Syarikat hiasan dalaman diarah bayar RM10,000
TERUJA untuk mendiami rumah yang baru dibelinya di Parit Buntar, Perak, Suzilawaty Ismail, 38, mengupah sebuah syarikat hiasan dalaman untuk memasang kabinet dapur, kabinet bilik tidur dan rak buku dengan kos keseluruhan sebanyak RM20,000.
Namun, impian Suzilawaty dari Nibong Tebal, Pulau Pinang berkecai apabila syarikat terbabit, Casa Impiana Interior gagal menyiapkan tugasan yang diberikan biarpun dia telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak 50 peratus.
Kecewa dengan apa yang berlaku, Suzilawaty memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) kerana mengikut perjanjian, semua kabinet tersebut akan siap dipasang dalam tempoh dua bulan selepas pembayaran dibuat pada 13 Januari lalu.
Menurutnya, syarikat terbabit memberikan pelbagai alasan apabila ditanya mengenai kerja pemasangan yang masih belum dijalankan selepas lebih sebulan deposit dibayar.
"Pada 4 Mac lalu, saya ada minta nak tengok perkembangan kerja pemasangan kabinet terbabit di kilang tapi pereka hiasan dalaman itu tunjuk kabinet lain kepada saya sebagai ganti atas alasan kabinet yang ditempah tiada stok dan akan siap dipasang pada 26 Mac.
"Namun, sekali lagi dia gagal menunaikan janjinya dan apabila saya ke kilang itu, saya terkejut apabila dimaklumkan pemilik kilang yang kabinet yang ditempah tak dapat disiapkan kerana kontraktor terbabit tidak melunaskan bayaran tempahan," katanya.
Merasakan dirinya tertipu, wanita berkenaan bertindak menemui pereka hiasan dalaman terbabit yang berjanji untuk memulangkan wang RM10,000 yang diberikan sebelum ini selewat-lewatnya pada 15 April 2011.
Jelasnya, dia tertipu buat kali ketiga kerana lelaki berkenaan gagal muncul dan terus memberikan pelbagai alasan sedangkan pada masa sama dia terpaksa menanggung kos tambahan termasuk perjalanan, komunikasi dan sewa rumah yang diduduki kini berjumlah RM1,500.
Tambahnya, dia bukan sahaja gagal mendiami rumah baru, malah perlu mencari pengusaha lain untuk menyiapkan kabinet berkenaan.
Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh kemudiannya mengarahkan pihak Casa Impiana Interior yang tidak hadir pada sesi pendengaran itu membayar semula wang pendahuluan RM10,000 dalam masa 14 hari daripada tarikh award dikeluarkan.
"Denda RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas penentang jika dia gagal membayar semula wang tersebut selepas tempoh yang ditetapkan.
"Bagaimanapun, saya menasihati kamu (penuntut) supaya membuat laporan polis mengenai kes ini agar siasatan lanjut dapat dijalankan.
"Saya berharap apa yang berlaku dijadikan pengajaran dan selepas ini bayar wang hanya selepas mendapat barang bagi mengelakkan perkara sama berulang," ujarnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment