Tuesday, December 7, 2010

Penyu


Penyu atau rekod?


SALAH seekor penyu yang dilepaskan di Pantai Rantau Abang, Terengganu pada program pelepasan anak penyu mega TUMEC dipasang alat peranti satelit pada 14 November lalu.

TULISAN minggu lepas menyebabkan inbox e-mel Bidai dipenuhi dengan pelbagai saranan, cadangan termasuk ada juga yang marah-marah. Marah kepada siapa? Biarlah Bidai simpan.

Antara yang tampil memberikan pandangan ialah Pengarah Eksekutif Dana Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma yang tidak bersetuju dengan aktiviti pelepasan 2,428 anak penyu yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records pada waktu siang.

Surat kepada pengarang Dr. Dionysius boleh dilihat di http://bit.ly/penyu-mega.

Katanya, amalan itu bertentangan dengan Prosedur Piawaian Pengurusan Penyu Semenanjung Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Anak-anak penyu perlu dilepaskan ke laut dengan segera, sebaik sahaja mereka keluar dari sarang masing-masing untuk memastikan kemandiriannya seperti yang diterangkan dalam Prosedur Piawaian Pengurusan Penyu tersebut. Pelepasan secepat mungkin memastikan anak penyu mempunyai lebih tenaga untuk berenang jauh dari pantai, melepaskan diri daripada pemangsa juga membolehkan suatu proses penting berlaku, iaitu mengingati pantai di mana ia dilepaskan dahulu (imprinting) supaya anak penyu ini dapat kembali bertelur di pantai yang sama apabila dewasa kelak.

Penahanan anak-anak penyu bagi jangkamasa tertentu menyebabkan peluang untuk hidup tipis kerana hilang daya untuk berenang jauh dari pesisir pantai.

Kata Dr. Dionysius, amalan menyimpan anak-anak penyu untuk dilepaskan kemudian juga memberi tanggapan yang salah kepada orang ramai bahawa itu cara yang betul.

Itu apa yang dikatakan WWF-Malaysia. Bidai tidak mahu mempertikaikan apa yang dilakukan oleh Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (TUMEC). Mereka lebih pakar dan mempunyai ramai penyelidik.

Bidai hanyalah pemerhati biasa yang hanya membaca laporan serta jurnal-jurnal berkaitan penyu dan tidak mempunyai pendidikan khusus dalam menyuarakan pendapat.

Namun sebagai rakyat Malaysia, Bidai rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk bertanya dan memberi peringatan jika ada langkah yang dilakukan agensi kerajaan salah dan tidak tepat.

Bagi Bidai, prosedur yang diwujudkan bukan dibuat semasa perbincangan di kedai kopi atau cakap-cakap kosong, tetapi dikeluarkan sebagai satu panduan berkesan yang sudah diteliti dari semasa ke semasa.

Malah mewujudkan prosedur itu sahaja memerlukan masa yang agak lama dalam mengaturkan peraturan yang akan diikuti agar setiap langkah yang diambil mampu terhasil dengan baik dan berkesan.

Tapi, mereka yang membuat peraturan itu sendiri tidak mahu mengikutinya. Semuanya atas alasan promosi dan pemuliharaan.

Namun, Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir dalam satu rencana akhbar yang diterbitkan di Wilayah Timur berkata, pelepasan itu tidak dilakukan pada sebelah malam bagi mengelak tumpuan ikan-ikan pemangsa.

Masa pelepasan antara pukul 7 hingga 10 malam yang lazim dilakukan sebelum ini seolah-olah memberi ‘tanda’ tentang waktu untuk mendapatkan anak penyu sebagai habuan.

“Telah hampir dua dekad, anak-anak penyu dilepaskan pada waktu malam terutama di pantai-pantai pendaratan yang akan mudah menyebabkan kematian anak penyu.

“Ikan-ikan pemangsa telah dididik untuk memakan anak-anak penyu pada waktu itu. Selain perubahan waktu pelepasan, musim tengkujuh kini ketika ombak agar besar di pantai akan menyebabkan ikan-ikan pemangsa berkurangan di pantai,” katanya.

Itu Bidai tak mahu komen. Biarlah yang bijak pandai melakukan kajian.

Mungkin TUMEC sudah mengkaji mengenai rantaian makanan yang ada di Laut China Selatan dan merasakan pemangsa kurang memakan anak penyu pada waktu siang.

Apa pun bagi Bidai, apa jua alasannya dan seperti apa yang dikatakan oleh Pengarah Help Our Penyu (HOPE), Daniel Quilter, semasa melakukan pemuliharaan perlulah memberi keutamaan kepada haiwan itu sendiri, iaitu penyu dan bukan orang ramai.

Fikirkanlah...

Keliru dengan penjelasan

Saudara Bidai,

TERSENTUH hati saya apabila membaca artikel saudara yang bertajuk Penyu jadi mangsa kerana rekod Malaysia.

Ini adalah kerana saya pernah membawa anak-anak ke Pusat Santuari Penyu di Cherating selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Sebagai pelancong tempatan dan asing, kami melepaskan hampir 50 ekor anak penyu ke laut pada waktu malam dengan alasan untuk mengelakkan anak-anak penyu ini menjadi habuan ikan-ikan dan dan burung-burung jika dilepaskan pada waktu siang.

Sudahlah semakin pupus, anak-anak penyu ini pun belum tentu boleh hidup untuk membesar menjadi dewasa dan akhirnya akan kembali bertelur di tempat asal mereka dilepaskan.

Amat bercanggah dan keliru dengan penjelasan daripada bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan itu sendiri.

Ini merupakan publisiti murahan dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak penyu itu sendiri.

Jikapun benar untuk kesedaran masyarakat, minta tuan pengarah kita ini pergi saja ke Pasar Payang dan lihat betapa banyak telur-telur penyu ini dijual secara terbuka di pasar.

Sedarkan penjual-penjual ini daripada menjual telur penyu.

Selain untuk kesedaran, saya masih cuba untuk memahami apa tujuan sebenar tuan pengarah itu menyokong usaha melepaskan anak-anak penyu ke laut pada waktu siang.

NOR AZAH ADNAN

(Melalui e-mel)

No comments:

Post a Comment