Monday, December 27, 2010

Kambing Boer

Penternak dipelawa sertai projek

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

Ladang ternakan kambing boer yang terletak di Pondok Tanjung, Taiping, kini mempunyai 1,555 baka tempatan dan Australia.

TAIPING 27 Dis. – Pembukaan ladang pengganda kambing boer nasional di Pondok Tanjung dekat sini, bakal memberi impak kepada bekalan makanan negara.

Ini kerana, ternakan tersebut mampu menghasilkan populasi baka kambing terbaik untuk keperluan penternak tempatan, di samping mengurangkan import negara menjelang 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif SBBC Corporation Sdn. Bhd., Abu Zaki Abu berkata, kos keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM50 juta.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu sedang dilaksanakan melibatkan 310 kambing boer yang sedang diternak dalam lima kandang sejak pertengahan tahun ini.

Katanya, fasa kedua pula melibatkan 300 kambing lagi yang akan dimasukkan ke dalam kandang pada tahun depan.

“Kambing boer yang diternak di sini diperoleh daripada penternak tempatan dan diimport dari Australia.

“Dalam fasa kedua nanti, kita akan membina 23 lagi kandang selain kilang memproses makanan kambing, kilang memproses daging kambing dan baja organik berasaskan tinja kambing,” katanya ketika ditemui di ladang itu di Pondok Tanjung, dekat sini baru-baru ini.

Projek tersebut melibatkan kawasan seluas 770 hektar dan ia dijalankan secara kerjasama dengan Syarikat SBBC Corporation Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Projek ladang tersebut bermula sejak 2008 dan kini mempunyai 1,555 kambing boer baka tempatan dan Australia.

Jumlah itu akan bertambah kepada 9,200 ekor induk betina dan 300 ekor jantan yang diternak di sini menjelang tahun depan.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada 29 projek bernilai RM468 juta yang dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut Abu Zaki, melalui ternakan di sini, ladang itu mengeluarkan baka kambing boer jantan dan betina serta daging kambing.

Katanya, pihaknya akan memasarkan kambing boer bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, pihaknya akan mempelawa penternak untuk menyertai ladang itu sebagai peserta projek.

“Kita akan membuat pemilihan peserta tidak lama lagi apabila beberapa lagi kandang baru siap dibina,” katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, December 24, 2010

Fotografi


Fotografi unggas

Oleh ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my

AHMAD Radhafizal Che Kassim (kanan) bersama rakan-rakan yang berkongsi minat yang sama.

KISAH Radhafizal di sekolah sama seperti kisah rakan-rakan guru yang lain. Menarik tetapi sebaik sahaja tamat waktu mengajar dia mempunyai cerita lain untuk dikongsi bersama teman-temannya.

Kisah bagaimana dia bermandi darah selepas diserang pacat dan nyamuk pada minggu yang lalu. Di pinggir hutan, dia berdiri kaku selama beberapa jam menantikan sesuatu yang ajaib melintasi lensa kameranya.

Kelincahan gerak tari dan keindahan hiasan bulu berwarna-warni akhirnya muncul bersama bunyi-bunyi yang lunak. Pada hari itu, Ahmad Radhafizal Che Kassim, 34, tidak pulang dengan tangan kosong.

Gambar burung Raja Udang menyepit belalang yang dirakam berjaya mengukir senyuman pada wajah guru Bahasa Inggeris itu. Kepuasan pada petang itu terbalas, sama seperti ketika dia melihat murid-muridnya cemerlang dalam peperiksaan.

"Burung adalah haiwan cantik yang menghiburkan kita dengan warna yang menarik. Melihat kelibatnya sahaja sudah cukup untuk menghiburkan hati.

"Bagi saya ia adalah haiwan yang cukup istimewa," luah guru Sekolah Kebangsaan Jalan Baharu di Prai, Pulau Pinang itu.

Minat Radhafizal merakam gambar burung bermula beberapa tahun lalu selepas tertarik dengan keunikan beberapa spesies di sekitar rumahnya di Seberang Prai, lantas dijadikan fokus baru untuk dunia fotografinya.

"Dengan kapasiti lensa zum biasa yang saya miliki ketika itu, percubaan saya tidak begitu memuaskan.

"Warna-warna bulu yang berseri itu cukup menarik kalau dapat dilihat pada jarak yang lebih dekat,"ujarnya.

Dengan pelaburan tambahan kira-kira RM4,500 untuk kamera Nikon D90 yang dimilikinya, Radhafizal kemudian mendapatkan lensa telefoto (150-500mm) untuk hasil yang lebih mantap.

Lensa 500mm itu adalah senjata baru yang menjanjikan jarak fokus lebih dekat. Ia boleh dikatakan keperluan asas bagi penggemar fotografi burung.

"Untuk gambar yang lebih 'serius', lensa 600mm dengan bukaan lebih besar boleh mencecah harga seperti membeli sebuah kereta," tambahnya.

Bagaimanapun, merakam subjek yang terbang bebas itu bukan hanya bergantung pada peralatan yang mahal bahkan turut menuntut kemahiran dan ketekunan.

"Jurugambar burung harus mengenali peralatan yang digunakan untuk memastikan kecekapan di hujung jari.

"Begitu juga dengan tumpuan yang perlu diberikan. Aksi yang menarik boleh terlepas dalam sekelip mata bagi mereka yang leka,"katanya.

Sememangnya juga, fotografi tidak lengkap jika tidak memperkatakan soal pencahayaan. Sebagai unsur paling penting pada gambar, pencahayaan merupakan satu lagi cabaran yang harus dilalui.

"Habitat burung liar di hutan dan semak yang gelap biasanya menyukarkan kamera untuk menangkap pergerakan yang lincah.

"Selain itu rakaman boleh menjadi cukup sukar apabila dilakukan bertentangan dengan pancaran matahari," jelasnya.

Sementara itu, pemburuan gambar unggas liar yang baik juga menuntut seseorang menjelajah jauh ke lokasi terpencil dan menunggu dengan sabar untuk mendapatkan 'aksi' yang baik.

Satu daripada kawasan kegemaran Radhafizal dan rakan-rakannya untuk 'menembak' burung pada masa kini adalah di Estet Byram atau lebih dikenali dengan nama Pulau Burung di Nibong Tebal.

Koleksi gambar burung dan serangga yang dirakam oleh Radhafizal boleh dilihat di laman web www.outdoorgraphy.org.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Ternak Ketam


Ternak ketam dalam perigi

Oleh M. SHAHRINNAR ABD. LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

Ketam yang sudah bersalin cengkerang dan hanya mempunyai kulit lembut.

KETAM ataupun nama saintifiknya krustasia decapod adalah haiwan laut yang memang sedap dimakan.

Namun, menikmati ketam memang agak sukar kerana cengkerang yang keras.

Jika mahu memakan ketam kita perlu mematahkan atau memecahkan bahagian yang keras itu untuk menikmati isinya.

Jika tersilap makan sudah pasti akan tertelan kulitnya malah boleh melukakan bibir jika terkena cengkerangnya yang agak tajam itu.

Namun bagi seorang usahawan di Kuantan, Dr. Syed Badaruddin Syed Ali, beliau telah memikirkan cara yang mudah dan senang untuk menghidangkan ketam.

Caranya dengan mengambil ketam selepas ia mengalami proses persalinan cengkerang.

Ketam perlu menjalani proses penyalinan kulit untuk pembesaran.

Syed Badaruddin yang juga pemilik Ternak Unggul Sdn. Bhd. memberitahu, kajian mengenai ketam cengkerang lembut dijalankan selama tiga tahun sejak 2007 sebelum mengkomersialkannya.

Menurutnya, ketam tersebut agak asing di negara ini. Tetapi di Thailand dan Vietnam, ia menjadi hidangan popular di restoran-restoran dan diternak secara tradisional.

''Teknik pembiakan dan penjagaan ketam ini dipelajari daripada kaedah tradisional.

"Daripada itu, saya gabungkan dengan kaedah moden untuk meningkatkan kecekapan penjagaan kualiti air dan daya pengeluaran,'' katanya ketika ditemui di kolam ternakan ketamnya di Balok Kuantan, baru-baru ini.

Dalam tempoh tiga tahun melakukan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) itu juga, beliau banyak belajar membangunkan sistem kitaran air dan penyesuaian kadar tahap pH air.

Ia bagi mencari penyesuaian mengenai ketam-ketam yang kebiasaannya hidup dalam air payau masin.

Katanya, ketam dari spesies scylla olivacea (ketam nipah) dan Scylla serrata (ketam laut) akan dikumpul untuk dipasarkan ketika ia berkulit lembut selepas proses bersalin cengkerang.

"Ramai tidak tahu bahawa ketam juga melalui proses bersalin kulit cengkerang. Ketam yang dipasarkan Ternak Unggul Sdn. Bhd. ini dikumpulkan selepas proses itu selesai.

"Ini merupakan projek pertama seumpama di Malaysia yang memasarkan ketam tanpa cengkerang," ujarnya lagi.

Tambah beliau, ketam berkenaan sangat unik kerana boleh dimakan keseluruhan isinya tanpa perlu membuang kulit.

Untuk memastikan ketam yang ternak kekal sihat katanya, kitaran air di jaga.

Air segar dipam bagi memastikan oksigen berada pada tahap optimum untuk membolehkan ketam terus hidup.

Proses menternak juga dilakukan secara tradisional. Namun ia sedikit berbeza kerana ketam-ketam itu diternak dalam gelung perigi bagi memperlahankan proses kulitnya mengeras semula.

''Kalau mengikut kaedah tradisional, ketam diternak di dalam kolam air payau yang digali supaya sesuai dengan habitat asal. Namun, ia berbeza dalam kolam konkrit dan air tawar.

''Teknik menternak dalam gelung perigi juga menjadi faktor ketam-ketam itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan habitat asal dalam air masin dan payau.

''Bagaimanapun, proses cengkerang mengeras semula selepas bersalin menjadi perlahan ketika ketam-ketam itu berada dalam air tawar," jelasnya.

Menurut beliau, kebiasaannya, kulit cengkerang akan mengeras semula dalam tempoh 12 jam jika berada dalam air masin.

Tetapi proses itu menjadi perlahan dan mengambil masa sehingga tiga hari jika berada di air tawar.

Ketam-ketam tersebut juga katanya, memerlukan penjagaan rapi dalam memastikan proses bersalin kulit berjalan dengan sempurna.

Malah, ia lebih sensitif dalam persekitaran air berbanding ikan.

Penjagaan lebih rapi juga diperlukan ketika ketam-ketam itu melalui proses bersalin cengkerang yang biasanya antara pukul 11 malam hingga pukul 3 pagi.

Bagi menjamin ketam-ketam itu tidak mati ketika sebelum, semasa dan selepas proses tersebut, para pekerja diperlukan untuk memantau bermula waktu tengah malam hingga awal pagi secara lebih teliti.

"Selepas bersalin kulit, ketam-ketam perlu diasingkan daripada kulit cengkerang keras yang sudah terpisah daripada badannya bagi menjaga kualiti air supaya ia terus hidup sebelum dikutip untuk dijual," katanya yang kini memasarkan satu tan ketam tersebut setiap bulan.

Kata beliau lagi, ketam-ketam tersebut dijual pada harga RM25 setiap kilogram kepada pengusaha restoran makanan Cina, Jepun dan Korea di sekitar ibu negara.

"Ketam-ketam ini digemari kerana tidak perlu mengupas cengkerang sebelum dimakan dan boleh dinikmati keseluruhan isinya kerana perutnya bersih.

"Ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis resipi seperti ketam bercangkerang yang biasa," jelas beliau.

Ujar Syed Badaruddin lagi, beliau kini cuba meneroka pasaran antarabangsa memandangkan ketam tanpa cengkerang semakin popular.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, December 21, 2010

Mesin Potong Buah sawit








'Cantas' bantu atasi masalah

Oleh Amran Mulup
utusanterengganu@utusan.com.my

JASIN 21 Dis. - Penggunaan pemotong sawit bermotor dikenali sebagai Cantas dijangka dapat mengatasi masalah kekurangan kira-kira 40,000 tenaga kerja di ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, Cantas yang digunakan untuk menuai tandan dan memotong pelepah sawit adalah alternatif terbaik yang dapat menyelamatkan industri sawit negara daripada terjejas akibat kekurangan pekerja di ladang.

Menurutnya, kekurangan pekerja ladang di seluruh negara disifatkan amat serius pada masa ini dan jika masalah itu tidak diatasi ia akan menjejaskan produktiviti terutama untuk pasaran eksport ke luar negara sebanyak 85 peratus.

Beliau berkata, kekurangan pekerja di ladang berpunca apabila kebanyakan pekerja dari Indonesia mula pulang ke negara masing-masing sejak banyak ladang kelapa sawit dibuka di negara itu.

''Setakat ini ladang-ladang kelapa sawit menghadapi masalah pekerja untuk menuai dan memotong pelepah dan MPOB menganggarkan kira-kira 40,000 pekerja diperlukan bagi memastikan produktiviti tanaman sawit tidak terjejas dalam tempoh dua tahun akan datang.

''Penggunaan Cantas dikenal pasti sebagai langkah ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing di sektor perladangan khususnya bagi penuaian buah sawit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Jasin di Dewan Alamanda di sini semalam.

Turut hadir Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd. Yazed Khamis.

Shahrir berkata, penggunaan Cantas akan dapat menjimatkan tenaga pekerja kerana ia hanya memerlukan tiga pekerja berbanding lima pekerja untuk kerja-kerja menuai dan memotong pelepah.

''Lebih penting, hasil pengeluaran sawit dapat ditingkatkan sebanyak dua kali ganda daripada 1.8 tan metrik kepada 3.2 tan metrik bagi seorang pekerja sehari berbanding penuaian secara manual," katanya.

Justeru kata beliau, kira-kira 166,018 pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 634,453 hektar kawasan tanaman kelapa sawit di seluruh negara wajar menggunakan Cantas untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

Katanya, pada masa ini sebanyak 180 pemotong sawit bermotor telah dibeli oleh pekebun kecil manakala 220 lagi telah memohon untuk membelinya.

Bagi menggalakkan penggunaan Cantas berharga RM2,500 sebuah, Shahrir berkata, MPOB telah menyediakan Skim Diskaun Cantas dengan potongan sebanyak RM1,000 bagi memudahkan pekebun kecil membelinya.

Katanya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5.3 juta bagi pelaksanaan skim diskaun kepada pekebun kecil.

Saturday, December 18, 2010

Kelah


Kelah dipunggah, penguatkuasa tidur?

JUMLAH yang didaratkan ini jika dibiarkan mampu menyebabkan kelah pupus dalam tempoh beberapa tahun lagi.

KETIKA ini mungkin peminat aktiviti luar sedang tertanya-tanya mengenai keadaan Tasik Kenyir di Terengganu ekoran berita yang mengatakan airnya dicemari bakteria e-coli.

Namun Rabu lalu, Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Faizah Shaharom berkata, tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di tasik buatan manusia yang lebih besar dari Singapura itu.

Malah kata Faizah, air di tasik itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

“Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan ahli sains UMT dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar,” katanya.

Jadi selamatlah para pengunjung yang mahu ke Tasik Kenyir, lebih-lebih lagi musim bah ni yang memang ditunggu-tunggu oleh kaki pancing untuk mencari sebarau, kelah dan juga toman yang berhabitat dalam tasik itu.

Tasik Kenyir sudah selamat. Namun baru-baru ini Bidai menerima satu e-mel daripada seorang rakan di selatan tanah air yang gelisah dengan beberapa gambar yang dimuat naik ke laman Facebook.

Bukan gambar lucah atau sebagainya, namun gambar-gambar yang menunjukkan ikan kelah (Tor tambroides) ‘dipunggah’ dalam bilangan yang banyak - yang amat banyak.

Bidai terkejut juga melihat gambar yang dimuat naik di laman Facebook seseorang yang menggelarkan dirinya Rimba Land yang boleh diakses di http://www.facebook.com/album.php?aid=12245&id=100001533461551.

Pada mulanya Bidai agak tidak percaya dengan jumlah ikan yang ditunjukkan dalam beberapa gambar. Namun selepas diamati dan membaca keterangan beberapa gambar, memang ia menunjukkan spesies kelah dipunggah dengan jumlah yang tidak masuk akal.

Setahu Bidai, spesies kelah merupakan haiwan terancam di Malaysia dan merupakan spesies dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta76).

Mengikut pengetahuan cetek Bidai, hanya Orang Asli yang boleh memancing atau mengambil ikan kelah dan ia hanya bertujuan untuk makan semata-mata.

Namun gambar yang Bidai lihat di laman Facebook itu tidaklah menunjukkan mereka ini Orang Asli. Jumlah yang diambil pula begitu banyak sehinggakan ada keterangan gambar yang mengatakan selain dimakan, ia juga dijual kepada sesiapa yang berminat.

Bidai terdiam seketika melihat gambar-gambar itu.

Ikan kelah ini dilindungi akibat semakin pupus. Jumlahnya semakin sedikit ekoran sukar membiak.

Sudahlah habitat ikan kelah ini semakin hari semakin berkurangan, aktiviti ‘memunggah’ ikan-iklan itu bakal menyebabkan ia pupus.

Malaysia mempunyai satu spesies kelah yang tidak terdapat di mana-mana, dan aktiviti sebegini kalau dibiarkan mampu menyebabkan anak cucu kelah ini pupus.

Menurut kata Rimba Land, mereka memunggah ikan itu di Ulu Dungun, juga di Terengganu.

Tanpa segan silu, dia turut mengajak beberapa kenalan untuk ke sana bagi ‘memunggah’ kelah-kelah berkenaan.

Ada juga gambar yang menunjukkan mereka memegang kelah yang menurut mereka mempunyai seberat 18 kilogram.

Jika Raja Sebarau Tasik Kenyir, Latiff Ahmad mendapatkan kelah bersaiz mega dengan memancing, kelah yang dikatakan 18 kilogram itu Bidai rasakan ditembak.

Mudah, sebab orang yang memegang ikan kelah itu mempunyai topeng muka di dahinya dan itu menunjukkan dia menyelam untuk menembak ikan. Ini merupakan satu kesalahan lagi.

Tak kiralah gambar itu dirakamkan bila. Hakikatnya mereka melakukan dua kesalahan berat iaitu mengambil kelah dan menembak ikan.

Jadi siapa yang nak dipersalahkan di sini?

Adakah penguatkuasa atau renjer hutan tidak tahu apa yang berlaku di kawasan mereka.

Ini berikutan jika hendak ke Ulu Dungun, mereka perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dan sepatutnya pihak berkuasa kena memeriksa kenderaan mereka apabila keluar daripada kawasan hutan di situ.

Tak tahulah apa yang berlaku. Nak kata penguatkuasa tidur, mungkin mereka tidak perasan atau mungkin mereka saja buat-buat tak tahu.

Atau mungkin Rimba Land penguatkuasa di situ?

Alat Intim

Gangguan hubungan intim

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Kes 1

SAYA seorang gadis berusia 21 tahun. Saya sering berasa gatal-gatal pada bahagian bibir dalam dan luar vagina dan setiap kali ia gatal, saya akan menggaru bahagian tersebut sehingga keluar pepejal putih seperti daki dengan banyaknya jika saya menggaru untuk kali pertama.

Jika saya menggaru kali kedua, kuantitinya akan menjadi sedikit. Selepas itu saya akan berasa lega kerana tiada kegatalan lagi.

Saya juga pernah menggaru sehingga berdarah dan luka. Jika saya ingin membuang air kecil, bahagian berkenaan juga akan terasa pedih.

Rasa kegatalan itu berlaku dengan sangat kerap dan bahagian vagina saya juga kerap mengeluarkan bau yang menyengat.

Warna keputihan saya pula menjadi kuning pekat dan keluar dalam kuantiti yang tidak seimbang, kadangkala banyak, kadangkala sikit tetapi tidak pernah pula berwarna hijau.

Kes 2

Saya berusia 22 tahun. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah keputihan yang berlebihan sehinggakan saya tidak mampu menahan bau keputihan tersebut.

Saya menghadapi masalah ini sejak saya belum datang haid lagi. Setelah datang haid, masalah ini semakin menjadi-jadi sehinggakan saya segan berada berhampiran dengan kawan-kawan, sama ada kawan lelaki mahupun perempuan.

Kadangkala saya sendiri berasa rimas dan tidak selesa dengan masalah ini. Macam-macam jenama pencuci sulit wanita telah saya cuba tapi masalah sama tetap berterusan.

Kadangkala, bau keputihan saya menjadi lebih teruk kerana salah memilih pencuci sulit wanita. Apa yang patut saya lakukan untuk mengurangkan masalah ini?

Kes 3

Saya seorang wanita yang telah pun berumah tangga dan sering mengalami lelehan cecair putih pada faraj. Apa yang membimbangkan saya, masalah ini telah menyebabkan ketidakselesaan melakukan hubungan intim bersama suami saya.

Keputihan merupakan lelehan daripada vagina yang keluar daripada kuantiti biasa (banyak). Berdasarkan beberapa kes ini, kita dapati masalah ini bukan sahaja dialami oleh wanita yang sudah berkahwin, bahkan gadis remaja turut mengalaminya.

Lelehan ini merupakan perkara normal yang mungkin dialami kebanyakan wanita tetapi jika ia berlaku luar daripada jangkaan, masalah ini menganggu kehidupan seharian.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai, Ampang, Selangor, Dr Suhaimi Isa, keputihan terdiri daripada dua jenis iaitu fisiologi (normal) dan patologi (tidak normal).

“Fisiologi asalnya daripada pintu rahim. Setiap bulan ia akan berlaku secara semula jadi dan kuantiti yang sama. Keputihan fisiologi selalunya berkaitan kesuburan dan bagi mereka yang subur, keputihan selalunya banyak. Perlu diingat, keputihan berlaku pada tempoh seminggu sebelum haid dan berlaku setiap bulan,” ujarnya.

Keputihan normal ini berwarna putih dan jernih. Kebiasaannya lelehan ini tidak terlalu gatal tetapi mempunyai tanda-tanda seperti lembap, alahan dan tidak selesa.

Berbeza dengan keputihan fisiologi, keputihan patologi mempunyai sebab dan tidak mempunyai waktu yang tetap meleleh.

“Keputihan ini berwarna putih, kuning, berlendir, berbuih, bentuk seperti yogurt dan sangat gatal.

Ada kes yang lebih kronik apabila ia berbau ikan busuk dan menganggu hubungan seks atau intim suami dan isteri.

Jangkitan bakteria vaginosis

Ia sama seperti jangkitan kulat tetapi keputihan selalunya berwarna putih atau kekuningan dan berbau seperti bau ikan.

Jangkitan bakteria trikomoniasis

Ia selalunya berbuih seperti sabun dan berwarna coklat kehijauan. Dalam sesetengah kes, wanita yang mengalami jangkitan ini akan berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.

Kedua-dua jangkitan ini boleh dirawat dengan antibiotik.

Jangkitan candiasis

Ia merupakan kulat yang berbentuk seperti yogurt dan sangat gatal. Kebiasaannya, ia berpunca daripada najis bahagian dubur. Keputihan jenis candiasis sering dialami oleh wanita yang mengandung, mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pengambilan antibiotik dalam tempoh yang lama dan penghidap diabetes.

“Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang mempunyai masalah keputihan bermasalah pada permukaan pintu atau pangkal rahim. Ini disebabkan pintu rahim luka dan menyebabkan lelehan lendir terhasil. Selain itu, ada segolongan wanita mempunyai tabiat mencuci jauh ke dalam vagina dengan sabun cucian khas. Tabiat itu tidak baik kerana ia menggalakkan lebih banyak bakteria atau organisma lain untuk hidup dalam vagina.

Ada kuman ‘lactobacilli’ dalam vagina yang menghasilkan asid tinggi. Keadaan ‘asidik’ atau kehadiran asid yang tinggi dalam vagina menyukarkan kuman hidup. Namun, perbuatan mencuci sehingga jauh ke dalam vagina boleh membunuh kuman-kuman ‘lactobacvilli’ yang baik ini,” ujarnya.

Friday, December 17, 2010

Virtual Scope

Virtual Scope bantu usahawan IKS bina laman web promosi produk

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Kesukaran usahawan tempatan untuk memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) menjadi antara punca perniagaan tersebut kurang berjaya di negara ini.

Rata-rata mereka yang terdiri daripada usahawan bumiputera tidak mahir memasarkan produk mengikut cara moden dan masih menggunakan kaedah pemasaran lama termasuk jualan rumah ke rumah.

Justeru sebuah syarikat milik bumiputera, Virtual Scope Sdn. Bhd. tampil menawarkan perkhidmatan perisian untuk membantu usahawan IKS membina laman web bagi mempromosikan produk mereka sehingga ke peringkat global.

Pengarah Eksekutifnya, Zawahir Abdullah berkata, dengan perkhidmatan perisian itu, usahawan IKS dapat membina laman web untuk mempromosi serta memasarkan produk keluaran mereka secara dalam talian.

''Kami telah mengenal pasti masalah utama usahawan IKS tempatan adalah tidak mahir dalam memasarkan produk mereka. Kebanyakannya tidak mahir membina laman web perniagaan untuk mempromosikan produk walaupun sedar ia merupakan medium pemasaran terbaik pada masa kini.

''Jadi, kami cuba membantu mereka dengan menawarkan produk berbentuk perisian komputer iaitu MyOwnWeb2u.com yang membantu menyediakan laman web perniagaan dengan mudah dan boleh dilakukan sendiri,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zawahir, perisian yang dicipta oleh syarikatnya itu amat mudah digunakan kerana ia mengaplikasikan kaedah 'Do It Yourself' (DIY) yang menyediakan tapak laman web dan usahawan hanya perlu memasukkan maklumat serta gambar produk sahaja.

Katanya, idea untuk membina perisian tersebut timbul apabila mendapati kebanyakan usahawan IKS tempatan terdiri daripada masyarakat kampung yang kurang mahir mengendalikan laman web.

''Pada zaman serba canggih yang segalanya boleh dilakukan menerusi Internet, usahawan IKS sepatutnya menggunakan peluang yang ada ini untuk meluaskan lagi perniagaan mereka sehingga ke peringkat global.

''Kami membina perisian ini juga bagi menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya Internet dapat digunakan sebagai medan bagi mempertingkatkan ekonomi dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara dalam talian,'' jelasnya.

Beliau menyasarkan seramai 100,000 usahawan IKS akan menggunakan perkhidmatan tersebut tahun depan.

Zawahir berkata, perkhidmatan perisian berharga RM365 itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Disember ini.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi Mohd. Rayus Abdul Rahim di talian 010-423772 atau Hasrol Amri Abu Yazid di talian 012-2592759.

GiatMara Temerloh


GiatMara tak lagi dianggap kelas ketiga

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Dua pelatih membuat latihan praktikal di bilik mengecat. - utusan/Ali Mahmood

TEMERLOH 17 Dis. - Pusat Latihan GiatMara mungkin dianggap kelas ketiga berbanding pusat latihan kemahiran lain seperti Sekolah Menengah Vokasional, Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), politeknik dan pusat latihan kemahiran swasta.

Ini kerana kelayakan untuk mengikut kursus di GiatMara tidak memerlukan kelulusan tertentu seperti yang disyaratkan bagi memasuki pusat latihan kemahiran lain di negara ini.

GiatMara hanya meletakkan syarat 'minat dan sihat tubuh badan' dan ia sudah mencukupi untuk membolehkan remaja serta belia mengikuti 32 kursus yang ditawarkan di 209 pusat latihan berkenaan yang terdapat di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Tanggapan pusat latihan kelas kelas ketiga terhadap pusat kemahiran itu boleh mengubah persepsi negatif masyarakat jika mereka melihat sendiri dari dekat hasil kemahiran dan kerja yang dibuktikan oleh bakat-bakat muda.

Pengurus GiatMara Temerloh, Noor Azrin Che Hussin @Mahmud memberitahu, pusat latihan itu sebenarnya sudah banyak mengalami proses transformasi dari segi silibus dan modul latihan.

''Transformasi itu dibuat bersesuaian dengan keperluan semasa bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi kehendak industri automotif.

''Walaupun pengambilan pelajar ke GiatMara tidak bersandarkan kelulusan tertentu dan merupakan mereka yang tercicir daripada arus pendidikan akademik, mereka mampu membuktikan kebolehan dan kemahiran yang diikuti di sini tidak mengecewakan," katanya.

Pusat Latihan GiatMara Temerloh kini terkenal kerana keupayaan tenaga pengajarnya melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan dalam bidang mengecat kenderaan.

Kemahiran yang dimiliki itu memudahkan mereka mendapat kerja dalam industri automotif seperti Proton, Perodua, syarikat-syarikat pemasangan kenderaan bukan nasional seperti DRB-Hicom dan banyak lagi.

Selain itu, mereka juga mudah mendapat kerja di bengkel-bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan di sekitar Temerloh dan seluruh negeri Pahang.

Malah ramai juga yang menjadi usahawan apabila membuka dan mengusahakan bengkel mengecat kenderaan sendiri.

Pusat Latihan GiatMara Temerloh kini terkenal dan dianggap antara pusat latihan mengecat kenderaan yang terbaik di kalangan pusat latihan GiatMara di seluruh negara .

Salah satu ukuran itu dibuat berdasarkan keyakinan pihak industri, pengusaha bengkel dan maklum balas daripada orang ramai yang mengecat kereta di pusat ini.

Menurut Noor Azrin, kini semakin ramai yang menghantar kenderaan mereka untuk dicat di pusat latihan itu.

''Berdasarkan hasil mutu kerja dan bualan dari-mulut ke mulut, kini semakin ramai pemilik kenderaan yang mula menghantar kereta mereka untuk proses mengecat di pusat ini.

''Peningkatan tersebut membuktikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehan tenaga pengajar dan kemahiran pelatih GiatMara Temerloh," kata beliau.

Katanya, mereka bukan sahaja menerima kenderaan yang sudah berusia tetapi turut menerima kenderaan yang baru berusia lingkungan antara empat hingga enam tahun.

Selain kereta nasional seperti Proton, pemilik kenderaan mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Honda, Toyota dan sebagainya turut menghantar kereta mereka untuk dicat di sini.

Sejarah penubuhan GiatMara Temerloh bermula pada 1991 dengan nama asal GiatMara Mentakab dan mula beroperasi setahun berikutnya dengan menawarkan kursus mengecat, automotif dan membaiki motosikal.

Bagaimanapun kursus membaiki motosikal ditukarkan kepada fabrikasi logam pada tahun 1994.

Kursus mengecat mengambil masa selama enam bulan dan pengambilan dibuat dua kali setahun dengan bilangan antara 20 hingga 30 pelajar bagi setiap sesi.

''Dulu kursus hanya tertumpu kepada kemahiran amali sahaja tetapi sistem itu telah diubah dengan memberikan penumpuan yang lebih kepada praktikal.

''Selain itu, sistem penilaian teori dan amali kini dinilai berdasarkan sistem mata dan menerusi sistem itu para pelatih boleh melanjutkan kemahiran di peringkat lebih tinggi seperti diploma dan ijazah di IKM sehingga ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan CIAST.

''Bagaimanapun di pusat latihan ini kami hanya memberikan mereka kursus asas separuh mahir sahaja dan peringkat kemahiran sepenuhnya majikan perlu memberikan peluang kepada mereka mengikuti kursus yang lebih tinggi,'' katanya.

Noor Azrin berkata, sokongan masyarakat dari luar yang menghantar kereta mereka untuk dicat antara tiga hingga lima buah setiap semester secara tidak langsung menjadi latihan awal pendedahan berunding dengan pelanggan.

Pendedahan itu kata beliau, bermula daripada proses menerima, tempahan kereta sehingga menghantar semula kepada pelanggan.

''Secara umum kami mendapat maklum palas yang cukup positif daripada majikan dan juga orang ramai terhadap kebolehan dan kemahiran bekas pelatih pusat ini.

''Kalau ada yang negatif pun berpunca daripada sikap pelatih itu sendiri yang enggan berubah dan tidak berani menghadapi cabaran,'' kata beliau.

Monday, December 13, 2010

Walit



Rebut peluang ternak ‘mutiara hitam’

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my

Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut di Walit World Tanjung Agas Ecopark, Tanjung Agas, Port Dickson. – utusan/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN

TELUK KEMANG 13 Dis. – Bagi mereka yang melalui kawasan Tanjung Agas dekat sini kewujudan blok rumah seperti ‘kubu’ pasti mengundang seribu pertanyaan.

Persoalan tersebut bagaimanapun kini terjawab kerana apa yang terdapat dalam rumah gelap tersebut ialah ratusan ‘mutiara hitam’ atau burung walit. Industri ternakan burung walit menjadi pilihan ramai kebelakangan ini termasuk usahawan bumiputera.

Rumah tersebut juga merupakan salah satu daripada rumah burung yang secara moden dibangunkan oleh syarikat Walit World Sdn. Bhd. sejak beberapa tahun lepas berdekatan habitat asas haiwan berkenaan di kawasan ini.

Lebih menarik di tengah-tengah monopoli usahawan bukan bumiputera dalam bidang itu, projek yang dinamakan Walit World Tanjung Agas Ecopark tersebut diusahakan oleh sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya.

Dengan potensi industri burung walit menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2015, usaha syarikat terbabit membangunkan perumahan burung walit di kawasan tersebut termasuk untuk pelaburan orang awam tentunya sangat bermakna.

Pengurus projek, Mohd. Nasir Che Fa berkata, industri ternakan sarang burung walit menjanjikan keuntungan sampingan yang lumayan. Malah, ia juga menawarkan cabang perniagaan keluarga yang boleh diwarisi generasi seterusnya.

“Melabur melalui pembelian sebuah rumah burung walit beserta tapak rumah di Walit World Tanjung Agas Ecopark, pasti menjanjikan pulangan modal dan keuntungan lumayan,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasir berkata, hak milik tanah diberikan kepada pemilik rumah burung walit yang dibangunkan secara berpusat di kawasan itu.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan rumah burung bersaiz 6.09 meter x 15.2 meter setinggi 2 1/2 tingkat beserta tapak seluas 640.08 meter persegi di kawasan tersebut.

Amir Hamzah Md. Isa (kiri) serta rakan-rakannya di hadapan rumah burung walit yang sudah membuahkan hasil di Walit World Tanjung Agas Ecopark, Tanjung Agas, Port Dickson.

Katanya, pembangunan rumah burung walit di kawasan tersebut membabitkan 39 blok rumah yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Setiap blok mempunyai empat unit rumah burung. Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut. Harga yang ditawarkan bagi sebuah rumah adalah RM320,000,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan kawasan seluas 5.2 hektar itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan sokongan serta khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Lokasi ini sangat strategik iaitu dalam kawasan kampung berhampiran pertemuan muara Sungai Linggi dan Selat Melaka serta dikelilingi rimbunan pokok bakau yang sememangnya kaya dengan punca makanan yang sesuai dengan koloni burung walit,” katanya.

Justeru katanya, orang Melayu perlu merebut peluang menceburi bidang penternakan sarang burung walit kerana pulangannya yang lumayan.

“Pelbagai kekangan mungkin menjadi penyebab termasuk kurang berpengalaman, modal dan sebagainya. Namun, semua itu boleh diatasi sekiranya mereka melabur dengan syarikat yang berpengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Pemasaran syarikat tersebut, Amir Hamzah Md. Isa, hasil sarang burung walit boleh mencecah daripada RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan.

“Permintaan terhadap sarang burung walit semakin tinggi dan berterusan terutama untuk pasaran luar negara termasuk di Hong Kong, China, Taiwan dan Korea dan harga sekilogram sarang burung tersebut mencecah RM5,000 mengikut kualitinya,” kata Amir.

Beliau memberitahu, khasiat sarang burung walit terbukti sejak dulu lagi yang mampu melancarkan fungsi paru-paru, perjalanan darah, menambah daya ketahanan badan, meningkatkan kekuatan jantung dan banyak lagi kebaikan kepada kesihatan manusia.

“Disebabkan khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi, sarang burung walit sangat berharga dan mendapat permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Amir, Walit World buat pertama kali menuai hasil sarang burung walit di rumah tersebut pada pertengahan November lepas dan hasilnya sangat menggalakkan.

“Selain terlibat dalam bidang penghasilan sarang burung walit, Walit World juga berharap untuk menghasilkan produk berkaitan sarang burung ini termasuk minuman berkhasiat dan sarang burung walit untuk dieksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, maklumat mengenai Walit World Tanjung Agas Ecopark boleh diperoleh menerusi http://worldofwalit.blogspot.com.

Dalam pada itu, menurut seorang pemilik rumah burung di situ, Roslan Abdul Rashid, 44, usaha Walit World mampu menghasilkan lebih ramai usahawan bumiputera berjaya dalam bidang ini.

“Seperti yang diketahui, ramai bumiputera berminat dalam bidang ini terutama melihat kepada potensinya yang sangat lumayan namun, sumber kewangan dan pengalaman menjadi masalah,” katanya.

Roslan yang juga merupakan pengusaha perabot, berharap untuk menimba pengalaman dan pengetahuan melalui pembabitannya dengan Walit World.

Saturday, December 11, 2010

Utusan Melayu

Carian tertinggi Google Malaysia

Oleh Hafizahril Hamid
PERJUANGAN akhbar Utusan Malaysia yang mewarisi Utusan Melayu bukan sesuatu yang mudah dan baru. Selama 71 tahun berkhidmat dan kekal setia menjalankan tugasnya sebagai akhbar paling berpengaruh di negara ini asam garam yang dilaluinya bukan sedikit.

Cuba tanya pada diri apa perasaannya apabila dikeji kerana berpendirian mempertahankan bangsa. Apa pula fikirannya jika dituduh berat sebelah walhal apa yang dilakukan itu adalah melaporkan berita benar.

Bagaimana pula rasanya apabila diri dibenci hanya kerana digelar lapuk dan tidak mengikut arus moden pemikiran muda. Belum lagi kisah dari pembangkang yang hanya tahu “menaji” sedangkan diri terpalit najis di seluruh badan.

Itulah antara wajah cabaran dan realiti yang yang terpaksa dilalui akhbar ini bersama akhbar Ahadnya Mingguan Malaysia. Apatah lagi sejak tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 12, akhbar ini makin teruk dikerjakan oleh pihak yang “memegang impian”.

Di sebalik semua tempelak dan tohmahan yang dilemparkan, akhbar keramat ini masih teguh di pasaran dan terus menerajui pemberitaan. Namun realiti semasa menunjukkan sebaliknya dalam bentuk salur berita bagi memenuhi kehendak dunia moden sekarang.

Dunia Internet harus diakui sangat membantu dalam memudahkan urusan seharian. Namun apa yang bakal ditemukan realitinya, akhbar-akhbar di dunia secara perlahan-lahan semakin ditinggalkan oleh pembaca dengan wujudnya Internet.

Hakikat itu pula disokong dengan penurunan nyata akhbar-akhbar berpengaruh dunia seperti The Washington Post, New York Times, Chicago Tribune dan Los Angeles Times. Akhbar-akhbar ini mengalami penurunan edaran yang dianggap terburuk dalam masa 40 tahun.

Di Malaysia, selain akhbar Sin Chew dan Kosmo, akhbar-akhbar lain turut mengalami kejatuhan jualan. Dengan fakta itu, ramai yang tidak ragu-ragu membuat kesimpulan akhbar di negara ini, baik yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Kini medium baru mengambil alih peranan akhbar dengan pesat. Akhbar dalam talian, blog, facebook, twitter dan segala macam teknik baru dalam cara bagaimana manusia berkomunikasi dan menelan maklumat semakin menguasai manusia dan pasaran.

Pencarian berita dan maklumat ketika ini juga lebih pantas, mudah dan murah dengan menggunakan medium Internet. Maka, akhbar dikatakan tidak lagi relevan dalam kehidupan serba canggih dan moden alaf baru ini.

Maka, mahu tidak mahu edaran akhbar di mana-mana pun kini menuju ke usia emas akibat dari pengaruh carian menggunakan medium Internet.

Arus

Dalam menyaingi kepesatan maklumat yang mampu diraih tanpa sebarang sempadan, akhbar ini berusaha untuk memenuhi permintaan berunsur moden dan segar melalui penubuhan akhbar dalam talian, Utusan Online.

Usaha ini nyata membuahkan hasil apabila Utusan Online dinobatkan di tempat ketujuh dalam Google's Top Searches of 2010 - Malaysia – kategori Fastest rising searches of 2010. Kedudukan ini berdasarkan pencarian paling banyak dalam laman Google sepanjang tahun ini.

Menduduki tempat pertama carian adalah Kereta Nasional yang baru dilancarkan, Proton Inspira, dan seterusnya, iPad. Kedudukan ketiga pula adalah drama popular dari Indonesia, Benci Bilang Cinta, dan seterusnya mengenai Kejohanan Piala Dunia 2010.

Penyanyi remaja sensasi, Justin Bieber menduduki tangga kelima, dan seterusnya apalagi jika tidak kegiatan yang semakin menjadi kegilaan ramai yakni facebook.

Maka ditempat ketujuh, akhbar dalam talian Utusan Online mendapat kepercayaan ramai apabila terpilih antara carian paling popular di negara ini.

Lebih membanggakan Utusan Online menjadi satu-satunya akhbar dalam talian yang menguasai 10 tangga teratas. Ini membuktikan bahawa kewibawaan akhbar ini diteruskan kesinambungannya melalui Utusan Online.

Selain carian paling popular, Google turut menyenaraikan beberapa carian lain seperti individu paling popular yang menobatkan penyanyi Maher Zain, Justin Bieber, Luna Maya. Pelawak terkenal, Allahyarham Din Beramboi merupakan individu tempatan paling popular dengan menduduki tempat keempat selain Datuk Siti Nurhaliza di tempat ke sembilan.

Google turut menyenaraikan carian “bagaimana” paling popular yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin berminat untuk menceburi perniagaan.

Bagaimana memulakan perniagaan menduduki tempat teratas dalam carian “bagaimana” paling popular, selain carian bagaimana untuk kurus, bagaimana membina blog dan beberapa lagi.

Selain itu Google turut menyenaraikan carian seperti Pemain Piala Dunia paling popular, carian tajuk berita paling popular, carian filem paling popular selain carian filem Tamil paling popular.

Ternyata apa yang dihidangkan melalui carian Google ini menidakkan persepsi bahawa akhbar ini tidak kehilangan pengaruh melalui merudumnya penjualan akhbar.

Mungkin semua sudah perlu menerima hakikat bahawa akhbar bercetak sudah menjadi medium berita yang ketinggalan zaman.

Namun itu tidak bermakna akhbar Utusan Malaysia turut tenggelam dalam arus kemodenan. Berusia emas belum semestinya tidak mengikut arus.

Dengan terpilih sebagai satu-satunya medium akhbar dalam talian paling popular tanpa kehadiran pesaing-pesaingnya yang lain ia membuktikan pengaruh dan maklumat yang dibekalkan senantiasa diterima dan dijadikan rujukan utama.

Namun yang paling penting penerimaan baik Utusan Online ini membuktikan bahawa ia akan mewarisi perjuangan akhbar ini pada masa depan walaupun ketika itu akhbar berasaskan kertas mungkin telah ditamatkan perkhidmatannya.

Tuesday, December 7, 2010

Penyu


Penyu atau rekod?


SALAH seekor penyu yang dilepaskan di Pantai Rantau Abang, Terengganu pada program pelepasan anak penyu mega TUMEC dipasang alat peranti satelit pada 14 November lalu.

TULISAN minggu lepas menyebabkan inbox e-mel Bidai dipenuhi dengan pelbagai saranan, cadangan termasuk ada juga yang marah-marah. Marah kepada siapa? Biarlah Bidai simpan.

Antara yang tampil memberikan pandangan ialah Pengarah Eksekutif Dana Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma yang tidak bersetuju dengan aktiviti pelepasan 2,428 anak penyu yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada waktu siang.

Surat kepada pengarang Dr. Dionysius boleh dilihat di http://bit.ly/penyu-mega.

Katanya, amalan itu bertentangan dengan Prosedur Piawaian Pengurusan Penyu Semenanjung Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Anak-anak penyu perlu dilepaskan ke laut dengan segera, sebaik sahaja mereka keluar dari sarang masing-masing untuk memastikan kemandiriannya seperti yang diterangkan dalam Prosedur Piawaian Pengurusan Penyu tersebut. Pelepasan secepat mungkin memastikan anak penyu mempunyai lebih tenaga untuk berenang jauh dari pantai, melepaskan diri daripada pemangsa juga membolehkan suatu proses penting berlaku, iaitu mengingati pantai di mana ia dilepaskan dahulu (imprinting) supaya anak penyu ini dapat kembali bertelur di pantai yang sama apabila dewasa kelak.

Penahanan anak-anak penyu bagi jangkamasa tertentu menyebabkan peluang untuk hidup tipis kerana hilang daya untuk berenang jauh dari pesisir pantai.

Kata Dr. Dionysius, amalan menyimpan anak-anak penyu untuk dilepaskan kemudian juga memberi tanggapan yang salah kepada orang ramai bahawa itu cara yang betul.

Itu apa yang dikatakan WWF-Malaysia. Bidai tidak mahu mempertikaikan apa yang dilakukan oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC). Mereka lebih pakar dan mempunyai ramai penyelidik.

Bidai hanyalah pemerhati biasa yang hanya membaca laporan serta jurnal-jurnal berkaitan penyu dan tidak mempunyai pendidikan khusus dalam menyuarakan pendapat.

Namun sebagai rakyat Malaysia, Bidai rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk bertanya dan memberi peringatan jika ada langkah yang dilakukan agensi kerajaan salah dan tidak tepat.

Bagi Bidai, prosedur yang diwujudkan bukan dibuat semasa perbincangan di kedai kopi atau cakap-cakap kosong, tetapi dikeluarkan sebagai satu panduan berkesan yang sudah diteliti dari semasa ke semasa.

Malah mewujudkan prosedur itu sahaja memerlukan masa yang agak lama dalam mengaturkan peraturan yang akan diikuti agar setiap langkah yang diambil mampu terhasil dengan baik dan berkesan.

Tapi, mereka yang membuat peraturan itu sendiri tidak mahu mengikutinya. Semuanya atas alasan promosi dan pemuliharaan.

Namun, Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir dalam satu rencana akhbar yang diterbitkan di Wilayah Timur berkata, pelepasan itu tidak dilakukan pada sebelah malam bagi mengelak tumpuan ikan-ikan pemangsa.

Masa pelepasan antara pukul 7 hingga 10 malam yang lazim dilakukan sebelum ini seolah-olah memberi ‘tanda’ tentang waktu untuk mendapatkan anak penyu sebagai habuan.

“Telah hampir dua dekad, anak-anak penyu dilepaskan pada waktu malam terutama di pantai-pantai pendaratan yang akan mudah menyebabkan kematian anak penyu.

“Ikan-ikan pemangsa telah dididik untuk memakan anak-anak penyu pada waktu itu. Selain perubahan waktu pelepasan, musim tengkujuh kini ketika ombak agar besar di pantai akan menyebabkan ikan-ikan pemangsa berkurangan di pantai,” katanya.

Itu Bidai tak mahu komen. Biarlah yang bijak pandai melakukan kajian.

Mungkin TUMEC sudah mengkaji mengenai rantaian makanan yang ada di Laut China Selatan dan merasakan pemangsa kurang memakan anak penyu pada waktu siang.

Apa pun bagi Bidai, apa jua alasannya dan seperti apa yang dikatakan oleh Pengarah Help Our Penyu (HOPE), Daniel Quilter, semasa melakukan pemuliharaan perlulah memberi keutamaan kepada haiwan itu sendiri, iaitu penyu dan bukan orang ramai.

Fikirkanlah...

Keliru dengan penjelasan

Saudara Bidai,

TERSENTUH hati saya apabila membaca artikel saudara yang bertajuk Penyu jadi mangsa kerana rekod Malaysia.

Ini adalah kerana saya pernah membawa anak-anak ke Pusat Santuari Penyu di Cherating selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Sebagai pelancong tempatan dan asing, kami melepaskan hampir 50 ekor anak penyu ke laut pada waktu malam dengan alasan untuk mengelakkan anak-anak penyu ini menjadi habuan ikan-ikan dan dan burung-burung jika dilepaskan pada waktu siang.

Sudahlah semakin pupus, anak-anak penyu ini pun belum tentu boleh hidup untuk membesar menjadi dewasa dan akhirnya akan kembali bertelur di tempat asal mereka dilepaskan.

Amat bercanggah dan keliru dengan penjelasan daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan itu sendiri.

Ini merupakan publisiti murahan dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak penyu itu sendiri.

Jikapun benar untuk kesedaran masyarakat, minta tuan pengarah kita ini pergi saja ke Pasar Payang dan lihat betapa banyak telur-telur penyu ini dijual secara terbuka di pasar.

Sedarkan penjual-penjual ini daripada menjual telur penyu.

Selain untuk kesedaran, saya masih cuba untuk memahami apa tujuan sebenar tuan pengarah itu menyokong usaha melepaskan anak-anak penyu ke laut pada waktu siang.

NOR AZAH ADNAN

(Melalui e-mel)

Peka


Ocean Minded peka alam sekitar

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ABDUL HAFIZ KHOSMAT

Sebahagian sukarelawan yang peka dengan alam sekitar pada majlis pelancaran Ocean Minded, baru-baru ini.

SEBAGAI jenama yang khusus memperjuangkan pemuliharaan pantai dan alam sekitar di seluruh dunia, Ocean Minded giat menyokong usaha menjaga kepentingan alam sekitar yang ditubuhkan oleh Surfrider Foundation dan Pick Up.

Surfrider Foundation ialah pertubuhan akar umbi yang mengkhusus kepada perlindungan dan kenikmatan lautan, ombak dan pantai di seluruh dunia. Ditubuhkan pada tahun 1984 oleh sekumpulan peluncur air yang berwawasan di Malibu, California.

Surfrider Foundation kini mempunyai seramai 50,000 orang ahli dan 90 cawangan di seluruh dunia.

Pertubuhan ini berusaha menangani isu seperti kemerosotan kualiti air, pemuliharaan tempat meluncur air dan pantai, kehilangan akses pantai awam dan kemusnahan ekosistem dan habitat.

Sementara Pick Up ialah pergerakan menyelamatkan alam sekitar berdasarkan konsep mengutip tiga keping sampah setiap kali seseorang mengunjungi pantai sebagai usaha untuk mengurangkan pencemaran laut.

Ocean Minded, jenama pereka dan pengilang kasut serta pakaian mesra alam yang terkenal ini kini berbangga mengumumkan pelancaran rasminya di Malaysia.

Sempena pelancaran ini, tujuh gaya kasut paling laris daripada koleksi Seaweed untuk lelaki dan wanita serta koleksi Meilani yang comel lagi ceria untuk wanita diperkenalkan di Malaysia.

Setiap pasang kasut Ocean Minded mencerminkan falsafah jenama tersebut dengan penggunaan bahan kitar semula seperti tayar kereta, botol plastik, kapas organik dan kulit bebas logam.

Diasaskan pada tahun 1996 di Amerika Syarikat, Ocean Minded diilhamkan oleh tarikan keindahan lautan dan pantai di muka bumi serta akuan keperluan untuk melindungi kurniaan Tuhan.

Pada majlis pelancarannya di Sunway Lagoon baru-baru ini, Pengurus Jualan Ocean Minded Asia, Alicia Lee berkata, Ocean Minded melambangkan gaya fesyen dengan kemurnian.

Jenama ini berjaya menggandingkan keselesaan, ketahanan dan tanggungjawab alam sekitar tanpa menjejaskan gaya fesyen. Gandingan seumpama ini memang menarik hati rakyat Malaysia.

Janda baik


Janda Baik makin tidak baik


SUMBER alam semula jadi yang masih tidak terusik di Janda Baik menyebabkan ‘orang luar’ semakin geram dan rakus untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kelestarian alam sekitar.

BIDAI berkesempatan berkunjung ke sebuah perkampungan yang agak terkenal di kalangan mereka yang menjalankan aktiviti team building’ dan keyakinan diri di Pahang.

Memang ramai mengenali Kampung Janda Baik yang terletak di selatan Pahang dan bersempadan dengan Gombak, di Selangor.

Kedudukan yang hampir dengan kota raya menjadikan dia kawasan ideal untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah. Lebih-lebih lagi kawasan sekeliling yang masih menghijau disulami dengan aliran sungai dan jeram yang jernih airnya.

Jika berada di Janda Baik, anda dapat merasai kenyamanan berada di dalam kawasan hutan dan gunung-ganang yang masih dijaga selain kawasan perkampungan yang sunyi dan bebas dari hiruk pikuk kesibukan kota raya.

Namun ketika berada lama di situ, Bidai sedikit terkejut ketika memandang ke arah bukit-bukau di Kampung Cheringin yang seakan-akan bertompok-tompok seperti sedang diteroka.

Bidai ada bertanyakan kepada orang kampung mengenai hal itu. Bukan apa, ini disebabkan tanah di Kampung Janda Baik memang tinggi harganya. Mungkin ada orang kampung yang membuka tanah baru untuk tujuan pelancongan atau sebagainya.

Namun jawapan yang Bidai terima agak mengejutkan. Bukan tanah itu diteroka untuk tujuan pelancongan tetapi lebih kepada pertanian dan ia dijalankan secara haram!

Pelik juga Bidai, kenapa haram? Kerana kawasan itu setahu Bidai adalah kawasan perkampungan yang dikhususkan kepada orang Melayu. Kalau mereka nak bercucuk tanam, biarlah, itu hak mereka.

Jawapan yang Bidai terima dari orang kampung mengatakan projek pertanian haram itu bukan diusahakan oleh orang kampung. Ia diusahakan oleh orang luar. Mereka meneroka secara haram tanah kerajaan di kawasan lereng bukit yang ada di Janda Baik.

Lebih memburukkan keadaan kata mereka, usaha yang yang jalankan di situ sudah berlarutan sejak 15-20 tahun yang lalu dan pihak berkuasa kata mereka langsung tak ambil tahu.

“Dulu kita pernah suarakan hal ini kepada pihak yang berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan dan penerokaan haram pertanian orang luar ni semakin menjadi-jadi.

“Yang merunsingkan kami ialah ia dijalankan secara tidak teratur. Sebagai contoh mereka meracun sesuka hati dan akhirnya bila hujan, aliran racun mula mengalir ke dalam sungai dan jeram yang ada di Janda Baik ni,” kata penduduk.

Malah menurut seorang penduduk, sungai Janda Baik semakin tercemar dan tidak sejernih dahulu akibat daripada aliran racun rumpai yang digunakan oleh mereka yang mengusahakan pertanian di lereng bukit secara haram.

Menurut mereka, walaupun bangga dengan produk pertanian Halia Janda Baik yang dikenali ramai, namun sesuatu perlu dilakukan kerana penerokaan secara haram itu bakal menjadikan Janda Baik sebagai Cameron Highlands kedua.

Ini kerana kawasan kampung yang dahulu hanya mempunyai suhu sekitar 26-28 darjah celsius kini semakin panas dan persekitaran yang semakin berdebu.

“Buatlah sesuatu. Kalau boleh kita amat mengharapkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melawat Kampung Janda Baik dan lihat sendiri penerokaan haram yang berlaku.

“Kalau boleh titahkanlah pihak berkuasa untuk menghalang dan menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka.

“Ini tanah hak Orang Melayu dan kita tak maulah orang asing bermaharaja lela di kampung kita dan memusnahkan kawasan yang masih lagi hijau.

“Mereka (orang asing) tidak akan hiraukan apa yang ada di sini. Selagi mereka boleh kaut, mereka kaut.

“Kami dapat tahu mereka dah diberikan tanah seluas 180 hektar di belakang Genting Sempah. Sebab apa mereka nak teroka lagi tanah di Janda baik?” Tanya mereka.

Bidai dapat merasakan orang Kampung Janda Baik mahukan satu tindakan drastik diambil. Penduduk Janda Baik, Bidai perhatikan selesa dengan kedamaian dan kenyamanan yang ada di kampung itu.

Bidai khuatir jika keadaan ini tidak dibendung, kerakusan peneroka haram di tanah kerajaan itu akan menjadi-jadi. Akhirnya Janda Baik bakal bertukar menjadi Cameron Highlands kedua dengan keadaan yang semakin panas, tanah banyak yang runtuh, air sungai dicemari dengan racun. Akhirnya Janda Baik akan musnah dalam tempoh terdekat ini.

Fikirkanlah...

Terowong


Terowong, jambatan tonjol keunikan PLBE


Terowong larut antara terowong kereta api elektrik yang pertama di negara ini.

SATU ketika dahulu kereta api merupakan pengangkutan utama penduduk negara ini. Ia satu-satu jalan perhubungan yang lancar dan selesa dari utara ke selatan dan ke pantai timur semenanjung.

Tetapi apabila Lebuhraya Utara Selatan wujud, penggunaan kereta dan bas menjadi lebih cepat dan mudah. Berkereta dari utara ke selatan tanah air menjadi lebih senang.

Kehadiran lebuh raya itu hampir menjadikan khidmat kereta api sebagai satu nostalgia jika langkah-langkah membaiki perkhidmatannya tidak dilakukan segera.

Bayangkan jika menaiki kereta api ke Butterworth masa yang diambil hampir 10 jam. Tetapi dengan bas hanya kira-kira empat jam.

Sebab itu apabila kerajaan mengumumkan projek menaik taraf perkhidmatan kereta api terutama melalui pembinaan landasan berkembar ia dilihat mampu menjadikan ia pengangkutan pilihan.

Ini terbukti melalui khidmat kereta api elektrik (ETS) Kuala Lumpur-Ipoh yang pantas dan selesa.

Perjalanan dari ibu negara ke Ipoh menggunakan ETS hanya mengambil masa dua jam sahaja.

Untuk 'memanjangkan' khidmat yang pantas dan selesa ini hingga ke utara tanah air, Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) antara Ipoh dan Padang Besar kini sedang giat dalam pembinaan.

Selain bakal menyediakan satu sistem pengangkutan rel yang canggih, projek itu turut menampilkan penggunaan teknologi terkini yang ada antaranya pertama kali digunakan di negara ini.

Bagi syarikat yang bertanggungjawab membina landasan berkembar itu, MMC-Gamuda Joint Venture (MGJV), mereka bukan sekadar membina satu kemudahan asas. Tetapi melalui projek itu mereka mahu menjadikan pengalaman berkereta api pada masa depan lebih menarik dan selesa.

Sebab itu, ia menampilkan beberapa ciri kejuruteraan yang ada antaranya belum pernah digunakan di negara ini.

Apabila siap, landasan sepanjang 329 kilometer dari Ipoh ke Padang Besar itu bakal menjadi tanda aras baru dalam penyediaan kemudahan rangkaian pengangkutan awam moden di negara ini.

Antara aspek yang bakal menjadi tarikan ialah pembinaan Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak.

Ia merupakan terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara iaitu sejauh 3.3 kilometer dengan ketinggian dan lebarnya masing-masing sembilan meter.

Terowong itu dilengkapkan dengan sembilan laluan keluar untuk tujuan penyenggaraan dan keselamatan.

Kejayaan pembinaan terowong berkenaan cukup penting kepada MGJV kerana ia merupakan fasa yang paling mencabar dan rumit untuk keseluruhan projek tersebut.

"Pembinaan Terowong Berkembar Berapit ini membabitkan banyak cabaran seperti menggali terowong di bawah pergerakan lalu lintas Lebuhraya Utara Selatan dan Jalan Persekutuan," kata Pengarah Eksekutif MGJV, Ir. Azmi Mat Nor.

Katanya, ia juga membabitkan pengalihan pergerakan lalu lintas kira-kira 1.5 kilometer.

Kini Terowong Berkembar Berapit itu merupakan antara hasil kejuruteraan yang menjadi mercu tanda projek PLBE kerana reka bentuk dan kaedah pembinaan yang unik.

Satu lagi terowong yang dibina dalam projek itu ialah Terowong Larut.

Ia merupakan terowong kereta api elektrik yang pertama di negara ini.

Ini merupakan ciri-ciri kejuruteraan unik pada PLBE yang turut membuktikan keupayaan syarikat pembinaan tempatan.

Topi


Topi serbaguna

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Guang Ann bangga menunjukkan topi serbaguna rekaan mereka.

Memiliki pelbagai fungsi serta kemudahan yang amat membantu penggunanya, topi serbaguna ciptaan dua pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Guong Ann sekali gus berjaya menobatkan mereka sebagai pemenang.

Biarpun kelihatan ringkas, namun konsep topi serbaguna yang diperkenalkan oleh mereka mampu menarik minat hakim.

Topi yang dihasilkan berfungsi sebagai pelindung kepala, penanda kecemasan pada waktu malam, baju hujan, beg tangan serta memiliki wisel untuk tujuan keselamatan.

Menurut salah seorang perekanya, Evelyn Siao Yung Ern, produk tersebut menggabungkan beberapa peralatan yang selalu digunakan dalam kehidupan seharian untuk memudahkan kerja dan menjimatkan masa.

"Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tersebut adalah, kain kalis air, baju hujan nipis, kain pemantul cahaya, wisel, butang dan zip," ujarnya.

Selain itu ia juga mempunyai potensi untuk dipasarkan berikutan kos penghasilannya yang amat rendah dan sesuai untuk digunakan oleh murid-murid sekolah.

Kejayaan dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Inovasi sempena Karnival Malaysia Inovatif (MI) 2010, Zon Sarawak bagi kategori sekolah rendah membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil.

Forensik


Forensik bantu selesai kes jenayah

Oleh ZUHAYATI YAZID

Mengenalpasti mayat yang telah reput memerlukan kepakaran forensik. - Gambar hiasan.

DI luaR bilik mayat sebuah hospital di ibu negara, terdengar raungan seorang isteri apabila mengetahui kematian tragis suaminya. Tambah menyedihkan, punca kematian si suami itu tidak diketahui. Pihak polis membuat kesimpulan awal bahawa mangsa dibunuh kejam.

Namun siapakah pembunuh? Apakah motif di sebalik kejadian yang berlaku? Bagaimanakah hendak mengesan pembunuh terbabit? Apakah benar mangsa telah dibunuh?

Dalam situasi berkenaan adakah penjenayah akan bebas begitu sahaja sedangkan isteri si mati itu terpaksa menanggung trauma seumur hidup?

Dalam keadaan beginilah kepakaran bidang forensik amat diperlukan. Ia untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

Pensyarah di Fakulti Sains Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Amidon Anan berkata, apabila berlaku sesuatu kematian yang mempunyai hubung kait dengan perbuatan jenayah, setiap aspek yang terdapat di lokasi kejadian akan diambil kira.

Setiap elemen yang ditemui di tempat kejadian tidak diambil mudah kerana ia mungkin bakal menjadi faktor utama bagi mengesan dalang di sebalik kejadian tersebut.

Satu lagi aspek penting dalam mengesan penjenayah terbabit dan mengheretnya ke muka pengadilan ialah melalui bedah siasat.

Namun kata Amidon, bedah siasat hanya dijalankan jika terdapat keraguan pada punca kematian.

Sekiranya punca kematian jelas, bedah siasat tidak diperlukan. Malah Islam juga tidak membenarkan mayat dibedah tanpa tujuan tertentu kerana perbuatan tersebut menghina dan menganiayai mayat.

“Pemeriksaan tersebut melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenal pasti punca kematian atau setakat mana perubahan, kemalangan dan kecederaan,” ujar beliau yang merupakan bekas Ketua Unit Tempat Kejadian, Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelas pakar forensik itu lagi, selain pihak polis, doktor juga turut bertanggungjawab mengumpul bukti bagi mendakwa suspek ke muka pengadilan.

Contohnya, dalam satu kes rogol dan bunuh, pihak polis tidak dapat mengesan pembunuhnya melainkan melalui bedah siasat untuk mencari kesan-kesan seperti air mani atau kesan-kesan luka yang melekat pada badan mangsa.

Apabila ujian DNA dijalankan, maka pihak polis mempunyai bukti yang sah dan tepat untuk memberkas penjenayah terbabit.

“Dalam situasi ini, memang bedah siasat adalah wajib dilakukan untuk mengetahui siapa yang bersalah melakukan pembunuhan.

“Dalam kes sedemikian juga kita tidak boleh biarkan penjenayah terlepas begitu sahaja kerana membahayakan nyawa orang lain.

“Secara tidak langsung, hasil bedah siasat tersebut mampu menyelamatkan nyawa orang lain daripada menjadi mangsa kekejaman penjenayah,” jelas beliau.

Hasil bedah siasat katanya, juga penting dalam mengembangkan ilmu forensik.

Hasil penyelidikan yang diperoleh melalui proses itu katanya, mampu mengelakkan nyawa orang lain daripada terancam.

Islam sendiri jelas Amidon, turut membenarkan untuk melakukan bedah siasat berdasarkan kepada prinsip qawa’id al-shari’at iaitu kaedah-kaedah yang menghalang atau membenarkan perkara-perkara yang haram dilakukan.

“Islam menggariskan agar pembedahan dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat,’’ katanya.

Malah menurutnya, dalam satu hadis daripada Aisyah RA., Rasulullah SAW bersabda: “Memecahkan atau mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya atau mematahkannya sewaktu hidupnya. (Riwayat Abu Daud)

Menurut Amidon lagi, dalam Islam mayat adalah sesuatu yang mulia dan tidak boleh dicampakkan ke laut atau dibiarkan di tepi-tepi longkang seperti sampah.

“Sebab itu, orang yang meninggal dunia akan diurus dengan baik iaitu dimandikan, dikafankan dan kemudian disembahyangkan sebelum dikebumikan,” ujarnya .

Tegas beliau lagi, siasatan anggota polis semata-mata belum mencukupi untuk mengheret penjenayah ke muka pengadilan.

Ia memerlukan gabungan penemuan yang pelbagai jenis supaya penjenayah tidak dapat lari daripada pendakwaan di mahkamah.

“Kerja-kerja pakar forensik tidak selesai selagi tidak memberi keterangan di mahkamah mengenai apa yang ditemui daripada hasil ujian bahan bukti yang ditemui,’’ ujarnya yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini lebih daripada 20 tahun.

Jelas beliau lagi, perkara paling penting bagi seorang pakar forensik adalah kemampuan menjelaskan bahan bukti supaya dapat difahami umum.

Namun kini, dengan tekonologi moden, ia mampu mengaitkan seseorang suspek kepada mangsa atau kejadian jenayah melalui hubungan persekitaran tempat jenayah itu dilakukan.

Tegas beliau, bukan sekadar cap jari, malahan kesan gigitan, ikatan ataupun bahan bukti lain boleh menentukan suspek disabit kesalahan atau dibebaskan.

Katak

Katak diancam kepupusan

PULAU PINANG 30 Nov. - Lebih 33 peratus atau 1,600 daripada 5,100 spesies katak di seluruh dunia kini diancam kepupusan akibat perubahan iklim, pemusnahan habitat, penyakit dan pencemaran bahan kimia daripada sisa pertanian.

Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ibrahim Jaafar berkata, usaha perlu dilakukan termasuk oleh Kerajaan Malaysia bagi menyelamat haiwan itu daripada pupus berikutan kepentingannya kepada ekosistem, bidang perubatan serta farmaseutikal.

Menurut Ibrahim yang juga pakar dalam bidang biologi dan ekologi haiwan vertebrata, kepupusan katak juga berlaku akibat kurangnya kajian mengenai biologi dan ekologi haiwan tersebut oleh ahli sains menyebabkan masyarakat kurang memahami kepentingannya kepada kehidupan.

"Bukan sahaja di luar negara malah penyelidik di Malaysia sendiri kurang melakukan kajian mengenai haiwan itu walaupun negara ini mempunyai lebih 208 spesies amfibia.

"Ketika ini kita hanya mempunyai kira-kira 10 penyelidik yang membuat kajian mengenai katak termasuk sebahagiannya dari USM walaupun kita mempunyai banyak spesies haiwan itu berbanding negara lain," katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Dewan Budaya USM di sini hari ini.

Beliau menyampaikan syarahan bertajuk Biodiversiti Amfibia di Semenanjung Malaysia, Warisan Alamiah Yang Amat Berharga.

Ibrahim berkata, kekurangan kajian mengenai haiwan itu disebabkan pelbagai faktor termasuk rupa bentuk yang tidak menarik, kurang kefahaman akan kepentingannya terhadap ekosistem selain kurang ahli sains menceburi bidang itu.

"Amfibia disifatkan sebagai warisan yang tidak ternilai kerana sumbangan spesies berkenaan penting kepada ekosistem, ekonomi, masyarakat dan masa depan. Rembesan daripada kulit katak mempunyai pelbagai rahsia termasuk dipercayai boleh dijadikan ubat mengawal sakit jantung dan bius," katanya.

Beliau berkata, haiwan itu juga memainkan peranan penting sebagai organisma kawalan biologi di kawasan pertanian dan bandar kerana ia memakan dan mengawal populasi makhluk perosak tanaman dan vektor penyakit selain mempunyai nilai tinggi dalam perubatan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Permulaan Bintang


Bagaimanakah bintang terbentuk?

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Pembentukan gumpalan awan yang berwarna cerah mungkin juga disebabkan letupan yang terhasil ketika bintang mula terbentuk.

Sejak ratusan tahun dahulu manusia menjadikan bintang sebagai rujukan arah berikutan kedudukannya yang tetap dan mudah untuk dikenal pasti ekoran cahayanya yang amat terang.

Sebenarnya bintang tidak berklip sebagaimana sering kita dengar ungkapan kerlipan. Namun, kerana kedudukan bintang terlalu jauh sinarannya seolah-olah berkelip.

Sehingga kini, bintang terus menjadi pujaan manusia berikutan ia merupakan antara ciptaan Tuhan yang mengagumkan.

Malah, antara bintang yang terdekat dengan planet bumi adalah matahari.

Namun tahukah anda bagaimana bintang terbentuk?

Ia terbentuk dalam gumpalan awan bermolekul iaitu sebuah medium antara bintang-bintang lain yang luas dengan kerapatan yang tinggi.

Pada peringkat awal, pembentukan bintang bermula dengan proses gas yang berkumpul lalu membentuk gumpalan awan di ruang angkasa lepas.

Gumpalan awan tersebut sebenarnya mengandungi gas hidrogen dan sekitar 23 hingga 28 peratus gas helium serta beberapa peratus elemen berat.

Setelah beberapa lama, teras awan tersebut bertukar menjadi sebuah kawasan yang memiliki kepadatan yang amat tinggi sehingga tidak stabil secara graviti, berpecah dan berlakunya letupan.

Sebahagian daripada daya graviti teras bintang yang hilang dalam kemusnahan tersebut bertukar sebagai haba infra dan sekali gus meningkatkan suhu teras.

Apabila kepadatan dan suhu menjadi cukup tinggi, pelakuran deuterium bermula, seterusnya tekanan luaran menghasilkan sinaran secara memperlahankan.

Manakala bahan lain dari gumpalan awan disekelilingnya akan berterusan diserap ke dalam proto bintang.

Akhirnya, hidrogen mula bergabung diteras bintang, dan bahan penyalut yang lain mulai hilang.

Bagi bintang berjisim tinggi, tempoh proses pembentukannya boleh dibandingkan dengan skala masa lain bagi evolusi mereka. Ia lebih pendek, dan proses tersebut tidak ditetapkan dengan jelas.

Bintang akan mencapai jujukan utama apabila terasnya mencapai suhu yang mencukupi untuk mencetuskan perlakuran hidrogen dan memulakan keseimbangan hidrostatik.

Sepanjang bintang yang berada di dalam jujukan utama, ia secara perlahan-lahan menukarkan hidrogen kepada helium dan hayat bintang dalam jujukan utama akan tamat apabila hampir ke semua hidrogen dalam teras habis digunakan.

Proses pembentukkan bintang tersebut memakan masa yang amat panjang iaitu jutaan tahun.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Bintang


Bintang terbesar di galaksi

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
ashriq.ahmad@utusan.com.my

Perbezaan saiz bintang R136a1 (berwarna biru kanan sekali) berbanding matahari (berwarna kuning) dan bintang-bintang yang lain yang pernah ditemui.

Kerlipan serta cahaya bintang sentiasa menemani langit malam. Sejak kewujudan alam, bintang pasti muncul saban malam.

Malah, kerlipan tersebut turut dijadikan sebagai panduan oleh manusia dalam menentukan arah ketika berlayar mahu pun sebagai rujukan bulan.

Sehingga abad ini, bintang terbesar yang temui hanya sekitar 150 massa matahari (Solar Mass) iaitu unit yang digunakan dalam mengira jisim bagi sesebuah bintang mahupun planet di ruang galaksi.

Malah, matahari sendiri yang juga merupakan bintang terbesar bersaiz sekitar 1.98892 didarab dengan 10 kuasa 30 atau sekitar 332.950 kali ganda massa bumi atau 1.048 kali ganda massa planet Musytari (Jupiter).

Namun baru-baru ini, sekumpulan ahli astronomi antarabangsa yang diketuai oleh United Kingdom telah menemui sebuah bintang terbesar di ruang cakerawala iaitu sehingga 300 massa matahari.

Bintang tersebut kini dikenali sebagai R136a1 sekali gus mengejutkan dunia astronomi kerana sehingga kini saiz bintang terbesar yang boleh diterima dalam komuniti tersebut hanyalah sebesar 150 massa matahari.

Lebih membanggakan, penemuan bintang terbesar tersebut turut melibatkan saintis nuklear fizik dari Malaysia.

Mereka adalah Prof. Madya Dr. Hasan Abu Kassim dan pelajar PhD beliau, Norhasliza Yusof daripada Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM).

Menurut Hassan, ia merupakan kajian Norhasliza dalam teori permodelan bintang yang dinamakan Evolusi Stella bagi mengkaji serta menentukan saiz sesebuah bintang.

Untuk melengkapkan kajian tersebut, Norhasliza perlu kerjasama kumpulan saintis dari luar negara untuk mendapatkan data serta menjalankan uji kaji.

Teori Evolusi Stella telah digunakan Norhasliza untuk tujuan kajian tersebut.

"Ketika Norhasliza membentangkan teori tersebut, ia telah mengejutkan ketua penyelidik bintang dari Universiti Sheffield, United Kingdom dan sekali gus diterima untuk diguna pakai dalam kajian mereka," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Teori permodelan tersebut telah digunakan dan dibuktikan benar serta tepat dalam menganggarkan saiz sesebuah bintang.

Jelas Hassan lagi, Norhasliza telah berada di United Kingdom bersama enam lagi pengkaji astronomi sejak Januari 2009 bagi mengukur saiz bintang-bintang baru melalui teori tersebut.

Hasilnya kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh Norhasliza berjaya menemui bintang baru. Salah satunya adalah bintang R136a1 sekali gus merupakan bintang yang terbesar serta telah mengejutkan dunia.

Norhasliza yang menerima biasiswa Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) untuk sesi 2008-2009 dan biasiswa Commonwealth bagi 2010 berkata, pada peringkat awal kumpulan beliau seolah-olah tidak meyakini bintang yang ditemui itu adalah sebesar 300 massa matahari.

"Setelah berbandingan serta pengiraan dilakukan berkali-kali akhirnya kami (kumpulan penyelidik) bersetuju bahawa ia (R136a1) merupakan sebuah bintang.

"Malah ketika pengumuman yang dilakukan oleh kumpulan saya ketika itu di sebuah persidangan astronomi di Jerman, ia amat mengejutkan komuniti saintis astronomi seluruh dunia," katanya.

Malah, menurut Norhasliza, terdapat sebilangan saintis yang tidak mempercayai serta mengatakan ia adalah sesuatu yang amat besar dan mustahil.

Namun, akhirnya para saintis tersebut akhirnya akur dan mengiktiraf R136a1 merupakan bintang yang tersebar pernah ditemui abad ini.

Kajian yang melibatkan dua fasa, iaitu pemerhatian dan permodelan dengan UM terlibat di peringkat permodelan.

Hasil maklumat serta data yang diperolehi daripada kedua-dua fasa tersebut digabungkan dan dianalisis bagi mendapatkan keputusan yang terbaik.

Bagi tujuan tersebut, kumpulan penyelidik yang dianggotai Norhasliza yang dijadualkan menamatkan PhD beliau pada 2011 telah menerima geran penyelidikan sebanyak RM140,000 dari UM.

Melalui penemuan tersebut, ia sekali gus melonjakkan imej negara amnya dan Universiti Malaya khususnya di kalangan komuniti saintis astronomi dunia.

Sunday, December 5, 2010