Sunday, July 3, 2011

Pinjam Buku Maya

Pinjam buku melalui U-Pustaka

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 3 Julai - Masyarakat luar bandar tidak perlu bersusah payah ke perpustakaan mencari bahan bacaan yang diinginkan sebaliknya boleh membuat tempahan dengan menggunakan sistem U-Pustaka.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat Perbadanan Perpustakaan Pahang, Maria Hamzah berkata, orang ramai terutama di luar bandar yang boleh akses kepada Internet boleh membuat pendaftaran di www.u-pustaka.gov.my dan mencari bahan bacaan yang diinginkan.

Menurutnya, setelah membuat tempahan bahan bacaan itu, mereka hanya menunggu di rumah kerana pihak perpustakaan akan menghantarnya melalui Pos Laju.

''Kemudahan mendapatkan bahan bacaan kini sangat mudah dan tidak ada alasan untuk masyarakat tidak membaca. Setakat ini, seramai lebih 1,000 ahli mendaftar dengan U-Pustaka.

''Kita akan terus melaksanakan pelbagai program untuk memberitahu orang ramai kemudahan menggunakan U-Pustaka itu yang sangat mudah dan membolehkan mereka menempah tiga buku dalam tempoh 30 hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah U-Pustaka peringkat daerah di Perpustakaan Awam Temerloh di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Perpustakaan Awam daerah, Zalina Ahmad.

Maria berkata, pengguna yang ingin memulangkan buku yang dipinjam melalui U-Pustaka boleh berbuat demikian dengan beberapa cara.

Menurutnya, pengguna boleh memulangkan buku itu dengan menggunakan khidmat pos laju atau menghantar buku itu ke bookdrop atau gelongsor buku yang disediakan di premis atau luar premis perpustakaan.

''Gelongsor buku ini bukan sahaja ada di perpustakaan malah, pengguna boleh menggunakan khidmat gelongsor buku ini di negeri lain yang menyediakan khidmat ini.

''Jadi, mereka tiada masalah untuk memulangkan buku yang dipinjam itu. Oleh itu, kami harap orang ramai dapat menggunakan perkhidmatan atas talian ini untuk mencari bahan ilmiah yang diinginkan," katanya.

No comments:

Post a Comment