Monday, February 13, 2012

tanah pajakan sementara

Mahu pampasan lebih besar

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
kota@utusan.com.my


Flat kos rendah PKNS di Jalan Jelatek yang akan dirobohkan tidak lama lagi bagi memberi laluan kepada pembinaan projek mewah Datum Jelatek.

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Mengangkat sebuah kawasan perumahan kos rendah yang penuh dengan imej negatif menjadi sebuah bandar kosmopolitan pasti menjadi impian setiap penduduk sedia ada.

Tambahan pula apabila mengetahui kawasan kediaman mereka itu akan didirikan dengan empat bangunan moden setinggi 45 tingkat yang menempatkan kediaman, bangunan pejabat, pusat beli-belah dan hotel.

Hebat dan mengagumkan. Projek mega yang diilhamkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan dinamakan Datum Jelatek akan lahir di atas tapak flat kos rendah di Jalan Jelatek.

Projek dengan kos RM1.2 bilion itu bakal menjadi kenyataan dalam masa dua tahun selepas semua proses awal termasuk soal pampasan kepada penduduk terlibat diselesaikan.

Persoalannya ialah penduduk sedia ada yang mendiami kawasan itu menyifatkan tawaran pampasan sebagai tidak setara dengan harga tanah yang dimiliki sekarang dan bentuk projek yang bakal dibangunkan.

Terdapat dua blok kediaman di situ yang masih dihuni 650 keluarga manakala dua lagi yang sebelum ini dijadikan kuarters anggota tentera sudah dikosongkan.

Menurut penduduk, setiap pemilik kediaman di situ bakal menerima sejumlah RM250,000 manakala tuan punya kedai di tingkat bawah flat itu ditawarkan pampasan sebanyak RM450,000.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan di atas beberapa faktor.

Antaranya ialah kawasan itu merupakan kawasan pembangunan di ibu kota, berjiran dengan pusat bandar raya dan berhampiran dengan kemudahan awam yang utama.

Kata penduduk, walaupun perbincangan sedang berjalan, PKNS dilihat mula memberikan tekanan untuk 'menghalau' penduduk dengan menutup beberapa jalan keluar masuk di kawasan itu.

Seorang pemilik kedai makan di tingkat bawah flat berkenaan, Salim Alwi, 58, berkata, pegawai PKNS sudah dua kali datang ke kedainya untuk 'memujuk' dia supaya menerima jumlah pampasan yang ditawarkan.

Namun, katanya, harga itu dirasakan terlalu rendah berbanding bentuk pembinaan yang bakal didirikan, selain lokasinya yang terletak bersebelahan dengan bandar raya Kuala Lumpur.

"Kita sebenarnya tidak kisah jika ada pembangunan di sini, namun pertimbangkan pampasan yang hendak diberi dengan sewajarnya. Jika terlalu rendah, ia pasti membebankan kita kelak.

"Ini adalah perniagaan keluarga yang sudah dimulakan sejak 1976. Tawaran yang diberi terlalu rendah dan kita sudah mendapatkan bantuan guaman untuk hal ini," ujarnya.

Katanya lagi, surat notis juga sudah tiga kali dikeluarkan oleh PKNS supaya berpindah selain satu pertemuan pernah dibuat bersama penduduk di sebuah hotel berhampiran mengenai isu yang sama.

Bagaimanapun, katanya, rata-rata pemilik masih tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan walaupun tidak menolak pembangunan di kawasan Jelatek.

"Kita mahu pembangunan di sini namun pertimbangkan sama nasib pemilik di sini. Jangan pinggirkan kami sebagai pemilik sah di sini," tegasnya.

Beliau menambah, pemilik premis perniagaan di situ boleh bersetuju dengan pampasan sebanyak RM450,000 itu jika mereka turut diberikan satu unit ruang niaga baru apabila projek itu siap kelak.

Sementara itu, seorang penyewa rumah di flat itu, Najib Mohd., 31, memberitahu, dia ditawarkan untuk berpindah ke pangsapuri Permai Jaya yang terletak di kawasan Ampang.

Katanya, rumah 'ganti' itu turut ditawarkan untuk dijual dengan harga RM35,000 dengan syarat dia perlu berpindah sebelum bulan Mei depan.

"Saya diminta untuk memberi deposit sebanyak RM500 untuk berpindah sebelum Mei ini.

"Pegawai PKNS memberi notis secara serahan tangan namun kami belum membuat sebarang keputusan untuk berpindah kerana rumah baru itu jauh daripada tempat kerja," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali dengan nama Salleh berkata, dasar PKNS yang sepatutnya membantu orang Melayu tidak dipraktikkan dalam kes pembangunan di Jelatek.

Katanya, pembinaan kondominium mewah yang mungkin menjadi kebanggaan agensi kerajaan negeri Selangor itu tidak akan bererti jika kebajikan penduduk sedia ada tidak terbela.

Jelasnya lagi, PKNS seharusnya mempertimbangkan pampasan yang lebih tinggi.

"Kita ditawarkan RM250,000 untuk pampasan rumah di tempat paling strategik di ibu kota. Bayangkan harga ini untuk membeli rumah lain di Kuala Lumpur.

"Rasanya tidak dapat dengan harga ini kecuali mencari kediaman jauh di luar Kuala Lumpur," ujarnya.

Katanya, walaupun PKNS mahu membangunkan projek mewah di kawasan itu tetapi agensi itu tidak seharusnya meminggirkan penduduk sedia ada kerana ia hanya akan dilihat sebagai usaha 'melenyapkan' sebuah kawasan Melayu di ibu kota.

Apa pun, katanya, lambat-laun penduduk akan terpaksa juga keluar dari rumah mereka itu walaupun berat untuk melakukannya.

"Jika pampasan yang diberikan masih rendah seperti sekarang, kami tentu tidak mampu untuk terus tinggal di sini, malah untuk memiliki kediaman di ibu kota hanya tinggal impian sahaja," jelasnya.

No comments:

Post a Comment