Wednesday, October 31, 2012

malaria baru

Telefon bimbit bendung malaria


PARA petugas perubatan diajar mengenai cara menguruskan maklumat dan aduan yang dihantar penduduk kampung mengenai malaria.


PENYEBARAN penyakit malaria di Kemboja mengundang keresahan dalam kalangan rakyat mereka khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil.
Sebagai usaha menangani masalah itu, kawasan Phnom Dambang yang terletak di sempadan Thailand, kini menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) bagi melaporkan kes malaria. Ia memudahkan pakar perubatan memantau dan bertindak ke atas pesakit yang memerlukan.
Ketua kampung sebuah daerah di kawasan itu, Long Vuthy, 41, menjadi individu yang bertanggungjawab ke atas sistem yang diperkenalkan kerajaan Kemboja itu.
"Malaria mampu membunuh orang dalam sekelip mata sekiranya kami tidak menerima rawatan khusus. Cara yang diperkenalkan ini diharapkan dapat membantu komuniti di sini," luah Vuthy yang diajar menggunakan servis itu dua bulan lalu oleh pihak Konsortium Malaria, sebuah badan bukan berasaskan keuntungan yang bekerja bersama kerajaan Kemboja dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sebagai amaran, papan tanda berwarna kuning yang menunjukkan gambar nyamuk turut dinaikkan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kadar kes malaria membimbangkan.
Vuthy diamanahkan melakukan diagnosis penyakit menerusi ujian darah ke atas mereka yang menunjukkan simptom malaria. Perkhidmatan rawatan oleh sukarelawan perubatan yang disediakan juga percuma memandangkan kesukaran akses perubatan di kawasan pedalaman.
Selain memastikan pesakitnya mengambil pil dengan betul, pemeriksaan susulan selepas tiga hari dijalankan bagi memeriksa kandungan darah bagi menentukan sama ada mereka telah bebas daripada parasit. Pesakit yang masih belum sembuh akan dirujuk kepada pakar perubatan bagi rawatan lanjut.
Hantar maklumat
Sistem SMS tersebut mudah. Jika ujian diagnosis Vuthy menunjukkan seorang pesakit menghidap malaria, dia perlu memberi rawatan awal kepada mereka. Kemudian, maklumat berkaitan usia, jantina, lokasi dan jenis malaria pesakit akan dihantar menerusi SMS.
SMS yang menggunakan nombor bebas tol itu dihantar kepada pusat kesihatan daerah, pegawai rasmi kesihatan kawasan dan diterima pangkalan data kebangsaan di ibu negara, Phnom Penh. Dahulu, proses penyampaian maklumat itu mengambil masa selama sebulan.
Informasi itu juga dihubungkan dengan Google Earth bagi memudahkan kerja pemetaan kes dan mengenal pasti kawasan-kawasan panas yang berpotensi diserang malaria.
Kesimpulannya, data tersebut membantu pegawai perubatan mengesan setiap kes dan memastikan rawatan sewajarnya disediakan atau ubat-ubatan yang betul dibekalkan segera apabila stok berkurangan.
Kemboja dilihat berjaya dalam menangani isu malaria. Berdasarkan statistik mereka pada tahun 2011, sebanyak 108,000 kes dilaporkan dengan 96 kes melibatkan kematian berbanding 102,473 kes dengan 154 kematian pada tahun 2010. Ia jauh berbeza dengan tahun 2000 yang mencatatkan lebih 600 kematian.
Keupayaan malaria melepasi sebarang bentuk rawatan biasa telah disahkan di Kemboja sejak lapan tahun lalu. Ini berikutan prosedur rawatan salah atau rawatan tidak lengkap yang dijalani pesakit terhadap ubat-ubat antimalaria.
Bagi mengelakkan masalah sama berulang, pengamal perubatan perlu mengenal pasti kes pada peringkat awal bagi membolehkan pesakit mengikuti pelan rawatan yang tepat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), malaria telah membunuh kira-kira 655,000 orang di seluruh dunia pada tahun 2010 walaupun kadar kematian telah menurun sejak beberapa dekad lalu.
Para penyelidik beranggapan, penurunan tinggi itu disebabkan pertambahan penggunaan ubat jenis artemisinin, rawatan paling efektif setakat ini. Ia juga didorong pengagihan kelambu yang telah disembur racun serangga oleh kerajaan Kemboja.
Sementara itu, dalam kajian yang dijalankan para saintis antarabangsa di antara tahun 2007 sehingga 2010, 42 peratus kes malaria falciparum dikenal pasti kalis ubat. Perkara itu turut diterbitkan dalam jurnal kesihatan, The Lancet, pada tahun ini.
Sasaran tahun 2025
Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan bagi Parasitologi, Entomologi dan Kawalan Malaria, Meas Tha menyatakan, pendekatan teknologi dalam pengurusan malaria mampu mencapai sasaran pada tahun 2025. Di samping itu, usaha pendidikan tentang pencegahan dan rawatan giat dijalankan.
Ia adalah sebahagian daripada projek pembendungan malaria yang dibantu oleh Dana Global dan mendapat sokongan daripada Yayasan Bill and Melinda Gates. Sebanyak US$30 juta (RM91.8 juta) telah dilaburkan sejak tahun 2010.
Sistem tersebut yang menggunakan kad SIM yang disediakan secara percuma oleh syarikat telekomunikasi Kemboja, Mobitel, dilancarkan di tiga kawasan pada tahun lalu sebelum dikuatkuasakan di Pailin pada Julai lalu. - AFP

