Monday, October 10, 2011

kamera dslr

Kamera DSLR kegilaan remaja


AHMAD Shafuan Abdul Razak bersama kamera digital lensa refleks tunggal kesayangannya. – utusan/Malinda Abdul Malik


PULAU PINANG 10 Okt. - Masihkah anda ingat lebih sepuluh tahun lalu di mana kamera yang digunakan ketika majlis perkahwinan, konvokesyen dan perkahwinan masih menggunakan filem?
Namun, kepesatan teknologi dan penghasilan pelbagai gajet elektronik menyebabkan penggunaan kamera jenis itu semakin dilupai.
Antara peralatan di pasaran masa kini yang diminati serta mendapat permintaan tinggi adalah kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR).
Sedar atau tidak, fenomena fotografi kini bukan lagi melanda golongan jurugambar profesional, malah ia sudah meresapi budaya anak-anak muda yang baru bertatih dalam bidang berkenaan.
Kegilaan terhadap bidang fotografi dilihat semakin ketara sejak kemunculan pelbagai model kamera DSLR yang boleh diperolehi pada harga berpatutan.
Seolah-olah ia sudah menjadi trend di mana anak-anak muda berebut-rebut mahu mendapatkannya.
Ternyata kehadiran kamera DSLR memberi impak positif, sekali gus mendorong orang ramai melibatkan diri dalam dunia fotografi tanpa batasan.
Bagi Ahmad Shafuan Abdul Razak, 22, kehadiran kamera DSLR memberi banyak peluang kepadanya untuk menambah pendapatan selain meramaikan lagi kenalan yang mempunyai minat sama dalam menghasilkan foto kreatif.
Dia yang baru dua tahun berkecimpung dalam bidang fotografi mengakui akan berasa puas selepas melihat hasil karyanya dipuji serta dihargai oleh rakan-rakan selepas dimuat naik ke dalam blog dan laman sosial Facebook.
“Kegilaan kamera DSLR pada masa kini bukan asing lagi kerana ke mana sahaja kita pergi, pasti akan ada remaja membawa alat itu bagi merakamkan gambar mereka tidak kira di mana.
“Gaya hidup moden dan urban pada hari ini memperlihatkan situasi yang cukup menarik. Orang ramai kini tidak hanya obses pada kecanggihan telefon bimbit tetapi pada masa sama kamera digital,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, bermodalkan kamera dan sedikit asas fotografi, kini dia sibuk dengan jemputan daripada pelbagai pihak yang mahu mendapatkan khidmatnya bagi merakamkan detik-detik bersejarah seperti hari pernikahan, majlis resepsi pengantin dan majlis rasmi.
Ahmad Shafuan menjelaskan, musim cuti persekolahan merupakan masa yang paling sibuk baginya kerana pada waktu itu.
Ketika itu, jelasnya, jurufoto sepertinya akan meraih durian runtuh apabila menerima banyak undangan daripada pelbagai pihak.
Bagaimanapun, ujarnya, dia tidak hanya menumpukan kepada perkhidmatan jurugambar pada majlis perkahwinan malah sedang merancang untuk membuka syarikat produksi sendiri bagi melebarkan sayapnya kepada fotografi jenis lain.
Remaja yang aktif dan mudah mesra ini juga tidak lokek dengan ilmu yang dimilikinya apabila sepanjang temu bual, dia sering berkongsi teknik yang boleh diaplikasi wartawan sambilan dalam menjalani tugas seharian.
Turut berkongsi minat sama, Rezuan Muhammad Sharif, 25, yang menjadikan hobi fotografinya sebagai sumber pendapatan sampingan.
Rezuan berkata, dia melabur ribuan ringgit bagi memiliki pelbagai jenis kamera DSLR dan aksesori yang sesuai dalam menghasilkan foto kreatif.
Katanya, bagi menghasilkan foto kreatif, seseorang jurugambar bukan sahaja memerlukan kemahiran mendapatkan posisi menarik dan kamera berkualiti malah perlu menguasai teknik mengubahsuai gambar agar foto akan kelihatan lebih unik.
Dia yang berkelulusan dalam bidang pelancongan berkata, lokasi juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan gambar menarik.
“Sebelum melakukan sesi fotografi, saya dan rakan-rakan akan berbincang mengenai lokasi sesuai, namun ia bergantung kepada tema gambar yang akan dihasilkan.
“Tapi saya lebih menggemari gambar berlatar belakangkan keindahan flora kerana ia lebih kelihatan neutral selain dapat meluahkan perasaan saya yang cintakan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Bagi pembaca yang mahu melihat hasil gambar dirakamkan Ahmad Shafuan dan Rezuan boleh melayari laman Facebook http://www.facebook.com/ahmad.shafuan dan http://www.facebook.com/profile.php?id=100001009141572.

No comments:

Post a Comment