Thursday, February 16, 2012

kastam kutip 30 billion

Kastam kutip cukai RM30.4 bilion 2011
Wartawan Sinar Harian
16 Februari 2012
Datuk Zainul Abidin Taib
GEORGETOWN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya memungut hasil cukai dan duti RM30.379 bilion, sepanjang tahun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguat kuasa, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, jumlah itu adalah kutipan tertinggi dalam sejarah JKDM, berbanding RM28.32 bilion pada 2010.

“Ini menunjukkan kutipan hasil pada 2011 meningkat RM2.053 bilion atau 7.2 peratus. Ia adalah hasil cukai daripada lima penyumbang utama pungutan hasil iaitu duti eksais tempatan; cukai perkhidmatan; cukai jualan (tempatan), cukai jualan (import) dan duti eksais (bara­ngan import).

“Peningkatan pungutan hasil yang ketara tahun lalu adalah cukai perkhidmatan iaitu meningkat RM1.056 bilion atau 26.9 peratus. Kenaikan ini disebabkan perubahan kadarnya dari lima kepada enam peratus berkuat kuasa 1 Januari 2011 serta pengenaan cukai perkhidmatan atas saluran televisyen berbayar. Cukai perkhidmatan menyumbang RM4.98 bilion atau 16.4 peratus daripada kutipan hasil keseluruhan,” katanya semalam.

Menurutnya, penyumbang utama pungutan hasil tahun lalu ialah kenderaan bermotor; rokok; petroleum mentah, minuman keras serta telekomunikasi.

“Kenderaan bermotor menyumbang RM10.650 bilion atau 35.06 peratus, namun merosot berbanding kutipan hasil bagi 2010 sebanyak RM11.127 bilion berikutan penurunan pungutan hasil cukai eksais dan cukai jualan atas kenderaan pemasangan tempatan.

“Syarikat permotoran tempatan terjejas teruk kerana dua bencana alam melanda dunia iaitu tsunami di Jepun dan banjir besar di Thailand yang mengakibatkan komponen pemasangan kenderaan tempatan terjejas,” katanya.

Selain itu, Levi Keuntu­ngan Luar Biasa meningkat melebihi 100 peratus dari RM288.93 juta pada 2010 kepada RM760.718 juta kerana peningkatan harga kelapa sawit melepasi threshold yang ditetapkan, iaitu RM2,500 setiap tan metrik di Semenanjung dan RM3,000 setiap tan metrik bagi Sabah dan Sarawak.

Zainul berkata, setelah mengambil kira jangkaan ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini, JKDM menetapkan unjuran kenaikan pungutan hasil yang sederhana iaitu sebanyak RM31.057 bilion dengan perubahan RM678 juta atau 2.23 peratus dari pungutan hasil pada 2011.

Menurutnya, komoditi yang dirampas di Pulau Pinang adalah 314 kes dan jumlah itu menurun berbanding tahun 2010 dengan 385 kes.

No comments:

Post a Comment