Monday, December 13, 2010

Walit



Rebut peluang ternak ‘mutiara hitam’

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my

Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut di Walit World Tanjung Agas Ecopark, Tanjung Agas, Port Dickson. – utusan/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN

TELUK KEMANG 13 Dis. – Bagi mereka yang melalui kawasan Tanjung Agas dekat sini kewujudan blok rumah seperti ‘kubu’ pasti mengundang seribu pertanyaan.

Persoalan tersebut bagaimanapun kini terjawab kerana apa yang terdapat dalam rumah gelap tersebut ialah ratusan ‘mutiara hitam’ atau burung walit. Industri ternakan burung walit menjadi pilihan ramai kebelakangan ini termasuk usahawan bumiputera.

Rumah tersebut juga merupakan salah satu daripada rumah burung yang secara moden dibangunkan oleh syarikat Walit World Sdn. Bhd. sejak beberapa tahun lepas berdekatan habitat asas haiwan berkenaan di kawasan ini.

Lebih menarik di tengah-tengah monopoli usahawan bukan bumiputera dalam bidang itu, projek yang dinamakan Walit World Tanjung Agas Ecopark tersebut diusahakan oleh sebuah syarikat milik bumiputera sepenuhnya.

Dengan potensi industri burung walit menyumbang sebanyak RM5 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2015, usaha syarikat terbabit membangunkan perumahan burung walit di kawasan tersebut termasuk untuk pelaburan orang awam tentunya sangat bermakna.

Pengurus projek, Mohd. Nasir Che Fa berkata, industri ternakan sarang burung walit menjanjikan keuntungan sampingan yang lumayan. Malah, ia juga menawarkan cabang perniagaan keluarga yang boleh diwarisi generasi seterusnya.

“Melabur melalui pembelian sebuah rumah burung walit beserta tapak rumah di Walit World Tanjung Agas Ecopark, pasti menjanjikan pulangan modal dan keuntungan lumayan,” katanya di sini baru-baru ini.

Mohd. Nasir berkata, hak milik tanah diberikan kepada pemilik rumah burung walit yang dibangunkan secara berpusat di kawasan itu.

Menurut beliau, pihaknya menawarkan rumah burung bersaiz 6.09 meter x 15.2 meter setinggi 2 1/2 tingkat beserta tapak seluas 640.08 meter persegi di kawasan tersebut.

Amir Hamzah Md. Isa (kiri) serta rakan-rakannya di hadapan rumah burung walit yang sudah membuahkan hasil di Walit World Tanjung Agas Ecopark, Tanjung Agas, Port Dickson.

Katanya, pembangunan rumah burung walit di kawasan tersebut membabitkan 39 blok rumah yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Setiap blok mempunyai empat unit rumah burung. Rumah burung walit ini turut dilengkapi peralatan audio terkini untuk memanggil burung tersebut. Harga yang ditawarkan bagi sebuah rumah adalah RM320,000,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan kawasan seluas 5.2 hektar itu telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dan sokongan serta khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Lokasi ini sangat strategik iaitu dalam kawasan kampung berhampiran pertemuan muara Sungai Linggi dan Selat Melaka serta dikelilingi rimbunan pokok bakau yang sememangnya kaya dengan punca makanan yang sesuai dengan koloni burung walit,” katanya.

Justeru katanya, orang Melayu perlu merebut peluang menceburi bidang penternakan sarang burung walit kerana pulangannya yang lumayan.

“Pelbagai kekangan mungkin menjadi penyebab termasuk kurang berpengalaman, modal dan sebagainya. Namun, semua itu boleh diatasi sekiranya mereka melabur dengan syarikat yang berpengalaman,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Pemasaran syarikat tersebut, Amir Hamzah Md. Isa, hasil sarang burung walit boleh mencecah daripada RM10,000 sehingga RM20,000 sebulan.

“Permintaan terhadap sarang burung walit semakin tinggi dan berterusan terutama untuk pasaran luar negara termasuk di Hong Kong, China, Taiwan dan Korea dan harga sekilogram sarang burung tersebut mencecah RM5,000 mengikut kualitinya,” kata Amir.

Beliau memberitahu, khasiat sarang burung walit terbukti sejak dulu lagi yang mampu melancarkan fungsi paru-paru, perjalanan darah, menambah daya ketahanan badan, meningkatkan kekuatan jantung dan banyak lagi kebaikan kepada kesihatan manusia.

“Disebabkan khasiat dan nilai perubatannya yang tinggi, sarang burung walit sangat berharga dan mendapat permintaan yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Amir, Walit World buat pertama kali menuai hasil sarang burung walit di rumah tersebut pada pertengahan November lepas dan hasilnya sangat menggalakkan.

“Selain terlibat dalam bidang penghasilan sarang burung walit, Walit World juga berharap untuk menghasilkan produk berkaitan sarang burung ini termasuk minuman berkhasiat dan sarang burung walit untuk dieksport ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata, maklumat mengenai Walit World Tanjung Agas Ecopark boleh diperoleh menerusi http://worldofwalit.blogspot.com.

Dalam pada itu, menurut seorang pemilik rumah burung di situ, Roslan Abdul Rashid, 44, usaha Walit World mampu menghasilkan lebih ramai usahawan bumiputera berjaya dalam bidang ini.

“Seperti yang diketahui, ramai bumiputera berminat dalam bidang ini terutama melihat kepada potensinya yang sangat lumayan namun, sumber kewangan dan pengalaman menjadi masalah,” katanya.

Roslan yang juga merupakan pengusaha perabot, berharap untuk menimba pengalaman dan pengetahuan melalui pembabitannya dengan Walit World.

No comments:

Post a Comment