Bermain-main ikan kelah jinak
Lokasi itu mengandungi kira-kira 14,000 spesies tumbuhan, 200 spesies mamalia, 480 spesies burung serta 80 spesies kelawar.
Timbalan Penguasa Taman Negara Pahang (TNP) Relau, Zulkifli Mohamed Arop berkata, pihaknya menjalankan program konservasi dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terhadap lima spesies hidupan liar utama iaitu gajah, harimau, tapir, badak dan seladang.
Pelaksanaan projek tersebut jelasnya, menjadikan kawasan itu tersenarai sebagai salah satu daripada 24 rizab hidupan liar di Semenanjung Malaysia.
"Kami turut membina terowong bawah tanah bagi memudahkan hidupan liar seperti gajah bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, pengurusan TNP Relau kini dalam perancangan membina laluan hidupan liar dengan menyambungkan destinasi di situ dengan Banjaran Titiwangsa untuk membolehkan kesemua hidupan terbabit membiak.
Tambahnya, ketika berekreasi di pusat pelancongan itu, pengunjung berpeluang bermain dengan ikan kelah yang merupakan antara spesies ikan paling mahal di pasaran tempatan.
"Kita juga turut menyediakan chalet dengan kadar sewa berpatutan bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam sekitar sekiranya mereka mahu tinggal lebih lama di situ," ujarnya.
Beliau memberitahu, destinasi yang cukup menarik perlu dikunjungi pengunjung ialah Santuari Ikan Kelah di Sungai Juram.
Katanya, perjalanan ke santuari berkenaan dengan menaiki pacuan empat roda sejauh 14 kilometer agak mencabar dengan laluan berbukit dan berliku.
Tambahnya, keadaan itu membuatkan pelawat terasa seakan-akan sedang menaiki sebuah roller coaster yang meluncur laju membelah keheningan belantara.
Dalam pada itu, seorang penjaga santuari tersebut, Roslan Abdullah, 48, berkata, tempat itu turut mendapat gelaran 'Raja Sungai' kerana pelawat berpeluang memberi makanan kepada ikan kelah yang menjanjikan keseronokan kepada mereka.
Roslan berkata, spesies ikan kelah jinak dengan manusia dan akan berkumpul apabila makanan ditaburkan di permukaan sungai.
"Ikan itu akan datang apabila loceng dibunyikan, ini menandakan waktu makan sudah tiba dan keadaan itu biasanya berlaku antara pukul 2 sehingga 4 petang setiap hari," katanya.
Tambahnya, paling menyeronokkan apabila beratus-ratus ikan kelah menerpa palet yang ditabur oleh pengunjung, sekali gus membuatkan mereka teruja apabila ikan tersebut menggigit manja betis dan kaki tanpa mencederakan.
Mereka yang berminat mengunjungi tempat tersebut boleh menghubungi Roslan selaku pengurus RA Adventure Travel & Tours di talian 019-2532582 atau 017-9153034.
No comments:
Post a Comment