Monday, March 18, 2013

pakar mesin

ARKIB : 25/02/2013

Mesin bantu kerja ladang

Alat penugal nanas dua roda merupakan ciptaan terkini Sopa Yahya.
ABAH, cubalah menghasilkan mesin untuk kegunaan sendiri atau bekerja di bengkel." Mungkin itu kata-kata azimat yang dipegang oleh pesara tentera, Sopa Yahya, 60, sehingga dia berjaya menghasilkan puluhan mesin sehingga ke hari ini yang dimanfaatkan untuk kerja-kerja harian.
Menurut Sopa, dia mempunyai dua anak dan anak bongsunya yang bekerja sebagai jurutera marin menggalakkannya menceburi kerja-kerja penghasilan mesin selepas bersara daripada perkhidmatan tentera.
Sopa yang bersetuju dengan cadangan dan gesaan anak lelakinya itu memanfaatkan minat dan kepakarannya bekerja di bengkel dan melaburkan wang simpanannya untuk membangunkan pelbagai jenis mesin sehingga ke hari ini.
Katanya, bersara sebagai bekas tentera tidak semestinya memasuki fasa berehat kerana bagi Sopa, niat dan minat sudah ada tersemat dalam diri sejak dalam tentera lagi.
''Sebelum ini (sebelum memasuki perkhidmatan tentera) saya membantu ayah dalam bidang pertanian.
"Dia selalu menggesa saya membuat kerja-kerja merumput pada awal pagi yang akhirnya mendorong saya memikirkan bagaimana melakukannya dengan lebih cepat," ujar Sopa yang tidak menghiraukan rintangan perlu dilalui untuk mencapai tahap sekarang.
Anak jati Muar Johor itu tidak betah duduk di rumah tanpa membuat sebarang kerja sedangkan tekadnya untuk menghasilkan sesuatu untuk memperbaiki taraf hidup sentiasa ada.
Dia menyertai tentera pada 1972 sebelum menamatkan perkhidmatan 1993.
Ketika itu dia telah memulakan projek penanaman nanas seluas enam hektar di kampung halamannya di Parit Kemin, Air Hitam, Muar Johor.
Didorong oleh minat dan sokongan anaknya serta usaha tanpa jemu, dia berjaya menghasilkan mesin penugal nanas (sebaris) pada 1995, sekali gus merealisasikan harapannya selama ini untuk mencari jalan penyelesaian dalam menyempurnakan kerja-kerja di ladang.
Tidak cukup dengan itu, pada 2001, dia berjaya menghasilkan mesin penugal nanas untuk kerja-kerja dua baris bagi membantu mempercepatkan aspek penanaman.
Mesin berkenaan amat menarik kerana dengan jarak lubang penanaman 19 inci x 14 inci, kerja yang membabitkan antara 250 dan 400 lubang boleh diselesaikan hanya dalam tempoh seminit.
Sedangkan kaedah manual bagi jumlah yang sama memerlukan 33 orang pekerja.
''Saya hanya memikirkan untuk menghasilkan mesin dengan cara sendiri menggunakan imaginasi, kerana saya pun minat bidang ini," ujarnya yang telah menghasilkan tidak kurang lapan jenis mesin setakat ini.
Mesin berkenaan dihasilkan dengan kos RM7,000 dan tidak menggunakan enjin dan tempahan boleh siap dalam tempoh dua minggu.
Katanya, sambutan yang diterima terhadap mesin berkenaan amat menggalakkan.
Ditanya sama ada, dia pernah menerima bantuan daripada mana-mana pihak, Sopa yang turut mendapat galakkan daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), penghulu kampung serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Md. Ali, memberitahu, dia masih menunggu sekiranya ada pihak sudi menghulurkan bantuan dalam pembangunan mesin.
Dalam pada itu Sopa berharap, kerajaan memberi sokongan kepada pereka cipta tempatan dengan menyediakan dana bagi menggalakkan lebih banyak ciptaan dihasilkan.
Katanya, dengan adanya dana reka cipta, kos untuk menghasilkan mesin sebagai contoh, dapat dikurangkan dan dengan itu, dapat dijual pada harga yang murah.
Pada masa sama, pereka cipta perlu diberi bimbingan dan tunjuk ajar.
Inovasi Sopa itu berjaya memenang Anugerah Inovasi Negara (AIN) 2012 bagi kategori Akar Umbi pada tahu lalu.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20130225/st_02/Mesin-bantu-kerja-ladang#ixzz2Nw5gL200
© Utusan Melayu (M) Bhd

fix generation

ARKIB : 09/03/2013

Pilihan baharu baiki telefon

PERANAN gajet pintar dalam tugas seharian tidak boleh dinafikan lagi kerana ia kini sudah menjadi nadi dalam sebuah kehidupan.
Sehari tanpa gajet pintar boleh membuatkan kehidupan menjadi serba tidak kena. Apatah lagi segala maklumat penting seperti jadual, e-mel dan nota disimpan dalam gajet tersebut.
Bayangkan jika gajet pintar itu rosak? Sudah tentu akan timbul pelbagai masalah lain khususnya berkaitan usaha untuk membaikinya.
Pasti ada yang akan berasa bimbang untuk meninggalkan gajet tersebut sehari atau dua hari di kedai untuk diperbaiki. Malah, ada kedai mengambil masa seminggu sehingga menjejaskan kerja seharian.
Jika dapat dibaiki sekali pun, soal kadar bayaran pula akan timbul. Adakah kadar tersebut setimpal dengan kerja yang dilakukan dan adakah alat ganti yang digunakan tulen?
Semua itu sentiasa bermain di fikiran pemilik gajet pintar. Namun kini, kamu tidak perlu berasa bimbang kerana sudah wujud sebuah kumpulan anak muda menyediakan perkhidmatan membaik pulih, khidmat nasihat dan jual beli dengan mudah.
Gajet yang rosak akan diperbaiki di hadapan pelanggan dan pelanggan dapat mengetahui maklumat tambahan mengenai gajet yang digunakan.
Apa yang menarik, jika masalah itu tidak dapat diselesaikan, tiada sebarang bayaran dikenakan dan pelanggan dapat melihat sendiri barangan yang rosak diganti di depan mata.
Mari kita kenali kumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai My Apple iClub dan Global Fix Generation. - AMIRUL/SHIDDIEQIIN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Megabait/20130309/me_01/Pilihan-baharu-baiki-telefon#ixzz2Nw4yV4ni
© Utusan Melayu (M) Bhd

warga risda

ARKIB : 06/03/2013

Kebajikan warga RISDA dibela

GOPENG 5 Mac - 'Jihad Produktiviti' yang dilaksanakan RISDA semakin menunjukkan kesan positif ekoran pelbagai kejayaan yang dicapai bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.
Ketua Pengarah RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Mohamad berkata, pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan selain komitmen jitu dari seluruh kakitangan RISDA yang hanya berjumlah 4,271 orang telah memastikan nasib lebih 400,000 pekebun kecil seluruh negara terus mendapat pembelaan.
''Program TS Online merupakan antara kejayaan terbaik RISDA dalam usaha mengurangkan kerenah birokrasi apabila kelulusan permohonan tanaman semula dapat diperoleh dalam masa satu hari berbanding 14 hari sebelum ini.
''RISDA juga berjaya mengekalkan Persijilan MS ISO 9001:2008 bagi kali kedua dan pada tahun ini juga, Kolej RISDA berjaya memperoleh Sijil ISO. Ini adalah antara kejayaan daripada Jihad Produktiviti yang kita laksanakan secara menyeluruh," katanya selepas menghadiri majlis pertemuan dengan warga RISDA Zon Utara di sini hari ini.
Wan Zuki berkata, selaras dengan Jihad Produktiviti, RISDA pada tahun ini memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti getah dengan melancarkan Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks yang dirasmikan Mohd. Shafie baru-baru ini.
''Strategi jihad ini memberi tumpuan kepada tiga Amalan Pertanian Baik (GAP) iaitu rangsangan, pembajaan dan torehan," ujarnya.
Beliau memberitahu, pada tahun ini juga, RISDA memberi penekanan serius kepada perkhidmatan berintegriti dengan mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini.
Sementara itu, beliau menegaskan, RISDA tidak pernah melupakan tanggungjawab menjaga kebajikan para kakitangan sendiri dengan mewujudkan pelbagai program termasuk insentif umrah dan penyediaan kemudahan mesin urut.
''Hari ini misalnya, kita memberi sumbangan di bawah program 'mengimarahkan surau pejabat' dengan setiap surau diberi peruntukan RM1,000," katanya.
Pada majlis itu juga, Wan Mohamad Zuki turut mengumumkan sumbangan RISDA sebanyak RM10,000 untuk membantu keluarga wira negara yang terkorban ketika berdepan dengan pengganas di Sabah baru-baru ini.
Dalam aspek penjimatan kos, Wan Zuki memberitahu, RISDA melaksanakan perbelanjaan berhemah dengan menubuhkan Jawatankuasa Pengurangan Kos.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130306/ag_03/Kebajikan-warga-RISDA-dibela#ixzz2Nw3HwfoD
© Utusan Melayu (M) Bhd

risda

ARKIB : 06/02/2013

Sambutan 4 dekad RISDA Jumaat ini

MELAKA 5 Feb. - Lebih 5,000 pekebun kecil dari seluruh negara akan menghadiri acara kemuncak Sambutan 4 Dekad RISDA Penuh Jaya di Kolej RISDA Ayer Pa'abas, Alor Gajah di sini Jumaat ini.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (gambar) berkata, program itu bagi meraikan kejayaan sepanjang 40 tahun penubuhan RISDA selain menghargai pengorbanan pekebun kecil membangunkan industri getah di negara ini.
"Sambutan ini sebagai kesyukuran atas amanah dan manifestasi daripada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang banyak berjasa kepada penubuhan RISDA.
"Ini juga bagi meraikan kejayaan rakyat Malaysia melalui penubuhan RISDA pada 1973 dan sepanjang tempoh 40 tahun badan ini membasmi kemiskinan.
"Selain itu, RISDA telah memberi kehidupan lebih baik kepada kira-kira 400,000 pekebun kecil seluruh negara yang tidak dapat kita lihat wujud di negara-negara lain kecuali Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di auditorium Melaka FAM, Jalan Mata Kuching di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengarah RISDA negeri, Awiskarni Zukarnaini.
Rahim berkata, majlis perasmian kemuncak Sambutan 4 Dekad RISDA Penuh Jaya itu akan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Menurutnya, sebanyak 22 program diadakan sejak awal Januari lalu melibatkan penyertaan 400,000 pekebun kecil seluruh negara.
"Jumaat ini adalah acara kemuncaknya dan saya harap lebih ramai pekebun kecil dapat hadir selain penduduk di Alor Gajah bagi meraikan kejayaan yang dirintis RISDA sejak penubuhannya 40 tahun lalu," ujarnya.
Menurut beliau, antara acara menarik dalam sambutan tersebut adalah deklamasi sajak oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan pelancaran buku RISDA Memacu Transformasi.
Di samping itu katanya, Mohd. Shafie akan turut melancarkan sistem Tanam Semula Online (e-TS) dan penyampaian Anugerah Khas Penggerak Transformasi Luar Bandar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130206/ag_01/Sambutan-4-dekad-RISDA-Jumaat-ini#ixzz2Nw2x6YvN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, March 15, 2013

risda bantu 500

ARKIB : 06/03/2013

Insentif RM500 kepada pekebun kecil

Sebahagian warga RISDA yang menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama warga RISDA Zon Utara di RTC Gopeng, Perak, semalam turut menyatakan kecintaan mereka kepada RISDA.
GOPENG 5 Mac - Kerajaan sekali lagi membuktikan keprihatinan membela nasib golongan pekebun kecil apabila mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM500 sebulan selama empat tahun kepada setiap pekebun yang mengusahakan tanah yang luasnya tidak melebihi 2.4 hektar.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato' Seri Mohd Shafie Apdal ketika mengumumkan insentif itu berkata, buat permulaan, kira-kira 1,000 pekebun kecil getah yang layak di seluruh negara sudah dikenal pasti untuk menerima imbuhan tersebut.
Katanya, inisiatif melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu hanya melibatkan pekebun kecil yang terlibat dalam program penanaman semula.
''Perkara ini baru dibawa ke Kabinet dan sudah pun diluluskan. Kita amat memahami wujud keadaan yang mana pekebun berdepan kekangan kerana tidak mempunyai pendapatan mencukupi atas pelbagai faktor.
''Kita harap ini dapat meringankan kos hidup mereka sepanjang tempoh penanaman semula kerana mereka mungkin tidak dapat menoreh, sekali gus pendapatan mereka juga tidak mencukupi menampung keperluan keluarga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan RISDA Zon Utara di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Dato' Yusoff Dohab; Ketua Pengarah RISDA, Dato' Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Mohamat Muda.
Mohd Shafie berkata, pemberian imbuhan tersebut dibuat selepas mengambil kira kekangan yang dihadapi para pekebun kecil ekoran jumlah pendapatan yang tidak mencukupi khususnya sepanjang proses penanaman semula.
''Kita teliti secara mendalam memandangkan dalam tempoh empat tahun itu, kita boleh bantu mereka sehinggalah pokok dapat ditoreh. Kerajaan mahu pastikan kebajikan kumpulan ini sentiasa mendapat pembelaan," ujarnya.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Shafie mahu kakitangan RISDA memberi sepenuh komitmen dalam membantu RISDA menjayakan segala agenda dan dasar kerajaan untuk memartabatkan industri getah ke peringkat lebih tinggi.
Sambil memuji kepimpinan RISDA sekarang, Mohd Shafie mahu warga RISDA terus bersatu padu dan bekerja sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Ketua Pengarah supaya organisasi itu terus hidup dan mencapai tujuan dan objektif penubuhannya.
''Sumbangan RISDA selama lebih 40 tahun sangat besar dan sangat bermakna dalam usaha kita memajukan industri ini. Saya harap komitmen secara total supaya kesinambungan kejayaan kita selama ini dapat diteruskan," ujar beliau.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130306/ag_01/Insentif-RM500-kepada-pekebun-kecil#ixzz2NeDlGdPI
© Utusan Melayu (M) Bhd

ayam lebih murah

Tawar harga ayam murah
Wartawan Sinar Harian
13 Mac 2013
Tawar harga ayam murah
Siti Nurul Haida (empat, kiri) menyerahkan cek bayaran semula 70 sen kepada Nor Bakiah.
PORT DICKSON - Pengguna mampu berjimat sehingga RM3 jika membeli ayam segar yang dijual di pasar tani seluruh negeri ini.

Timbalan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Siti Nurul Haida Ibrahim berkata, terdapat 25 pasar tani di seluruh negeri ini yang menyediakan ayam segar dengan kadar harga berpatutan.

“Sebagai contoh, di Pasar Tani Batu 4, Port Dickson, seorang peniaga ayam menjual dengan harga RM6.60 sekilo berbanding harga pasaran biasa RM7.50, di sini pembeli boleh berjimat sehingga RM1.90.

“Harga ayam diletakkan sebagai subsidi 70 sen berikutan permintaan tinggi pelanggan terhadap komoditi berkenaan. Bagaimanapun, Fama tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa barangan yang dijual di pasar tani disubsidikan seperti ayam,” katanya kepada  Sinar Harian pada program Pasar Tani Bersama Pelanggan dan Penyerahan kanopi kepada Peserta JBD di Pasar Tani Batu 4 Port Dickson.

Hadir sama, Penyelaras Pasar Tani negeri, Mohd Sidin Omar; Pegawai Fama daerah, Roasli Abd Hamid dan Pengerusi Pasar Tani Batu 4, Roslan Abd Aziz.

Siti Nurul Haida berkata, peserta pasar tani yang terlibat adalah peserta Jimat Belanja Dapur (JBD).

“Selain meletakkan harga yang berpatutan selaras dengan program JBD, peniaga ini juga menurunkan lagi harga ayam tersebut sehingga RM0.70 seekor, dan Fama akan membayar semula harga tersebut kepada peniaga terbabit.

“Sepanjang bulan lalu, Fama telah membayar hampir RM15,000 kepada peniaga dan ini sekaligus memberikan purata keseluruhan penjimatan yang diperoleh pelanggan pasar tani. Jumlah itu sebenarnya masih belum merangkumi penjimatan yang diberikan melalui program JBD,” katanya.

Tambahnya, tawaran harga murah ini bermula sejak Februari lalu dan akan diteruskan sepanjang tahun ini.

Peniaga ayam, Nurasyikin Jasni, 21, berkata, bekalan ayamnya bertambah setiap kali jualan, antara 30 hingga 40 ekor selepas Fama memperkenalkan subsidi sebanyak 70 sen seekor itu.

Menurutnya, kebanyakan pelanggan masih belum tahu berkaitan penawaran harga murah ini dan mereka gembira apabila dimaklumkan perkara tersebut.
“Setiap minggu pelanggan semakin bertambah dan saya yakin pada minggu akan datang jumlah jualan ayam akan meningkat,” katanya.

Manakala, manurut Nor Bakiah Mohd Shariff, 37, jika kebiasaannya dia menjual ayam sekitar 100 ekor, selepas program subsidi 70 sen seekor ini, dia terpaksa menambah sehingga 40 ekor ayam untuk sekali perniagaan.
Jelasnya, ini adalah jumlah untuk berniaga di Pasar tani Batu 4 belum lagi di pasar tani lain.
“Permintaan semakin meningkat berikutan penawaran harga yang rendah di sini berbanding pasar lain,” katanya.