Wednesday, July 4, 2012

penyu

Menelusuri sungai, lihat penyu mendarat

Oleh Nurul Nafisah Mazlan
rencana@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MENDAMAIKAN...menyusuri Sungai 
Cherating yang dikelilingi pelbagai pokok bakau memberi ketenangan kepada peminat alam sekitar.
MENDAMAIKAN...menyusuri Sungai Cherating yang dikelilingi pelbagai pokok bakau memberi ketenangan kepada peminat alam sekitar.
PANTAI Cherating di Pahang adalah satu-satunya destinasi di pantai timur yang menjadi pilihan penggemar sukan luncur air berikutan keadaan ombaknya yang sesuai untuk aktiviti itu.
Malah, setiap kali monsun tiba, jenama sukan air terkenal, Billabong akan menganjurkan pertandingan luncur air dan ia mendapat sambutan menggalakkan peluncur air dari Australia, Jepun, Mesir, Indonesia dan Peru.
   
  • Foto DASAR LAUT...bagi yang mahu melakukan aktiviti snorkel, pengunjung perlu menaiki bot yang memakan masa hampir 30 minit untuk ke Pulau Ular.
  • Foto PENGAJARAN...aktiviti melepaskan anak penyu ke laut turut diadakan bagi meningkatkan kesedaran kepada orang ramai khususnya kanak-kanak.
  • Foto LIHAT...tidak mudah untuk menyaksikan penyu bertelur kerana ia bergantung kepada keadaan persekitaran pantai termasuk cahaya bulan.
  • Foto ANAK PENYU...Pusat Penerangan dan Santuari Penyu, Cherating mengambil inisiatif dengan menyediakan tempat perlindungan, penetasan, penyebaran maklumat dan penyelidikan mengenai penyu.
  • Foto MENARIK...masing-masing teruja melihat persekitaran bagi mengenal pasti binatang yang bakal kelihatan selepas itu.
  • Foto INDAH...pemandangan menarik di sekitar Pulau Ular.
Selain sukan luncur air, banyak destinasi menarik yang boleh dikunjungi jika datang ke Cherating, antaranya melihat penyu bertelur di Teluk Mak Nik, kelip-kelip di sungai Ibok, menyusuri Sungai Cherating, melawat kilang batik dan Santuari Penyu.

Selain itu, pantainya yang memutih turut menarik minat pelancong yang inginkan ketenangan sambil menikmati pemandangan Laut China Selatan.


Kunjungan lebih 20 rakan media termasuk wakil dari Thailand dan Singapura ke negeri Pahang anjuran The Legend Resort, baru-baru ini memberi pengalaman cukup berharga.


Pantai Teluk Mak Nik

Sungai teluk Mak Nik sering menjadi pilihan penyu mendarat di persisiran pantai untuk bertelur. Kami amat bertuah apabila terdapat seekor penyu jenis Agar naik ke darat kira-kira jam 9 malam untuk mencari tempat bertelur.

Bukan mudah melihat penyu bertelur kerana ia bergantung kepada keadaan persekitaran pantai. Jika bulan terlalu terang, ia tidak menarik perhatian penyu untuk naik ke pantai.

Malah, kami juga tidak dibenarkan membuat bising atau mengambil gambar menggunakan “flash” kerana ia mengganggu konsentrasi haiwan itu atau menyebabkan anak penyu yang dilepaskan ke laut hilang pedoman.

Lazimnya masa yang sesuai untuk melihat penyu bertelur di antara jam 8 hingga 10 malam atau sekitar 4 pagi.

Bagi membezakan jantina, penyu jantan memiliki ekor panjang dan hampir tidak pernah naik ke darat, manakala penyu betina akan kembali bertelur di pantai sama saban tahun.

Setiap malam terdapat enam renjer yang akan mengawal persisiran pantai untuk merekodkan kehadiran penyu.

Mungkin ramai tidak tahu, dalam 60 hingga 120 anak penyu yang menetas, hanya seekor atau tiada yang hidup kerana banyak ancaman seperti terperangkap dalam pukat, terkena kipas bot nelayan, penangkapan secara haram atau dimakan binatang buas.

Ancaman itu menyebabkan penyu kian pupus terutamanya jenis Belimbing yang tidak kelihatan di pantai Cherating sejak lima tahun lalu.

Bagi memastikan penyu terus kekal, Pusat Penerangan dan Santuari Penyu Cherating menyediakan tempat perlindungan, penetasan, penyebaran maklumat dan penyelidikan mengenai penyu.

Pusat itu turut menyediakan kemudahan galeri pameran, khemah untuk disewa, makmal dan kedai cenderahati.


Sungai Cherating

Hari kedua, kami menyusuri Sungai Cherating yang dikelilingi pelbagai jenis pokok bakau.

Tidak sampai 10 minit rombongan kami terlihat biawak yang menuju ke celah-celah akar pokok bakau. Selang lima minit selepas itu kami dikejutkan pula dengan pemandangan ular kapak bakau yang berwarna hitam kekuningan.

Masing-masing teruja melihat persekitaran bagi mengenalpasti binatang apa pula yang bakal kelihatan selepas itu.

Bagi yang mahu mendekatkan diri dengan alam semula jadi, menyusuri hutan paya bakau ini sehingga 10 kilometer jauhnya akan menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Hanya deruan air dan kicauan burung boleh didengari.

Sesekali jika bernasib baik pengunjung dapat melihat sekumpulan monyet bermata putih melintas di atas kepala.

Aktiviti menyusuri Sungai Cherating dimulakan sejak tahun 80-an, tetapi ketika itu hanya menggunakan sampan.


Sungai Ibok

Di waktu malam, kami menyusuri Sungai Ibok bagi menyaksikan kelip-kelip, aktiviti yang pasti seronok bagi mereka yang tidak pernah melihat serangga itu.

Kami tidak dibenarkan membuat bising atau menyalakan lampu kerana akan mengganggu serangga itu.

Walaupun bulan terang pada malam itu, kami tetap berpeluang melihat deretan pelbagai jenis pokok di saluti cahaya, seakan-akan pokok krismas.

Sesekali hati rombongan media berdebar-debar apabila suasana persekitaran amat gelap, namun pemandu pelancong yang berpengalaman menyebabkan hati menjadi tenang.

Jantina kelip-kelip boleh dibezakan dengan melihat cahaya dihasilkan, jika terang dan bersinar, itu jantan dan yang agak malam, kelip-kelip betina.

Cahaya yang dikeluarkan kelip-kelip dihasilkan melalui geseran cecair yang ada di hujung badannya. Apabila geseran terbentuk, maka cahaya akan keluar.


Pulau Ular

Berkunjung ke Cherating tidak lengkap jika tidak memenaiki ‘banana bot, ‘band wigon’, snorkel, jet ski atau ke Pulau Ular dengan menaiki bot laju.

Dengan deruan ombak yang kuat, aktiviti itu sesuai dilakukan bersama keluarga, rakan-rakan atau orang tersayang.

Bagi yang mahu melakukan aktiviti snorkel, anda boleh menaiki bot ke Pulau Ular yang mengambil masa 30 minit.

Terdapat pelbagai jenis hidupan laut di sekitar pulau itu dan waktu paling sesuai untuk aktiviti itu ialah di pagi hari kerana ikan aktif mencari makanan.

Anda juga boleh memanjat bukit untuk melihat keadaan sekeliling termasuk sebuah pulau kecil, Pulau Helang di bahagian belakang Pulau Ular.

Ia digelar sedemikian kerana hanya terdapat seekor helang yang mendiami pulau itu.

Semasa kami tiba di puncak bukit, burung helang itu memang sedang berlegar-legar mengelilingi kawasan kediamannya itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/06/27




No comments:

Post a Comment