Wednesday, January 26, 2011

Jurufoto


Merakam alam dalam fotografi

Oleh WAN YUSLINA WAN MUDA
utusanpahang@utusan.com.my

Jurugambar-jurugambar yang terlibat dalam Pameran Foto Alam di Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 26 Jan. - Pada zaman ini, semua orang mampu dan tahu mengambil gambar tetapi bukan semua foto yang dirakamkan itu cantik atau mampu memuaskan hati.

Bagi menghasilkan foto yang cantik, tidak semestinya memerlukan kamera yang canggih dan berharga ribuan ringgit.

Dengan kemahiran yang tinggi, seseorang yang menggunakan kamera biasa atau melalui kamera telefon bimbit turut dapat menyerlahkan kecantikan sesuatu foto.

Tidak dapat dinafikan bidang seni foto kini semakin berkembang pesat.

Ada yang mendapat kemahiran secara formal daripada institusi-institusi berkaitan dan sebahagiannya memiliki skil tersebut menerusi minat yang terlalu mendalam.

Mereka yang berminat dalam bidang fotografi dilihat semakin meningkat dan bukan sahaja di kalangan jurugambar profesional malah ia berleluasa kepada generasi muda yang baru menamatkan alam persekolahan.

Kegilaan terhadap bidang fotografi dilihat semakin ketara sejak kemunculan kamera kompak digital dan terbaru iaitu kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) di pasaran secara meluas.

Ternyata kamera DSLR memberi impak positif sekali gus mendorong orang ramai melibatkan diri dalam dunia fotografi tanpa batasan.

Kecanggihan yang terdapat pada kamera DSLR tersebut hanyalah sebagai media untuk merakam gambar yang lebih cantik.

Namun, tidak ramai yang mengetahui peraturan dan teknik-teknik untuk menghasilkan foto sebagaimana yang diinginkan.

Pendek kata, jika seseorang itu mempunyai kamera DSLR tetapi tidak mempunyai bakat dan pengetahuan berkenaan bidang fotografi, rakaman foto yang diambil hanyalah sekeping gambar kosong yang mati.

Salah seorang yang meminati bidang fotografi ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jamalludin Ab. Rahman.

Jamalludin meminati bidang fotografi dan bergerak secara serius pada 2004.

Menurut beliau, untuk menjadi seorang jurugambar tidak memerlukan ribuan ringgit kerana fotografi adalah berkaitan dengan sudut sesuatu gambar itu diambil.

Beliau merupakan salah seorang peserta yang mempamerkan hasil seninya di Pameran Foto Alam yang diadakan di Rajawali Art Gallery di sini, baru-baru ini.

"Pameran foto yang kali pertama diadakan di sini memberi peluang kepada jurugambar untuk menghantar, berkongsi dan mempamerkan hasil rakaman gambar mereka.

"Pameran ini terbuka kepada semua yang berminat dalam fotografi tanpa mengira bangsa, agama dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Jamalludin, pameran itu bukan sahaja dihadiri oleh jurugambar dari Kuantan malah sebahagiannya dari Kuala Lumpur dan Singapura.

''Gambar yang dihantar akan dinilai terlebih dahulu sama ada mengikuti tema alam yang diberikan sebelum dipamerkan.

''Pameran berlangsung selama sebulan dan gambar-gambar tersebut akan dijual kepada sesiapa yang berminat," jelasnya.

Jamalludin memberitahu, harga sesuatu gambar itu terletak kepada jurugambar berkenaan untuk meletakkan nilai untuk hasil seni mereka.

''Saya meletakkan harga kepada gambar saya berdasarkan kesukaran untuk merakamkan gambar tersebut,'' katanya.

Jelasnya, kepuasan merakamkan sesuatu gambar yang cantik tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata dan ia amat seronok untuk dikongsi dengan jurugambar lain.

Seorang lagi peserta, Ali Shamsul Bahar, 41, juga merupakan seorang jurugambar yang mula meminati bidang fotografi sejak di bangku sekolah lagi.

''Saya memiliki kamera pertama ketika berada di tingkatan satu pada 1982.

''Saya sering memasuki pertandingan seni fotografi sejak di bangku sekolah dan mempelajari ilmu berkaitan fotografi secara sendiri," jelasnya.

Menurut Ali Shamsul, bidang fotografi mampu memberi pendapatan sampingan kepadanya dan sehingga kini, banyak gambarnya dibeli oleh syarikat-syarikat dan orang perseorangan.

''Terbaru gambar saya dibeli oleh seorang pelancong asing dari United Kingdom setelah dia melihat gambar tersebut yang dimuat turun ke dalam laman sesawang.

''Bidang fotografi mampu menjana pendapatan sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.

Ali Shamsul berkata, mereka yang berminat dalam bidang fotografi boleh menyertai Kumpulan Luar Biasa yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu.

''Kumpulan ini bukanlah untuk mencari keuntungan tetapi ia merupakan sebuah kumpulan informal yang ahli-ahlinya hanya berminat dalam seni fotografi semata-mata.

''Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada jurugambar Malaysia, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Ali Shamsul berkata, kumpulan itu turut mengajar mereka yang baru terlibat dalam dunia fotografi dengan menggunakan peraturan dan teknik yang betul ketika merakam gambar selain aktif mengadakan aktiviti luar seperti memasuki hutan sambil mengambil gambar.

''Orang yang meminati bidang ini adalah mereka yang sanggup berhabis wang ringgit untuk mendapatkan kepuasan dan bangun sebelum subuh semata-mata untuk merakamkan gambar.

''Saya lebih cenderung mengambil gambar alam dan merakamkan kebesaran alam ciptaan tuhan menerusi fotografi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi supaya terlebih dahulu mengenali kamera dan jenisnya.

''Apa jenis kamera yang digunakan sebenarnya tidak penting tetapi kebolehan meneroka dan menggunakan media tersebut yang paling utama selain tidak malu menyerlahkan bakat," katanya.

Seorang lagi jurugambar perkahwinan, Raudzah Arippin, 32, berkata, pada mulanya fotografi hanya sekadar minat dan dia tidak menyangka membuka perniagaan menerusi bidang tersebut.

''Saya cenderung mengambil gambar perkahwinan walaupun sebenarnya lebih berminat merakam gambar alam semula jadi.

''Untuk merakam gambar alam semula jadi, jurugambar perlu pergi ke banyak lokasi yang cantik dan mencabar tetapi kerana telah berkahwin dan mempunyai anak, pergerakan saya agak terbatas," ujarnya.

Menurut Raudzah, merakam gambar perkahwinan dan alam semula jadi adalah dua perkara yang berbeza dari segi teknik dan kepuasan.

''Cabaran utama merakam gambar alam semula jadi ialah jurugambar mesti berada di tempat, waktu dan cuaca yang sesuai bagi menghasilkan sekeping gambar yang cantik dan memukau.

"Untuk mengambil gambar perkahwinan pula, seseorang itu perlu berdepan dengan ragam pengantin yang kebanyakannya tidak memahami tugas jurugambar seperti kami selain memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai kerenah," katanya.

No comments:

Post a Comment