Misteri terjawab: 'Itu bukan terowong, tetapi hanya telaga'
ROHANA ISMAIL
2 Disember 2012
Kesan-kesan peninggalan Stesen Keretapi Palekbang masih ada di Palekbang.
Ini antara telaga
yang bersambung ke Sungai Kelantan yang didakwa oleh sesetengah pihak
sebagai laluan ke terowong di bawah tanah.
Wan Jaafar Wan Abdullah
Penduduk, Jali Mustapha menunjukkan telaga sedalam 70 kaki yang diceritakan oleh Wan Jaffar.
TUMPAT – “Itu bukan lubang ke terowong tetapi telaga dan di bawahnya
ada saluran air yang tembus ke Sungai Kelantan,” kata Wan Jafar Wan
Abdullah, 92, menjelaskan misteri terowong peninggalan Jepun ketika
perang dunia kedua yang kecoh diperkatakan ditemui di Kampung Palekbang
berdekatan Pangkalan Pasir Haji Manaf, di sini.
Di dalam blog, di laman sosial dan di kedai kopi tersebar cerita
mengatakan terowong bawah tanah itu panjangnya 100 kilometer bersambung
sehingga ke Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah
hingga ke Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta api dan juga ada hasil bumi.
Beberapa buah telaga yang dijumpai di kawasan tersebut didakwa lubang untuk turun ke terowong panjang terbabit.
Wan Jaffar berkata, mustahil ada terowong bawah tanah kerana dia adalah
salah seorang pekerja yang terlibat mengali telaga di lokasi tersebut
sebelum penjajahan Jepun iaitu ketika usianya awal 20an.
Kampung Palekbang wujud sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan
bagaimanapun kewujudan kampung ini mula tercatat setelah Inggeris
membina landasan kereta api di pertengahan tahun 1920-an.
Menurutnya, pada masa itu bekalan air untuk kegunaan keret api yang
berulang-alik memunggah biji besi dari Temangan, Machang- Tumpat tidak
mencukupi kerana di Stesen keretapi Tumpat tiada bekalan air kerana
masalah air masin.
“Pihak Inggeris kerahkan gali telaga di kawasan Stesen Keretapi Palekbang untuk mendapatkan bekalan air tersebut.
“Telaga pertama digali sedalam 70 kaki, kerana memerlukan air yang
banyak beberapa buah telaga berhampiran sungai digali lagi, kalau tak
silap pakcik lima buah telaga kesemuanya,” katanya yang berasal dari
Kampung Laut, kini menetap di Kampung Semat Jal.
Wan Jaffar berkata, kesemua telaga ini bersambung kerana di bawah tanah
dibuat lubang pada setiap perigi untuk dipasang saluran air yang tembus
ke Sungai Kelantan.
“Air sungai ini boleh masuk ke dalam telaga dan punca air telaga ini disedut dari sungai tersebut.
“Perigi besar yang pertama dipasang pam air dan pam inilah berfungsi
menyedut air dari Sungai Kelantan, sehingga ke hari ini perigi itu masih
ada di Palekbang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat
Jal.
Tinjauan Sinar Harian ke Pangkalan Pasir Haji Manaf, Palekbang
mendapati kerja-kerja pembersihan giat dijalankan dan dikawal rapi.
Sinar Harian semalam melaporkan Kampung Palekbang tiba-tiba menjadi
tersohor apabila tersebar cerita penemuan terowong panjang peninggalan
Jepun di bawah tanah di laman sosial, di blog dan juga cakap-cakap di
kedai kopi sejak seminggu lalu.
Kewujudannya terus menjadi teka teki apabila khabar angin mengatakan
terowong tersebut panjangnya 100 kilometer bersambung sehingga ke
Takbai, Thailand dan mempunyai lapangan terbang bawah tanah hingga ke
Lalang Luas, Machang.
Dikatakan juga di bawah tanah itu terdapat kubu Jepun, landasan kereta
api dan juga ada hasil bumi yang kini dalam kajian pembangunan eko
sejarah seliaan Kerajaan Negeri yang sedang giat dilaksanakan di lokasi
tersebut.
Beberapa hari lalu kelihatan pihak polis, tentera, bomba berada di lokasi tersebut.
Bagaimanapun kesahihan kewujudan terowong tersebut masih terus menjadi persoalan sehingga kini.
Sementara itu, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan tidak menolak wujudnya
terowong di Kampung Palekbang sebagaimana didakwa pihak tertentu
sebelum ini.
Pengarahnya, Abdul Rahman Abdullah berkata, bagaimanapun statusnya
masih dalam siasatan Jawatankuasa Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri
Kelantan yang dipengerusikan, Datuk Husam Musa.
“Setakat ini ia masih di peringkat cari gali. Perbadanan Muzium Negeri
sendiri belum menerima maklumat secara rasmi, walaupun saya sudah
beberapa kali meninjau lokasi tersebut setelah mendapat arahan pihak
atasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.
Abdul Rahman yang berasal dari kawasan tersebut turut menjelaskan
daripada maklumat awal dan apa yang diketahui sebagai penduduk di
kawasan tersebut, kewujudan kawasan yang didakwa mempunyai terowong itu
sebenarnya adalah telaga untuk mengisi air bagi kegunaan keretapi.
“Sebab suatu ketika dahulu kereta api menggunakan tenaga wap yang
terhasil daripada air untuk bergerak, dan selepas minyak digunakan ia
ditinggalkan begitu sahaja,” katanya.