Friday, December 17, 2010
GiatMara Temerloh
GiatMara tak lagi dianggap kelas ketiga
Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my
Dua pelatih membuat latihan praktikal di bilik mengecat. - utusan/Ali Mahmood
TEMERLOH 17 Dis. - Pusat Latihan GiatMara mungkin dianggap kelas ketiga berbanding pusat latihan kemahiran lain seperti Sekolah Menengah Vokasional, Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), politeknik dan pusat latihan kemahiran swasta.
Ini kerana kelayakan untuk mengikut kursus di GiatMara tidak memerlukan kelulusan tertentu seperti yang disyaratkan bagi memasuki pusat latihan kemahiran lain di negara ini.
GiatMara hanya meletakkan syarat 'minat dan sihat tubuh badan' dan ia sudah mencukupi untuk membolehkan remaja serta belia mengikuti 32 kursus yang ditawarkan di 209 pusat latihan berkenaan yang terdapat di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.
Tanggapan pusat latihan kelas kelas ketiga terhadap pusat kemahiran itu boleh mengubah persepsi negatif masyarakat jika mereka melihat sendiri dari dekat hasil kemahiran dan kerja yang dibuktikan oleh bakat-bakat muda.
Pengurus GiatMara Temerloh, Noor Azrin Che Hussin @Mahmud memberitahu, pusat latihan itu sebenarnya sudah banyak mengalami proses transformasi dari segi silibus dan modul latihan.
''Transformasi itu dibuat bersesuaian dengan keperluan semasa bagi melahirkan tenaga kerja yang mampu memenuhi kehendak industri automotif.
''Walaupun pengambilan pelajar ke GiatMara tidak bersandarkan kelulusan tertentu dan merupakan mereka yang tercicir daripada arus pendidikan akademik, mereka mampu membuktikan kebolehan dan kemahiran yang diikuti di sini tidak mengecewakan," katanya.
Pusat Latihan GiatMara Temerloh kini terkenal kerana keupayaan tenaga pengajarnya melahirkan tenaga kerja yang berkebolehan dalam bidang mengecat kenderaan.
Kemahiran yang dimiliki itu memudahkan mereka mendapat kerja dalam industri automotif seperti Proton, Perodua, syarikat-syarikat pemasangan kenderaan bukan nasional seperti DRB-Hicom dan banyak lagi.
Selain itu, mereka juga mudah mendapat kerja di bengkel-bengkel mengetuk dan mengecat kenderaan di sekitar Temerloh dan seluruh negeri Pahang.
Malah ramai juga yang menjadi usahawan apabila membuka dan mengusahakan bengkel mengecat kenderaan sendiri.
Pusat Latihan GiatMara Temerloh kini terkenal dan dianggap antara pusat latihan mengecat kenderaan yang terbaik di kalangan pusat latihan GiatMara di seluruh negara .
Salah satu ukuran itu dibuat berdasarkan keyakinan pihak industri, pengusaha bengkel dan maklum balas daripada orang ramai yang mengecat kereta di pusat ini.
Menurut Noor Azrin, kini semakin ramai yang menghantar kenderaan mereka untuk dicat di pusat latihan itu.
''Berdasarkan hasil mutu kerja dan bualan dari-mulut ke mulut, kini semakin ramai pemilik kenderaan yang mula menghantar kereta mereka untuk proses mengecat di pusat ini.
''Peningkatan tersebut membuktikan keyakinan orang ramai terhadap kebolehan tenaga pengajar dan kemahiran pelatih GiatMara Temerloh," kata beliau.
Katanya, mereka bukan sahaja menerima kenderaan yang sudah berusia tetapi turut menerima kenderaan yang baru berusia lingkungan antara empat hingga enam tahun.
Selain kereta nasional seperti Proton, pemilik kenderaan mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Honda, Toyota dan sebagainya turut menghantar kereta mereka untuk dicat di sini.
Sejarah penubuhan GiatMara Temerloh bermula pada 1991 dengan nama asal GiatMara Mentakab dan mula beroperasi setahun berikutnya dengan menawarkan kursus mengecat, automotif dan membaiki motosikal.
Bagaimanapun kursus membaiki motosikal ditukarkan kepada fabrikasi logam pada tahun 1994.
Kursus mengecat mengambil masa selama enam bulan dan pengambilan dibuat dua kali setahun dengan bilangan antara 20 hingga 30 pelajar bagi setiap sesi.
''Dulu kursus hanya tertumpu kepada kemahiran amali sahaja tetapi sistem itu telah diubah dengan memberikan penumpuan yang lebih kepada praktikal.
''Selain itu, sistem penilaian teori dan amali kini dinilai berdasarkan sistem mata dan menerusi sistem itu para pelatih boleh melanjutkan kemahiran di peringkat lebih tinggi seperti diploma dan ijazah di IKM sehingga ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan CIAST.
''Bagaimanapun di pusat latihan ini kami hanya memberikan mereka kursus asas separuh mahir sahaja dan peringkat kemahiran sepenuhnya majikan perlu memberikan peluang kepada mereka mengikuti kursus yang lebih tinggi,'' katanya.
Noor Azrin berkata, sokongan masyarakat dari luar yang menghantar kereta mereka untuk dicat antara tiga hingga lima buah setiap semester secara tidak langsung menjadi latihan awal pendedahan berunding dengan pelanggan.
Pendedahan itu kata beliau, bermula daripada proses menerima, tempahan kereta sehingga menghantar semula kepada pelanggan.
''Secara umum kami mendapat maklum palas yang cukup positif daripada majikan dan juga orang ramai terhadap kebolehan dan kemahiran bekas pelatih pusat ini.
''Kalau ada yang negatif pun berpunca daripada sikap pelatih itu sendiri yang enggan berubah dan tidak berani menghadapi cabaran,'' kata beliau.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment