Saturday, November 19, 2011

jerawat

Berat mata memandang...

Soalan:
Memasuki usia 20-an, wajah saya ditumbuhi banyak jerawat besar. Saya telah merujuk doktor pakar, tetapi dia hanya memberikan saya krim rawat wajah dan berpendapat ia disebabkan perubahan hormon saya. Adakah ia benar doktor? Satu lagi masalah saya ialah, apabila saya datang haid, saya mengalami masalah senggugut yang teruk. Ada pendapat yang saya dengar, mereka yang mengalami masalah ini akan sukar hamil kelak. Saya ingin meminta pendapat doktor tentang masalah ini.

- Suzan, KL.

Jawapan:

Saudari Suzan, soalan yang ditujukan amat menarik sekali dan merupakan masalah anak remaja tetapi ia juga boleh terjadi dalam kalangan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur. Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an.

Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat. Sesetengah daripada jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat. Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.

Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan saudari, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Masalah jerawat merupakan suatu penyakit radang yang disebabkan oleh penyumbatan pada pilosebaseus, iaitu kelenjar folikel pada kulit. Hormon androgen memainkan peranan yang penting dalam merangsang rembesan berlemak yang dihasilkan oleh kelenjar sebum pada kulit di bahagian muka dan belakang badan yang banyak mempengaruhi proses penyumbatan pada rongga folikel. Saya berharap agar saudari berjumpa dengan pakar kulit (pakar dermatologi) bagi rawatan seterusnya sama ada perlu mengambil ubat-ubatan lain bagi jerawat yang lebih serius dan kronik atau memerlukan pengambilan pil hormon tertentu jika saudari juga mengalami masalah PCOS.

Saya agak saudari adalah seorang yang amat tabah. Teruskan sikap ketabahan tersebut. Jangan jadikan masalah jerawat dan senggugut yang dialami ini menghantui pemikiran anda. Sudah tentu sesuatu penyakit itu ada penawarnya. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hanya wanita yang mengalaminya dapat merasai dan memahami apa yang dikatakan dengan gejala senggugut ini.

Rahim

Kesakitan ketika waktu haid atau senggugut adalah salah satu gejala yang biasa dialami bagi seseorang wanita. Kesakitan yang dirasai ini adalah disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat. Proses ini bertujuan bagi mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput endometrium (dinding rahim). Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim. Kebiasaannya, pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit. Senggugut sering menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi ia turut menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan masalah endometriosis.

Endometriosis

Terdapat dua jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut sekunder. Senggugut primer adalah disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin (sejenis bahan kimia dalam darah) yang menyebabkan penguncupan dinding rahim yang kuat. Manakala senggugut sekunder pula mungkin disebabkan oleh masalah endometriosis.

Endometriosis pula merujuk kepada keadaan lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati tumbuh di luar rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi wanita. Dalam keadaan endometriosis, wanita biasanya mengalami senggugut dan mungkin juga sakit bila mengadakan hubungan seksual dengan suami. Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh organ-organ di bahagian pelvisnya yang melekat atau salur fallopionya mengalami penyumbatan.

Punca sebenar endometriosis masih tidak diketahui. Malah bagi sesetengah wanita, risiko untuk mendapat endometriosis mungkin ada sekiranya terdapat saudara mara perempuan mereka mengalami masalah yang sama.

Untuk mengetahui penyebab sebenar senggugut, sebaiknya saudari membuat pemeriksaan kesihatan. Sebab lain senggugut adalah jangkitan pada bahagian pelvik dan juga boleh disebabkan masalah fibroid. Maka, saudari perlu diperiksa secara teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat dan perlu diberi rawatan yang sewajarnya secepat mungkin supaya penyakitnya tidak melarat sehingga susah dirawat kelak.

Namun begitu, terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang akan menghadapi masalah ketidaksuburan dan mudah gugur kandungan sekiranya senggugut berlaku secara berterusan. Mereka ini kemungkinan besar menghidapi penyakit endometriosis iaitu sejenis penyakit yang sering dikaitkan dengan masalah kesuburan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment