Saturday, October 8, 2011

lesu seks

Punca lesu seks

Soalan:
UNTUK makluman pihak tuan, saya berusia sekitar 52 tahun dan menghidap diabetes sejak 17 tahun yang lalu. Selepas pemeriksaan baru-baru ini, saya juga disahkan mempunyai masalah kolesterol yang tinggi.

Kini saya sedang mengambil ubat untuk menangani masalah - masalah tersebut. Adakah keadaan-keadaan ini menyumbang kepada kelesuan dan dalam masa yang sama menjejaskan prestasi hubungan intim saya? Adakah keletihan dan kualiti hubungan intim boleh diperbaiki dengan makanan tambahan?'

n R, Selangor.

Saudara R,

JAWAPAN

Terima kasih di atas soalan yang ditanya. Sebagaimana yang kita sedia maklum, diabetes menjadikan seseorang itu berisiko tinggi untuk mendapat masalah jantung atau penyakit kardiovaskular lain. Apabila seseorang mengidap diabetes, peluang untuk mendapat masalah lain seperti darah tinggi (hipertensi) dan paras kolestrol tinggi dalam darah (hiperkolesterolaemia) juga tinggi. Ini tidak termasuk komplikasi-komplikasi diabetes itu sendiri. Di usia 50-an, rawatan yang agresif perlu diberikan agar tahap gula, tekanan darah dan kolesterol dalam darah adalah dalam tahap yang terkawal. Ini bagi memastikan saudara tidak mendapat penyakit kardiovaskular dan komplikasi diabetes dalam jangkamasa yang singkat. Dengan kata lain, ubat-ubatan adalah diperlukan selain dari mengawal dengan cara menjalani kehidupan yang sihat. Berkenaan dengan ubat bagi menurunkan paras kolesterol, kebiasaan ubat yang diberikan dipanggil kumpulan statin sama ada atorvastatin, pravastatin, lovastatin, simvastatin dan sebagainya.

Ia cukup berkesan dalam menurunkan paras kolesterol dalam darah dan kesannya terhadap penurunan kadar penyakit kardiovaskular juga telah terbukti. Walaubagaimanapun, ia tidak dapat lari dari memberi kesan negatif terhadap sesetengah pesakit termasuklah seperti yang dialami oleh saudara. Masalah disfungsi ereksi, kurang nafsu, keletihan adalah antara masalah-masalah yang kerap dilaporkan.

Ia juga boleh memberi kesan seperti kekejangan otot, sakit otot-otot dan sebagainya. Jadi, eloklah saudara berjumpa dan berbincang dengan doktor saudara berkenaan masalah saudara. Doktor biasanya akan meneliti kesan-kesan yang dihadapi saudara sebelum membuat keputusan untuk memberhentikan ubat dan/atau menukar ubat yang saudara ambil mengambil kira faktor-faktor risiko seperti yang saya sebutkan di atas.

Kesan diabetes

Untuk makluman saudara, masalah disfungsi ereksi memang kerap berlaku di kalangan pengidap diabetes. Ini kerana kesan diabetes terhadap saraf-saraf dan saluran darah yang mengalir ke zakar. Walaubagaimanapun, sekarang banyak ubat-ubat yang telah terbukti memberi kesan positif terhadap masalah ini. Saudara cuma perlu berjumpa doktor dan menceritakan masalah saudara. Jika tidak ada kontraindikasi, doktor akan mempreskripsikan ubat-ubatan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah saudara. Jika masih tidak pulih, saudara boleh membuat temujanji dengan pakar kesihatan lelaki atau pakar urologi untuk rawatan lanjut. Saya tidak menggalakkan saudara untuk mengambil makanan tambahan sekiranya saudara mengamalkan pemakanan sihat sesuai dengan masalah kesihatan saudara. Jika saudara ingin mencuba apa-apa makanan tambahan, eloklah berbincang dengan doktor bagi memastikan ia selamat dan sesuai untuk dimakan. Selamat berjaya

Buat pemeriksaan terperinci

Soalan

SAYA berumur 25 tahun mempunyai beberapa kemusykilan berkaitan kesihatan prostat saya. Saya tidak pasti adakah saya sihat atau sebaliknya. Antara masalah - masalah saya itu adalah seperti sukar kencing, kencing tersekat-sekat dan kerap kencing malam. Kadangkala semasa membuang air kecil, saya terasa sakit dan terpaksa mengambil masa yang lama untuk membuang air kecil.

Selain itu, paha hingga kaki ada ketikanya mengalami kejang atau seperti sakit urat. Pinggang saya juga terasa sakit termasuklah kadangkala sakit semasa berjalan. Saya juga mengalami sakit leher, bahu dan seluruh pergelangan sendi.

Saya pernah membaca berkaitan masalah kanser prostat dan daripada apa yang saya fahami, tanda-tanda awalnya adalah seperti yang saya alami. Apakah langkah- langkah yang saya perlu ambil dan di manakah saya boleh mendapat rawatan?

n Jejaka stres, Johor.

JAWAPAN

Saudara jejaka stres,

Saya berharap saudara telah pun berjumpa dengan pengamal perubatan berkenaan masalah saudara dan saya doakan keadaan saudara telah pun pulih. Ini kerana simptom-simptom yang saudara maklumkan besar kemungkinan bukan disebabkan oleh kanser prostat tetapi disebabkan oleh masalah-masalah yang akut contohnya jangkitan kuman dalam air kencing atau pundi kencing dan mungkin juga disebabkan batu karang walaupun di usia 25 tahun ia agak jarang berlaku. Begitu juga kanser prostat yang juga jarang berlaku di usia saudara sekarang. Saya telah menjelaskan berkenaan kanser prostat di dalam siri-siri yang lalu. Nasihat saya, buat pemeriksaan terperinci dengan doktor termasuk pemeriksaan air kencing, darah dan mungkin ultra bunyi jika perlu. Untuk makluman saudara, jangkitan kuman dalam air kencing atau punding kencing juga tidak kerap berlaku di kalangan lelaki berbanding wanita. Jika ia berlaku di kalangan lelaki, doktor perlu mencari punca masalah tersebut. Saudara boleh mendapatkan rawatan di klinik-klinik kesihatan yang berdekatan. Jika ia berlarutan, saudara mungkin perlu membuat temujanji dengan pakar urologi di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta.

No comments:

Post a Comment