Saturday, January 28, 2012

dapat ganti sofa

Pengguna tertipu sofa tidak berkualiti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

HASRAT seorang kerani dan seorang akauntan untuk menikmati keselesaan set sofa kulit bagi tempoh yang lama tidak kesampaian apabila produk yang dibeli mereka pada November 2009 rosak dalam tempoh tidak sampai enam bulan digunakan.

Akibat tidak berpuas hati dengan perkara itu, kedua-duanya membawa kes itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru baru-baru ini selepas mereka gagal mendapat bayaran balik daripada syarikat pengeluar perabot berkenaan, Kian (Johore) Sdn. Bhd.

Haryati Iswadi, 32, memberitahu, dia membeli set sofa kulit berharga RM2,599 dari sebuah kedai perabot yang terletak di sebuah pasar raya terkemuka di Plentong dengan harapan dapat digunakan bagi jangka masa panjang memandangkan fabrik yang digunakan kelihatan berkualiti tinggi.

Namun, selepas enam bulan digunakan, set sofa berkenaan mula menggelupas dan bahagian tepinya turut patah.

Akibat tidak berpuas hati dengan kualiti sofa berkenaan, dia kemudian pergi semula ke kedai itu untuk mendapatkan ganti rugi tetapi gagal kerana premis berkenaan telah ditutup.

''Saya kemudian pergi ke kilang pembuat perabot berkenaan di Ulu Tiram untuk mendapatkan ganti rugi tetapi hampa kerana mereka menafikan sofa itu dibuat di kilang tersebut. Mereka turut mencabar saya untuk mengambil tindakan undang-undang.

''Tidak puas hati dengan keadaan itu, saya pergi ke cawangan syarikat perabot tersebut yang terletak di Kluang bagi mendapatkan penjelasan. Selepas diberikan penerangan, saya dapati bahawa set sofa yang dibeli itu bukan daripada jenama perabot tersebut,'' katanya.

Nasib sama turut dialami Ho Yin Chyang, 50, apabila sofa kulit yang dibelinya dengan harga RM2,859 turut menggelupas dalam tempoh lapan bulan dan lebih menyedihkan pihak syarikat memintanya untuk membayar RM800 sebagai kos untuk menggantikan fabrik tersebut.

''Mereka beritahu tidak akan bertanggungjawab jika kulit yang digantikan pada sofa itu rosak atau menggelupas pada masa akan datang.

''Ini kali terakhir saya membeli perabot dari syarikat berkenaan kerana selepas ini memang saya tidak akan beli lagi di syarikat tersebut,'' katanya kesal.

Setelah mendengar kedua-dua tuntutan itu, Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat perabot terbabit membayar pampasan sebanyak RM1,400 kepada Haryati dan RM1,700 kepada Yin Chyang.

Bagaimanapun, wakil syarikat berkenaan tidak hadir ketika award tersebut diberikan.

No comments:

Post a Comment