Sunday, October 28, 2012

mesen cantas diskaun rm 1 ribu

ARKIB : 27/10/2012

Dua pekebun kecil menang hadiah Cantas alat memotong tandan sawit bermotor

AHMAD Manud (dua kiri) memenangi mesin Cantas sambil diperhatikan Zulkifli Shawal (dua kanan) pada Program Jom Guna Cantas di Bukit Gambir, Ledang, Johor baru-baru ini. 
 
LEDANG 26 Okt. - Dua pekebun kecil kelapa sawit, Alias @ Aziz Yunos dan Ahmad Manud masing-masing memenangi hadiah cabutan bertuah berupa satu unit pemotong sawit bermotor dikenali sebagai Cantas dalam Program Jom Guna Cantas Wilayah Selatan Zon Ledang di Kompleks Mohd. Janis Sdn. Bhd., Bukit Gambir dekat sini kelmarin.

Kedua-duanya membawa pulang mesin berharga RM3,400 itu yang disampaikan oleh Ketua Wilayah Selatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Zulkifli Shawal dalam majlis tersebut.

Aziz, 73, yang juga Ahli Lembaga Koperasi Membeli Tanah Mukim Grisek Berhad berazam memanfaatkan mesin itu untuk menuai hasil sawit di kebunnya yang seluas dua hektar.

"Penggunaan mesin penuai sawit bermotor itu memudahkan kerja penuaian kelapa sawit dan pemangkasan pelepah terutama bagi pokok yang ketinggiannya di bawah paras 4.5 meter.

"Saya juga bercadang memperkenalkan mesin Cantas ini untuk digunakan di ladang koperasi bagi meningkatkan produktiviti penuaian buah kelapa sawit yang dilakukan pekerja ladang," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Senduk, Grisek, dekat sini.

Ahmad, 72, bersyukur kerana menang cabutan itu kerana telah menyimpan hasrat untuk membelinya sendiri bagi memudahkan kerja memotong pelepah dan menuai buah kelapa sawit.

Katanya yang menetap di Kampung Parit Raja, Grisek, mesin itu akan dicuba untuk menuai buah sawit di kebunnya seluas 7.30 hektar.

Program itu bertujuan memperkenalkan penuai sawit bermotor kepada peniaga, penuai dan pekebun kecil kelapa sawit untuk meningkatkan produktiviti selain menyelesaikan masalah kekurangan buruh dari luar.

Sempena program itu, tiga syarikat pengeluar Cantas mengadakan pameran dan penerangan penggunaan mesin penuai sawit bermotor selain kaunter Agro Bank Cawangan Bukit Gambir.

MPOB turut membuka kaunter pelesenan dan kaunter permohonan Skim Diskaun Cantas (Skidic) yang menawarkan diskaun RM1,000 kepada pemohon yang berminat untuk membeli mesin Cantas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121027/wj_03/Dua-pekebun-kecil-menang-hadiah-Cantas-alat-memotong-tandan-sawit-bermotor#ixzz2AdTbY0fp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, October 24, 2012

orang kelantan paling ramai

Rakyat Kelantan paling ramai mohon kerja melalui SPA

KOTA BHARU - Rakyat Kelantan adalah yang paling ramai memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak tiga tahun lalu.
Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sejak tahun 2009 sehingga tahun lalu seramai 495,000 daripada 1.2 juta pemohon pekerjaan dari Gred 1 sehingga Gred41 berasal dari negeri ini.
Menurutnya, sejak lima tahun lalu, seramai 12,831 pemohon dari Kelantan diterima bekerja di sektor pekerjaan di sektor awam.
"Peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan adalah antara punca banyak permohonan diterima daripada rakyat negeri tersebut.
"SPA dengan kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan akan berbincang untuk mencari penyelesaian dalam membuat penambahbaikan dalam soal memberikan ruang pekerjaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Interaksi Pengerusi SPA Dengan Ketua-ketua Jabatan Persekutuan, Badan-badan Berkanun, Persatuan-persatuan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Zon Timur di sini semalam.
Mahmood berkata, SPA sentiasa terbuka dan memberi peluang yang sama rata kepada semua rakyat untuk mendapatkan pekerjaan.
"Pemilihan adalah berdasarkan meritokrasi tanpa melihat keturunan, bangsa, agama, budaya dan pemohon anak kepada siapa," katanya.

Monday, October 22, 2012

kerjaya bodyguard

Mahu jadi bodyguard VIP?
AMRAN ALI
22 Oktober 2012
Mahu jadi bodyguard VIP?
Peserta berlatih guna senjata api ketika menyertai Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan Level 1 di Kem Latihan Delta Komasir, Kampung Permatang Pasir, Selangor, baru-baru ini.
BANDARAYA MELAKA - CPP Training And Services bersedia melatih anak Melaka yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang kerjaya sebagai pengiring orang kenamaan atau VIP.

Pengasas pusat berkenaan, Mahathir Manan berkata, kerjaya tersebut tidak memerlukan individu berkelulusan tinggi, malah pemegang sijil di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga boleh menyertainya.

Menurutnya, apa yang menarik, pendapatan ataupun gaji yang bakal diperolehi juga lumayan dan sama taraf dengan mereka yang berkelulusan tinggi.

“Bagaimanapun, mereka yang berminat perlu menjalani beberapa sesi latihan sebelum melayakkan diri menceburi profesyen berkenaan.

“Setiap pengawal pengiring terlatih, sekurang-kurangnya perlu menyertai Kursus Asas Pengiring Orang Kenamaan Level 1, berusia 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan tiada rekod jenayah,” katanya.

Mahathir berkata, sejak pusat latihan berkenaan ditubuhkan pada 2006, pihaknya sudah melatih 3,000 peserta yang terdiri dari agensi kerajaan, syarikat kawalan keselamatan dan individu.

Katanya, selain melatih peserta dalam mengendalikan senjata api, modul turut menekankan aspek kemahiran seni pertahanan diri, psikologi dan pelbagai kepakaran lain.

“Ramai yang menganggap individu yang memiliki latar belakang pasukan keselamatan seperti tentera dan polis sahaja yang layak menyertai bidang ini tetapi sebenarnya individu biasa juga mampu menceburkan diri,” katanya.

Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang kursus berkenaan bolehlah melayari laman web www.cppts.com.my.

Saturday, October 20, 2012

kegunaan serangga

ARKIB : 24/09/2012

Pertanian lestari

Spesies lebah dan kelulut merupakan agen penting dalam proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.
Pada masa sama, terdapat banyak juga spesies serangga akan pupus sebelum ia dapat kenal pasti dan direkodkan kewujudannya akibat aktiviti pembangunan kawasan hutan.
Serangga boleh ditemui dalam pelbagai jenis habitat. Malah jangan terkejut jika fakta menunjukkan kebanyakan serangga berkongsi habitat dengan manusia. Sama ada di halaman rumah atau pun di dalam rumah.
Serangga mempunyai banyak kepentingan sama ada secara langsung atau tidak terhadap kehidupan manusia di bumi ini.
Kajian mengenai serangga dikenali sebagai entomologi pula mendapati terdapat sekitar 5,000 spesies pepatung, 2,000 mentadak, 20,000 belalang, 170,000 rama-rama dan kupu-kupu, 120,000 lalat, 82,000 pianggang, 350,000 kumbang, dan 110,000 spesies lebah dan semut.
Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal, Program Pengurusan dan Penggunaan Sumber Biologi Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohamed Rani Mat Yusoh daripada jumlah serangga yang berjuta-juta itu, hanya sebahagian kecil yang berbahaya.
Malah jelasnya, sebahagian besar serangga itu amat berguna kepada manusia terutama dalam bidang pertanian kerana peranan ke atas tumbuh-tumbuhan.
“Antaranya melalui aktiviti pendebungaan, pelbagai tanaman dapat mengeluarkan hasil antaranya buah-buahan, kelapa, gajus, tembikai, koko dan kelapa sawit.
“Serangga juga membekalkan madu, debunga, lilin lebah, propolis, sutera dan produk lain yang mempunyai nilai komersial." katanya ketika ditemui di Serdang, baru-baru ini.
Ujar Dr. Mohamed Rani, serangga melakukan pelbagai khidmat khusus umpamanya agen kawalan biologi, pereputan dan kitaran nutrien.
Selain itu, serangga juga bertindak sebagai spesies penunjuk dan sering dijadikan sebagai koleksi dan hiasan kerana tarikan rupa dan coraknya.
Di sebalik kebaikan yang dibawa, serangga juga boleh membawa kepada kemusnahan. Serangan serangga perosak terhadap sumber makanan manusia misalnya boleh membawa kepada bencana.
Terdapat serangga daripada keluarga Heminoptera menjadikan larva serangga lain sebagai perumah kepada anak-anaknya.
Terdapat hampir 10,000 spesies serangga yang boleh membawa kepada kemudaratan tersebut dan kesannya boleh menyebabkan kerugian.
Kerugian yang berpunca daripada serangga akan bertambah akibat perubahan kepelbagaian tanaman serta peningkatan perosak kerana pemanasan global dan perubahan cuaca.
Cara-cara yang biasa untuk mengawal serangan serangga perosak adalah melalui kawalan kimia, kawalan biologi, bio-pestisid, perangkap feromon, varieti yang lebih rentang, kawalan kultur dan kawalan mekanik atau fizik.
Lazimnya cara-cara ini digunakan secara berasingan dan sering mengakibatkan munculnya masalah-masalah lain yang berkaitan dan cara kawalan yang berkesan malah sering kali dieksploitasi.
Hal demikian menunjukkan terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk mengeksploitasi sepenuhnya cara tersebut terutamanya untuk kegunaan secara besar-besaran pada satu-satu masa.
Sebaliknya, kawalan kimia yang mana tidak terhad daripada segi tersebut menghadapi banyak masalah lain terutamanya yang berkenaan kestabilan dan kebersihan alam sekitar.
Dengan ini, penggunaan cara-cara kawalan yang tersebut di atas secara bersepadu tidak hanya memberi kebaikan tetapi ia amat diperlukan.
Pendekatan seperti ini yang memerlukan kesesuaian di antara cara-cara kawalan (yang mana mestilah dikira sebagai tektik atau teknik kawalan) dengan ekosistem adalah dikenal sebagai Kawalan Perosak Bersepadu (IPC) atau Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20120924/ag_01/Pertanian-lestari#ixzz29slto6oD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday, October 11, 2012

faedah baik kepada anggota

Faedah buat baik dengan anggota badan


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TAHUKAH anda, ada suatu amalan yang boleh mendatangkan kebaikan dan keburukan? Rasulullah SAW bersabda, sesuatu yang paling cepat mendatangkan kebaikan adalah balasan (pahala) orang yang berbuat kebaikan dan menghubungkan tali silaturahim, sedangkan yang paling cepat mendatangkan keburukan ialah balasan (seksaan) bagi orang yang berbuat jahat dan yang memutuskan tali persaudaraan” (Hadis riwayat Ibnu Majah).
Dalam hadis lain, Baginda bersabda: “Siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya panjang maka hendaknya ia bersilaturahim.” (Hadis riwayat Bukhari).

Pembaca budiman, sebelum kita hendak menghubungkan silaturahim dengan orang lain iaitu keluarga terdekat atau teman taulan, tanya diri kita dulu sudahkah kita bersilaturahim dengan diri kita sendiri?

Kalaulah kita boleh berlaku baik dengan anggota badan, barulah kita boleh dan lebih senang berinteraksi dengan orang yang di luar kita.

Silaturahim dengan anggota badan yang penulis maksudkan ialah berbuat baik dengan muka, mata, hidung, mulut, telinga, rambut, tangan, dan kaki kita.

Mengapa seseorang tidak dapat menghormati orang lain? Jawapannya, kita sendiri tidak menghormati anggota badan kita.

Dalam erti kata lain, kalau kita tidak pandai bersilaturahim dengan anggota kita, mana mungkin kita boleh menyambung silaturahim dengan orang lain.

Silaturahim ertinya menjalin kasih sayang atau memberikan perhatian sepenuh hati. Salah satu buktinya adalah dengan bersalaman di mana tangan kita menyentuh tangan sahabat kita (tentu saja yang mahram).

Maka, perhatikan diri anda, Allah memberikan sehari lima kali untuk kita bersilaturahim dengan wajah, mata, hidung, mulut, tangan, kepala, rambut, telinga dan kaki kita dengan cara berwuduk.

Maka, jika kita ingin panjang umur dan luas rezeki, bersungguh-sungguh ketika berwuduk. Contohnya, ketika sedang mencuci kaki, perhatikanlah kaki kita, fokus kepadanya, sapulah dan usaplah dengan tenang dan sepenuh hati.

Jika begitu, wajar hidup kita tidak bahagia, kurang sihat, rezeki tidak lancar dan kurang berkat. Yang dekat tidak diberi perhatian, apatah lagi yang jauh.

Layanilah anggota badan kita tadi dengan penuh santun dan penuh penghormatan. Kadang kala, jika kita ditimpa penyakit seperti sakit perut, sepatutnya kita minta maaf pada perut.

Letakkan tangan ke atas perut sambil berkata, “Wahai perut aku minta maaf kerana aku makan makanan yang tidak sihat atau kerana makan terlalu banyak yang membuatkan engkau sakit”.

Kepada yang terkena penyakit kencing manis juga patut minta maaf pada seluruh badan kerana kita tidak menjaga makan, tidak bersenam sehingga menyebabkan kaki terpaksa kena potong atau menderita lama di hospital.

Begitulah dengan pelbagai pelanggaran sikap dan tabiat kita lakukan sehingga membuatkan anggota badan kita menderita. Tunjukkanlah rasa tanggungjawab pada anggota badan kita sebagai amanah.

Insya-Allah, ada kemungkinan kita berpotensi untuk menghormati dan mengutamakan orang di sekeliling kita. Selamat mencuba.

kahwin jarak jauh

Dilema pasangan jarak jauh


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAYA terpaksa tinggal berjauhan dengan suami disebabkan faktor kerjaya. Saya membuka taska di negeri A manakala suami pula bekerja di negeri B.
Selepas lapan bulan berjauhan, suami tidak dapat menerima keadaan ini. Saya menjadi serba salah dengan ibu bapa saya. Jika hendak tutup taska itu, saya rasa sayang kerana sudah dua tahun beroperasi.

Jika hendak serahkannya kepada ibu saya untuk diuruskan, saya bimbang akan membebankannya. Apa yang patut saya lakukan bagi menggembirakan kedua-dua insan yang saya sayangi itu?

Saya tahu syurga isteri itu di tapak kaki suami. Saya memang hendak tinggal dan menjadi suri rumah, tetapi saya sayang dengan taska yang diusahakan.

Saya rasa tanggungjawab untuk taska itu sangat besar. Apa yang perlu saya buat lakukan sekarang apabila berdepan situasi ini?

AS,
Kuala Lumpur




PERKAHWINAN jarak jauh tentu ada masalahnya terutama hubungan antara suami isteri. Ini kerana tempat isteri adalah bersama suami.

Apabila suami meminta isteri tinggal bersama, sewajarnya isteri mengikut permintaan itu. Ini kerana isteri yang tidak mematuhi kehendak suami dikira ingkar atau nusyuz.

Bagaimanapun, timbul masalah apabila isteri bekerja seperti mengusahakan taman asuhan kanak-kanak. Lebih-lebih lagi ada ibu bapa yang masih mengharapkan perhatian anaknya.

Antara perkara yang boleh dibuat ialah pertama, berbincang dengan suami dalam menyelesaikan masalah perpindahan dan bekerja di taman asuhan berkenaan.

Mungkin suami dapat menerima buat sementara ketiadaan puan bersamanya. Kedua, mengadakan perancangan mengenai masa ulang-alik antara suami isteri seperti isteri datang menemui suami atau suami balik bersama isteri secara lebih kerap.
Ini tentu dapat mengeratkan hubungan.

Ketiga, memikirkan manfaat dan mudarat apabila berterusan bekerja sehingga mengancam keharmonian rumah tangga. Suami tidak boleh memaksa isteri berhenti kerja tanpa memikirkan manfaatnya kepada keluarga.

Begitu juga isteri tidak boleh berterusan bekerja tanpa memikirkan manfaat dan mudarat kepada keluarga. Ada baiknya anda berdua melakukan solat istikharah apabila buntu memilih antara berhenti kerja atau mengikut suami.

Mudah-mudahan ada jalan penyelesaian dalam usaha anda berdua.

digoda adik ipar

Godaan dua adik ipar


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAYA berusia awal 30-an dan tinggal bersama mentua di Melaka. Kami terpaksa membuat pilihan itu kerana tempat kerja isteri berdekatan rumah mentua.
Saya pula bekerja sementara sebagai guru bahasa di Melaka. Saya amat menyayangi isteri dan anak perempuan berusia lima bulan.

Isteri ada seorang adik lelaki dan dua adik perempuan berusia 18 dan 14 tahun.
Selepas berkahwin, dua adik ipar saya itu sering mengganggu saya.

Disebabkan bilik kami bersebelahan, adik ipar yang kedua sering masuk ke bilik saya dengan hanya memakai seluar pendek dan pakaian dalam ketika isteri saya tiada di bilik.

Apabila isteri berada di bilik, dia masuk untuk meminta minyak rambut atau bedak. Dia juga pernah membuka pintu bilik air walaupun mengetahui saya sedang mandi dan tidak berpakaian.

Baru-baru ini, dia memberikan saya telefon bimbitnya ketika itu telefon saya rosak. Saya terkejut apabila dia mengirimkan mesej lucah yang ingin mengajak saya ‘bersama’.

Saya memulangkan semula telefon itu keesokan harinya. Perkara sama berlaku kepada adik ipar perempuan yang seorang lagi. Dia pernah berbogel di hadapan saya.

Dia juga pernah berpakat dengan kawan sekolahnya seramai empat orang untuk mengganggu saya. Disebabkan saya mengajar tidak jauh dari sekolahnya, saya ada menawarkan diri untuk menghantar serta mengambilnya dari sekolah.

Rancangan mereka diketahui isteri apabila salah seorang daripada mereka memberitahu kami dan adik perempuan isteri saya itu dipindahkan ke sekolah lain.

Saya dilarang isteri membawa adiknya seorang diri. Bagaimanapun, saya anggap mereka seperti adik kandung sendiri yang masih jahil. Saya tidak mahu mengambil kesempatan ke atas mereka.

Masalah timbul apabila isteri sering menolak ajakan saya untuk bersama selepas melahirkan anak pertama. Ia menyebabkan saya kecewa dan takut akan terbabit dengan maksiat.

Apa yang perlu saya lakukan untuk mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak diingini? Sebelum ini, saya dan isteri pernah terlanjur dalam tempoh bertunang dan saya amat menyesali perkara itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Mungkin itu ujian Allah bagi menguji kebenaran janji umatnya.

SUAMI SETIA,
Johor




ISLAM adalah agama yang komprehensif dan lengkap. Kes seperti di atas sudah dijangka apabila Rasulullah s.a.w sendiri menasihati setiap Muslim supaya sentiasa menjaga maruah diri dengan tidak duduk berdua-duaan dengan sebarang wanita.

Ini termasuk juga dengan adik ipar dan keluarga terdekat. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu sekalian masuk ke dalam (ruang) wanita. Salah seorang Ansar bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saudara ipar (al-hamu)?” Rasulullah menjawab, “Saudara ipar adalah kematian.” (Bukhari, Muslim, Ahmad).

Kematian di sini bermaksud keadaan yang tersangat bahaya kerana perbuatan berdua-duaan itu boleh membawa kepada dosa seperti zina, tuduhan jahat dan berlaku perpecahan keluarga apabila perkara tidak diinginkan berlaku.

Pada kebiasaan, masyarakat lebih berhati-hati dengan orang asing tetapi tidak apabila sesama keluarga sendiri. Mereka mengambil mudah dan kadang-kadang terlepas pandang dengan ahli keluarga sendiri.

Sebab itu, Rasulullah memberi amaran seperti di atas. Saudara sepatutnya lebih cermat dalam hubungan antara ipar supaya tidak mudah tergoda.

Sebaik mungkin saudara hendaklah mengelak daripada tinggal berdua di rumah.
Nafsu dan syaitan sentiasa mencari kesempatan memerangkap anda.

Anda sekeluarga sepatutnya pindah ke rumah yang lain supaya sebegitu tidak terus berlaku. Perasaan anda hendak dinyatakan kepada isteri terutamanya keinginan seksual.

Isteri pula hendaklah sentiasa memenuhi tanggungjawab melayan kehendak seksual suami apabila diminta. Mengabaikan tanggungjawab itu boleh meretakkan hubungan suami isteri.

Seterusnya dosa yang lampau hendaklah dihilangkan dengan bertaubat kepada Allah. Saudara hendaklah berazam untuk tidak lagi melakukan dosa seperti itu lagi.

Hanya kepada Allah saja tempat kita mengadu dan Allah yang menjaga kita. Banyak berdoa semoga diampuni dan tidak lagi terjerumus dalam dosa lalu.