Elak beli tayar toreh - JPJ
TEMERLOH 24 Sept. - Pemilik kenderaan dinasihat supaya berhati-hati ketika membeli tayar kereta agar tidak terbeli tayar toreh yang sering menjadi punca kemalangan jalan raya.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Zakaria Man berkata, tayar tersebut yang merupakan tayar terpakai yang ditoreh agar bunganya nampak lebih tebal kini semakin popular.
"Selain tayar toreh, peniaga juga gemar menjual tayar musim sejuk yang jauh lebih murah berbanding tayar baru.
"Walaupun belum ada kajian dibuat bagi membuktikan kedua-dua tayar tersebut menjadi punca kemalangan, penggunaannya perlu disekat segera bagi mengelak lebih banyak kemalangan berlaku," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut beliau, pengguna perlu bijak membuat pilihan dan tidak mudah terpedaya apabila ditawarkan membeli tayar yang jauh lebih murah tetapi berisiko sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa.
"Tayar toreh mudah meletup kerana lapisan tayar menjadi lebih nipis manakala tayar musim sejuk pula tidak sesuai dengan permukaan dan suhu jalan raya di negara ini yang panas," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, walaupun kemalangan maut berjaya dikurangkan pada musim perayaan di negeri ini tahun ini, namun jumlah kematian membabitkan penunggang motosikal masih tinggi.
No comments:
Post a Comment