Pindah pelajar kolej kejururawatan ke IPT lain
6 Julai 2012
Kementerian berusaha memindahkan kesemua mereka yang dipaksa berhenti pengajian itu ke mana-mana kolej kejururawatan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung berkata, senarai kolej terlibat akan diserahkan kepada pelajar, Isnin ini untuk proses pemilihan.
Beliau berkata, KPT sebenarnya sudah melakukan beberapa pertemuan dengan pihak pengurusan kolej yang gagal meneruskan operasi bersama pelajar dan ibu bapa sebelum ini.
“Pertemuan dilakukan sebelum keputusan dibuat dan pelajar boleh meneruskan pengajian ke kolej-kolej kejururawatan di seluruh negara melalui aktiviti pemudahcara.
“Keputusan ini agak lewat kerana melibatkan banyak isu seperti akademik, pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sehinggalah kita mengambil keputusan memindahkan pelajar yang sudah berada di semester empat, lima dan enam,” katanya pada sidang media sempena Majlis KPT Bersama Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Zon Selatan, di sini, semalam.
Kok Chung berkata, bagi mengelakkan masalah sama berulang, kementerian akan memastikan kesemua pelajar terlibat dipindahkan ke kolej bertaraf empat atau lima bintang dari segi kualiti.
Katanya. KPT tidak akan berkompromi dengan IPTS yang tidak memenuhi standard ditetapkan kementerian. "Kolej terbabit bakal dikenakan tindakan di bawah Akta 555 sebagai peringatan kepada IPTS lain untuk tidak mengabaikan kualiti dan standard operasi," katanya.
No comments:
Post a Comment