Monday, September 12, 2011
jurufoto
Belajar kaedah mengambil gambar terbaik
PESERTA kursus fotografi merakam gambar-gambar terbaik di kawasan Air Terjun Sungai Panching, Kuantan.
KUANTAN 12 Sept. - Ahli Persatuan Jurufoto Kuantan (PJK) yang mengikuti kursus fotografi di Air Terjun Sungai Panching di sini, baru-baru ini menyifatkan ia satu pengalaman sukar dilupakan.
Seorang peserta, Raja Faiz Raja Hamka, 14, berkata, dia gembira menjadi peserta termuda mengikuti kem itu kerana ia banyak mendedahkan dirinya kepada pengetahuan fotografi.
Raja Faiz yang bercita-cita menjadi jurugambar profesional menambah, waktu hujung minggu dia mempelajari pengetahuan baharu dalam fotografi bersama ahli-ahli persatuan itu.
"Impian saya ini juga telah mendapat restu ibu bapa dan di atas sokongan mereka saya mendaftar dengan persatuan itu sebelum dihantar ke sini untuk menghadiri kem tersebut," katanya di sini, baru-baru ini.
Seorang peserta dari Skudai, Johor, Zulkifli Said, 30, memberitahu, dia tidak merasa rugi mengikuti kem itu walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh untuk sampai ke sini.
Katanya, dia berminat merakamkan gambar alam sekitar dan apabila mengetahui program itu diadakan di kawasan rekreasi itu, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.
"Selain dapat menikmati keindahan flora dan fauna, saya juga dapat menimba ilmu paling berguna iaitu bagaimana untuk merakamkan keindahan itu supaya dapat diabadikan dan ditatap oleh orang lain," katanya.
Seorang peserta wanita, Nor Idayu Husin, 23, menyatakan dia mengetahui tentang kem itu menerusi kawan-kawan yang memaklumkan hal berkenaan di laman sosial Facebook.
"Saya berpuas hati dengan apa yang diajar oleh tenaga pengajar kerana mereka berpengalaman dalam bidang mereka.
"Saya rasa memang berbaloi datang dan menghabiskan waktu untuk belajar tentang foto di air terjun ini," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
Merakam keindahan alam
Oleh Siti Norizat Shikh Abdul Jalil
utusanktn@gmail.com
AHLI PJK gembira selepas menamatkan kursus fotografi di Air Terjun Sungai Panching, Kuantan, Baru-baru ini.
KUANTAN 12 Sept. – Bidang fotografi semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bagi merakamkan detik-detik sejarah sama dalam aktiviti kehidupan mahupun keindahan alam semula jadi.
Pelbagai institusi pendidikan swasta menawarkan kursus dalam bidang fotografi, khususnya bagi mereka yang memiliki kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).
Malah, ia bukan sahaja menarik golongan belia dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tetapi juga menarik minat pelajar sekolah bagi mendalami teknik fotografi.
Justeru, Persatuan Jurufoto Kuantan (PJK) menganjurkan kem fotografi kepada ahli-ahli persatuan itu yang diadakan di Air Terjun Sungai Pandan Panching di sini, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan tiga hari dua malam itu melibatkan 45 peserta termasuk dari Selangor dan Johor.
Presidennya, Mohd. Azraie Azahari berkata, kem itu dibahagikan kepada beberapa sesi menarik antaranya potret, landskap, light painting dan makro.
Katanya, bagi memastikan apa yang diajar secara teori dalam program itu, para ahli kemudian akan menjalani sesi mengambil gambar di sekitar pusat rekreasi tersebut.
“Nampaknya ia membuahkan hasil dan rata-rata peserta berpuas hati dengan pengetahuan yang mereka perolehi menerusi kem ini,” katanya di sini, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, jika sesetengah institut mengadakan kursus di dalam kelas, pihaknya mengambil pendekatan melakukannya di kawasan rekreasi.
Katanya, cara itu mendedahkan peserta mempelajari teknik merakamkan gambar secara terus selain menikmati keindahan alam sekitar yang ada di kawasan itu.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Mohd. Zaili Besar berkata, penganjuran kem foto berkenaan amat dialu-alukan apatah lagi ia melibatkan golongan belia dan diadakan di lokasi pelancongan menarik.
Beliau difahamkan bahawa terdapat teknik-teknik tertentu dalam menangkap gambar yang mana tidak semua boleh mempelajarinya.
“Jika kita melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dan serius mendalami ilmu fotografi, saya nampak bidang itu boleh mendatangkan hasil lumayan buat golongan belia yang meminatinya,” kata beliau.
Mohd. Zaili juga memuji persatuan itu kerana memilih Air Terjun Panching untuk menganjurkan program tersebut kerana secara tidak langsung dapat memperkenalkannya kepada pelancong tempatan dan asing.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment