Tuesday, December 7, 2010

Janda baik


Janda Baik makin tidak baik


SUMBER alam semula jadi yang masih tidak terusik di Janda Baik menyebabkan ‘orang luar’ semakin geram dan rakus untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan kelestarian alam sekitar.

BIDAI berkesempatan berkunjung ke sebuah perkampungan yang agak terkenal di kalangan mereka yang menjalankan aktiviti team building’ dan keyakinan diri di Pahang.

Memang ramai mengenali Kampung Janda Baik yang terletak di selatan Pahang dan bersempadan dengan Gombak, di Selangor.

Kedudukan yang hampir dengan kota raya menjadikan dia kawasan ideal untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah. Lebih-lebih lagi kawasan sekeliling yang masih menghijau disulami dengan aliran sungai dan jeram yang jernih airnya.

Jika berada di Janda Baik, anda dapat merasai kenyamanan berada di dalam kawasan hutan dan gunung-ganang yang masih dijaga selain kawasan perkampungan yang sunyi dan bebas dari hiruk pikuk kesibukan kota raya.

Namun ketika berada lama di situ, Bidai sedikit terkejut ketika memandang ke arah bukit-bukau di Kampung Cheringin yang seakan-akan bertompok-tompok seperti sedang diteroka.

Bidai ada bertanyakan kepada orang kampung mengenai hal itu. Bukan apa, ini disebabkan tanah di Kampung Janda Baik memang tinggi harganya. Mungkin ada orang kampung yang membuka tanah baru untuk tujuan pelancongan atau sebagainya.

Namun jawapan yang Bidai terima agak mengejutkan. Bukan tanah itu diteroka untuk tujuan pelancongan tetapi lebih kepada pertanian dan ia dijalankan secara haram!

Pelik juga Bidai, kenapa haram? Kerana kawasan itu setahu Bidai adalah kawasan perkampungan yang dikhususkan kepada orang Melayu. Kalau mereka nak bercucuk tanam, biarlah, itu hak mereka.

Jawapan yang Bidai terima dari orang kampung mengatakan projek pertanian haram itu bukan diusahakan oleh orang kampung. Ia diusahakan oleh orang luar. Mereka meneroka secara haram tanah kerajaan di kawasan lereng bukit yang ada di Janda Baik.

Lebih memburukkan keadaan kata mereka, usaha yang yang jalankan di situ sudah berlarutan sejak 15-20 tahun yang lalu dan pihak berkuasa kata mereka langsung tak ambil tahu.

“Dulu kita pernah suarakan hal ini kepada pihak yang berkuasa namun sehingga kini tiada tindakan dan penerokaan haram pertanian orang luar ni semakin menjadi-jadi.

“Yang merunsingkan kami ialah ia dijalankan secara tidak teratur. Sebagai contoh mereka meracun sesuka hati dan akhirnya bila hujan, aliran racun mula mengalir ke dalam sungai dan jeram yang ada di Janda Baik ni,” kata penduduk.

Malah menurut seorang penduduk, sungai Janda Baik semakin tercemar dan tidak sejernih dahulu akibat daripada aliran racun rumpai yang digunakan oleh mereka yang mengusahakan pertanian di lereng bukit secara haram.

Menurut mereka, walaupun bangga dengan produk pertanian Halia Janda Baik yang dikenali ramai, namun sesuatu perlu dilakukan kerana penerokaan secara haram itu bakal menjadikan Janda Baik sebagai Cameron Highlands kedua.

Ini kerana kawasan kampung yang dahulu hanya mempunyai suhu sekitar 26-28 darjah celsius kini semakin panas dan persekitaran yang semakin berdebu.

“Buatlah sesuatu. Kalau boleh kita amat mengharapkan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk melawat Kampung Janda Baik dan lihat sendiri penerokaan haram yang berlaku.

“Kalau boleh titahkanlah pihak berkuasa untuk menghalang dan menguatkuasakan undang-undang terhadap mereka.

“Ini tanah hak Orang Melayu dan kita tak maulah orang asing bermaharaja lela di kampung kita dan memusnahkan kawasan yang masih lagi hijau.

“Mereka (orang asing) tidak akan hiraukan apa yang ada di sini. Selagi mereka boleh kaut, mereka kaut.

“Kami dapat tahu mereka dah diberikan tanah seluas 180 hektar di belakang Genting Sempah. Sebab apa mereka nak teroka lagi tanah di Janda baik?” Tanya mereka.

Bidai dapat merasakan orang Kampung Janda Baik mahukan satu tindakan drastik diambil. Penduduk Janda Baik, Bidai perhatikan selesa dengan kedamaian dan kenyamanan yang ada di kampung itu.

Bidai khuatir jika keadaan ini tidak dibendung, kerakusan peneroka haram di tanah kerajaan itu akan menjadi-jadi. Akhirnya Janda Baik bakal bertukar menjadi Cameron Highlands kedua dengan keadaan yang semakin panas, tanah banyak yang runtuh, air sungai dicemari dengan racun. Akhirnya Janda Baik akan musnah dalam tempoh terdekat ini.

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment