Tuesday, December 7, 2010

Katak

Katak diancam kepupusan

PULAU PINANG 30 Nov. - Lebih 33 peratus atau 1,600 daripada 5,100 spesies katak di seluruh dunia kini diancam kepupusan akibat perubahan iklim, pemusnahan habitat, penyakit dan pencemaran bahan kimia daripada sisa pertanian.

Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Ibrahim Jaafar berkata, usaha perlu dilakukan termasuk oleh Kerajaan Malaysia bagi menyelamat haiwan itu daripada pupus berikutan kepentingannya kepada ekosistem, bidang perubatan serta farmaseutikal.

Menurut Ibrahim yang juga pakar dalam bidang biologi dan ekologi haiwan vertebrata, kepupusan katak juga berlaku akibat kurangnya kajian mengenai biologi dan ekologi haiwan tersebut oleh ahli sains menyebabkan masyarakat kurang memahami kepentingannya kepada kehidupan.

"Bukan sahaja di luar negara malah penyelidik di Malaysia sendiri kurang melakukan kajian mengenai haiwan itu walaupun negara ini mempunyai lebih 208 spesies amfibia.

"Ketika ini kita hanya mempunyai kira-kira 10 penyelidik yang membuat kajian mengenai katak termasuk sebahagiannya dari USM walaupun kita mempunyai banyak spesies haiwan itu berbanding negara lain," katanya ketika menyampaikan syarahan umum di Dewan Budaya USM di sini hari ini.

Beliau menyampaikan syarahan bertajuk Biodiversiti Amfibia di Semenanjung Malaysia, Warisan Alamiah Yang Amat Berharga.

Ibrahim berkata, kekurangan kajian mengenai haiwan itu disebabkan pelbagai faktor termasuk rupa bentuk yang tidak menarik, kurang kefahaman akan kepentingannya terhadap ekosistem selain kurang ahli sains menceburi bidang itu.

"Amfibia disifatkan sebagai warisan yang tidak ternilai kerana sumbangan spesies berkenaan penting kepada ekosistem, ekonomi, masyarakat dan masa depan. Rembesan daripada kulit katak mempunyai pelbagai rahsia termasuk dipercayai boleh dijadikan ubat mengawal sakit jantung dan bius," katanya.

Beliau berkata, haiwan itu juga memainkan peranan penting sebagai organisma kawalan biologi di kawasan pertanian dan bandar kerana ia memakan dan mengawal populasi makhluk perosak tanaman dan vektor penyakit selain mempunyai nilai tinggi dalam perubatan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment