Tuesday, September 18, 2012

chef arab

Ganjaran lumayan bekerja di Malaysia



MENJAMU selera dengan masakan Arab kini seumpama satu fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan.
Meskipun harganya agak mahal berbanding di restoran biasa, ia bukanlah penghalang kepada orang ramai memenuhi restoran Arab terutama di Kuala Lumpur.
Hidangan kebab kambing atau ayam dengan ramuan tersendiri sudah cukup membuatkan pelanggan terliur.
Tidak cukup dengan itu, nasi Mandy yang menggunakan beras istimewa berlaukkan daging kambing panggang atau ayam panggang yang lembut memberikan kepuasan kepada penggemarnya.
Di sebalik percambahan restoran Arab di negara ini, ia turut membuka peluang kepada golongan chef dari Asia Barat mencari peluang pekerjaan di negara ini.
Meskipun sebahagian pekerja terpaksa berkorban dengan meninggalkan anak isteri di negara kelahiran mereka, tawaran gaji yang lumayan dan insentif-insentif lain antara faktor mereka sanggup berkelana di negara ini.

MOHAMMAD (kiri) mahir memasak pelbagai juadah Yemen sejak umurnya 14 tahun.


Selain itu, bukan mudah bagi pemilik restoran untuk mencari chef masakan Arab warga tempatan yang mampu memasak masakan tersebut dengan baik.
Sehubungan itu, pemilik-pemilik restoran sanggup pulang ke negara asal masing-masing bagi mendapatkan chef-chef yang memenuhi kehendak mereka.
Mohammad Hamood, 33, dari Yemen antara individu yang mencari rezeki dengan bekerja di Restoran Hadramawt Palace di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Bapa kepada lapan orang anak itu sanggup berhijrah ke negara ini setelah dijanjikan tawaran gaji dua kali ganda berbanding ketika bekerja sebagai chef di negaranya.
"Demi menyara keluarga, saya perlu berkorban meninggalkan tanah air, isteri dan anak-anak.

REPUTASI Malaysia menyebabkan ramai Chef dari Asia Barat tidak kisah meninggalkan anak dan isteri untuk bekerja di sini.


"Reputasi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju membuatkan saya tidak berfikir banyak kali untuk menerima tawaran kerja ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mahir memasak masakan Yemen sejak berusia 14 tahun, minat tersebut berputik hasil didikan bapanya yang memiliki sebuah restoran di negara tersebut.
Walaupun tidak memiliki sebarang kelulusan formal dalam bidang masakan, pengalaman yang ditimba selama dua dekad membuktikan kepakaran yang dimilikinya.
Berada di negara ini sejak awal tahun lalu, rutin kerja Mohammad sebagai ketua chef agak padat.
Bermula seawal pukul 11 pagi, dia akan memastikan segala keperluan restoran mencukupi termasuk sayur-sayuran, rempah-ratus, ayam dan daging kambing.
Selain menyediakan kelengkapan tersebut, beliau juga bertanggungjawab perlu memberi arahan dan memastikan lapan chef lain di restoran berkenaan menyediakan menu-menu pada hari tersebut.
"Saya tinggal di asrama yang disediakan majikan, jadi tiada masalah untuk datang ke tempat bekerja. Pada hari cuti, saya akan berehat di asrama dan kadangkala bersiar-siar bersama rakan-rakan di Bukit Bintang.

AMMAR


"Bagi menghilang perasaan rindu kepada keluarga, saya akan menghubungi mereka tiga kali seminggu," katanya yang menjadikan pusat beli-belah KLCC sebagai pilihan untuk bersantai.
Sepanjang berada di negara ini, Mohammad turut menggemari makanan tempatan iaitu nasi lemak.
Jatuh cinta
Bagi Ketua Chef dan Pengurus Restoran Persia di Jalan Ampang, Sayeden Fatemeh Ahmadian, 45, faktor utama penghijrahannya ke Malaysia sedekad lalu ialah bagi memastikan anak-anaknya mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Dia yang berasal dari Teheran, Iran mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 17 hingga 30 tahun.
Di negara asalnya, peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi agak terhad. Jumlah mereka yang sepatutnya bakal menduduki peperiksaan ketika itu sekitar 150,000 orang pelajar tetapi hanya 15,000 sahaja yang dibenarkan.

SAYEDEN Fatemeh (kiri) memberi tunjuk ajar dan memantau penyediaan makanan dan minunan di Restoran Persia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.


"Suami saya, Sayed Hossin Najati diberitahu oleh rakannya tentang Malaysia yang menawarkan pelbagai tarikan seperti peluang menyambung pelajaran, pilihan untuk menetap dan sebagainya.
"Dia datang awal tiga bulan daripada kami bagi melihat peluang yang ada termasuk mendapatkan tempat anak-anak menyambung pelajaran.
"Pada masa yang sama, terdapat tawaran untuk membeli restoran dan kami mengambil keputusan membelinya. Secara automatik saya menjadi chef utama kerana memiliki kemahiran memasak makanan Iran," katanya yang kini menyukai suasana Malaysia.
Restoran Persia menyediakan pelbagai menu masakan Iran dan Arab termasuk makanan tempatan.
Pada peringkat awal berada di negara ini, setiap tahun Sayeden Fatemeh pulang ke negara asal, namun kini mengakui telah 'jatuh cinta' dengan kehidupan di Malaysia.
"Saya suka bercuti di pulau-pulau yang terdapat di Malaysia seperti Pulau Pangkor selain membeli-belah dan mencuba makan masakan tempatan," katanya yang turut bertanggungjawab mengajar chef-chef di restoran tersebut.

CHEF-CHEF dari Asia Barat sanggup berhijrah untuk bekerja di restoran Arab di negara ini ekoran tawaran gaji serta insentif yang lebih lumayan. - Gambar hiasan


Kongsi rahsia
Sementara itu, Chef Ammar Al Ali yang popular dalam rancangan Hidangan Barakah yang disiarkan pada bulan Ramadan lalu di saluran televisyen tempatan tidak lokek berkongsi rahsia masakan Arab kepada para penonton.
Beliau yang berhijrah ke negara ini sejak 26 tahun lalu turut memberi nafas baharu dalam program masakan di negara ini.
"Saya kongsi semua rahsia masakan bersama para penonton. Ibu pernah berpesan kepada saya agar berkongsi ilmu dan jika rahsia masakan itu didedahkan, rasa masakan yang dihasilkan tetap berbeza.
"Hidangan Barakah merupakan program masakan pertama seumpamanya di negara ini yang dimulakan dengan doa, bacaan zikir dan al-Quran," katanya berkahwin dengan wanita tempatan. Chef Ammar mempunyai tiga orang anak.
Berasal dari Jordan, Chef Ammar mempunyai pengalaman luas dalam bidang masakan dan pernah bekerja sebagai chef di sembilan hotel di negara ini.
Beliau pada mulanya datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di beberapa buah kolej dan universiti atas cadangan arwah bapanya yang ketika itu bekerja di Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai arkitek kapal terbang.
Pada tahun 2001, beliau memulakan kerjaya chef di sebuah hotel di Pulau Pinang sekali gus merupakan chef pertama memasak masakan Arab dalam industri hotel di negara ini.
Kini beliau lebih selesa tinggal di Malaysia dan hanya sesekali pulang ke kampung halamannya di Jordan.
"Jika pulang ke Jordan, saya tidak tinggal lama kerana rindukan Malaysia," katanya yang dilarang masuk ke dapur oleh ibu dan neneknya sehingga usianya 10 tahun.
Sudah menjadi budaya masyarakat negara itu, ruangan dapur didominasi oleh golongan wanita, namun atas minat yang mendalam, ibu dan nenek telah mengajarnya rahsia masakan Arab.
Dalam masa terdekat ini, beliau juga akan mengadakan kelas masakan yang dibuka kepada orang ramai.
Justeru, kepada yang ingin berhubung atau mengetahui perkembangan Chef Ammar boleh melayari laman Facebook Hidangan Barakah.

No comments:

Post a Comment