Sunday, November 6, 2011

hobi pak ali

Pak Ali, gramofon & piring hitam




HARTA’ yang dimilikinya sekarang merupakan khazanah paling berharga buat usahawan ubat-ubatan tradisional yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang ini.
Malah dia berbangga kerana menjadi pewaris paling layak kepada gramofon kesayangan datuknya, Allahyarham Hamad Arshad.
Mandat penjagaan diterima apabila Ali Ahmad Ariff menunjukkan minat yang sama dengan datuknya sejak berusia 13 tahun.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, berita gembira itu disambut riang lelaki yang mesra dipanggil Pak Ali.
“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa bangganya saya bila arwah datuk mewariskan pemain muzik kesayangannya itu kepada saya,” reaksi awal ketika ditanya latar belakang koleksinya itu.
Tambahan pula masyarakat Melayu sekitar tahun 40-an mengkategorikan pemilik peti nyanyi termasuk radio sebagai orang kaya.
Persepsi itu wujud lantaran hiburan sebenar ketika itu sukar diperoleh dan hanya dinikmati di kalangan individu golongan yang mempunyai kewangan kukuh.
Kepayahan
Sejak itu, lelaki berusia 64 tahun ini memulakan siri pencarian piring hitam artis tempatan dan antarabangsa.
Antara yang dimiliki piring hitam Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Begawan Solo dari Indonesia.
Turut diminati Pak Ali adalah koleksi lagu-lagu rakyat dan himpunan lagu klasik jazz, R&B yang popular sekitar tahun 40-an.
Semuanya adalah rekod asli yang dibeli dari semasa ke semasa sehingga jumlah keseluruhan koleksi piring hitamnya mencecah 400 keping.
Muzik yang sudah sebati dengan dirinya dek dimainkan setiap hari itu juga menjadi nadi dan menyuntik semangat Pak Ali untuk menjalani kehidupan seharian.
Ditanya mengenai kepayahan menjaga koleksinya itu, katanya, penjagaan kulit setiap rekod simpanannya menuntut perhatian yang lebih.
Kebanyakannya tidak tahan lasak dan mudah koyak sehingga dikhuatiri menjejaskan kualiti keseluruhan piring hitam terutama jika ada calar.
Selain itu, bapa kepada dua anak ini juga cukup berhati-hati di bahagian jarum gramofon kerana alat ganti sukar untuk dicari.

No comments:

Post a Comment