Terokai sejarah manusia purba di Lembah Lenggong
10 November 2012
Kehadiran manusia di Lembah Lenggong yang dikatakan bermula hampir dua juta tahun yang lepas membuktikan lembah itu pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua Afrika.
Lembah Lenggong menjadi perhatian masyarakat arkeologi dunia sejak penemuan kerangka manusia yang dikenali sebagai Perak Man, bengkel pembuatan perkakas zaman batu (Paleolitik) serta pelbagai khazanah purba yang lain.
Pada 30 Jun lepas warisan arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan pelancongan dunia.
Penyenaraian itu menjadikan kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia keempat di Malaysia selepas bandaraya bersejarah Melaka dan George Town di perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu di Sabah.
Khazanah tersirat
Lembah Lenggong yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Ipoh telah membuka pintu kepada orang ramai untuk melihat sendiri warisan pra-sejarah negara.
Pengarah Jabatan Warisan Negara bagi Zon Tengah, Mohd Syahrin Abdullah berkata, untuk melihat dari dekat orang ramai boleh datang melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang adalah galeri pameran pertama di Malaysia bagi barangan pra-sejarah.
Selain artifak yang dipamerkan di galeri ini, semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dipamerkan di Taman Geologi yang terletak di laman galeri berkenaan.
"Sejak menerima pengiktirafan Unesco itu, peningkatan kedatangan pengunjung sudah mula dirasai.
"Purata peningkatan kedatangan pelawat ke galeri adalah sekitar 150 peratus sejak mendapat pengiktirafan daripada Unesco," katanya.
Menurut Mohd Syahrin Jabatan Warisan Negara bertanggungjawab terhadap perlindungan dan pemuliharaan tapak berkenaan. Pembangunan dan promosi pelancongan kawasan ini perlu berdasarkan kepada garis panduan untuk memulihara pengiktirafan warisan dunia itu.
Mohd Syahrin memberitahu Bernama eskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong dilakukan selama 20 tahun bermula 1987.
Banyak artifak telah ditemui termasuk berpuluh-puluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa tapak yang pernah didiami manusia bermula zaman batu.
Beliau berkata antara penemuan penting adalah kerangka Perak Man, berusia lebih 10,000 tahun yang ditemui di tapak Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Kampung Gelok, di sini.
"Satu lagi tapak penting adalah Kota Tampan. Ia merupakan satu tapak pembuatan perkakas batu yang menunjukkan kemampuan membuat perkakas batu masyarakat yang hidup di zaman itu," katanya.
Latar belakang manusia
Mohd Syahrin berkata kerangka Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990 adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap pernah ditemui.
"Perak Man adalah rangka seorang lelaki dengan ketinggian 154cm. Ia ditemui ditanam dalam keadaan kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada dan bersamanya ditemui 2,878 siput sedut yang telah siap dipotong muncungnya dan sedia untuk dimakan.
"Turut ditemui bersama kerangka itu adalah cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah dibakar serta perkakas batu," katanya.
Kajian lanjut menunjukkan Perak Man mempunyai kecacatan genetik dan dipercayai meninggal dunia pada usia sekitar 40 hingga 45 tahun, satu usia jauh melebihi purata hayat manusia zaman itu.
Cara pengkebumiannya yang penuh adat menunjukkan beliau mempunyai peranan penting dalam masyarakat purba itu. Ia juga secara langsung menunjukkan masyarakat primitif Lembah Lenggong mempunyai peradaban yang agak maju.
Majlis meraikan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia akan diadakan di Dataran Lenggong hari ini. Majlis ini dianjurkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Kerajaan Negeri Perak.
Dianggarkan lebih 5,000 orang terutama daripada masyarakat setempat, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi, persatuan-persatuan sejarah dan warisan, serta pengusaha sektor pelancongan akan membanjiri Dataran Lenggong untuk bersama-sama meraikan pengiktirafan dunia itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment