Wednesday, November 23, 2011

jejak mat kilau

Jejak Mat Kilau di Mat Daling


Salah sebuah kenderaan peserta nyaris terhumban ke dalam gaung ekoran tergelincir kerana laluan licin.


MAT Kilau merupakan antara pahlawan Melayu yang bangun menentang penjajahan penghujung 1880-an. Bersama-sama dengan Tok Bahaman dan Tok Gajah, mereka dengan berani menggempur pihak Inggeris secara terbuka.
Namun disebabkan Inggeris memiliki senjata lebih baik dan anggota yang ramai, ia memaksa Mat Kilau dan rakan-rakannya lebih menumpukan kepada serangan hendap.
Kawasan yang menjadi medan pahlawan Melayu itu menggempur Inggeris ialah sepanjang Sungai Tembeling. Malah Sungai Tembeling melalui kampung-kampung yang terdapat di pinggirnya seperti Kampung Kuasa Sat, Kampung Bantal dan Kampung Mat Daling merupakan laluan Mat Kilau ketika melarikan diri dari Inggeris.
Menggunakan laluan Sungai Tembeling itu, Mat Kilau lari ke Dungun, Terengganu. Mat Daling itu sendiri dikatakan nama salah seorang pahlawan yang membantu Mat Kilau dalam pelariannya itu.
Bagi mengimbau kembali pahit jerih sejarah perjuangan Mat Kilau yang kian dilupakan, terutama peristiwa beliau lari dari Inggeris dengan berjalan kaki Ke Kampung Pasir, Dungun, Kelab Kembara Cukai (CAT), menganjurkan Ekspedisi Jejak Pahlawan 2 ke Kampung Mat Daling, di Ulu Tembeling baru-baru ini.
Presiden CAT, Zahurin Abd. Wahab berkata, Kampung Mat Daling dipilih kerana sedikit sebanyak ia mempunyai pertalian dengan perjuangan Mat Kilau.
Katanya, jika berjalan kaki dari Kampung Pasi di Dungun Terengganu ke Kampung Mat Daling, ia mengambil masa dua hari.
Tetapi untuk ekspedisi itu, mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk memudahkan perjalanan ke Kampung Mat Daling.
Kampung tersebut memang agak unik kerana ia hanya dihubungkan dengan laluan sungai ataupun menggunakan pacuan empat roda melalui jalan balak.
Perjalanan menggunakan bot dengan memudiki Sungai Tembeling akan mengambil masa empat jam. Begitu juga dengan pacuan empat roda. Jika cuaca elok hanya empat jam diperlukan untuk ke Kampung Mat Daling. Tetapi jika hujan, ia boleh memakan masa 12 jam.
Menurut Zahurin, walaupun Ekspedisi Jejak Pahlawan 2 itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengimbau kembali perjuangan Mat Kilau.
"Ia juga sebagai pendedahan kepada ahli-ahli CAT dan para peminat sukan ekstrem ini bahawa jejak yang mereka lalui itu pernah digunakan oleh pejuang bangsa satu ketika dahulu," katanya.
Sebab itu katanya, CAT turut membawa pakar sejarah dalam ekspedisi itu bagi menerangkan kepada para peserta akan signifikannya laluan tersebut terutama Sungai Tembeling kepada perjuangan menentang penjajah.
"Selain mempelajari ilmu pacuan empat roda, para peserta juga dapat pelajari sejarah," katanya.
Ekspedisi itu yang bermula di Jerantut membabitkan 38 kenderaan pacuan empat roda.
Turut terbabit dalam ekspedisi itu ialah kelab pacuan empat roda Redah 4x4 dan Middle Earth.
Konvoi ekspedisi bertolak dari Jerantut menuju ke Mat Daling bermula pukul 9 pagi melalui jalan balak.
Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa lima jam itu memerlukan kira-kira 12 jam untuk sampai di destinasi ekoran hujan yang menyebabkan laluan licin dan berlumpur.
Laluan menjadi lebih sukar dan mencabar apabila bukit demi bukit perlu didaki. Najis gajah yang masih baru yang berselerakan di kiri-kanan laluan turut mendebarkan para peserta. Difahamkan berdasarkan kesan-kesan yang ditinggalkan itu sekurang-kurangnya 10 ekor gajah baru sahaja meninggalkan kawasan tersebut.
Perjalanan ke Mat Daling turut diperlahankan oleh beberapa kenderaan yang perlu di tunda terutama ketika mendaki laluan berbukit yang licin.
Malah sebuah kenderaan peserta terbabit nyaris menjunam ke gaung apabila tergelincir ketika melalui jambatan kayu yang licin.
Hasil kecekapan dan pengalaman para peserta ekspedisi, kenderaan tersebut berjaya di selamatkan.
Dalam keadaan dipenuhi lumpur, para peserta tiba di Kampung Mat Daling secara berperingkat-peringkat sekitar pukul 9 malam.
Pelan asal untuk bermalam dalam khemar di tebing Sungai Tembeling terpaksa di batalkan ekoran cuaca yang kurang mengizinkan.
Sebaliknya mereka menggunakan kemudahan chalet yang terdapat di kampung itu biarpun terpaksa berkongsi bilik.
Ekspedisi tiga hari dua malam itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti bersama penduduk termasuk bergotong-royong mengadakan kenduri kampung dengan menyembelih seekor kerbau.
Turut diadakan ialah perlawanan bola sepak persahabatan sambil memakai kain pelikat antara peserta ekspedisi dengan penduduk.
Pada sebelah malam hari kedua telah berlangsung majlis perasmian ekspedisi itu disertai dengan pengisahan sejarah mengenai perjuangan Mat Kilau.
Pada majlis itu pihak CAT turut menyampaikan sumbangan berupa peralatan sukan untuk kegunaan golongan belia kampung tersebut.
Pada hari ketiga, para peserta bertolak keluar dari Kampung Mat Daling ke Jerantut pada pukul 9 pagi dengan menggunakan laluan Taman Negara. Cabarannya hampir sama seperti laluan masuk dengan laluan berlumpur dan curam. Cuma cuaca baik memudahkan perjalanan keluar terutama ketika melepasi dua cabaran utama iaitu Bukit Awan dan Bukit Cermin.
Namun semua peserta selamat sampai ke Jerantut sebelum berpecah untuk pulang ke destinasi masing-masing.

No comments:

Post a Comment