Tuesday, October 11, 2011

4x4

Cinta Narimah pada 4x4


Walaupun menyertai sukan lasak, ia tidak bermakna Narimah hilang sifat-sifat femininnya.


TIDAK ada siapa pun pernah memaksa Narimah Samat, 37, menceburi bidang lasak. Wanita berasal dari Kota Tinggi, Johor ini, secara semula jadinya memang menyukai cabaran dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, jadi tidak hairanlah apabila dengan mudah dia jatuh cinta pada aktiviti bersama jentera lasak pacuan empat roda (4x4) .
Narimah mengakui dia minat mencuba sesuatu yang baru dan dapat menguji keupayaan diri.
Sementelah dirinya sendiri begitu mencintai alam sekitar terutama hutan dan alam semula jadi yang belum lagi diterokai.
“Tidak saya nafikan juga, minat ini berputik daripada dorongan kawan-kawan yang sudah lama terlibat dengan aktiviti 4x4. Mereka menggalakkan saya supaya meneroka aktiviti ini dengan lebih mendalam lagi.
“Saya mula mengenali aktiviti lasak ini semasa bertugas sebagai pegawai perhubungan awam dalam penganjuran acara yang melibatkan aktiviti 4x4 iaitu Go Green 4x4 (Selangor – Negeri Sembilan) dan Green Rough Road Rally (GRRR Perlis) pada tahun 2008.
‘‘Tapi, trip pertama yang betul-betul membuatkan saya tertarik ialah apabila apabila seorang rakan mengajak saya mengikuti ekspedisi bersempena sambutan kemerdekaan pada bulan Ogos 2008 ke Sungai Phukin, Selancar, Johor,” ujar pemilik Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Pemasaran dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor ini.
Menurut Narimah yang mesra dengan panggilan Narin, pengalaman terhuyung-hayang dalam jentera 4x4 yang tidak bertingkap, tiada penghawa dingin yang dilengkapi dengan spesifikasi offroading melalui pelbagai halangan seperti sungai, bukit, lopak lumpur, laluan berbatu dan membuat jambatan dari pokok kayu memberikan keterujaan yang maksimum.
Apatah lagi, trip pertama beliau melibatkan sebuah jentera 4x4 yang dihempap pokok pada waktu tengah malam semasa sesi menyelamat menggunakan teknik winch.
“Memang hati sudah tertambat dengan 4x4. Dua minggu selepas itu, saya mengikuti satu lagi ekspedisi hardcore ke Sungai Liang, Raub, Pahang. Apa yang menariknya, ia jatuh pada bulan Ramadan.
“ Selepas itu, saya terus mengikuti beberapa ekspedisi hardcore, medium dan light and easy (istilah tahap kesukaran yang digunakan dalam aktiviti 4x4) ke tempat-tempat menarik dan mencabar seperti Sungai Terengganu Mati, Telemong, Kuala Mu, Ulu Slim, Sungai Bil, Kerling dan beberapa lokasi lagi,” jelas pemenang Juara program realiti TV3 Explorace (Musim 2) bersama rakan baik Mohd Hanif Abdul Rahman.
Cabaran untuk wanita
Narimah mengakui memang sukar untuk menarik minat golongan Hawa menceburkan diri dalam arena 4x4.
Antara yang menjadi penghalang termasuk perasaan takut dengan pandangan orang kerana sukan lasak tersebut sering didominasi golongan lelaki.
Selain itu, jadual kerja yang ketat, tiada rakan yang sama minat, ahli keluarga atau pasangan yang menghalang, takut cedera, kurang sokongan kewangan dan tidak boleh memandu kenderaan secara ‘manual’ juga menjadi halangan bagi mereka.
“Sebenarnya rasa takut boleh diatasi. Sebagai permulaan untuk berasa selamat dan seronok memadai sekadar menjadi penumpang atau jumper di mana mereka tidak perlu memandu kenderaan sendiri.
“Dengan cara ini, mereka dapat merasai pengalaman meredah hutan dalam jentera 4x4 dengan cara yang selamat kerana jentera dipandu oleh orang yang berpengalaman.
“Aktiviti rekreasi seperti merentas hutan ke air terjun, mandi sungai, memancing, mengambil foto alam semula jadi dan menyumbang kepada kaum pribumi Orang Asli sedikit sebanyak memupuk minat mereka untuk terus mengenali sukan 4x4.
“Selepas lebih dua tahun saya memperkenalkan 4x4 yang menjurus kepada aktiviti rekreasi, sekarang ada rakan-rakan wanita yang telah membeli jentera sendiri dan memandu ke laluan off road yang lebih mencabar,” jelasnya yang kini merupakan pemilik dan Pengarah Urusan, Red Adventure Sdn. Bhd.
Kepuasan 4x4
“Saya memang gemarkan aktiviti-aktiviti lasak semenjak di bangku sekolah lagi. Antara aktiviti yang diceburi termasuk mendaki gunung dan berkayak selain aktif dalam pelbagai bidang sukan termasuk balapan, bola jaring, bola tampar dan softball.
“Saya juga sering terpilih untuk mewakili negeri, universiti dan syarikat dalam pelbagai acara sukan dan cabaran lasak,” jelas Narimah lagi.
Walau bagaimanapun, kepuasan yang tidak terhingga baginya adalah apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang tidak tersentuh dek pembangunan.
Ini kerana, lokasi-lokasi tersebut terletak jauh dari jangkauan dan keupayaan kenderaan biasa sebaliknya hanya boleh dilalui oleh pacuan empat roda.
Hutan yang penuh dengan flora dan fauna alam, sungai yang jernih, sejuk dan segar serta udara nyaman yang dinikmati ketika berada dalam hutan merupakan satu kenikmatan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Selain itu, dalam setiap ekspedisi sama ada overland atau offroad pasti ada rakan baru yang dikenali dari pelbagai kelab dan kumpulan di seluruh pelosok negara.
“Bukan itu saja, saya juga berpeluang berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan dari negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.
‘‘Pernah juga saya menyaksikan pertandingan yang dianjurkan di Kalimantan iaitu Bumi Tambun Bungai 4x4 Extreme Challenge pada 2010 dengan menerima pelawaan Ibu Riana Lesmanawati yang juga setiausaha peribadi Presiden Indonesian Offroad Federation (IOF),” ujarnya penuh teruja.
Bagi Narimah, wanita tetap wanita walau apa pun bidang yang diceburi dan aktiviti yang dilakukan.
“Setiap orang mempunyai minat dan cara yang tersendiri, cuma bezanya sukan 4x4 agak lasak dan wanita merupakan golongan minoriti yang menyertainya.
“Apa yang penting, kita mesti pandai menyesuaikan diri dan menjaga imej sebagai wanita di mana masih ada batas-batas yang perlu diikuti. Dengan menyertai aktiviti 4x4 saya juga dapat membuktikan bahawa wanita berupaya untuk melakukan aktiviti lasak tanpa ada niat untuk menunjuk-nunjuk mahupun berbangga diri.
“Jika ada wanita yang berminat menyertai sukan ini, nasihat saya, just do it! . Cari jalan untuk menyertainya. Singkirkan segala halangan yang ada di depan mata, kumpulkan tekad dan anda tidak akan menyesal,” katanya yang yakin dengan aspek keselamatan sukan 4x4.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment