Tuesday, July 26, 2011

sebab gagal ke ipta

Punca pelajar gagal masuki IPTA

BAHAGIAN PENGURUSAN Kemasukan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ingin merujuk kepada aduan Jelaskan Punca Pelajar Matrikulasi Tercicir yang tersiar dalam ruangan ini bertarikh 25 Julai 2011 oleh Pedang Bertuah, Kuala Lumpur dan Ke Mana Arah Tujuan Pelajar Matrikulasi Yang Gagal Ke IPTA bertarikh 18 Julai 2011 oleh Ibu Prihatin, Pasir Gudang, Johor Bahru.

Kementerian prihatin terhadap masa depan pelajar bagi memenuhi cita-cita dan impian hidup untuk berjaya. Pemilihan program pengajian yang tepat mengikut cita-cita, minat dan hasrat pelajar, ibu bapa dan masyarakat mestilah seiring dengan pencapaian akademik serta kokurikulum.

KPT melaksanakan prinsip meritokrasi yang mengguna pakai 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Pemohon juga perlu memenuhi Syarat Am, Syarat Khas Program dan kriteria pemilihan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pemilihan. Pemilihan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah berasaskan pilihan pelajar serta bilangan tempat yang disediakan mengikut program pengajian di IPTA.

Kejayaan calon untuk memperoleh tempat bergantung kepada susunan merit dan pemilihan program pengajian di IPTA yang dipohon. Jika merit mereka tidak begitu tinggi dan memohon lapan (8) pilihan dalam program pengajian kompetitif, kemungkinan besar mereka tidak terpilih untuk tawaran program pengajian yang dipohon.

Begitu juga jika mereka memohon hanya di IPTA yang popular, mereka mungkin menghadapi persaingan tinggi dan akhirnya tidak mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

Namun begitu, calon diberi pilihan untuk memilih sama ada bersetuju atau tidak untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan program pengajian yang dimohon. Jika calon ada menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran selain daripada lapan (8) pilihan semasa mengemukakan permohonan, maka calon akan dipertimbangkan ke program pengajian di IPTA yang masih ada kekosongan selaras dengan bidang pengajian yang dipohon tanpa mengira IPTA pilihan.

Justeru calon yang memperoleh merit yang tinggi tetapi tidak mendapat tempat, pihak UPU akan menawarkan program pengajian di luar pilihan calon yang mirip dengan pilihan mereka di IPTA yang terdapat kekosongan.

Sekiranya calon memilih tidak bersetuju, pihak KPT tidak akan mempertimbangkan sekiranya masih ada kekosongan pada program pengajian yang lain.

Dimaklumkan, berdasarkan rekod permohonan yang diterima oleh UPU bagi Sesi Akademik 2011/2012, sejumlah 1,977 pemohon Lepasan Matrikulasi/ Asasi 2010 yang layak telah menyatakan 'Tdak Setuju' menerima tawaran di luar lapan (8) pilihan program pengajian yang telah dimohon. Justeru semua calon ini tidak akan dipertimbangkan tawaran ke program pengajian lain walaupun layak kerana menghormati keputusan pemohon.

Dasar pemilihan rayuan pula adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baharu pada awal September 2011. Justeru semua calon yang mengemukakan rayuan akan dipertimbangkan berdasarkan kekosongan tempat bagi program pengajian yang ada sahaja.

KPT memohon kepada Ibu Prihatin, Pasir Gudang, Johor dan Pedang Bertuah, Kuala Lumpur untuk menghubungi pihak kementerian dan memberikan Nombor Kad Pengenalan pemohon untuk UPU memberikan penjelasan yang tepat, telus dan adil serta sebab calon tidak terpilih ke program pengajian di IPTA.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment