Gangguan hubungan intim
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Kes 1
SAYA seorang gadis berusia 21 tahun. Saya sering berasa gatal-gatal pada bahagian bibir dalam dan luar vagina dan setiap kali ia gatal, saya akan menggaru bahagian tersebut sehingga keluar pepejal putih seperti daki dengan banyaknya jika saya menggaru untuk kali pertama.
Jika saya menggaru kali kedua, kuantitinya akan menjadi sedikit. Selepas itu saya akan berasa lega kerana tiada kegatalan lagi.
Saya juga pernah menggaru sehingga berdarah dan luka. Jika saya ingin membuang air kecil, bahagian berkenaan juga akan terasa pedih.
Rasa kegatalan itu berlaku dengan sangat kerap dan bahagian vagina saya juga kerap mengeluarkan bau yang menyengat.
Warna keputihan saya pula menjadi kuning pekat dan keluar dalam kuantiti yang tidak seimbang, kadangkala banyak, kadangkala sikit tetapi tidak pernah pula berwarna hijau.
Kes 2
Saya berusia 22 tahun. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah keputihan yang berlebihan sehinggakan saya tidak mampu menahan bau keputihan tersebut.
Saya menghadapi masalah ini sejak saya belum datang haid lagi. Setelah datang haid, masalah ini semakin menjadi-jadi sehinggakan saya segan berada berhampiran dengan kawan-kawan, sama ada kawan lelaki mahupun perempuan.
Kadangkala saya sendiri berasa rimas dan tidak selesa dengan masalah ini. Macam-macam jenama pencuci sulit wanita telah saya cuba tapi masalah sama tetap berterusan.
Kadangkala, bau keputihan saya menjadi lebih teruk kerana salah memilih pencuci sulit wanita. Apa yang patut saya lakukan untuk mengurangkan masalah ini?
Kes 3
Saya seorang wanita yang telah pun berumah tangga dan sering mengalami lelehan cecair putih pada faraj. Apa yang membimbangkan saya, masalah ini telah menyebabkan ketidakselesaan melakukan hubungan intim bersama suami saya.
Keputihan merupakan lelehan daripada vagina yang keluar daripada kuantiti biasa (banyak). Berdasarkan beberapa kes ini, kita dapati masalah ini bukan sahaja dialami oleh wanita yang sudah berkahwin, bahkan gadis remaja turut mengalaminya.
Lelehan ini merupakan perkara normal yang mungkin dialami kebanyakan wanita tetapi jika ia berlaku luar daripada jangkaan, masalah ini menganggu kehidupan seharian.
Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai, Ampang, Selangor, Dr Suhaimi Isa, keputihan terdiri daripada dua jenis iaitu fisiologi (normal) dan patologi (tidak normal).
“Fisiologi asalnya daripada pintu rahim. Setiap bulan ia akan berlaku secara semula jadi dan kuantiti yang sama. Keputihan fisiologi selalunya berkaitan kesuburan dan bagi mereka yang subur, keputihan selalunya banyak. Perlu diingat, keputihan berlaku pada tempoh seminggu sebelum haid dan berlaku setiap bulan,” ujarnya.
Keputihan normal ini berwarna putih dan jernih. Kebiasaannya lelehan ini tidak terlalu gatal tetapi mempunyai tanda-tanda seperti lembap, alahan dan tidak selesa.
Berbeza dengan keputihan fisiologi, keputihan patologi mempunyai sebab dan tidak mempunyai waktu yang tetap meleleh.
“Keputihan ini berwarna putih, kuning, berlendir, berbuih, bentuk seperti yogurt dan sangat gatal.
Ada kes yang lebih kronik apabila ia berbau ikan busuk dan menganggu hubungan seks atau intim suami dan isteri.
Jangkitan bakteria vaginosis
Ia sama seperti jangkitan kulat tetapi keputihan selalunya berwarna putih atau kekuningan dan berbau seperti bau ikan.
Jangkitan bakteria trikomoniasis
Ia selalunya berbuih seperti sabun dan berwarna coklat kehijauan. Dalam sesetengah kes, wanita yang mengalami jangkitan ini akan berasa sakit ketika melakukan hubungan seks.
Kedua-dua jangkitan ini boleh dirawat dengan antibiotik.
Jangkitan candiasis
Ia merupakan kulat yang berbentuk seperti yogurt dan sangat gatal. Kebiasaannya, ia berpunca daripada najis bahagian dubur. Keputihan jenis candiasis sering dialami oleh wanita yang mengandung, mereka yang mengambil pil perancang keluarga, pengambilan antibiotik dalam tempoh yang lama dan penghidap diabetes.
“Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang mempunyai masalah keputihan bermasalah pada permukaan pintu atau pangkal rahim. Ini disebabkan pintu rahim luka dan menyebabkan lelehan lendir terhasil. Selain itu, ada segolongan wanita mempunyai tabiat mencuci jauh ke dalam vagina dengan sabun cucian khas. Tabiat itu tidak baik kerana ia menggalakkan lebih banyak bakteria atau organisma lain untuk hidup dalam vagina.
Ada kuman ‘lactobacilli’ dalam vagina yang menghasilkan asid tinggi. Keadaan ‘asidik’ atau kehadiran asid yang tinggi dalam vagina menyukarkan kuman hidup. Namun, perbuatan mencuci sehingga jauh ke dalam vagina boleh membunuh kuman-kuman ‘lactobacvilli’ yang baik ini,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment