Saturday, December 15, 2012

cara menentu kemiskinan

ARKIB : 14/12/2012

Mengukur kemiskinan

had al-kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. - Gambar hiasan
KEMISKINAN adalah subjektif dan relatif. Sukar bagi kita menentukan seseorang itu fakir ataupun miskin. Ini kerana, ada orang yang kelihatan bahagia dan nampak senang, sedangkan dia mungkin kekurangan belanja. Ada juga orang yang nampak hebat bergaya, bertali leher dan berkereta besar, walhal pendapatannya benar-benar cukup makan. Maka, kaya atau miskin sukar ditentukan dek mata kasar. Bagaimanakah institusi zakat mentakrifkan golongan ini?
Jawapan
TERIMA kasih kerana mengajukan persoalan ini. Memang, umumnya orang ramai selalu mengukur status seseorang daripada rupa luarannya. Mereka juga sering menyangka, bahawa fakir miskin adalah kategori yang sama. Namun, hakikatnya ia tidak sama. Kerana itulah, fakir dan miskin adalah dua kategori yang disebut berasingan dan mereka layak mendapat zakat di samping enam asnaf lain.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk (diagihkan kepada) orang-orang fakir, orang-orang miskin, para amil yang menguruskannya, para mualaf untuk dilunakkan hatinya… (at-Taubah 9: 60)
Namun begitu, wujud sedikit khilaf di kalangan ulama fikah dalam menentukan takrif fakir dan miskin ini. Bagi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, mereka mentakrifkan orang fakir ialah orang yang memiliki harta tetapi tidak mencukupi keperluannya. Orang miskin pula ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.
Manakala bagi takrifan Imam Syafie dan juga Imam Hambali, fakir ialah orang yang tidak mempunyai apa-apa harta dan miskin pula ialah orang yang mempunyai harta namun tidak mampu memenuhi kecukupan keperluannya.
Ringkasnya, pandangan Imam Syafie dan Imam Hambali adalah berlawanan dengan pandangan di sisi Imam Hanafi dan Imam Maliki. Bagi umat Islam di Malaysia, kita menerima pakai pendapat Imam Syafie.
Sementara itu, jika dirujuk pada zaman awal Islam sendiri pun sudah wujud kedua-dua jenis kemiskinan ini. Misalnya pada zaman Mekah, majoriti yang memeluk Islam ialah golongan fakir dan miskin. Contohnya keluarga Ammar bin Yasser ra. dan Bilal bin Rabah ra, mereka memang fakir kerana berasal daripada hamba abdi.
Manakala, selepas era hijrah ke Madinah, wujud golongan ahlus suffah yang mendiami masjid Nabi, dan golongan ini adalah golongan fakir. Di antara ahli suffah yang terkenal ialah Abu Hurairah ra. Beliau sering mengikat batu ke perutnya demi menahan kelaparan bahkan pernah dianggap gila kerana bercakap-cakap sendirian menahan lapar. Akhir Rasulullah SAW membawanya pulang ke masjid Nabi dan ditugaskan untuk menjaga gudang menyimpan hasil zakat.
Dalam konteks hari ini pula, kita boleh mendefinisikan orang fakir itu sebagai miskin tegar atau miskin mutlak. Manakala kepada golongan miskin yang masih mampu hidup walau serba kesempitan hanya dianggap miskin sahaja.
Di dalam fatwa juga ada disebutkan had al-kifayah, apakah maknanya? Umumnya, had al-kifayah adalah suatu alat bagi mengukur kemiskinan. Secara mudah, ia digunakan bagi mengukur kecukupan perbelanjaan, dengan membandingkan pendapatan kasar dan perbelanjaan minimum sesebuah keluarga atau individu. Keputusan yang diperoleh pula lebih spesifik dan tepat dalam menentukan taraf seseorang pemohon zakat, sama ada kaya, miskin ataupun fakir (miskin tegar).
Fatwa Pengurusan Agihan Zakat Selangor 2002 telah memberikan definisi had al-kifayah sebagai: 'Agihan zakat kepada asnaf dan individu fakir miskin yang perlu menepati kepada keperluan asasi sebenar.' Sejajar dengan itu, maka institusi zakat sebenarnya wajar mengaplikasikan kaedah ini agar penentuan fakir miskin menjadi lebih tepat dan bantuan zakat secara lebih terfokus diuruskan.
Di samping itu, wajar juga kita fahami bahawa sesebuah institusi zakat turut mengambil kira enam aspek keperluan hidup manusia. Keperluan itu ialah tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.
Perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah suatu keperluan asasi kepada setiap manusia. Maka, seandainya pendapatan isi rumah yang diperolehi setiap bulan tidak mampu memenuhi kecukupan minimum bagi keperluan-keperluan ini, seseorang itu layak dianggap sama ada miskin ataupun fakir.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121214/ba_03/Mengukur-kemiskinan#ixzz2FBOCSrEj
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment