Dinoda abang
SAYA gadis berusia 22 tahun. Dilema yang saya hadapi ialah status kesucian saya. Untuk pengetahuan Dang Setia, ketika berusia enam atau tujuh tahun, saya dirogol beberapa kali oleh abang kandung saya. Namun, pada masa itu, saya tidak tahu apa dilakukannya adalah rogol.
Setelah dewasa, baru saya mengerti bahawa itu yang dinamakan rogol tetapi saya merahsiakannya kerana bimbang dan malu.
Pada tahun lalu barulah saya memberitahu ibu saya mengenai perkara ini, namun tiada ada dapat dilakukan kerana perkara itu sudah lama terjadi.
Saya juga tidak menyalahkan abang saya 100 peratus kerana pada waktu itu dia di alam remaja dan mungkin tidak berfikiran matang.
Ibu saya juga terperanjat namun merasakan tidak dapat berbuat apa-apa, dan bagi saya, yang lepas itu biarlah berlalu walaupun kesucian saya dirampas oleh abang kandung.
Dalam pada itu, saya masih menjaga perilaku sebagai gadis, di mana saya tidaklah terlalu sosial. Boleh dikatakan saya mementingkan ‘dara’ walaupun ia tiada lagi. Saya bagaikan ada dara kerana pegangan saya hanya melakukan seks selepas nikah.
Yang merunsingkan saya adalah teman lelaki atau calon suami pernah beberapa kali bertanya mengenai selaput dara, lalu saya mengatakan tidak pernah melakukan hubungan seks dan hanya akan melakukannya selepas kahwin.
Dia juga pernah meminta saya berterus terang jika mempunyai kisah silam (seperti tiada dara) dan menyatakan akan tetap menerima saya kerana ia kisah silam.
Jika saya tidak berterus terang dan dia mengetahui perkara sebenar, dia pasti tidak memaafkan saya. Dan, jika saya memberitahunya perkara sebenar, saya gusar dia tidak dapat menerimanya.
Seperkara lagi, kesihatan saya tidak sempurna seperti orang lain, dan saya bimbang jika dia tahu hal sebenar nanti, dia akan meninggalkan saya kerana dua sebab ini. Mengenai sakit saya, dia dapat terima dan saya bimbang jika diberitahu hal ini pula dia tidak sanggup menerima saya.
Yang pasti, kalau boleh saya tidak mahu memberitahunya. Saya juga bimbang dia akan memusuhi abang saya jika kami berkahwin kelak. Apa harusnya saya lakukan kerana saya rasa bahawa tidak memberitahu hal sebenar adalah jalan terbaik.
Saya juga bimbang pada malam pertama kami nanti, dia akan persoalkan mengenai dara saya yang sudah tiada, apa harus saya katakan?
Tolong beri buah fikiran kerana saya tidak tahu nak mengadu pada siapa lagi. Sesungguhnya, apa yang terjadi pada saya adalah di luar kehendak saya dan saya tidak bersalah dalam hal ini.
RUNSING
Skudai, Johor
Teringat Dang Setia pada perumpamaan Melayu iaitu ‘membungkus api’ yang bermaksud menyimpan rahsia yang lambat-laun akan diketahui juga oleh orang.
Dalam konteks saudari, jelas teman lelaki atau calon suami mahu saudari berterus terang dengannya mengenai sebarang kisah ‘hitam’ sebelum mendirikan rumah tangga.
Buat masa ini, saudari enggan menceritakan pengalaman malang itu kerana khuatir ditinggalkannya. Bagaimanapun, bayangkan apa akan berlaku apabila rahsia itu terbongkar selepas kalian berkahwin kelak.
Dang Setia percaya bala lebih hebat boleh menimpa saudari jika tidak berterus terang dari awal. Pedih ditipu insan tersayang rasanya lebih pilu berbanding pedih menerima kenyataan pahit.
Kalau dia benar-benar menyayangi saudari, insya-Allah dia dapat menerima saudari seadanya, apatah lagi saudari menjadi mangsa keadaan ketika kecil. Cuma, mungkin saudari boleh menyembunyikan identiti perogol itu bagi mengelak persengketaan keluarga.
Pada peringkat awal, mungkin dia sukar menerima kenyataan itu tapi lama-kelamaan dia akan kembali semula ke pangkuan saudari jika cintanya benar-benar kukuh.
Yang penting, saudari terus mengekalkan prinsip mempertahankan ‘dara’ itu walaupun selaputnya dirobek angkara abang kandung ketika kanak-kanak. Itulah lambang kesucian seorang wanita.
Ingatlah, setiap insan yang hidup di muka bumi Allah ini ada dugaan masing-masing. Anggaplah insiden malang dan tahap kesihatan tidak sempurna itu ujian buat saudari di alam fana ini.
Jadilah individu hebat yang sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah dan dugaan hidup, bukan insan lemah yang hanya tahu meratapi dugaan tapi tidak bersyukur apabila beroleh kesenangan.
Sebagai manusia, kita hanya dipinjamkan ke dunia ini dalam tempoh tertentu. Justeru, manfaatkan sepenuhnya tempoh itu untuk mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Nasihat Dang Setia, lupakan kisah hitam itu dan mulakan hidup baru. Kata orang tua-tua, wanita baik untuk lelaki baik, insya-Allah.
Mungkin saudari boleh mengambil kata-kata itu sebagai azimat untuk membina kehidupan bahagia pada masa depan.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial
No comments:
Post a Comment