Saturday, December 22, 2012

okid spesis baru

Spesies baru orkid, katak ditemui
Wartawan Sinar Harian
23 Disember 2012
Spesies baru orkid, katak ditemui
Orkid dari spesis Phalaennopsis Zebrina itu adalah rekod baru di Semenanjung Malaysia.
LEDANG - Perbadanan Taman Negara Johor berjaya menemui dua spesies baru bunga orkid dan katak menerusi Ekspedisi Saintifik Endau Rompin Trans Selai-Peta, pada Julai lalu.
Pegawai Penyelidiknya, Lili Tokimin berkata, spesies itu merupakan Scaphochlam Ys Sp yang ditemui di Sungai Marong, jenis tumbuhan kali pertama ditemui dalam bidang sains dan spesies endemik dinamakan Thottea Praetermissa yang dijumpai di kawasan Upeh Guling berhampiran Taman Negara Endau Rompin.
“Turut ditemui satu spesies orkid hutan yang sebelum ini hanya pernah ditemui di Sumatera dan pertama kali ditemui di Semenanjung Malaysia.
“Orkid dari spesies Phalaennopsis Zebrina itu adalah rekod baru di Semenanjung Malaysia,” katanya ketika pembentangan Seminar Ekspedisi Saitifik Endau Rompin Trans Selai-Peta di Taman Negara Gunung Ledang yang melibatkan 100 peserta, kelmarin.
Lili berkata, penemuan itu akan dipaparkan dalam jurnal saintifik dan diketengahkan ke peringkat dunia supaya kajian lanjut dapat dilakukan untuk mengenal pasti kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di hutan negara ini.

“Ekspedisi anjuran bersama Universiti Tun Hussien Onn Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia ini turut disertai pelbagai pihak termasuk universiti tempatan.

“Hasil daripada ekspedisi itu, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) juga menemui dua spesies baru daripada keluarga halia serta tumbuhan renek yang pertama kali ditemui di dunia,” katanya.

Pada pertemuan sama, beliau berkata, ekspedisi berkenaan turut menemui satu spesies katak baru di Taman Negara berkenaan dari keluarga Rana Picturata berwarna hitam dan berbintik kuning.
Katanya, semua flora dan fauna terbabit ditemui di kawasan Taka Kunyit dekat Taman Negara Endau-Rompin.

Difahamkan, sebanyak 20 kertas kerja dibentangkan pada seminar berkenaan oleh penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan dan usaha akan diteruskan untuk mengenal pasti spesies baru dan langkah untuk terus memeliharanya.

Saturday, December 15, 2012

sekolah tahfiz

ARKIB : 13/12/2012

Membudayakan membaca al-Quran

anTARA kelebihan penghafal al-Quran adalah mendapat pertolongan syafaat di akhirat dan mendapat kemuliaan oleh Allah pada hari kiamat kelak. - Gambar Hiasan
ALLAH SWT telah berfirman dalam ayat 185 surah al-Baqarah bahawa tujuan al-Quran diturunkan kepada manusia adalah untuk memberi petunjuk dan penjelasan kepada seluruh umat serta menerangkan tentang perbezaan antara hak dan batil.
Malah dalam surah yang sama menerusi ayat kedua dan ketiga, Allah SWT menyatakan tujuan lain al-Quran diturunkan adalah sebagai tanda mukjizat kebesaran Ilahi bahawa tiada keraguan selain menjadi petunjuk bagi orang yang mahu bertakwa.
Menyedari ilmu al-Quran terbentang luas dan konsep kitab suci tersebut sebenarnya bukan hanya dibaca ketika waktu kematian atau mana-mana pertandingan tilawah, maka timbul kesedaran oleh sepasang suami isteri yang mempunyai pengetahuan qiraat untuk menubuhkan dua sekolah tahfiz sejak tiga tahun lalu.
Hasrat seorang tokoh penceramah agama, Asni Mansor dan suaminya, Mohd. Nasir Rustam untuk mewujudkan dua sekolah tahfiz iaitu Madrasah Tahsin al-Quran khusus bagi lelaki yang terletak di Puchong manakala untuk wanita, Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor adalah usaha mereka untuk membudayakan bacaan kitab suci itu dalam kehidupan seharian.
Jelas Asni yang pernah menjadi hakim dalam sebuah rancangan berbentuk realiti keagamaan, idea menubuhkan dua buah sekolah menghafaz al-Quran juga timbul setelah beliau dan suaminya menjalankan program cuti sekolah 'ala madrasah' sejak 12 tahun lalu, malah wujud permintaan oleh bekas peserta meminati menghafaz al-Quran selepas menyertai aktiviti seumpama itu.
"Hasrat untuk menubuhkan sekolah tahfiz sudah lama terpendam, tetapi usaha untuk ke arah itu memerlukan penelitian yang tinggi memandangkan menubuhkan sekolah atau pusat pengajian bukan senang kerana memerlukan pengetahuan pengurusan dan komitmen tinggi.
"Akhirnya dimulakan sebuah sekolah tahfiz untuk lelaki dan kemudiannya wanita pada tahun lalu, usaha kami untuk membudayakan al-Quran dalam kehidupan hampir berjaya dengan kewujudan sekolah berkenaan," tambahnya.
Ketika ditanya berhubung sukatan pelajaran yang digunakan, Mohd. Nasir memberitahu, ia sepenuhnya tertumpu kepada menghafaz al-Quran.
Mohd. Nasir Rustam dan Asni Mansor.
Matlamat pihaknya mengadakan sukatan pelajaran seumpama itu agar para pelajar lebih memfokuskan kepada ilmu qiraat dan menumpukan kepada amalan menghafaz.
Sejak ditubuhkan, Mohd. Nasir berkata, sebanyak 48 pelajar lelaki dan 25 pelajar wanita sedang menuntut di dua buah sekolah itu yang ada antara mereka dijangka menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi.
Beliau menyatakan terdapat tiga tahap tempoh pengajian tahfiz iaitu yang pertama selama tiga tahun, kedua empat tahun dan akhir sekali selama empat tahun setengah.
"Mereka dibahagikan mengikut tahap tersebut berdasarkan kemampuan untuk menghafaz al-Quran.
"Alhamdulillah setakat ini, saya melihat semua pelajar berkebolehan dan bersungguh serta usaha menunjukkan mereka mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran," ujar beliau.
Dengan kadar bayaran yuran bulanan RM450 dikenakan untuk pelajar lelaki manakala RM500 bagi pelajar perempuan, Mohd. Nasir berkata jumlah itu meliputi untuk dana semua perbelanjaan dan pengurusan kedua-dua buah sekolah tahfiz itu. Tambah beliau, sukatan kokurikulum pelajar wanita berbeza dengan lelaki dengan ditambah silibus ekonomi rumah tangga.
Asni menjelaskan pada masa kini, sikap menunggu orang ramai datang ke madrasah perlu ditukar dengan madrasah sendiri perlu turun padang menemui masyarakat.
Beliau menjelaskan konsep itu perlu diperhalusi supaya madrasah khususnya sekolah tahfiz lebih dekat kepada masyarakat dan bukan dijauhi.
Ibu bapa yang mempunyai anak berusia 10 tahun ke atas dan berhasrat menghantar mereka ke Madrasah Tahsin al-Quran di Puchong dan Madrasah Hafizah Tamam di Bandar Baru Bangi, Selangor boleh menghubungi Mohd. Nasir menerusi talian 019-695 5930.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121213/ba_01/Membudayakan-membaca-al-Quran#ixzz2FBOtozC3
© Utusan Melayu (M) Bhd

cara menentu kemiskinan

ARKIB : 14/12/2012

Mengukur kemiskinan

had al-kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. - Gambar hiasan
KEMISKINAN adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar, walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar. Bagaimanakah institusi zakat mentakrifkan golongan ini?
Jawapan
TERIMA kasih kerana mengajukan persoalan ini. Memang, umumnya orang ramai selalu mengukur status seseorang daripada rupa luarannya. Mereka juga sering menyangka, bahawa fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya ia tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang disebut berasingan dan mereka layak mendapat zakat di samping enam asnaf lain.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para mualaf untuk dilunakkan hatinya… (at-Taubah 9: 60)
Namun begitu, wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin ini. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.
Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Imam Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya.
Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Imam Hanafi dan Imam Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.
Sementara itu, jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Contohnya keluarga Ammar bin Yasser ra. dan Bilal bin Rabah ra, mereka memang fakir kerana berasal daripada hamba abdi.
Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid Nabi, dan golongan ini adalah golongan fakir. Di antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah ra. Beliau sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar. Akhir Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid Nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.
Dalam konteks hari ini pula, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.
Di dalam fatwa juga ada disebutkan had al-kifayah, apakah maknanya? Umumnya, had al-kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperoleh pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).
Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 telah memberikan definisi had al-kifayah sebagai: 'Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.' Sejajar dengan itu, maka institusi zakat sebenarnya wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat secara lebih terfokus diuruskan.
Di samping itu, wajar juga kita fahami bahawa sesebuah institusi zakat turut mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.
Perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah suatu keperluan asasi kepada setiap manusia. Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan tidak mampu memenuhi kecukupan minimum bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121214/ba_03/Mengukur-kemiskinan#ixzz2FBOCSrEj
© Utusan Melayu (M) Bhd

Wednesday, December 5, 2012

soalan pmr pelik

ARKIB : 03/12/2012

Soalan PMR 2012 agak pelik?

WALAUPUN Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2012 hampir sebulan lebih telah berakhir, baru sekarang saya berpeluang menilai kualiti soalan-soalan PMR 2012.
Saya dapati soalan PMR tahun ini keseluruhannya agak mencabar. Ada sesetengah soalan mudah tetapi jika dianalisis, kehendak soalan atau kehendak jawapan tidak mudah dan kebanyakan mengelirukan.
Saya hairan mengapa nasib pelajar yang lahir pada 1997 (kebanyakan) menerima nasib menghadapi setiap peperiksaan utama agak mencabar contohnya UPSR 2009.
Adakah anak-anak yang lahir pada 1997 akan menghadapi perkara yang sama untuk SPM nanti pada tahun 2015?
Secara keseluruhan soalan PMR 2012 agak 'PELIK':
1) Bahasa Malaysia antaranya memang terlalu mencabar, seolah tidak setaraf dengan pemikiran pelajar yang berusia 15 tahun.
2) Sejarah 80 peratus kemahiran berfikir atau lebih kepada pengetahuan am.
3) Bahasa Inggeris 40 peratus tidak mengikut format seperti soalan-soalan tahun lepas.
4) Geografi kebanyakan soalan berkait dengan sejarah, mungkin agak payah bagi sesetengah pelajar yang biasa dengan soalan secara terus (direct).
5) Soalan Sains yang perlu banyak menggunakan logik dan kemahiran berfikir serta pengetahuan luar biasa pelajar.
6) Pendidikan Agama Islam soalan berkenaan dengan 'Maasum' yang tidak pernah dijadikan soalan pada tahun-tahun lain.
Saya dan juga ibu bapa lain juga berharap agar maklum balas ini tidak dipandang sepi oleh pihak Lembaga Peperiksaan.
Walaupun bertujuan untuk menaik taraf kualiti dan juga transformasi pelajar, pihak Lembaga Peperiksaan perlu peka tahap pemikiran pelajar yang baru berusia 15 tahun. Tidak semua pelajar cemerlang, apa akan berlaku kepada pelajar yang sederhana dan tidak berapa cemerlang bila mendapat keputusan PMR 2012 nanti?
Harap pihak Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pelajaran membuat pertimbangan dengan sewajarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121203/fo_01/Soalan-PMR-2012-agak-pelik#ixzz2EDdIap9v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, December 2, 2012

telaga jepun

Misteri terjawab: 'Itu bukan terowong, tetapi hanya telaga'
ROHANA ISMAIL
2 Disember 2012
Telaga Palekbang
Kesan-kesan peninggalan Stesen Keretapi Palekbang masih ada di Palekbang.
Telaga
Ini antara telaga yang bersambung ke Sungai Kelantan yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai laluan ke terowong di bawah tanah.
Wan Jaafar Wan Abdullah
Wan Jaafar Wan Abdullah
Telaga
Penduduk, Jali Mustapha menunjukkan telaga sedalam 70 kaki yang diceritakan oleh Wan Jaffar.
TUMPAT – “Itu bukan lubang ke terowong tetapi telaga dan di bawahnya ada saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan,” kata Wan Jafar Wan Abdullah, 92, menjelaskan misteri terowong peninggalan Jepun ketika perang dunia kedua yang kecoh diperkatakan ditemui di Kampung Palekbang berdekatan Pangkalan Pasir Haji Manaf, di sini.

Di dalam blog, di laman sosial dan di kedai kopi tersebar cerita mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.

Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.

Wan Jaffar berkata, mustahil ada terowong bawah tanah kerana dia adalah salah seorang pekerja yang terlibat mengali telaga di lokasi tersebut sebelum penjajahan Jepun iaitu ketika usianya awal 20an.

Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan bagaimanapun kewujudan kampung ini mula tercatat setelah Inggeris membina landasan kereta api di pertengahan tahun 1920-an.

Menurutnya, pada masa itu bekalan air untuk kegunaan keret api yang berulang-alik memunggah biji besi dari Temangan, Machang- Tumpat tidak mencukupi kerana di Stesen keretapi Tumpat tiada bekalan air kerana masalah air masin.

“Pihak Inggeris kerahkan gali telaga di kawasan Stesen Keretapi Palekbang untuk mendapatkan bekalan air tersebut.

“Telaga pertama digali sedalam 70 kaki, kerana memerlukan air yang banyak beberapa buah telaga berhampiran sungai digali lagi, kalau tak silap pakcik lima buah telaga kesemuanya,” katanya yang berasal dari Kampung Laut, kini menetap di Kampung Semat Jal.

Wan Jaffar berkata, kesemua telaga ini bersambung kerana di bawah tanah dibuat lubang pada setiap perigi untuk dipasang saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan.

“Air sungai ini boleh masuk ke dalam telaga dan punca air telaga ini disedut dari sungai tersebut.

“Perigi besar yang pertama dipasang pam air dan pam inilah berfungsi menyedut air dari Sungai Kelantan, sehingga ke hari ini perigi itu masih ada di Palekbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal.

Tinjauan Sinar Harian ke Pangkalan Pasir Haji Manaf, Palekbang mendapati kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dan dikawal rapi.

Sinar Harian semalam melaporkan Kampung Palekbang tiba-tiba menjadi tersohor apabila tersebar cerita penemuan terowong panjang peninggalan Jepun di bawah tanah di laman sosial, di blog dan juga cakap-cakap di kedai kopi sejak seminggu lalu.

Kewujudannya terus menjadi teka teki apabila khabar angin mengatakan terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke Lalang Luas, Machang.

Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi yang kini dalam kajian pembangunan eko sejarah seliaan Kerajaan Negeri yang sedang giat dilaksanakan di lokasi tersebut.

Beberapa hari lalu kelihatan pihak polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.

Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih terus menjadi persoalan sehingga kini.

Sementara itu, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tidak menolak wujudnya terowong di Kampung Palekbang sebagaimana didakwa pihak tertentu sebelum ini.

Pengarahnya, Abdul Rahman Abdullah berkata, bagaimanapun statusnya masih dalam siasatan Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan yang dipengerusikan, Datuk Husam Musa.

“Setakat ini ia masih di peringkat cari gali. Perbadanan Muzium Negeri sendiri belum menerima maklumat secara rasmi, walaupun saya sudah beberapa kali meninjau lokasi tersebut setelah mendapat arahan pihak atasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Rahman yang berasal dari kawasan tersebut turut menjelaskan daripada maklumat awal dan apa yang diketahui sebagai penduduk di kawasan tersebut, kewujudan kawasan yang didakwa mempunyai terowong itu sebenarnya adalah telaga untuk mengisi air bagi kegunaan keretapi.

“Sebab suatu ketika dahulu kereta api menggunakan tenaga wap yang terhasil daripada air untuk bergerak, dan selepas minyak digunakan ia ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.