Wednesday, November 7, 2012

doa lps solat dari al-ehsaniah.bc

22 Disember 2010

Wirid Selepas Solat & Terjemahan


Assalamualaikum w.b.t

Membaca wirid lazim selepas solat adalah kebiasaan masyarakat Islam di Nusantara amnya dan di Malaysia ini khususnya. Persoalannya adakah bacaan wirid yang kita baca itu hanya sekadar ikut-ikut? Tahukah kita siapa yang menyusun wirid-wirid tersebut dan daripada manakah sumbernya?

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya wirid-wirid tersebut telah disusun oleh ulama'-ulama'  alam melayu kita dan sumbernya tidak lain dan tidak bukan adalah daripada Al-Quran dan Al-Hadis. Ini adalah berdasarkan kajian dan tulisan Al-Ustaz Sulaiman bin Ibrahim, pensyarah Jabatan Pengajian Da’wah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam buku bertajuk Wirid Selepas Solat, oleh Sheikh Abd al-Rauf Singkel yang telah diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2003.
“Adalah dipercayai dalam konteks Tanah Melayu, wirid-wirid yang diamalkan selepas sembahyang lima waktu telah dibawa oleh golongan ahli tasawwuf secara umumnya, namun susunan yang ada kemungkinan berbeza antara satu sama lain. Banyak kitab-kitab agama yang ditulis oleh ‘ulama’-ulama’ Melayu dalam tulisan Jawi mengandungi wirid-wirid selepas sembahyang lima waktu, termasuklah kitab عمدة المحتاجين إلى سلوك مسلك المفردين karangan al-Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel dan kitab المفردين تنبيه المشي المنسوب إلى طريق القشاشي juga karangan al- Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel. Dalam kedua-dua kitab ini al-Shaykh ‘Abd al-Rauf Singkel telah menuliskan wirid-wirid selepas sembahyang yang diambil daripada gurunya al-Shaykh Ahmad al-Qushashi yang kemudian dikenali sebagai al-Awrad al-Madaniyyah atau al-Awrad al-Qushashiyyah.”
Di samping memahami dan menghayati bacaan dalam solat, kita juga perlu memahami maksud wirid yang diucapkan selepas solat. Adalah menjadi kerugian andai amalan lazim yang kita laksanakan itu tiada penghayatan yang sebenarnya penuh dengan lafaz-lafaz doa dan  pengharapan, syukur dan rasa takut kita kepada Allah SWT. Mudah-mudahan juga dengan bacaan wirid itu dapat perkenan daripada Allah SWT dalam menampung kekurangan kesempurnaan solat yang kita laksanakan insyaAllah.

Justeru itu, di bawah ini saya sertakan bacaan dan terjemahan wirid selepas solat untuk sama-sama kita ingat semoga dapat dihayati dalam beramal dengannya nanti insyaAllah.


Aku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, tiada Tuhan melainkan Dia yang Hidup dan Berdiri Dengan SendiriNya, dan aku bertaubat kepada-Nya

Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya kerajaan, bagi-Nya segala puja. Dialah yang menghidupkan (orang yang sudah mati atau memberi roh janin yang akan dilahirkan) dan yang mematikan. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu


Ya Allah Tuhan kami, jauhkanlah kami dari api neraka

Ya Allah, Engkau sejahtera, dan daripada Engkau kesejahteraan, dan kepada Engkau kembalinya kesejahteraan itu, maka hidupkan kami dengan kesejahteraan, dan masukkanlah kami kedalam syurga, negeri yang aman sejahtera
Bertambah-tambah berkat-Mu, Tuhan kami, dan Maha Kuasa, wahai Tuhan yang Maha Besar dan Maha Mulia

Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2)Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).(4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.(5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.(7)


Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa; tiada Tuhan (Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (Al-Baqarah ayat 163)
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya) (Al-Baqarah ayat 255)



Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (Ali-Imran ayat 18)
Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. (Ali-Imran ayat 19)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (26) Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya". (27)
(Ali-Imran ayat 26-27)


Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; (1) "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; (2) "Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; (3) "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya  (Al-Ikhlas ayat 1-4)



Katakanlah (wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk, (1)"Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan; (2)"Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; (3) "Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); (4) "Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya". (5) (Al-Falaq ayat 1-5)


Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. (1) "Yang Menguasai sekalian manusia, (2) "Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, (3) "Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, - (4) "Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, - (5) "(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia". (6) (An-nas ayat 1-6)



Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (1) Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (2)Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (3) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).(4) Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.(5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.(7)


Tuhanku/kami, Penjagaku/kami

Maha Suci Allah

Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya yang kekal selama-lamanya



Segala puji bagi Allah

Segala puji bagi Allah, Penjaga sekalian alam, ke atas tiap-tiap perkara dan kenikmatan


Allah Maha Besar

Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar, dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya dan Maha Suci Allah pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dengan keEsaanNya, tiada sekutu baguNya, bagiNya segala pemerintahan dan bagiNya segala kepujian, Dialah yang menghidup dan mematikan, dan Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu, dan tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.

* Anda juga boleh pergi ke pautan ini untuk melihat terjemahan wirid  selepas solat : http://www.facebook.com/note.php?note_id=206774195999803

"Ya Allah bantulah kami untuk mengingatiMu, bersyukur kepadaMu, dan memperelokkan ibadah kami terhadapMu"

No comments:

Post a Comment