Dari tiga ke 64 bahasa
|
SELAIN bahasa ibunda, sudah menjadi keperluan bagi masyarakat pada hari ini untuk menguasai bahasa kedua atau ketiga. Kemahiran komunikasi itu mampu menambah nilai dalam diri mereka.
Bagaimanapun, menguasai bahasa selain daripada bahasa ibunda sendiri menuntut kesabaran dan jati diri yang tinggi.
Seseorang itu perlu mengambil masa untuk mendalami dan memahami bahasa asing yang ingin mereka gunakan dalam pertuturan.
Lebih memburukkan keadaan, terdapat segelintir pelajar yang ingin menguasai bahasa kedua atau ketiga terpaksa menyerah kalah di pertengahan jalan kerana tidak dapat membiasakan diri dengan ejaan, maksud, struktur ayat dan juga hukum tatabahasa.
Menyedari kepentingan kepelbagaian bahasa kepada masyarakat dunia, Google Inc. memperkenalkan penterjemah alam maya melalui perkhidmatan Google Translate pada tahun 2006.
Saintis Penyelidikan Google Inc., Ashish Venugopal, memberitahu, terjemahan Google merupakan medium yang ditawarkan secara percuma kepada pengguna.
“Dengan menggunakan Google Translate, pengguna boleh mengakses maklumat berguna dengan mudah dan pantas.
“Google Translate membolehkan anda menterjemah ayat, dokumen, e-mel malah keseluruhan laman web dengan serta merta,” katanya melalui sebuah sidang video yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau menambah, rekod penggunaan pelbagai bahasa menunjukkan peningkatan yang tinggi dalam alam maya.
Justeru katanya, fungsi Google Translate amat penting bagi memastikan pengguna dapat memperoleh pelbagai maklumat berguna dengan mudah di hujung jari mereka.
“Penggunaan Google Translate juga dapat membantu seseorang menjalankan urus niaga perniagaan dengan lebih teratur dan mudah.
“Sebagai contoh, kita boleh menterjemah borang tempahan berbahasa Cina kepada bahasa Inggeris hanya dengan menekan butang papan kekunci,” ujarnya lagi.
Ashish memberitahu, sekiranya pengguna ingin membaca laman blog berbahasa Perancis pula, mereka boleh menggunakan Google Translate untuk memahami isi kandungan tersebut.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat memberi akses kepada pengguna untuk mengetahui lebih banyak kandungan maklumat yang terdapat di Internet.
“Dalam pada itu, pengguna yang menerima e-mel selain bahasa ibunda mereka boleh diterjemah menggunakan perkhidmatan ini.
“Ia sedikit sebanyak dapat membantu pengguna memahami isi kandungan e-mel yang dikirim kepada mereka,” jelasnya lagi.
Teknologi
Ashish memberitahu, semua terjemahan yang dilakukan Google Translate diperoleh melalui komputer.
Katanya, komputer akan menggunakan proses yang dipanggil terjemahan mesin statistik.
“Terjemahan mesin statistik merupakan kaedah istimewa apabila komputer kami menjana terjemahan berdasarkan corak dalam teks yang sangat besar.
“Proses tersebut dilakukan dengan menganalisis berjuta-juta dokumen yang telah diterjemahkan oleh penterjemah manusia,” ujarnya.
Ashish menjelaskan, teks yang telah diterjemahkan tersebut diperoleh daripada buku, organisasi seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan laman web dari seluruh dunia.
Tambahnya, ia akan mengimbas teks tersebut dengan mencari ragam statistik penting iaitu corak di antara terjemahan dan teks asal.
“Sebaik sahaja komputer menjumpai suatu corak ia boleh menggunakannya untuk menterjemah teks yang serupa pada masa hadapan.
“Bagaimanapun, untuk beberapa bahasa, kami tidak mempunyai banyak dokumen terjemahan sedia ada untuk memastikan kesempurnaan terjemahan keseluruhannya,” katanya.
Hal itu terjadi kerana jumlah corak dikesan oleh perisian tersebut adalah kurang berbanding bahasa yang mempunyai banyak bahan.
Ia sekali gus menyebabkan mutu terjemahan berbeza-beza mengikut bahasa dan pasangan bahasa.
“Kita juga sentiasa memperbaiki mutu terjemahan untuk memberi yang terbaik kepada pengguna.
“Pada masa yang sama, pengguna juga boleh memainkan peranan dalam memperbaiki mutu penterjemahan dengan memastikan lebih banyak dokumen dan artikel dalam bahasa ibunda berada dalam Internet,” katanya.
Pelbagai bahasa
Buat masa ini, Ashish memberitahu, Google Translate menawarkan sokongan 64 laras bahasa kepada pengguna.
Antara bahasa-bahasa yang disokong termasuk bahasa Inggeris, Rusia, Perancis, Jerman, Melayu, Jepun, Korea, Tamil dan Urdu.
“Secara tidak langsung, pengguna dapat mempelajari pelbagai bahasa asing dalam kehidupan mereka dengan mudah.
“Bagaimanapun, perkhidmatan Google Translate bukan bermakna orang ramai tidak memerlukan penterjemah manusia lagi,” terangnya.
Ashish menjelaskan, kewujudan aplikasi itu bukan pengganti kepada penterjemah manusia tetapi ekadar medium untuk membantu pengguna lebih memahami bahasa-bahasa lain.
Katanya, Google Translate juga dapat memastikan tiada halangan bahasa dalam kalangan pengguna global.
Aplikasi mudah alih
Sementara itu, Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia Sdn. Bhd., Zeffri Yusof berkata, pengguna mungkin pernah menonton laman web Youtube yang dimainkan dalam bahasa asing.
“Agak sukar memahami isi kandungan paparan Youtube berkenaan apatah lagi apabila tidak mengetahui makna yang diperkatakan dalam tayangan itu.
“Bagaimanapun, apabila menggunakan enjin pencarian Google, mereka boleh menyelaras sari kata di hujung kaki paparan skrin Youtube,” ujarnya.
Zeffri menambah, ia tentu sekali satu kemudahan yang baik dalam memberi maklumat kepada pengguna.
Selain daripada itu, beliau memberitahu, perkhidmatan tersebut juga boleh diguna pakai sebagai aplikasi dalam telefon mudah alih dan tablet pengguna.
“Dengan menggunakan aplikasi ini, ia dapat membantu pengguna memahami bahasa asing terutamanya apabila berada di luar negara.
“Ia juga dapat menterjemah bahasa asing dengan menggunakan kaedah suara daripada telefon mudah alih pengguna,” katanya.
Sebagai contoh Zeffri memberitahu, pengguna boleh menterjemah perkataan bahasa Mandarin kepada bahasa Inggeris dengan menggunakan kaedah suara tersebut.
Pengguna hanya perlu bercakap ataupun menaip perkataan yang ingin disampaikan pada peranti mereka dan ia akan menterjemah perkataan itu.
“Kemudahan ini akan dapat membantu pengguna berkomunikasi dengan lebih mudah dan lancar apabila berada di luar negara,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment