Friday, September 14, 2012

27 sen sehari bayar kpd indah water

Hanya 27 sen sehari


KOS pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi. - Gambar hiasan


BAYANGKAN keadaan ini - kawasan persekitaran dipenuhi najis dan air kotor akibat limpahan air kumbahan di lubang pembetungan dan tangki septik serta kerosakan loji rawatan kumbahan.
Sungai turut menerima nasib serupa jika dicemari limpahan air kumbahan dan sisa buangan berbau.
"Inilah yang akan berlaku sekiranya tiada perkhidmatan pembetungan. Air kumbahan yang tidak dirawat bukan sahaja berbau busuk malah mengandungi bakteria berbahaya yang akan membawa pelbagai penyakit serta menjejaskan alam sekitar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK), Datuk Abdul Kadir Mohd. Din.
Katanya, kesedaran mengenai kepentingan perkhidmatan pembetungan sebenarnya kian meningkat berdasarkan kutipan pembayaran bil tahun ini sebanyak 83 peratus, jauh berbanding kutipan tahun 1997, yang hanya 54 peratus.
Namun, masih ada yang ambil mudah dan tidak peduli.
Tarif perkhidmatan pembetungan yang disediakan IWK adalah antara yang terendah di dunia, iaitu hanya 27 sen sehari, atau secara kasarnya RM8 sebulan untuk sistem pembetungan bersambung kepada loji rawatan kumbahan awam.
Kadar caj itu sebenarnya tidak pernah berubah selepas hampir dua dekad.
Kenapa minta percuma?
Namun begitu, hal yang menghairankan adalah masih ada yang mengharapkan ia diberi percuma sedangkan kos pengurusan pembetungan kian meningkat ekoran pertambahan populasi, penyelenggaraan dan aplikasi teknologi terbaharu.
"Ada sesetengah pengguna masih merasakan perkhidmatan kami tidak penting buat mereka. Trend yang biasa kita lihat adalah mereka merasakan perkhidmatan lain seperti telekomunikasi, hiburan dan sebagainya adalah mustahak dan bukannya perkhidmatan pembetungan," kata Abdul Kadir lagi.
Antara puncanya mungkin pengurusan pembetungan ini merupakan faktor 'tidak nampak' ataupun mereka kurang faham dengan proses dan keperluannya.
Berbanding utiliti lain seperti jika bekalan elektrik terputus semua peralatan elektrik tidak boleh diguna, atau jika tiada bekalan air, sekejapan sahaja segala urusan harian terganggu, maka pengguna patuh membayar bil setiap bulan.
Antara yang dipersoal sebagai alasan untuk tidak membayar caj perkhidmatan pembetungan ialah pekerja IWK tidak pernah kelihatan di kawasan perumahan mereka dan pelanggan tidak nampak khidmat yang diberikan.
IWK menghantar bil untuk perkhidmatan pembetungan pelanggan domestiknya enam bulan sekali itu, tetapi mulai tahun ini, setiap tiga bulan sekali.
Pembayaran bil IWK amat penting bagi membiayai kos operasi dan penyelenggaraan hampir 6,000 buah loji dan 16,000 kilometer (km) saliran paip pembetungan bawah tanah dari premis-premis ke loji rawatan kumbahan.
Perkhidmatan efisien
Perkhidmatan 'tidak nampak' itu sebahagian besarnya melibatkan pengurusan sistem pembetungan (paip pembetungan yang berselirat di bawah tanah) yang menyambungkan premis ke loji rawatan kumbahan.
Ia juga melibatkan kerja teknikal seperti perancangan sistem pembetungan, perkhidmatan perakuan perancangan sistem pembetungan pemaju, penilaian persekitaran dan spesifikasi kejuruteraan sistem pembetungan.
Khidmat yang dilaksanakan di sebalik tabir dan tidak menarik perhatian segelintir masyarakat ini, sebenarnya menunjukkan perkhidmatan IWK dalam pengurusan air kumbahan negara adalah efisien.
Buktinya, kehadiran IWK hanya boleh dikesan dan dilihat diperlukan apabila timbulnya masalah pembetungan tersumbat.
Pembuangan sisa kumbahan
Jujurnya, berapa ramaikah antara kita pernah memikirkan ke manakah perginya air najis apabila sudah dipam dari tandas? Dengan adanya kemudahan tandas moden, sistem pembetungan disambung ke loji rawatan kumbahan. Najis dan sisa kumbahan itu seterusnya dilupus dan dirawat dengan betul. Ini harus dilakukan sebelum ia terlepas ke sungai atau persekitaran.
"Air sisa menerusi sistem paip penyambungan akan disalurkan ke loji untuk dirawat. Di situ, ia akan dirawat untuk jadikan air itu jernih dan selamat dilepaskan ke alam sekitar. Mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar air sisa itu harus hilang bau dan rupa. Inilah tanggungjawab IWK yang kurang difahami orang ramai.
"Kerjanya kotor, sukar dan berbahaya dan tidak semua orang boleh buat," kata Abdul Kadir sambil menambah, air kumbahan juga tidak boleh dibuang begitu sahaja kerana boleh menyebabkan berlakunya epidemik penyakit bawaan air seperti taun, demam kepialu, leptospirosis dan lain-lain penyakit berjangkit . - Bernama

No comments:

Post a Comment