PERLU YAKIN...tonjolkan keupayaan, keyakinan serta pelbagai kemahiran diri untuk menambat hati majikan. - Gambar hiasan
“PERMOHONAN anda gagal kerana kami memerlukan pekerja berpengalaman saja.” Sebaris ayat ringkas namun mampu melunturkan semangat pencari kerja terutama di kalangan graduan baru yang masih berkobar-kobar mengisi pelbagai jawatan diiklankan di dada akhbar.
Biarpun bukan isu hangat, hakikatnya ramai graduan terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mencari pekerjaan sesuai apatah lagi jika pengalaman menjadi ukuran.
- BANYAK PILIHAN...pelbagai peluang pekerjaan ditawarkan masa kini, sekali gus menyangkal tanggapan majikan hanya memilih golongan tertentu. - Gambar hiasan
-
- TERIMA...jangan segan memilih pekerjaan bertahap lebih rendah untuk meraih pengalaman.
- CABARAN...jangan mudah berputus asa kerana peluang pekerjaan memang sentiasa terbuka luas. - Gambar hiasan
Rungutan menembusi tembok industri pekerjaan juga menjadikan masyarakat tertanya-tanya mengapakah majikan hari ini seperti enggan memberi peluang kepada graduan baru menunjukkan kemampuan.
Menggunakan alasan pengalaman sebagai syarat utama menolak permohonan, adakah ia penyebab ramai graduan hari ini sukar memperoleh pekerjaan?
Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Universiti Putra Malaysia (UPM), Bukryman Sabri berkata, tiada pengalaman bukan prasyarat utama graduan baru sukar memperoleh pekerjaan, sebaliknya sikap kurang optimis sewaktu temu duga selain gemar memilih pekerjaan menjadikan mereka gagal.
Beliau berkata, sebahagian besar majikan masa kini tidak terkongkong dengan pemikiran tipikal, malah semakin terbuka dan suka memilih pekerja muda di kalangan graduan biarpun tanpa pengalaman.
“Masalahnya bukan pada majikan yang selektif tetapi diri graduan sendiri kadangkala tidak serius melakukan tindakan. Mereka inginkan kerja tapi tidak serius, kurang bersedia dan akhirnya mencacatkan peluang diri sendiri.
“Justeru, jangan jadikan faktor tiada pengalaman dan majikan sebagai alasan. Ada baiknya melihat dan menilai diri dulu apakah kekurangan atau keistimewaan sedia ada.
“Apakah sudah bersedia bertemu serta ‘memikat’ mata dan hati majikan dengan jawapan yang bernas?” katanya.
Rungutan, rintihan mahupun kesukaran graduan baru tanpa pengalaman memperoleh pekerjaan bukan perkara baru, namun agak janggal jika masih berlaku pada saat industri sudah membuka peluang kerjaya seluasnya.
Apatah lagi orang luar memperakui negara ini bagai lubuk emas, graduan baru sebaliknya terus bersungut mengenai peluang yang dikatakan semakin mengecil.
Alasan tidak diterima bekerja kerana tidak berpengalaman hanya bagi menutup rasa kecewa tidak terpilih.
“Ia cukup rapuh dan satu cara memanipulasi rasa kecewa. Hari ini tiada sebab majikan menolak permohonan andai kata memenuhi kriteria dicari.
“Buktinya, orang yang kurang atau tiada kelulusan pun boleh mendapat pekerjaan, mengapa graduan yang lebih sengsara?
“Isu di sini bukan pengalaman tetapi sikap. Minda graduan ini perlu ‘diperbetulkan’ supaya mereka dapat melihat konsep serta makna pekerjaan sebenar,” katanya yang mengakui graduan tidak mahu pekerjaan yang seolah-olah memperlekehkan status mereka.
“Mereka meletak status ‘graduan’ di tempat tinggi dan berprestij. Pekerjaan di bawah tahap kelayakan akan menjatuhkan maruah dan menjadi buah mulut masyarakat.
“Bagi mereka, apa guna belajar pandai-pandai akhirnya menjadi pekerja bawahan. Justeru, mereka rela menganggur daripada menerima cemuhan.
“Benar sudah belajar tinggi dan ada kelayakan ijazah tetapi hinakah jika bekerja bukan sebagai pegawai?” katanya.
Graduan baru perlu memberi peluang kepada diri sendiri mencuba dan membuat eksperimen sebagai langkah pertama.
Mereka perlu mendidik diri supaya berlapang dada menerima pekerjaan ditawarkan meskipun hanya syarikat kecil.
“Jika sukar mendapat pekerjaan di syarikat gergasi, apa salahnya bermula di syarikat kecil, yang penting pengalaman.
“Malangnya, kebanyakan graduan tidak melihat skop ini kerana mereka hanya mahu bekerja di syarikat ternama, besar dan berhawa dingin,” katanya.
Beliau turut menafikan graduan tidak dibekalkan kemahiran mencukupi bagi membantu menempatkan diri dalam dunia pekerjaan sebenar.
“Semua institusi pengajian tinggi kini mewajibkan mahasiswa menjalani latihan industri yang juga medan memperoleh pengalaman biarpun tempohnya singkat.
“Modul pembelajaran turut dilengkapi aspek pembinaan sahsiah diri dan keusahawanan. Semuanya lengkap bagi membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik.
“Malah, majikan menerima kehadiran mereka melakukan tugasan praktikal. Jadi di mana silapnya jika tidak terpilih?
“Pekerjaan sentiasa ada, cuma graduan sendiri yang menyekat diri daripada memperoleh peluang itu,” katanya.
Graduan Management and Science University (MSU), Nurain Zahzali berkata, dia mengakui bahang persaingan mencari pekerjaan namun tidak pernah penat mencuba.
“Setiap kali temu duga, antara soalan wajib ialah ada pengalaman atau tidak. Soalan itulah yang menyebabkan saya sering putus asa.
“Saya memang tiada pengalaman tapi penuh keyakinan mampu melaksanakan tugasan dengan baik jika diberi peluang. Seharusnya aspek itu turut diambil kira,” katanya.
Dia mengakui bidang kerjayanya mencabar dan memang memerlukan mereka yang berpengalaman.
Sebagai jalan penyelesaian, graduan dari Kluang, Johor ini mengambil keputusan bekerja sambilan bagi menimba pengalaman.
“Ini saja caranya saya dipandang majikan. Biarpun hanya sambilan, saya menunjukkan kesungguhan dan komited,” kata pemegang Diploma Teknologi Makmal Perubatan ini.
Rakannya, Muhammad Rizaa Zainal Abidin berkata, sikapnya yang suka mencuba pekerjaan baru bersandarkan minat menyebabkan dia sering bertukar kerja.
“Saya akui walaupun cara ini kurang menyenangkan, ia mampu meningkatkan pengalaman sedia ada. Yang pasti, saya mencari pekerjaan yang benar-benar diminati.
“Majikan juga tidak sukar menawarkan pekerjaan kerana sudah ada pengalaman. Bagaimanapun, ia bukan penyebab saya senang memperoleh pekerjaan.
“Banyak lagi aspek lain dilihat majikan. Cuma sikap yang tidak betah bertahan di sesuatu tempat menjadikan saya masih tercari-cari pekerjaan sesuai,” katanya yang mengikuti Diploma Pengurusan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/02