Saturday, October 20, 2012

kegunaan serangga

ARKIB : 24/09/2012

Pertanian lestari

Spesies lebah dan kelulut merupakan agen penting dalam proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.
Pada masa sama, terdapat banyak juga spesies serangga akan pupus sebelum ia dapat kenal pasti dan direkodkan kewujudannya akibat aktiviti pembangunan kawasan hutan.
Serangga boleh ditemui dalam pelbagai jenis habitat. Malah jangan terkejut jika fakta menunjukkan kebanyakan serangga berkongsi habitat dengan manusia. Sama ada di halaman rumah atau pun di dalam rumah.
Serangga mempunyai banyak kepentingan sama ada secara langsung atau tidak terhadap kehidupan manusia di bumi ini.
Kajian mengenai serangga dikenali sebagai entomologi pula mendapati terdapat sekitar 5,000 spesies pepatung, 2,000 mentadak, 20,000 belalang, 170,000 rama-rama dan kupu-kupu, 120,000 lalat, 82,000 pianggang, 350,000 kumbang, dan 110,000 spesies lebah dan semut.
Menurut Pegawai Penyelidik Prinsipal, Program Pengurusan dan Penggunaan Sumber Biologi Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohamed Rani Mat Yusoh daripada jumlah serangga yang berjuta-juta itu, hanya sebahagian kecil yang berbahaya.
Malah jelasnya, sebahagian besar serangga itu amat berguna kepada manusia terutama dalam bidang pertanian kerana peranan ke atas tumbuh-tumbuhan.
“Antaranya melalui aktiviti pendebungaan, pelbagai tanaman dapat mengeluarkan hasil antaranya buah-buahan, kelapa, gajus, tembikai, koko dan kelapa sawit.
“Serangga juga membekalkan madu, debunga, lilin lebah, propolis, sutera dan produk lain yang mempunyai nilai komersial." katanya ketika ditemui di Serdang, baru-baru ini.
Ujar Dr. Mohamed Rani, serangga melakukan pelbagai khidmat khusus umpamanya agen kawalan biologi, pereputan dan kitaran nutrien.
Selain itu, serangga juga bertindak sebagai spesies penunjuk dan sering dijadikan sebagai koleksi dan hiasan kerana tarikan rupa dan coraknya.
Di sebalik kebaikan yang dibawa, serangga juga boleh membawa kepada kemusnahan. Serangan serangga perosak terhadap sumber makanan manusia misalnya boleh membawa kepada bencana.
Terdapat serangga daripada keluarga Heminoptera menjadikan larva serangga lain sebagai perumah kepada anak-anaknya.
Terdapat hampir 10,000 spesies serangga yang boleh membawa kepada kemudaratan tersebut dan kesannya boleh menyebabkan kerugian.
Kerugian yang berpunca daripada serangga akan bertambah akibat perubahan kepelbagaian tanaman serta peningkatan perosak kerana pemanasan global dan perubahan cuaca.
Cara-cara yang biasa untuk mengawal serangan serangga perosak adalah melalui kawalan kimia, kawalan biologi, bio-pestisid, perangkap feromon, varieti yang lebih rentang, kawalan kultur dan kawalan mekanik atau fizik.
Lazimnya cara-cara ini digunakan secara berasingan dan sering mengakibatkan munculnya masalah-masalah lain yang berkaitan dan cara kawalan yang berkesan malah sering kali dieksploitasi.
Hal demikian menunjukkan terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi untuk mengeksploitasi sepenuhnya cara tersebut terutamanya untuk kegunaan secara besar-besaran pada satu-satu masa.
Sebaliknya, kawalan kimia yang mana tidak terhad daripada segi tersebut menghadapi banyak masalah lain terutamanya yang berkenaan kestabilan dan kebersihan alam sekitar.
Dengan ini, penggunaan cara-cara kawalan yang tersebut di atas secara bersepadu tidak hanya memberi kebaikan tetapi ia amat diperlukan.
Pendekatan seperti ini yang memerlukan kesesuaian di antara cara-cara kawalan (yang mana mestilah dikira sebagai tektik atau teknik kawalan) dengan ekosistem adalah dikenal sebagai Kawalan Perosak Bersepadu (IPC) atau Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20120924/ag_01/Pertanian-lestari#ixzz29slto6oD
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment