVR serta perpustakaan kandungan VOD yang sentiasa dikemas kini.

Pengguna boleh melanggan pakej Astro B.yond IPTV dengan harga serendah RM128 untuk kapasiti capaian Internet 3Mbps sebulan di samping langganan Astro semasa.

Untuk setiap langganan pakej berkenaan, pengguna akan dibekalkan dengan peralatan dan perkhidmatan pemasangan percuma bernilai sehingga RM3,000.

Antara peralatannya adalah seperti set dekoder HD dan PVR, kabel HDMI serta modem Wi-Fi.

Maklumat lanjut mengenai pakej tersebut, sila layari laman web www.astro.com.my/iptv atau telefon 03-9543 1543.