Monday, March 19, 2012

pakai kondom

Pakai kondom haid tiga bulan lewat

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA berusia 26 tahun dengan ketinggian 161 sentimeter dan berat badan 72 kilogram. Saya masih menyusukan bayi dengan susu badan. Saya baru melahirkan anak lelaki empat bulan lalu.

Selepas sebulan, saya didatangi haid selama tujuh hari. Saya juga mengambil
pil perancang. Namun saya tidak meneruskannya kerana urusan perpindahan sekolah anak dan pulang ke kediaman dari kampung kerana berpantang dua bulan.


Sebelum saya bekerja semula, saya ke klinik kerajaan dengan tujuan hendak mengambil pil perancang. Tetapi jururawat menasihatkan saya supaya tidak mengambil pil perancang kerana saya sudah dua minggu tidak meneruskan memakan pil perancang kerana dikhuatiri saya hamil dan akan menjejaskan kandungan sekiranya saya memakan pil.

Saya diberikan kondom saja. Namun sehingga kini (tiga bulan) saya masih tidak didatangi haid. Saya juga tidak merasa tanda kehamilan.

Adakah saya perlu membuat pemeriksaan kebarangkalian saya hamil atau biarkan saja memandangkan saya masih menyusukan bayi dengan susu badan? Susu itu dicampur dengan susu formula di waktu siang. Harap doktor dapat berikan nasihat mengenai persoalan saya itu.

NORIZAN,
Ulu Tiram, Johor.


ANDA tidak lagi boleh menggunakan penyusuan badan sebagai kaedah mencegah kehamilan kerana:

Anda sudah didatangi haid selepas bersalin.

Anda tidak menyusukan bayi sepenuhnya.

Bayi juga sudah berusia lebih empat bulan.

Untuk anda, penyusuan badan tidak lagi menjamin pencegahan kehamilan. Namun, ketiadaan haid masih boleh disebabkan oleh penyusuan badan itu sendiri akibat peningkatan hormon prolaktin.

Sekiranya anda sudah pun mengamalkan kaedah kondom selama tiga bulan pada setiap kali bersama serta sebelum penetrasi zakar, kemungkinan kehamilan berpunca sewaktu anda tidak memakan pil sebulan selepas bersalin sememangnya kini hampir tiada jika ujian air kencing pada usia bayi dua bulan atau tiga bulan masih negatif.

Kaedah kondom juga sangat berkesan hanya jika diamalkan mengikut aturannya.
Anda boleh berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kehamilan, ujian ultrabunyi ke atas lapisan endometrium (lapisan yang membentuk haid) serta jika terdapat kantung kandungan di dalam ruang rahim.

Jika tiada masalah, doktor mungkin boleh memberikan anda ubat hormon untuk mendatangkan haid sebelum memulakan pil perancang terbabit.

Anda harus maklum bahawa pilihan jenis pil perancang bagi ibu yang masih ingin menyusukan badan terhad kepada pil perancang berhormon progestin saja.

No comments:

Post a Comment