Monday, June 20, 2011

Amil

Kedudukan asnaf amil zakat

Dalam pembahagian zakat, berapakah peruntukan yang boleh diambil oleh pihak amil? Adakah pihak amil boleh mendapat lebih daripada asnaf zakat yang lain? Ini kerana, saya mendengar ada dakwaan bahawa pihak amil telah melebihkan penggunaan wang zakat untuk kepentingan mereka sahaja. Harap dapat penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mahu bertanya. Mudah-mudahan dengan pertanyaan ini akan membuka horizon pemikiran kepada jawapan yang memberikan kelegaan kepada ramai orang dan dapat mengelakkan salah faham yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Hakikatnya, kalimah amil jelas disebut di dalam al-Quran dan al-hadis. Misalnya di dalam ayat 60, surah at-Taubah: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat...

Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW: Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya. (hadis hassan riwayat Imam Tarmizi)

Sudah jelas di sisi Islam, amil adalah salah satu daripada asnaf zakat yang lapan, bahkan amil tergolong ke dalam kumpulan empat asnaf utama atau disebutkan sebagai asnaf yang muqaddam. Ia bermaksud, asnaf-asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf mesti diberikan keutamaan dalam agihan zakat berbanding empat asnaf yang terkemudian, iaitu riqab, gharimin, ibn sabil dan fisabilillah.

Keutamaan ini mempunyai rasionalnya, iaitu kaum fakir, miskin dan muallaf memang mendapat tempat yang istimewa dan utama di dalam Islam demi menjaga keimanan mereka.

Amil pula perlu diberikan haknya agar dengan kecukupan yang mereka perolehi, maka mereka dapat menjalankan kerja-kerja menguruskan zakat dengan amanah, cekap dan berkesan.

Seandainya para amil sendiri tidak mempunyai kecukupan, maka akan terbukalah ruang-ruang fitnah, kerana sesungguhnya urusan zakat memang bermain dengan harta dan wang yang selalu menggoda manusia.

Bahkan tidak mustahil pula para amil akan melakukan kerja-kerja sampingan yang lain untuk mencukupkan keperluannya, sehingga boleh menjejaskan tumpuannya kepada kerja-kerja membangunkan zakat dan juga asnaf-asnaf zakat.

Maka, pihak amil memang berhak memperolehi sebanyak 1/8 daripada kutipan zakat keseluruhan. Jika dikutip lapan juta, maka satu juta adalah bahagian amil.

Semakin besar kutipan zakat, maka semakin besarlah bahagian amil. Misalnya kutipan zakat RM240 juta, maka bahagian amil adalah RM30 juta.

Dengan jumlah RM30 juta itulah, ia dijadikan belanja pengurusan misalnya bayaran upah atau gaji, belanja kelengkapan pejabat, membeli kenderaan dan selenggara bangunan, belanja utiliti, belanja membuat penyelidikan dan persidangan zakat serta sebagainya lagi.

Ia juga bermakna, segala perbelanjaan bagi keperluan pihak amil, tidak sama sekali mengambil peruntukan daripada asnaf zakat yang lain.

Maka, tidak benarlah tuduhan bahawa amil zakat menggunakan wang zakat sewenang-wenangnya. Bahkan amil zakat memanfaatkan peruntukan 1/8 bahagian amil tersebut demi kelangsungan pengurusan zakat yang menjamin tujuh asnaf zakat yang lain.

Misalnya, dengan kecanggihan sistem berkomputer yang ada, maka urusan permohonan bantuan zakat bagi setiap asnaf menjadi lebih mudah dan cepat.

Dengan prasarana yang baik, tempoh siasatan menjadi singkat dan bantuan dapat segera dihulurkan. Maknanya, asnaf-asnaf zakat yang lain telah mendapat manfaat yang besar apabila amil diperkasakan dengan hanya peruntukan 1/8 mereka.

Walau bagaimanapun, dalam perbahasan fikah zakat sebenarnya ada juga pandangan yang menyatakan pihak amil masih boleh mengambil lebih daripada 1/8 jika keadaan memerlukan.

Bahkan dalam kalangan fuqaha juga ada menyatakan, jika ada keperluan lain, pemerintah juga boleh mengambil tanggung jawab menanggung gaji dan keperluan para amil dengan wang daripada dana atau perbendaharaan kerajaan.

Namun begitu, apa yang diamalkan di Selangor, amil hanya mengambil 1/8 sebagai upahnya daripada kutipan zakat.

Kesimpulannya, amil adalah satu pekerjaan yang menanggung amanah yang cukup besar di sisi Islam. Seandainya para amil tidak diberikan hak mereka dengan sepatutnya, maka pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada perjalanan keseluruhan institusi zakat.

Maka, atas dasar itulah Islam memuliakan institusi amil dan memberikan para amil hak yang sewajarnya, sebagaimana yang diperuntukkan oleh syarak. Wallahu a'lam.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment