Monday, April 11, 2011

Zakat Pahang

MUIP terima zakat harta RM74.6 juta

KUANTAN 11 April - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menerima sumbangan zakat pendapatan sebanyak RM74.6 juta daripada kira-kira 51,000 pembayar di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM20.4 juta diperoleh menerusi potongan gaji kakitangan awam dan swasta.

"Sehubungan itu, kira-kira RM270,000 telah diagihkan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini termasuk Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC).

"Agihan tersebut diserahkan kepada pelajar kurang berkemampuan bagi membantu kos pengajian dan kebajikan mereka," katanya.

Beliau berucap pada majlis perhimpunan khas sempena penyampaian sumbangan zakat kepada pelajar Polisas di sini, baru-baru ini.

Pada Majlis tersebut, Polisas menerima RM50,000 untuk diagihkan kepada 250 pelajar daripada golongan miskin selain membina pelbagai kemudahan di IPT tersebut.

Menurut Wan Abdul Wahid, wang zakat itu juga bertujuan membina surau di IPT berkenaan untuk kemudahan pelajar yang beragama Islam beribadat dan menjalankan program keagamaan di kampus.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam berkelayakan menunaikan rukun Islam ketiga itu sebagai kewajipan membantu golongan memerlukan.

"Umat Islam wajib menunaikan rukun Islam itu selain menjauhi diri daripada terlibat dengan gejala tidak sihat seperti rasuah yang hanya mengundang masalah kepada diri sendiri dan keluarga," tegasnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment