Saturday, December 11, 2010

Utusan Melayu

Carian tertinggi Google Malaysia

Oleh Hafizahril Hamid
PERJUANGAN akhbar Utusan Malaysia yang mewarisi Utusan Melayu bukan sesuatu yang mudah dan baru. Selama 71 tahun berkhidmat dan kekal setia menjalankan tugasnya sebagai akhbar paling berpengaruh di negara ini asam garam yang dilaluinya bukan sedikit.

Cuba tanya pada diri apa perasaannya apabila dikeji kerana berpendirian mempertahankan bangsa. Apa pula fikirannya jika dituduh berat sebelah walhal apa yang dilakukan itu adalah melaporkan berita benar.

Bagaimana pula rasanya apabila diri dibenci hanya kerana digelar lapuk dan tidak mengikut arus moden pemikiran muda. Belum lagi kisah dari pembangkang yang hanya tahu “menaji” sedangkan diri terpalit najis di seluruh badan.

Itulah antara wajah cabaran dan realiti yang yang terpaksa dilalui akhbar ini bersama akhbar Ahadnya Mingguan Malaysia. Apatah lagi sejak tsunami politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke 12, akhbar ini makin teruk dikerjakan oleh pihak yang “memegang impian”.

Di sebalik semua tempelak dan tohmahan yang dilemparkan, akhbar keramat ini masih teguh di pasaran dan terus menerajui pemberitaan. Namun realiti semasa menunjukkan sebaliknya dalam bentuk salur berita bagi memenuhi kehendak dunia moden sekarang.

Dunia Internet harus diakui sangat membantu dalam memudahkan urusan seharian. Namun apa yang bakal ditemukan realitinya, akhbar-akhbar di dunia secara perlahan-lahan semakin ditinggalkan oleh pembaca dengan wujudnya Internet.

Hakikat itu pula disokong dengan penurunan nyata akhbar-akhbar berpengaruh dunia seperti The Washington Post, New York Times, Chicago Tribune dan Los Angeles Times. Akhbar-akhbar ini mengalami penurunan edaran yang dianggap terburuk dalam masa 40 tahun.

Di Malaysia, selain akhbar Sin Chew dan Kosmo, akhbar-akhbar lain turut mengalami kejatuhan jualan. Dengan fakta itu, ramai yang tidak ragu-ragu membuat kesimpulan akhbar di negara ini, baik yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Kini medium baru mengambil alih peranan akhbar dengan pesat. Akhbar dalam talian, blog, facebook, twitter dan segala macam teknik baru dalam cara bagaimana manusia berkomunikasi dan menelan maklumat semakin menguasai manusia dan pasaran.

Pencarian berita dan maklumat ketika ini juga lebih pantas, mudah dan murah dengan menggunakan medium Internet. Maka, akhbar dikatakan tidak lagi relevan dalam kehidupan serba canggih dan moden alaf baru ini.

Maka, mahu tidak mahu edaran akhbar di mana-mana pun kini menuju ke usia emas akibat dari pengaruh carian menggunakan medium Internet.

Arus

Dalam menyaingi kepesatan maklumat yang mampu diraih tanpa sebarang sempadan, akhbar ini berusaha untuk memenuhi permintaan berunsur moden dan segar melalui penubuhan akhbar dalam talian, Utusan Online.

Usaha ini nyata membuahkan hasil apabila Utusan Online dinobatkan di tempat ketujuh dalam Google's Top Searches of 2010 - Malaysia – kategori Fastest rising searches of 2010. Kedudukan ini berdasarkan pencarian paling banyak dalam laman Google sepanjang tahun ini.

Menduduki tempat pertama carian adalah Kereta Nasional yang baru dilancarkan, Proton Inspira, dan seterusnya, iPad. Kedudukan ketiga pula adalah drama popular dari Indonesia, Benci Bilang Cinta, dan seterusnya mengenai Kejohanan Piala Dunia 2010.

Penyanyi remaja sensasi, Justin Bieber menduduki tangga kelima, dan seterusnya apalagi jika tidak kegiatan yang semakin menjadi kegilaan ramai yakni facebook.

Maka ditempat ketujuh, akhbar dalam talian Utusan Online mendapat kepercayaan ramai apabila terpilih antara carian paling popular di negara ini.

Lebih membanggakan Utusan Online menjadi satu-satunya akhbar dalam talian yang menguasai 10 tangga teratas. Ini membuktikan bahawa kewibawaan akhbar ini diteruskan kesinambungannya melalui Utusan Online.

Selain carian paling popular, Google turut menyenaraikan beberapa carian lain seperti individu paling popular yang menobatkan penyanyi Maher Zain, Justin Bieber, Luna Maya. Pelawak terkenal, Allahyarham Din Beramboi merupakan individu tempatan paling popular dengan menduduki tempat keempat selain Datuk Siti Nurhaliza di tempat ke sembilan.

Google turut menyenaraikan carian “bagaimana” paling popular yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin berminat untuk menceburi perniagaan.

Bagaimana memulakan perniagaan menduduki tempat teratas dalam carian “bagaimana” paling popular, selain carian bagaimana untuk kurus, bagaimana membina blog dan beberapa lagi.

Selain itu Google turut menyenaraikan carian seperti Pemain Piala Dunia paling popular, carian tajuk berita paling popular, carian filem paling popular selain carian filem Tamil paling popular.

Ternyata apa yang dihidangkan melalui carian Google ini menidakkan persepsi bahawa akhbar ini tidak kehilangan pengaruh melalui merudumnya penjualan akhbar.

Mungkin semua sudah perlu menerima hakikat bahawa akhbar bercetak sudah menjadi medium berita yang ketinggalan zaman.

Namun itu tidak bermakna akhbar Utusan Malaysia turut tenggelam dalam arus kemodenan. Berusia emas belum semestinya tidak mengikut arus.

Dengan terpilih sebagai satu-satunya medium akhbar dalam talian paling popular tanpa kehadiran pesaing-pesaingnya yang lain ia membuktikan pengaruh dan maklumat yang dibekalkan senantiasa diterima dan dijadikan rujukan utama.

Namun yang paling penting penerimaan baik Utusan Online ini membuktikan bahawa ia akan mewarisi perjuangan akhbar ini pada masa depan walaupun ketika itu akhbar berasaskan kertas mungkin telah ditamatkan perkhidmatannya.

No comments:

Post a Comment