Monday, June 20, 2011
Didik Pemandu Wanita
Didik pemandu wanita
Menukar tayar kereta bukan perkara yang mudah bagi seorang wanita.
JULUNG kali Goodyear bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM) melancarkan program Women With Drive ybagi mendidik pemandu wanita mengenai penyelengaraan kenderaan dan keselamatan di jalan raya.
Program itu merupakan peluang terbaik untuk wanita menimba pengalaman mengenai asas penyelenggaraan kenderaan terutama jika berlaku kes-kes kecemasan.
Menurut Pengarah Jualan Goodyear, Ivy Peng program ini merupakan peluang terbaik untuk wanita membina keyakinan mereka dan menjadi pemandu bijak di jalan raya.
Katanya, pengetahuan itu penting dan perlu untuk pemandu wanita menjaga diri dan keluarga ketika berada dalam kenderaan.
Jelasnya, program yang pertama kali dikendalikan di Malaysia itu menggalakkan pemandu wanita menyertai bengkel itu yang menjanjikan pengalaman menyeronokkan, memberi pengajaran dan pendidikan.
Setakat ini program Women With Drive telah dilancarkan di Australia, China, Indonesia, India dan Filipina.
Setiap negara memulakan program itu dengan pelbagai aktiviti untuk golongan pemandu wanita.
Sebagai contoh, video penerangan dan buku panduan kecil dikeluarkan di China, program bual bicara dengan aktiviti yang menyeronokkan telah dilancarkan di Indonesia, klinik keselamatan Ride and Drive di Filipina dan bengkel umum diadakan di Australia dan India.
Bagaimanapun di Malaysia program itu meliputi siaran rencana tentang kereta dan keselamatan di jalan raya.
Program di Malaysia telah dimulakan pada 28 Mei dengan latihan Survival Pertama yang dianjurkan setiap tiga bulan dengan matlamat berkongsi petua dan cara untuk memandu dengan selamat bersama keluarga, menjaga kereta dan gaya memandu secara berhemah.
Bengkel itu yang diadakan di Nusajaza Goodyear Autocare Centre Shah Alam telah dihadiri 22 peserta termasuk media.
Peserta berpeluang belajar tentang penjagaan asas kereta seperti fungsi komponen yang berlainan di bawah hud kereta, menetapkan kedudukan untuk memandu dengan betul, amalan memandu yang terbaik dan juga pemeriksaan asas kereta dan tayar.
Selain itu peserta juga diberikan penjelasan mengenai aspek teknikal dan berkongsi masalah yang pernah dihadapi.
Bengkel selama enam jam itu dikendalikan dengan cara interaktif yang menyeronokkan, menggunakan gambar, sketsa dan video.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment