Monday, December 27, 2010

Kambing Boer

Penternak dipelawa sertai projek

Oleh ANI AWANG
utusanperak@utusan.com.my

Ladang ternakan kambing boer yang terletak di Pondok Tanjung, Taiping, kini mempunyai 1,555 baka tempatan dan Australia.

TAIPING 27 Dis. – Pembukaan ladang pengganda kambing boer nasional di Pondok Tanjung dekat sini, bakal memberi impak kepada bekalan makanan negara.

Ini kerana, ternakan tersebut mampu menghasilkan populasi baka kambing terbaik untuk keperluan penternak tempatan, di samping mengurangkan import negara menjelang 2015.

Ketua Pegawai Eksekutif SBBC Corporation Sdn. Bhd., Abu Zaki Abu berkata, kos keseluruhan projek itu dianggarkan bernilai RM50 juta.

Beliau berkata, fasa pertama projek itu sedang dilaksanakan melibatkan 310 kambing boer yang sedang diternak dalam lima kandang sejak pertengahan tahun ini.

Katanya, fasa kedua pula melibatkan 300 kambing lagi yang akan dimasukkan ke dalam kandang pada tahun depan.

“Kambing boer yang diternak di sini diperoleh daripada penternak tempatan dan diimport dari Australia.

“Dalam fasa kedua nanti, kita akan membina 23 lagi kandang selain kilang memproses makanan kambing, kilang memproses daging kambing dan baja organik berasaskan tinja kambing,” katanya ketika ditemui di ladang itu di Pondok Tanjung, dekat sini baru-baru ini.

Projek tersebut melibatkan kawasan seluas 770 hektar dan ia dijalankan secara kerjasama dengan Syarikat SBBC Corporation Sdn. Bhd., Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Projek ladang tersebut bermula sejak 2008 dan kini mempunyai 1,555 kambing boer baka tempatan dan Australia.

Jumlah itu akan bertambah kepada 9,200 ekor induk betina dan 300 ekor jantan yang diternak di sini menjelang tahun depan.

Projek tersebut merupakan sebahagian daripada 29 projek bernilai RM468 juta yang dilaksanakan di kawasan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut Abu Zaki, melalui ternakan di sini, ladang itu mengeluarkan baka kambing boer jantan dan betina serta daging kambing.

Katanya, pihaknya akan memasarkan kambing boer bagi memenuhi permintaan dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, pihaknya akan mempelawa penternak untuk menyertai ladang itu sebagai peserta projek.

“Kita akan membuat pemilihan peserta tidak lama lagi apabila beberapa lagi kandang baru siap dibina,” katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment