Monday, March 18, 2013

risda

ARKIB : 06/02/2013

Sambutan 4 dekad RISDA Jumaat ini

MELAKA 5 Feb. - Lebih 5,000 pekebun kecil dari seluruh negara akan menghadiri acara kemuncak Sambutan 4 Dekad RISDA Penuh Jaya di Kolej RISDA Ayer Pa'abas, Alor Gajah di sini Jumaat ini.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (gambar) berkata, program itu bagi meraikan kejayaan sepanjang 40 tahun penubuhan RISDA selain menghargai pengorbanan pekebun kecil membangunkan industri getah di negara ini.
"Sambutan ini sebagai kesyukuran atas amanah dan manifestasi daripada bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak yang banyak berjasa kepada penubuhan RISDA.
"Ini juga bagi meraikan kejayaan rakyat Malaysia melalui penubuhan RISDA pada 1973 dan sepanjang tempoh 40 tahun badan ini membasmi kemiskinan.
"Selain itu, RISDA telah memberi kehidupan lebih baik kepada kira-kira 400,000 pekebun kecil seluruh negara yang tidak dapat kita lihat wujud di negara-negara lain kecuali Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di auditorium Melaka FAM, Jalan Mata Kuching di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengarah RISDA negeri, Awiskarni Zukarnaini.
Rahim berkata, majlis perasmian kemuncak Sambutan 4 Dekad RISDA Penuh Jaya itu akan disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.
Menurutnya, sebanyak 22 program diadakan sejak awal Januari lalu melibatkan penyertaan 400,000 pekebun kecil seluruh negara.
"Jumaat ini adalah acara kemuncaknya dan saya harap lebih ramai pekebun kecil dapat hadir selain penduduk di Alor Gajah bagi meraikan kejayaan yang dirintis RISDA sejak penubuhannya 40 tahun lalu," ujarnya.
Menurut beliau, antara acara menarik dalam sambutan tersebut adalah deklamasi sajak oleh Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan pelancaran buku RISDA Memacu Transformasi.
Di samping itu katanya, Mohd. Shafie akan turut melancarkan sistem Tanam Semula Online (e-TS) dan penyampaian Anugerah Khas Penggerak Transformasi Luar Bandar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130206/ag_01/Sambutan-4-dekad-RISDA-Jumaat-ini#ixzz2Nw2x6YvN
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment