Friday, April 11, 2014

vespa


Vespa LXV 150 3V



VESPA LXV 150 3V mempamerkan rekaan klasik namun didatangkan bersama beberapa teknologi termaju seiring dengan cita rasa semasa golongan profesional muda.


SETELAH hampir empat tahun melihat kelibat Vespa LX 150 mundar-mandir di jalan raya, senario itu bakal berubah ekoran ketibaan model LXV 150 3V. Vespa baharu itu dilancarkan secara rasminya dua hari lalu di Petaling Jaya, Selangor.
LXV 150 3V menggamit memori rekaan klasik Vespa era 1960-an dengan pelbagai perincian binaan termasuk solekan komponen krom, penghadang angin unik, lampu utama berbentuk bulat dan pelana berasingan yang dibaluti material kulit.
Model buatan Vietnam itu tetap menerima sentuhan teknologi termaju termasuk sistem pancitan bahan api yang membantu anda jimat belanja pembelian bahan api hampir 30 peratus jika berbanding dengan Vespa versi karburator.
Rangkaian kuasa LXV 150 3V sebenarnya dibangunkan menerusi fasiliti pengeluaran Vespa di Pontedera, Itali. Hasil kajian dan kepakaran milik jurutera Vespa berjaya mengurangkan kesan geseran dan meningkatkan kadar pengaliran bendalir dalam bahagian enjin.
Sebelum ini, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) selaku pengedar rasmi model itu di negara ini hanya menawarkan model LX 150 sebelum diikuti varian edisi terhad, LX150 Apple Edition.

INSTRUMEN meter model LXV 150 3V masih menggunakan paparan analog untuk mengukur kadar kelajuan dan baki bekalan minyak petrol.


Sambutan terhadap Vespa moden sememangnya positif apabila anak syarikat Kumpulan Naza itu berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak 2,000 unit bagi tempoh tiga tahun sejak 2011.
Naib Presiden Naza Two Wheels Division, Nik Daniel Nik Mahmood menjelaskan, syarikat itu berhasrat menjual sebanyak 2,000 unit Vespa bagi tahun ini. Katanya, Naza Premira sudah menjual sebanyak 500 unit dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Naza Premira turut berhasrat untuk membawa masuk tiga model Vespa baharu bagi tahun ini. Satu sumber memberitahu, tiga model berkenaan ialah Vespa Primavera, Vespa LT dan Vespa 946. Sama ada benar atau tidak, sama-sama kita nantikan sahaja pengumuman daripada Naza Premira.

No comments:

Post a Comment