Sunday, January 29, 2012

u mobile

U Mobile tawar pelan murah
CONNIE S MONICAL
30 Januari 2012
U Mobile tawar pelan murah
Suatu ketika dahulu Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dianggap satu bentuk kemewahan, namun akhir-akhir ia muncul sebagai prasarana penting seiring peningkatan taraf hidup dan merelisasikan hasrat kerajaan menguasai 60 peratus penembusan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara.

Salah satu penyedia perkhidmatan mudah alih dan rangkaian telefon generasi ketiga berkembang menggunakan capaian Internet kelajuan tinggi dan video (3G) jenama tempatan, adalah U Mobile Sdn Bhd (U Mobile). U Mobile membawa evolusi baru dalam perkhidmatan jalur lebar kerana tawaran rangkaian terpantas pada harga terendah bagi pelan telefon pintar dan jalur lebar.
U Mobile ditubuhkan sejak 18 September 2007 dan pada awalnya hanya menawarkan panggilan kadar rata serendah RM0.90 bagi 30 saat dan kadar bajet untuk panggilan mengikut kadar tempatan (IDD) pada warga asing ke 26 negara .

Kesinambungan harga rendah U Mobile terus dikembangkan apabila menawarkan penyelesaian 3G untuk pasca bayar, prabayar dan jalur lebar di seluruh negara.
Di bawah pegangan saham utama U Telemedia Sdn Bhd pada Oktober 2010, U Mobile menjadi syarikat telekomunikasi negara pertama menawarkan rangkaian Internet terpantas apabila melancarkan sambungan rangkaian jalur lebar 42 mega bit sesaat (Mbps) akses peket berkelajuan tinggi (HSPA).

Terus memperkukuhkan lagi perniagaan, bermula awal 2011 U Mobile mencari kelainan, syarikat telekomunikasi itu menawarkan pelan lebih laju, fleksibel dan berpatutan.

Lancar pelbagai pelan pertama di pasaran

Ketua Pegawai Ekse­kutifnya, Dr Kaizad Heerjee, berkata, sepanjang 2011, U Mobile telah melancarkan beberapa pelan yang pertama di pasaran termasuk panggilan percuma dengan mana-mana numbor U Mobile lain tanpa had.

“Kami muncul sebagai penyedia pertama melancarkan jalur lebar dengan kelajuan terpantas 42Mbps, dan memperkenalkan kadar perayauan sifar dan caj kadar panggilan tempatan ke Singapura.

“U Mobile juga adalah satu-satunya syarikat telekomunikasi mengutamakan pelan pasca bayar berinovatif bersama perkhidmatan berkualiti dengan kadar berpatutan serendah RM28 sebulan bersama data, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan percuma dalam satu pelan tunggal,” katanya.

Menurutnya, U Mobile berbangga dapat menawarkan perkhimatan terbaik kepada pengguna dalam tempoh setahun, sejajar sasaran menjadi peneraju dalam sektor data dan menyediakan kelajuan jalur lebar terpantas sehingga 100Mbps.

Giat tambah cawangan baru

Dr Kaizad berkata, ke arah peningkatan produktiviti perkhidmatan, Disember lalu, U Mobile melancarkan cawa­ngan baru di Seberang Jaya, Pulau Pinang, sekali gus merupakan cawa­ngan ke-11 di se­luruh Semenanjung Malaysia.

Kaizad berkata, pembukaan cawangan baru itu adalah bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk, selaian disediakan di lebih 22,000 cawangan seluruh negara menerusi wakil-wakil berdaftar seperti Cosway, 7 Eleven, RHB dan Singer.

“Kami akan terus me­ngembangkan rangkaian pengedaran dengan mengadakan kerjasama bersama peruncit dan pengedar pada masa akan datang.

“Kami merancang membuka beberapa cawangan baru di lokasi strategik agar produk mudah dicapai pelanggan,” katanya.

Selain liputan terbaik bagi panggilan dan SMS, U Mobile turut dikenali dengan pengalaman jalur lebar sehingga tiga dan empat kali ganda lebih laju berbanding liputan sedia ada dalam pasaran.

Walaupun liputan teknologi telefon tanpa wayar generasi kedua (2G) U Mobile masih tidak menyeluruh, namun, rangkaian 3G U Mobile tersedia secara meluas di 1,300 kawasan sekitar Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Port Dickson dan Negeri Sembilan.

Liputan menyeluruh menjelang 2013

Katanya, bagi meningkatkan perkhidmatan rangkaian 3G, U Mobile bakal menyediakan perkhidmatan itu secara menyeluruh akhir 2012, diikuti Sabah dan Sarawak menjelang 2013.

Dr Kaizad berkata, bagi memperbaiki perkhidmatan, U Mobile telah menjalinkan bekerjasama dengan Maxis menerusi perkongsian 3G akses rangkaian radio (RAN) yang bakal membantu mengembangkan rangkaian kepada 4,000 stesen asas menjelang 2013.

Menurutnya, ke arah mancapai matlamat yang sama U Mobile juga menjalin kerjasama dengan ZTE, pembekal komponen telekomunikasi bagi kapasiti rangkaian jangka panjang (LTE) pada Oktober 2011 lalu.

U Mobile juga bakal melancarkan perkhidmatan itu pada 2013 selepas menerima kelulusan daripada kerajaan bagi memulakan operasi.

“Dengan keupayaan LTE itu nanti, pengguna mampu menikmati kepantasan perkhidmatan mudah alih luar biasa, berupaya mengubah cara berkomunikasi, berhibur dan mengumpul pengetahuan sejajar melahirkan masyarakat berilmu dan teknologi terkini,” katanya.
Tawar harga paling rendah

Ke arah menyaingi persaingan bersama syarikat telekomunikasi (Telco) terkemuka lain, U Mobile menawarkan pelan terbaik dalam pasaran dengan kadar paling murah serendah RM28 sebulan bagi pelanggan pasca bayar menggunakan Internet mudah alih berkelajuan tinggi bersama panggilan dan SMS percuma.

Tidak terkecuali, pelanggan jalur lebar ditawarkan penggunaan data lebih besar, kelajuan pantas dan tempoh tarikh luput paling lama bersama modem yang disewa de­ngan harga paling menarik serendah RM20 sebulan.
“Kami berusaha memastikan pengguna menerima perkhidmatan mampu milik terutama golongan lepasan graduan yang baru memulakan alam pekerjaan tanpa perlu dibebani bayaran bulanan yang mahal.

“Kami memahami situasi dan kehendak pelanggan. Justeru, pelan dengan kombinasi data dan suara paling rendah diperkenalkan agar pelanggan mampu menikmati perkhidmatan Internet dan pada masa sama mendapat panggilan suara dan SMS percuma,” katanya.

Jaminan tanpa caj tambahan

Menurut Dr Kaizad, bagi memastikan pengguna berpuas hati dengan kualiti perkhidmatan, U Mobile menawarkan jaminan pula­ngan wang dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh pembelian tanpa sebarang caj tambahan.
“U Mobile komited memperkukuhkan perkhidmatan dan sentiasa memperkenalkan produk dengan pelan berinovatif selaras perkembangan sektor telekomunikasi perhubungan meliputi kadar membuat panggilan dan SMS serta Internet,” katanya untuk dimanfaat kepada pelanggan yang bakal cecah 2 juta tahun ini.

jongkong

Pelaburan dalam jongkong emas merugikan?

TSURI
Kajang, Selangor

SAYA ialah antara mereka yang memilih untuk melabur dalam jongkong emas melalui pembelian emas tulen 999.99.

Atas nasihat seorang kawan, saya bersetuju dengan harapan membuat pelaburan dalam emas tulen sebegini menjamin keuntungan lumayan dan lebih selamat kerana harga emas dikatakan terus stabil dan dijangka meningkat walaupun berdepan dengan suasana ekonomi yang suram.

Selain daripada tidak banyak maklumat yang diketahui dalam perkara jual beli jongkong emas, saya juga termakan dengan pemikiran bahawa tidak ramai orang Melayu melabur dalam jongkong emas kerana orang Melayu lebih berminat membeli barang kemas yang diperbuat daripada emas seperti emas 916 misalnya.

Isunya di sini yang menimbulkan persoalan dan kejutan kepada saya ialah ketika saya ke tempat 'A' untuk menjual balik ketulan emas di sana iaitu sebuah kedai emas terkemuka yang tidak perlu disebutkan nama demi menjaga reputasinya.

Saya terkedu apabila pekerja yang berurusan dengan saya menyatakan harga bagi jual balik adalah RM15,400 untuk 100 gram emas.

Sementara itu, harga untuk membeli pula adalah RM18,000 untuk 100 gram sedangkan pada masa itu harga emas di pasaran semasa adalah RM19,800.

Ekoran peristiwa ini saya rasa seperti ditipu dan sangat terkilan kerana untung lumayan dibayangkan tersasar jauh. Sebaliknya, kerugian yang bakal ditanggung jika saya meneruskan niat untuk menjual emas pada hari itu.

Melalui ruangan ini, saya berharap pihak berwajib seperti Kementerian Kewangan dan Bank Negara serta pihak berkuasa lain dapat memberi penjelasan dan garis panduan pelaburan emas bagi menjaga kepentingan awam dan peniaga tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan.

pelajaran di penjara

Pendidikan di sebalik tirai besi

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM
(PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad)

TIDAK ramai yang tahu di sebalik bangunan yang dikawal rapi dengan dinding batu yang tinggi dan tebal serta disalut dengan kawat berduri terdapat sebuah sekolah di dalamnya.

Sekolah ini dihuni oleh pelajar khas yang terdiri daripada banduan muda iaitu mereka yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana melakukan berbagai kesalahan jenayah. Hanya ada beberapa negara di dunia ini seperti negara kita yang menyediakan kemudahan pendidikan di dalam penjara.

Laporan Khas dalam Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu merupakan maklumat menarik yang lengkap dan dapat dikongsi bersama mengenai perkembangan salah satu cabang sekolah di negara kita. Kemudahan pendidikan ini menunjukkan betapa kerajaan sangat prihatin terhadap hak untuk mendapat pendidikan termasuk kepada kanak-kanak yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Walaupun berada di sebalik balik tirai besi keperluan mendapatkan pendidikan secara formal dalam kalangan kanak-kanak itu tidak diabaikan. Sekolah dalam penjara ini dikenali sebagai Sekolah Integriti yang mula beroperasi sejak 2008.

Seperti kanak-kanak lain mereka juga disediakan perkhidmatan guru terlatih dan berpengalaman serta dibekalkan peralatan pengajaran dan pembelajaran yang mencukupi.

Hingga kini terdapat 1,650 pelajar yang terdiri daripada pesalah juvenil yang sedang mengikuti pelajaran di enam buah penjara. Sekolah Integriti ini beroperasi mengikut zon iaitu di Penjara Kajang, Penjara Kluang, Penjara Marang, Penjara Sungai Petani, Penjara Kuching dan Penjara Kota Kinabalu.

Ini termasuk dua buah Sekolah Henry Gurney di Melaka dan Keningau, Sabah yang beroperasi sejak 1950. Pertambahan bilangan pelajar di sekolah ini agak tinggi di mana jumlahnya hanya 531 tahun 2008, 531 tahun 2009 dan meningkat kepada 1,104 pada 2010.

Kerjasama Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penjara bagi menyediakan kemudahan pendidikan kepada banduan muda ini seharusnya diberi pujian. Matlamat pendidikan di sekolah ini bukan setakat menyediakan keperluan asas literasi dan numerasi kepada kanak-kanak tersebut tetapi turut menyediakan keperluan masa depan mereka.

Dengan kata lain pelajar-pelajar ini diberikan kemudahan mengikuti pelajaran akademik, kokurikulum dan vokasional yang bertujuan untuk melahirkan modal insan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Di bidang akademik pelajar diberi peluang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi melengkapkan diri aspek motivasi, pembinaan sahsiah dan kemahiran 'soft skill' turut diberikan.

Diharapkan apabila meninggalkan institusi penjara nanti setidak-tidaknya mereka akan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran masyarakat. Di samping itu dapat berdikari dengan mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman yang telah diterima sepanjang berada di penjara.

Agak menarik adalah pencapaian akademik yang menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar sekolah berkenaan. Misalnya terdapat pelajar yang memperolehi 6A dalam peperiksaan PMR dan pelajar terbaik dalam SPM memperolehi 7A dan 1B. Peratus kelulusan adalah tinggi iaitu PMR 90.1 peratus dan SPM 95.24 peratus.

Kejayaan dalam bidang akademik ini sudah tentu atas usaha keras pelajar dan sokongan kuat guru-guru di sekolah berkenaan. Ini membuktikan bahawa suasana pembelajaran di penjara bukanlah menjadi faktor penghalang kepada kejayaan.

Beberapa tahun lepas penulis berpeluang melawat Sekolah Integriti di Penjara Kajang dan Penjara Kluang. Sebaik sampai ke sekolah tersebut jelas perasaan kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal dan pusat sumber yang kelihatan sangat kemas dan lengkap. Kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan adalah dikira setanding dengan sekolah harian yang lain.

Demikian juga guru-guru yang bertugas adalah merupakan guru terlatih dan berpengalaman. Mereka dipilih khusus untuk mengajar di sekolah berkenaan selepas melalui beberapa peringkat temuduga.

Dalam perbualan, guru-guru tersebut menyatakan rasa bangga kerana berpeluang berkhidmat di sekolah berkenaan. Menurut mereka saat yang paling menyedihkan ialah ketika hampir cuti panjang persekolahan di mana pelajar-pelajar seolah-olah tidak mahu berpisah dengan guru.

Pelajar sangat mesra dengan guru dan menganggap guru-guru sebagai pengganti ibu dan bapa. Pelajar sangat patuh dan sentiasa menghormati guru-guru malah sangat suka jika guru sering berleter atau memberi nasihat panjang kerana dikatakan sama seperti sikap ibu mereka semasa berada di rumah dahulu.

Langkah Kementerian Pelajaran menempatkan 102 orang guru dan menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang lengkap adalah suatu yang harus diberi pujian. Walaupun pelajar-pelajar pernah melakukan kesalahan jenayah tetapi hak mereka untuk mendapat pendidikan yang terbaik secara format tidak harus diabaikan.

Moga-moga segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi di sekolah tersebut akan dapat dimanfaatkan selepas meninggalkan bangunan penjara di suatu hari nanti.

anggota keselamatan

4 juta kawal 28 juta penduduk?


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (dua dari kanan) bersalaman dengan seorang peniaga di Taman Tun Dr Ismail, ketika membuat lawatan ke kedai-kedai selepas Pelancaran Rondaan Bersama PDRM, RELA dan JPAM Bagi Kawasan Brickfield dan Damansara, baru-baru ini.


SEORANG pemandu teksi, Mohd. Norpiah Harun Arashid yang mencari rezeki di ibu negara ialah rakyat biasa yang peka dalam menilai keselamatan negara di sudut orang awam.
Bukan dia sahaja, malah hampir semua rakyat Malaysia mempunyai penilaian tersendiri mengenai tahap keselamatan negara ketika ini.
Rakyat Malaysia pasti akan membandingkan soal keselamatan itu sepanjang mereka mula mengenali peranan dan tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang sinonim dan paling awal disebut oleh sesiapapun, jika kita berbicara tentang keselamatan negara.
Bagi Mohd. Norpiah yang berusia lingkungan 50-an, beliau menganggap penglibatan anggota polis di tempat-tempat awam kini kian berkurangan.
"Kelibat anggota polis kini semakin berkurangan jika dibandingkan dengan tahun 80-an, Jadi, saya rasa cadangan untuk menambah bilangan mereka amat baik," katanya ketika diminta pendapat mengenai cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menambah bilangan anggota penguat kuasa dan sukarelawan di seluruh negara baru-baru ini.
Cadangan itu diusul bagi menurunkan kadar jenayah dan membentuk rasa selamat di kalangan rakyat.
Penambahan seramai 35,029 anggota berbanding 27,162 anggota sedia ada tahun lalu itu diumumkan oleh menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, baru-baru ini.
Pendekatan komprehensif itu sejajar dengan dua inisiatif utama KDN selain melibatkan lebih ramai rakyat dalam aktiviti mencegah jenayah sebagai usaha membanteras kegiatan itu di seluruh negara tahun ini.
Apabila kita mengambil kira pendapat Mohd. Norpiah itu tadi, atau rakyat Malaysia yang lain, satu harapan wujud dalam masyarakat iaitu supaya lebih ramai anggota penguat kuasa diletakkan supaya ia mampu menghadirkan rasa selamat kepada mereka.
Penulis yakin, kerajaan sebenarnya mempunyai sebab kenapa bilangan penguat kuasa ini harus ditambah. Peningkatan angka penduduk Malaysia yang kini semakin menghampiri 30 juta orang (28.7 juta seperti yang dipetik daripada laman web Jabatan Perangkaan Malaysia) mungkin turut menjadi faktor kenapa kerajaan mencadangkan penambahan anggota penguat kuasa.
Ini kerana adakah mencukupi jika negara ketika ini hanya memiliki kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa (pelbagai agensi) untuk mengawal keselamatan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat.
Perlu diingat, angka 28 juta penduduk Malaysia itu belum termasuk jumlah pendatang asing di negara ini.
Sekiranya dicampur dengan pendatang asing, pastinya sukar untuk penguat kuasa, baik PDRM mahupun lain-lain agensi untuk mengawal ketenteraman negara.
Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 4 juta anggota penguat kuasa yang ditadbir di bawah KDN. Bilangan 4 juta ini termasuk 3 juta kakitangan tetap dan sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), 120,000 anggota dan pegawai tetap dalam PDRM, 400,000 anggota dan sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta 260,000 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Jumlah itu belum termasuk mereka yang sukarela menyertai agensi-agensi lain di bawah KDN antaranya Wataniah dan sebagainya.
KDN baru-baru ini menyasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguat kuasa daripada agensi-agensi di bawahnya untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah menjelang Mac depan.
Ketua Setiausaha kementerian itu, Tan Sri Mahmood Adam berkata, sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota JPAM dan Rela terlibat dalam rondaan bersama itu.
"KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama," kata beliau.
Malah, kata Mahmood, KDN juga telah mewujudkan sistem rondaan bersama agensi keselamatan di bawah kementerian itu sejak awal tahun lalu membabitkan beberapa lokasi tumpuan di seluruh negara. Ini termasuk Sungai Pelek di Selangor; Alor Gajah, Melaka; Kampar, Perak; Johor Bahru, Johor, Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur, selain Kluang dan Pagoh di Johor serta Pekan, Pahang.
Menerusi sistem ini, kata beliau, anggota penguat kuasa daripada sekurang-kurangnya enam agensi seperti Imigresen, AADK, Jabatan Pendaftaran Negara, Bahagian Keselamatan Negara (BKN) akan menghantar wakil untuk bersama-sama melakukan rondaan.
"Buat masa ini, kerajaan belum ada perancangan untuk menambah bilangan anggota dan pegawai polis, namun apa yang akan ditambah adalah bilangan penguat kuasa dan sukarelawan lain-lain agensi dalam KDN.
"Kita yakin, penambahan bilangan anggota yang melakukan rondaan bersama cegah jenayah ini akan mewujudkan rasa selamat kepada masyarakat," katanya.
Kepada rakyat Malaysia seperti Mohd. Norpiah, langkah kerajaan ini sedikit sebanyak dapat mengembalikan kepercayaan mereka terhadap pasukan keselamatan yang menjadi nadi kemakmuran sesebuah negara.
Tidak perlulah semua yang menjalankan rondaan itu memakai pakaian seragam polis, kerana bagi kita, asalkan ada pasukan penguat kuasa, sekurang-kurangnya rakyat akan merasa selamat dari pelbagai bentuk jenayah yang kian mencabar pada zaman serba moden kini.
Cuma bagi penulis, rakyat janganlah hanya mengharapkan polis atau pasukan penguat kuasa sahaja yang muncul untuk mengawal keamanan kerana sebagai individu prihatin, tanggungjawab mencegah jenayah adalah kerja bersama.

Saturday, January 28, 2012

dapat ganti sofa

Pengguna tertipu sofa tidak berkualiti

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

HASRAT seorang kerani dan seorang akauntan untuk menikmati keselesaan set sofa kulit bagi tempoh yang lama tidak kesampaian apabila produk yang dibeli mereka pada November 2009 rosak dalam tempoh tidak sampai enam bulan digunakan.

Akibat tidak berpuas hati dengan perkara itu, kedua-duanya membawa kes itu kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Johor Bahru baru-baru ini selepas mereka gagal mendapat bayaran balik daripada syarikat pengeluar perabot berkenaan, Kian (Johore) Sdn. Bhd.

Haryati Iswadi, 32, memberitahu, dia membeli set sofa kulit berharga RM2,599 dari sebuah kedai perabot yang terletak di sebuah pasar raya terkemuka di Plentong dengan harapan dapat digunakan bagi jangka masa panjang memandangkan fabrik yang digunakan kelihatan berkualiti tinggi.

Namun, selepas enam bulan digunakan, set sofa berkenaan mula menggelupas dan bahagian tepinya turut patah.

Akibat tidak berpuas hati dengan kualiti sofa berkenaan, dia kemudian pergi semula ke kedai itu untuk mendapatkan ganti rugi tetapi gagal kerana premis berkenaan telah ditutup.

''Saya kemudian pergi ke kilang pembuat perabot berkenaan di Ulu Tiram untuk mendapatkan ganti rugi tetapi hampa kerana mereka menafikan sofa itu dibuat di kilang tersebut. Mereka turut mencabar saya untuk mengambil tindakan undang-undang.

''Tidak puas hati dengan keadaan itu, saya pergi ke cawangan syarikat perabot tersebut yang terletak di Kluang bagi mendapatkan penjelasan. Selepas diberikan penerangan, saya dapati bahawa set sofa yang dibeli itu bukan daripada jenama perabot tersebut,'' katanya.

Nasib sama turut dialami Ho Yin Chyang, 50, apabila sofa kulit yang dibelinya dengan harga RM2,859 turut menggelupas dalam tempoh lapan bulan dan lebih menyedihkan pihak syarikat memintanya untuk membayar RM800 sebagai kos untuk menggantikan fabrik tersebut.

''Mereka beritahu tidak akan bertanggungjawab jika kulit yang digantikan pada sofa itu rosak atau menggelupas pada masa akan datang.

''Ini kali terakhir saya membeli perabot dari syarikat berkenaan kerana selepas ini memang saya tidak akan beli lagi di syarikat tersebut,'' katanya kesal.

Setelah mendengar kedua-dua tuntutan itu, Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali mengarahkan syarikat perabot terbabit membayar pampasan sebanyak RM1,400 kepada Haryati dan RM1,700 kepada Yin Chyang.

Bagaimanapun, wakil syarikat berkenaan tidak hadir ketika award tersebut diberikan.

Saturday, January 21, 2012

ikan species baru

Penoreh temui spesies ikan unik
NORADILA MAHAMAD
January 22, 2012
ikan tilan
KUALA BERANG – Penduduk Kampung Machang di sini gempar apa bila bubu ditahan seorang penoreh getah di Sungai Machang minggu lalu, dimasuki seekor ikan daripada spesies yang tidak dikenali.

Sejak itu, rumah Wahab Awang Ahmad, 53, tidak putus-putus dikunjungi mereka yang mahu melihat ikan itu yang kini dipelihara di dalam akuarium di rumahnya.

Menurut Wahab, badan ikan berkenaan seperti tiga jenis ikan berlainan.

“Jika diamati, kepala ikan ini menyerupai ikan haruan, separuh badannya pula seperti belut berwarna kekuningan di bahagian perutnya, manakala separuh badan lagi hingga ke hujung ekornya seperti ikan keli,” katanya.

Sekali imbas, ikan itu hampir menyerupai spesies ikan tilan namun kata Wahab, yang membezakannya ialah kepala atau mulut ikan itu tidak pula berbentuk tirus atau runcing seperti ikan tilan ataupun belut.

“Manakala di bahagian badannya juga tidak terdapat duri atau sengat,” katanya.

Wahab berkata, sejak ditemui sehingga sekarang, badan ikan itu kelihatan makin berisi.

“Itulah yang peliknya. Saya sudah beri macam-macam jenis makanan ikan untuk ia makan tetapi langsung tidak berkurangan. Udang dan anak ikan yang saya beri langsung tidak dimakan,” katanya.

Wahab berkata, dia sendiri masih tidak tahu apa yang dimakan ikan spesies luar biasa itu yang menyebabkannya kelihatan semakin gemuk.

Namun katanya, bagi dirinya sendiri dan keluarga, tiada pula berlaku apa-apa kejadian yang ganjil melibatkan mereka sejak dia bawa ikan yang panjangnya 90 sentimeter itu pulang ke rumah.

Menceritakan penemuan ikan pelik tersebut, kata Wahab, dia bersama anaknya, Zawawi, 26 turun ke Sungai Machang untuk mengambil bubu yang diletakkan sehari sebelumnya, kira-kira jam 8.30 pagi seminggu lalu.

Ketika mengangkat bubu berkenaan, dia mendapati salah seekor ikan yang ada di dalamnya itu kelihatan pelik.

“Pada mulanya kami ingatkan belut, tetapi apabila diperhatikan secara dekat bersama anak saya ini, rupa-rupanya bukan belut tetapi tidak dapat dikenal pasti.
“Kami kemudian memutuskan untuk membawanya pulang bersama ikan keli, puyu, sepat yang turut berada dalam bubu,” katanya.

Kata Wahab, sepanjang hayatnya, dia tidak pernah melihat ikan seperti itu dan begitu juga dengan penduduk sekitar.

Friday, January 20, 2012

dengkur langit

Dengkuran misteri dari langit
Wartawan Sinar Harian
January 21, 2012
Langit
SHAH ALAM – Kejadian bunyi dengkuran kuat diselang-seli bunyi nyaring frekuensi radio yang berlaku di Kota Samarahan, Sarawak pada malam 11 dan 12 Januari lalu menggegarkan banyak kampung sekitar dan terus menjadi misteri hingga kini.

Salah seorang saksi, guru, Mohammad Ferdauz Jumain, 28, berasal dari Kampung Meranek menceritakan semula detik tersebut berkata, dia terjaga pada jam tiga pagi kerana gangguan bunyi misteri tersebut yang terlalu kuat.

Dia berkata, bunyi itu seolah-olah bunyi dengkuran dari kaki langit namun tidak mengetahui dari mana puncanya.
 
“Pada mulanya, saya tidak mengesyaki apa-apa pun, tetapi semakin lama bunyi tersebut semakin kuat. Saya mengejutkan ibu dan ayah, kami terus tertanya-tanya bunyi apa itu. Saya juga sempat menghubungi dan menghantar SMS kepada beberapa kawan terdekat, mereka juga terdengar bunyi yang sama.
 
“Semakin pelik dengan bunyi itu, saya dan ayah mengambil keputusan memeriksa di luar rumah tetapi kami terkejut kerana bunyi itu dari tempat yang jauh, jiran-jiran saya yang lain pun terjaga,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
 
Ayahnya, Jumain Abang, 69, penduduk asal Kota Samarahan menjelaskan, sepanjang hayat itulah kali pertama dia terdengar bunyi dengkuran yang amat kuat dari langit.
 
“Kita hanya boleh berdoa kepada ALLAH semoga segalanya selamat dan tidak berlaku apa-apa, mungkin bunyi itu boleh dijelaskan oleh mereka yang pakar,” katanya.
 
Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak yang mengatakan bunyi tersebut berpunca dari kilang kelapa sawit berdekatan, Ferdauz menafikan dakwaan itu kerana bunyi enjin memproses kelapa sawit tidak mungkin didengari sehingga ke Kampung Muara Tuang yang sejauh 10 kilometer.
 
Katanya lagi, pada malam pertama kejadian, jiran sekeliling keluar beramai-ramai dari rumah kerana berasa amat pelik di samping perasaan yang takut dan panik.

“Pada malam kedua (12 Januari) saya dan penduduk sekitar Samarahan sudah bersedia untuk merakamkan kejadian tersebut dan Alhamdulillah kami berjaya merakamnya,” katanya.
 
Jurutera komputer, Mohd Adzil Yusuf, 28, yang tinggal di Desa Ilmu, kira-kira tiga kilometer dari Kampung Meranek turut mendengar bunyi tersebut namun tidak mengesyaki apa-apa pada mulanya.
 
“Selepas kejadian malam pertama kecoh, saya mengambil keputusan untuk memeriksa sendiri kilang kelapa sawit yang dikatakan punca bunyi itu, namun saya dapati kilang itu tidak mengeluarkan bunyi apa pun,” katanya.
 
Mengulas mengenai dakwaan dan teori banyak pihak di laman-laman web yang mengatakan bunyi itu berpunca daripada program High Frequency Active Auroral Research Programme (HAARP), Ferdauz tidak menolak kemungkinan itu kerana pada malam kejadian dia sempat melihat awan di langit dalam keadaan ‘bergaris-garis’.
 
“Bentuk awan pada malam itu seolah seperti kesan asap kapal terbang lurus dalam pertunjukan udara tetapi banyak, jadi berdasarkan kajian saya, kemungkinan HAARP menjadi punca itu ada,” katanya.
 
HAARP adalah program penyelidikan berkaitan ionosfera dan dinaungi sepenuh oleh US Air Force, US Navy, University of Alaska dan Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA).
 
DARPA adalah sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan Amerika Syarikat untuk membina pelbagai senjata berteknologi tinggi untuk kegunaan ketenteraan Amerika Syarikat.
 
HAARP berselindung dengan aktiviti penyelidikan saintifik yang kononnya menyelidik lapisan ionosfera bagi meningkatkan lagi penggunaan sistem komunikasi dan pemantauan cuaca.
 
Tapak penyelidikan HAARP yang berada di Gakona, Alaska menempatkan peralatan berteknologi tinggi iaitu Ionospheric Research Instrument (IRI).
 
IRI adalah sebuah instrumen yang menghasilkan frekuensi radio berdefinisi tinggi sekitar 2.7MHz sehingga 10MHz.
 
IRI mampu memancarkan frekuensi ke lapisan yang terhad untuk dicapai iaitu di lapisan Ionosfera dan menghantar kembali isyaratnya ke bumi.
 
Apapun sehingga kini, belum ada jawapan jelas mengenai apa sebenarnya yang berlaku di Kota Samarahan dan beberapa buah kawasan di dunia sejak tahun lepas.
 
Yang pasti, bunyi yang aneh dan menggerunkan itu akan terus menghantui penduduk selagi tiada jawapan yang jelas mengenainya.
 
Daripada maklumat, sehari sebelum kejadian ini perkara yang sama turut berlaku di Aaborg, Denmark bahkan bunyi aneh yang menakutkan ini pernah didengar dan direkodkan di Sweden pada 1 November tahun lalu.

Thursday, January 19, 2012

bursa sepi

Bursa Malaysia semakin sepi

SALLEH MAJID
Open UniversityKuala Lumpur

BURSA Malaysia, satu nama yang gah di mata para pelabur. Suatu ketika dahulu bursa ini mencapai pencapaian yang mengagumkan.

Dalam era tahun 1990 hingga 1995 bursa ini begitu mendapat perhatian para pelabur. Jika dibandingkan dengan sekarang ibarat hidup segan, mati pun tak mahu.

Rata-rata kawan saya terutama dari kalangan kaum Cina kecewa dengan harga-harga saham yang didagangkan. Begitu juga syarikat-syarikat yang baru disenaraikan terutama kaunter Ace, ia seperti ingin memerangkap pelabur-pelabur.

Akibat tindakan bursa yang begitu berhati-hati akhirnya memakan diri. Para pelabur asing enggan memasuki pasaran. Bila harga saham hendak meningkat sudah dikelaskan unusual activity.

Sepatutnya pihak bursa bertindak ke atas syarikat yang harga sahamnya jatuh dan tiada dagangan ataupun dikenali volume. Syarikat-syarikat yang tidak mempunyai urus niaga selama beberapa waktu seharusnya dinyah senarai kerana tidak mendatangkan manfaat kepada pelabur.

Cuba bayangkan bagaimana hendak melakukan jual beli saham jika tidak ada pembeli dan penjual. Syarikat sendiri pun enggan membeli saham tersebut. Akibatnya saham tersebut layak menjadi sampah sahaja.

Kebiasaannya awal tahun akan terdapat rally Tahun Baru Cina. Tahun baru 2012 agak mengecewakan, nampak gaya keyakinan pelabur semakin tergugat.

Perdana Menteri seharusnya mengambil berat akan dagangan di Bursa Malaysia kerana kitaran dan kecairan duit akan berlaku begitu pantas jika dagangan bursa dirangsang.

Pelabur-pelabur akan berebut-rebut untuk menyertai pasaran, akhirnya berlaku pemulihan ekonomi seperti yang diharapkan. Semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kegawatan pun bursa cemerlang juga.

Orang Melayu memang tidak ambil tahu akan hal ini tetapi bagi peniaga seperti kami, jika ingin wang tambahan, kami akan melabur di bursa. Dengan jual beli saham inilah dapat menampung sewa kedai, gaji pekerja dan lain-lain.

Berniaga sekarang dan dahulu agak berbeza keuntungannya kerana lambakan barang dan persaingan terlalu banyak.

Saya berharap pegawai bursa yang baru dilantik memainkan peranan seperti yang diharapkan oleh rakyat jelata.

sejarah zalim

SEJARAH KEZALIMAN MANUSIA


THE Inquistional Chair merupakan salah satu alat penderaan yang dipamerkan pada Pameran Tortura di Muzium Negeri, di Seremban.


PENGUNJUNG ke Muzium Negeri, Negeri Sembilan pasti berasa gerun apabila mendapat tahu rahsia yang tersirat di sebalik sebuah keranda besi yang dikenali sebagai The Iron Maiden of Nuremberg dengan penutupnya dibuat dalam bentuk arca manusia.
Bahagian belakang penutup keranda ini dibarisi paku panjang dan tajam yang jelas menunjukkan ia digunakan untuk tujuan yang pastinya tidak disenangi. Apabila pintu keranda ditutup paku-paku tajam ini akan mencucuk tubuh mereka yang baring di dalamnya terutama di bahagian perut, dada, pundi kencing, kemaluan dan mata.
Paku-paku ini disusun sebegitu cara supaya tidak mencucuk organ-organ penting tubuh yang boleh membunuh mangsa dengan serta merta, sebaliknya mangsa dibiarkan mengalami seksa selama beberapa hari sebelum mati.
Lagipun, peti ini yang diperbuat daripada besi, amat tebal dan kukuh apabila ditutup rapat jeritan dan tangisan kesengsaraan orang yang berada di dalamnya, langsung tidak akan kedengaran.
Keranda ini yang diperbuat di wilayah Nuremburg Jerman dan digunakan di Zaman Pertengahan Eropah merupakan antara hampir 200 alat, lukisan dan gambarajah menunjukkan penderaan yang dapat disaksikan di Pameran Tortura Muzium Negeri.
Barang bagi pameran unik ini yang bermula pada 18 Nov 2011 dan diteruskan hingga 17 Feb 2012 dibawa khas dari beberapa negara Eropah seperti Jerman, Itali, Perancis dan England.
Pegawai Kurator muzium, Aziz Mohd. Gorip berkata, pameran Tortura bertujuan membawa pengunjung menyelusuri era keganasan dan kekejaman sesama manusia di Eropah di zaman pertengahan terutama antara tahun 1500 hingga 1700. Masyarakat Eropah yang kini hidup dalam tahap ketamadunan yang tinggi, sebenarnya pernah suatu ketika dahulu hidup dalam zaman yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Pada zaman pertengahan itu yang dicirikan sistem pemerintahan 'feudal' penderaan dan penyeksaan menjadi amalan biasa terutama oleh golongan atasan dan bangsawan Eropah terhadap golongan bawahan, penjenayah dan mereka yang menentang agama.
Menurut Aziz lagi amalan penderaan yang mengakibatkan kecederaan teruk dan mendatangkan kematian kepada mangsa terjadi kerana perbezaan ideologi, sosial, keturunan, status dan agama antara masyarakat pada masa itu.
"Dalam kata lain, kita ingin menunjukkan betapa beruntungnya kehidupan kita pada hari ini yang mempunyai kebebasan dalam percakapan, keagamaan, status sosial dan keturunan berbanding masyarakat Eropah pada zaman pertengahan," katanya ketika ditemubual wartawan Bernama baru-baru ini.
MENYERAMKAN
Berbalik kepada barangan pameran, pelbagai jenis alat penderaan yang menyeramkan dan mengerikan terdiri dari pelbagai bentuk dan cara seksaan atau bunuh dapat dilihat pada pameran itu.
Selain Wanita Besi Nuremberg, satu lagi alat yang amat menyeramkan adalah The Guillotine atau alat pancung yang merupakan ciptaan ahli fizik Perancis Joseph Ignace Guillotin semasa Revolusi Perancis antara 1789 dan 1793.
Menurut Aziz, guillotine sebenarnya bukanlah alat penderaan tetapi alat pembunuh yang sezaman dengan alat penderaan lain yang dipamerkan.
Alat pemancung ini banyak digunakan semasa tempoh revolusi Perancis.
Ramai yang menjadi mangsa termasuk Raja Perancis Louis XVI dan permaisurinya Marie Antoinette yang dipancung pada 1793.
"Guillotine merupakan tarikan utama kita pada pameran ini. Semua alatan yang dipamerkan di sini kejam tapi bagi saya alat ini adalah yang paling kejam dan menyeramkan kerana ia memotong kepala mangsa dengan begitu pantas," kata Aziz.
Selain itu turut dipamerkan adalah The Inquisitional Chair atau kerusi soal siasat yang banyak digunakan di negara-negara Eropah seperti Jerman, Itali, Perancis, England dari sekitar 1600 hingga akhir 1800-an.
Ia digunakan bagi mendera mangsa yang disoal siasat dengan paku-paku tajam dipasang pada seluruh bahagian kerusi itu terutama di bahagian belakang, tempat letak lengan, atas tempat duduk dan tempat letak kaki.
Mangsa yang dipaksa duduk atas kerusi itu akan diikat badan, lengan dan kaki mereka dengan kunci besi supaya tidak boleh bergerak dan terus merasai kesakitan.
Paku-paku tadi juga akan menusuk daging di bahagian lengan, badan dan belakang sehingga melemahkan mangsa dan seterusnya boleh mengakibatkan kematian.
Turut menarik perhatian pameran adalah The Knee Splitter atau Alat Pemecah Lutut yang merupakan alat penderaan yang amat kejam dengan mangsa mengalami kecederaan lutut yang teruk sehingga hilang fungsinya.
Alat yang sama juga diguna untuk mencederakan bahagian lain tubuh seperti siku, tangan dan buku lali.
Apabila pendera memutarkan pemegang alat itu, jeriji tajam yang ada padanya akan bertaut antara satu sama lain yang mengakibatkan kesan koyakan pada kulit sehingga memecahkan tulang.
PENGETAHUAN DAN PENGAJARAN
Terdapat pelbagai lagi alat penderaan yang ngeri dipamerkan yang pastinya menceritakan penderitaan yang dialami oleh mereka yang menjadi mangsa ketika zaman pertengahan Eropah.
Antara alatan lain termasuk Branks (Topeng Muka), Head Crusher with Screw and Upper Cap (Alat Penghancur Kepala dengan Skru dan Penutup Kepala), Juda's Cradle (Buaian Yahuda) dan The Garrote (Penjerut Leher).
Menurut Aziz, sejak pameran itu bermula pihaknya mendapat pelbagai reaksi daripada pengunjung terutama golongan pelajar sekolah mengenai peralatan penderaan yang dipamerkan.
Pameran itu sememangnya bersesuaian untuk pelajar sekolah kerana zaman pertengahan Eropah juga turut menjadi satu daripada topik dalam buku teks subjek Sejarah di sekolah menengah.
"Adalah amat penting untuk masyarakat hari ini terutama pelajar sekolah mengetahui sejarah ini dan mengambil iktibar daripadanya," kata beliau.
Sejak pameran itu bermula pada 18 November lalu, kira-kira 700 pelawat termasuk pelancong luar negara mengunjungi Muzium Negeri, untuk menyaksikan alat-alat penderaan itu yang sebelum ini tidak pernah mereka saksikan.
AMBIL KESEMPATAN
Orang ramai juga boleh mengambil kesempatan bersama keluarga untuk mengisi masa lapang dengan sesuatu yang berilmiah dan penuh pengajaran terutama pada musim cuti sekolah sekarang ini.
Apatah lagi, pameran ini merupakan yang terakhir sebelum alat-alat menyeramkan itu diterbangkan ke Sepanyol untuk dipamerkan di sana pula.
Kedudukan Muzium Negeri ini yang berhampiran dengan Lebuh Raya Utara-Selatan juga memudahkan akses bagi mereka dari arah Utara atau Selatan.
Menurut Aziz, selain pameran itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan pameran lain yang terdapat di muzium itu seperti pameran setem, filateli, monumen dan tapak bersejarah.
Orang ramai yang ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Pameran Tortura atau pameran-pameran lain di muzium ini boleh menghubungi talian 06-7631149, atau layari laman web www.tortura.com.my. - BERNAMA

Wednesday, January 18, 2012

sihir berleluasa

Dalang cetek agama

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Kejadian artis, ahli perniagaan, ahli politik mahupun orang kebanyakan yang terkena santau atau ilmu sihir, perlu dipandang serius berikutan ia kian kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Perkara itu diakui pengamal perubatan Islam, Ustaz Hanafi Abdul Malek yang menyifatkan ‘kerja’ sihir itu didalangi individu yang cetek pengetahuan agama dan hatinya dikuasai syaitan. Menurutnya, sifat segelintir orang Melayu yang mudah dikuasai perasaan hasad dengki, iri hati dan tidak senang dengan kejayaan individu lain menyebabkan amalan sihir masih berlaku.


“Sejak kebelakangan ini, semakin ramai individu termasuk ahli politik yang datang berjumpa saya mengadu mengalami pelbagai penyakit pelik termasuk memuntahkan objek pelik dari dalam badan.

“Perbuatan sihir ini bukan hanya membabitkan orang Melayu, malah turut merebak kepada kaum Cina yang turut percaya terhadap amalan sihir,” katanya yang menggunakan limau dan ayat suci al-Quran untuk menyembuhkan pesakitnya.


Beliau berkata, amalan syirik itu masih berterusan berikutan kerja sihir didapati berhasil untuk merosakkan hidup mangsa yang dijadikan sasaran.


Menurutnya, gangguan kuasa jahat itu boleh diatasi dengan kaedah tertentu yang sesuai dengan Islam seperti mengamalkan ayat al-Quran yang menjadi pendinding diri.

“Seseorang itu kena beramal terlebih dulu kerana orang yang tidak beramal, walaupun dibaca ayat al-Quran tidak akan memberikan kesan mujarab,” katanya.

rancangan ugama di tv sudah banyak yang bagus2

Beza penceramah TV dengan penceramah masjid

Azman Anuar

KEBETULAN sewaktu pulang ke rumah malam kelmarin, program 30 Minit Ustaz Don di TV AlHijrah terpancar di televisyen. Program ini yang disebut-sebut isteri saya sebagai cukup menarik. Program bimbingan cara mengerjakan solat.

Beberapa kali saya ‘terserempak’ dengan program ini di Astro. Tapi saya tak endah. Kali ini saya cuba menonton program itu pada pukul 10 malam. Tak sangka, saya tak menukar ke saluran lain. Benar Ustaz Don berjaya menarik perhatian saya.

Saya mendapat ilmu menentukan arah kiblat dengan cara mudah. Ustaz Don bukan ajar saya seorang tetapi ribuan penonton program itu.

Dengan gaya pertuturan lemah lembut, bijak berkomunikasi dan penyampaian yang ringkas dan mudah difahami, ramai penonton akan memperolehi ilmu yang disampaikannya.

Format program begini yang kita mahu. Biar ia lebih santai dan interaktif. Tidak perlu meleret dan membebel.

Penyampai yang baik akan terus membincangkan topik yang ada hubung kait dengan isu yang dikemukakan.

Bersyukurlah kerana semakin banyak program kerohanian dan motivasi berlandaskan al-Quran dan Hadis di TV kita.

Seronok dan terasa tidak sia-sia menonton program keagamaan. Saluran Astro Oasis dengan Tanah Kubur, Jemputan Umrah, Imam Muda dan lain-lain.

TV9 pula melalui slot Raudhah mempunyai Halaqah, Semanis Kurma, Usrah, Saffiya, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah serta Adik & Al-Quran.

Setiap pagi bermula 7 pagi, elok luangkan masa menonton Tanyalah Ustaz. Setiap episod menampilkan seorang ustaz atau pendakwah bertauliah untuk menjawab masalah penonton sama ada menerusi e-mel ataupun panggilan telefon.

Alangkah bahagia jika masjid dan surau sekurang-kurang mengambil pendekatan seperti program di TV untuk menyampaikan ilmu dalam program tazkirah atau usrah kepada para jemaah.

Biasanya penceramah yang dijemput di masjid atau surau mempunyai pengalaman mendalam mengenai ilmu al-Quran, hadis, sejarah Islam, syariah atau tasawuf.

Bertahun-tahun golongan ustaz ini memberi ceramah tetapi pendekatannya masih gaya lama. Format ceramahnya, dia seorang sahaja yang berceloteh. Pada akhirannya, jarang-jarang soalan dikemukakan. Itupun jika ada ruang waktu untuk bertanya soalan.

Hal ini boleh dilihat pada sesi usrah selepas Subuh atau usrah Maghrib.

Penceramah kena tampil lebih segar dengan membawa topik perbincangan masalah semasa ummah di samping perkara berkaitan hukum-hakam.

Penceramah perlu memberi nilai tambah kepada topik ilmu dengan mengasak permikiran jemaah dengan huraian dan kupasan yang ‘memukau’.

Jika penceramah dalam program TV tidak mengusik isu-isu politik, begitu juga kita harapkan penceramah jemputan di masjid dan surau. Tanpa cuit isu politik pun, sesuatu topik ceramah itu boleh menjadi menarik untuk didengar oleh jemaah.

Cuba kita banding topik perbincangan dalam usrah di masjid dengan program TV. Lihat cara penyampaian penceramah. Dengan sopan dan tertib, isu yang dibangkitkan dapat disampaikan dengan baik.

Begitulah sepatutnya ceramah-ceramah di masjid atau surau. Tak perlu menjerit-jerit, memaki-maki pihak lain.

Mungkin selepas ini, penceramah jemputan di masjid atau surau tak perlu lagi berceloteh, cukup sekadar memberi penjelasan ringkas mengenai topik yang akan dibincangkan dan selebihnya meminta jemaah mengemukakan soalan.

Cara ini lebih baik agar kemusykilan berkaitan ibadah dan hukum-hakam dapat dihuraikan. Banyakkan perbincangan mengenai fardu kifayah, fadhu ain dan sebagainya.

Penceramah perlu juga menghormati jemaah. Ada jemaah yang berbeza pendapat dengan apa yang dihuraikan oleh penceramah terhadap sesuatu perkara. Janganlah taksub atau fanatik dengan pendapat diri sendiri sahaja dan menolak pendapat pihak lain.

Penceramah jangan memandang rendah, mencerca atau menuduh orang yang tidak sealiran dengannya sebagai kufur, sesat atau memutuskan mereka akan masuk neraka.

Sekarang semakin banyak masjid dan surau dilengkapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, jadi manfaatkannya.

Sunday, January 15, 2012

pinjaman islam

'Pinjaman Islam' sepatutnya tidak membebankan

Oleh Saiful Mohamad Ghazali

MASYARAKAT Islam yang ingin membuat pinjaman melalui Islamic loan perlu berhati-hati dan teliti ketika menandatangani surat perjanjian jual beli dan pinjaman daripada bank komersil. Ada beberapa perkara yang kita tidak nampak atau tidak diberitahu secara jelas peraturan-peraturan yang ditulis yang kemudiannya akan menjadikan peminjam muflis 'dengan mudah.' Syarat seseorang diisytihar muflis oleh kerajaan Malaysia haruslah hutangnya lebih daripada RM30,000.

Secara sedar atau tidak sedar, perkataan 'Islam' yang dinamakan di dalam pinjaman juga boleh mengakibatkan 'si peminjam' kehilangan harta yang dimiliki walaupun harta tersebut mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman jika dibandingkan dengan pinjaman secara 'konvensional'.

Bagi institusi perbankan di Malaysia yang mengamalkan pinjaman secara Islam, mereka akan melakukan 'akad' yang menyatakan jumlah pinjaman secara pukal (yang dimaksudkan ialah sejumlah pinjaman yang dikenakan kepada peminjam jika membayar secara ansuran hingga penghujung tahun pinjaman yang dipohon).

Dalam nota perjanjian juga ada menyatakan sejumlah pinjaman yang akan dibayar oleh si peminjam dari awal bulan ke bulan akhir tahun pinjaman tersebut. Di sinilah bermulanya 'masalah' yang ditanggung oleh si peminjam yang membuat pinjaman Islam 'jika' tidak memahami konsep Yahudi dalam bayangan 'Pinjaman Secara Islam'.

Perbezaan pinjaman 'konvensional' dan pinjaman secara Islam ialah akad. Pinjaman konvensional tiada lafaz akad. Dalam pinjaman secara Islam, apabila 'akad' dibuat, maka sejumlah pinjaman penuh disebutkan.

Contohnya, jika harga rumah yang dibeli adalah RM400,000 dan setelah dikira (mengikut kiraan 'Islam' bagi bank tersebut) maka jumlah pinjaman sebenar menjadi RM950,000. Maka si peminjam harus menyebut dan setuju untuk 'lafaz akad' menerima jumlah hutang sebenar itu (RM950,000) dan inilah yang dinamakan oleh pihak bank sebagai 'Pinjaman Berasaskan Islam'.

Perbezaan jika kita membuat pinjaman 'konvensional' dengan jumlah yang sama, kiraannya masih lebih kurang sama jika si peminjam membuat bayaran setiap bulan dan sehingga bayaran akhir.

Secara jelas, hutang harus dibayar. Malah agama Islam mewajibkan setiap umatnya menyelesaikan semua hutang-piutang yang dibuat 'jika mampu' untuk membayarnya walaupun secara beransur-ansur.

Saya mempunyai rakan - seorang usahawanita yang berjaya meyakinkan pengilang dan pembeli dari luar negara untuk berurus niaga dengannya. Perniagaannya berjalan hampir lima tahun tanpa memerlukan pinjaman dari mana-mana bank.

Oleh kerana untuk bersama-sama memartabatkan kewangan Islam, usahawanita ini dan suaminya telah membuat pinjaman bagi membeli rumah yang diidamkan di sekitar Ampang, Selangor dengan harga sekitar RM400,000 dengan menggunakan tiga nama ahli keluarganya sebagai peminjam dan penjamin dengan bayaran bulanan RM1,700.

'Pinjaman perumahan secara Islam' di salah sebuah bank yang bukan dimiliki orang Islam itu nampaknya turut membebankan.

Bermula pertengahan tahun 2010, musibah telah menimpa peniagaannya. Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, akibat dari masalah kekacauan dan pemberontakan rakyat di negara rakan niaga usahawanita ini maka penghantaran barangan diminta dihentikan sementara sehingga negaranya stabil dan ini mengakibatkan usahawanita ini kehilangan punca pendapatan dan bayaran ansuran bagi pinjaman perumahan mula tertunggak serta tidak mampu untuk dibayar.

Namun, usahawanita ini tidak mengelak diri malah bekerjasama jika pihak bank menghubunginya. Oleh kerana masalah bayaran pinjaman sudah tertunggak hingga mencecah enam bulan, pihak bank menggunakan kuasa untuk mengambil tindakan memufliskan si peminjam, walaupun pinjaman tertunggak hanya kira-kira RM30,000. (syarat untuk tindakan memufliskan peminjam/penjamin).

Pihak bank telah bertindak memufliskan dua orang peminjam (anak dan suaminya yang namanya ada di dalam surat perjanjian) bagi pembelian rumah itu.

Ia juga atas 'kesilapan' usahawanita ini kerana tidak ke mahkamah bagi tujuan pembelaan, maka hukuman muflis telah dijatuhi ke atas dua penama dengan setiap orang dikenakan kadar muflis sebanyak hampir RM750,000 seorang atau bersama.

Persoalannya, pinjaman secara 'Islam' ini yang baru dibuat empat tahun itu dengan setiap bulan pinjaman telah dibayar, sehinggalah pada 12 bulan kebelakangan ini (bermulanya tertungak pembayaran pinjaman), apakah hutangnya sudah mencecah RM750,000?

Setakat pengetahuan saya, dalam perundangan Malaysia, rumah yang dibeli atas nama pinjaman haruslah dilelong terlebih dahulu. Setelah berjaya dijual, ditolak pula hutang dan 'jika' masih tidak mencukupi untuk menampung hutang yang berbaki, barulah diambil tindakan selanjutnya iaitu proses pembankrapan.

Namun, kes yang melibat usahawanita ini dilihat tidak adil kerana harga pasaran rumahnya adalah sekitar RM950,000.

Pihak Bank Negara Malaysia kena melihat kes ini dan dibuat kajian di atas sifat 'pinjaman perbankan Islam' ini. Apa yang kita fahami, pinjaman secara Islam agak susah untuk memufliskan peminjam. Apakah kerana ia ditadbir oleh bank yang dimiliki oleh bukan Islam, terma-terma perbankan mengikut syariah Islam boleh dimanipulasi?

Janganlah di sebalik ungkapan pinjaman secara 'Islam' tetapi berlaku tindakan licik institusi perbankan untuk merampas harta- harta orang Islam yang menghadapi masalah membuat bayaran balik pinjaman. Kepada bakal-bakal peminjam baru yang ingin membuat pinjaman secara Islam di bank, berhati-hatilah dan bacalah berulang kali surat perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.

Saturday, January 14, 2012

9 taon baru dapat anak

Penantian 9 tahun berbaloi
NOOR AZIANTY NORMAN
January 14, 2012
Penantian 9 tahun berbaloi
KUANTAN – Penantian sepasang suami isteri selama sembilan tahun untuk mendapatkan cahaya mata akhirnya tercapai apabila dikurniakan sepasang anak kembar melalui program kesuburan anjuran Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

Kedua bayi yang belum diberi nama itu berjaya dilahirkan kira-kira jam 4.50 petang, 11 Januari lalu melalui kaedah pembedahan tanpa sebarang komplikasi.

Ibu kepada pasangan kembar itu, Camelia Ramli, 30, berkata, dia dan suaminya Zulkifli Ahmad, 35, sebelum ini telah berusaha dengan pelbagai cara termasuklah cara tradisonal tetapi semuanya tidak berhasil.

Namun katanya, selepas menggunakan kaedah persenyawaan luar rahim melalui program ini, akhirnya dia berjaya hamil anak pertamanya pada bulan Mei tahun lalu.

“Setelah empat tahun berkahwin tidak dikurniakan anak, saya telah membuat permohonan untuk menjalani program ini, dan alhamdulillah TAFF memilih kami pada tahun lepas.

“Memanglah gembira terutamanya selepas menunggu begitu lama untuk mendapat cahaya mata. Tetapi yang lagi menggembirakan saya ialah mendapat anak kembar,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.

Katanya lagi, dia bersyukur kerana kedua-dua anaknya itu tidak mengalami sebarang komplikasi selepas dilahirkan melalui kaedah pembedahan semalam.

“Saya berterima kasih kepada Pengasas TAFF, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar yang sudi memilih untuk menyertai program ini,” katanya.

Sementara itu, Setiusaha Kehormat TAFF, Datuk Hamimah Abd. Karim berkata, kedua-dua kembar ini merupakan bayi yang ke-66 dan ke-67 yang berjaya dihasilkan program ini.

”Pada tahun ini kami sasarkan lebih 100 pasangan akan berjaya untuk mendapatkan zuriat mereka,” katanya.

Katanya, syarat-syarat utama pasangan yang ingin mengikuti program ini adalah mereka mesti berkahwin lebih tiga tahun, gaji tidak lebih dari RM4,500, umur isteri tidak lebih 45 tahun dan beberapa lagi syarat lain.

”Mereka yang berminat bolehlah menghubungi TAFF di talian 09-5733241,” katanya.

cara pemilihan ke sbp

Pemilihan murid ke SBP berdasar syarat ditetap KPM

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Pelajaran Malaysia

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca, Guru Prihatin, Terengganu' di ruangan ini bertarikh 11 Januari 2012 bertajuk Dilema pelajar Terengganu.

KPM mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan masyarakat terhadap pemilihan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP).

Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, KPM hanya menguruskan kemasukan dan penempatan murid di SBP manakala penempatan murid di Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah-sekolah kawalan negeri diuruskan oleh Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing.

Pemilihan murid ke Tingkatan 1 di SBP adalah berdasarkan syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM iaitu:

* Warganegara Malaysia;

* Murid dari Sekolah Kebangsaan/Bantuan Penuh Kerajaan;

* Memperoleh keputusan 5A atau 4A, 1B dalam UPSR dengan mata pelajaran sains dan matematik memperoleh gred A;

* Memperoleh keputusan 3A2B dalam UPSR bagi murid dalam golongan miskin tegar; dan

* Pencapaian aktif dalam kokurikulum.

Walau bagaimanapun, bilangan murid yang mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR dan kokurikulum, semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Jumlah permohonan ke SBP yang diterima oleh KPM juga meningkat berbanding bilangan tempat yang ditawarkan.

Pada tahun ini, permohonan ke Tingkatan 1 di SBP yang diterima oleh KPM ialah 99,765 untuk kemasukan ke 57 buah SBP, dan bilangan tempat yang dapat ditawarkan di SP ialah 7,657.

Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan proses pengambilan murid berdasarkan merit yang merangkumi:

* Pencapaian akademik:

* Pencapaian kokurikulum:

* Pencapaian khas seperti aspek kepemimpinan; dan

* Status sosioekonomi keluarga.

KPM telah menyediakan peluang untuk permohonan ke Tingkatan 1 di SBP, yang tidak berjaya mengemukakan rayuan melalui talian e-rayuan di Portal Rasmi KPM iaitu di laman sesawang http//www.moe.gov.my bermula 14 Disember 2011 hingga 4 Januari 2012 .

Sekiranya pemohon memenuhi syarat dan kriteria yang telah ditetapkan oleh KPM, permohonan mereka boleh dipertimbangkan jika terdapat kekosongan tempat di SBP.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

sakit nak besama

Merangsang rasa ghairah

SOALAN:

rof yang dihormati,

Saya berumur 27 tahun dan telah tujuh bulan berkahwin namun masih belum bersama dengan suami walaupun sekali. Pelbagai cara dan kaedah moden dan tradisional dari segi pemakanan dan teknik telah saya amalkan namun masih tidak berkesan. Saya telah merujuk kepada pelbagai bahan bacaan untuk membantu tetapi masih begitu. Masalah utama saya ialah tidak merasa ghairah atau terangsang. Tambah menyukarkan, saya rasa pedih dan sakit kerana tiada kebasahan malah lubang juga tidak terbuka sehingga menghalang saya menjalankan tanggungjawab kepada suami.

Pelbagai cerita yang saya dengar daripada rakan seperti dara yang tebal, lubang terlalu kecil dan perasaan takut yang menghalang. Perasaan bersalah terhadap suami sangat menghimpit jiwa saya. Keluarga juga sering bertanya jika ada apa-apa berita baik menyebabkan emosi saya semakin tidak stabil. Saya sangat-sangat berharap agar Prof dapat membantu menyelesaikan masalah saya ini. Apakah kaedah dan teknik terbaik bagi saya untuk mengurangkan rasa sakit dan merangsang hormon seks saya supaya berfungsi? Bantuan Prof sangat-sangat saya perlukan.

Jawapan:

Terima kasih kepada Puan yang telah mengutarakan soalan ini. Permasalahan yang dihadapi adalah berkaitan hubungan seks. Puan mungkin masih lagi dara jika perhubungan ini belum berjaya dilakukan sepenuhnya. Masalah yang Puan hadapi ini dikenal sebagai vaginismus.

Vaginismus adalah keadaan tekanan psikologi yang diekspresi dalam bentuk reaksi fizikal yang sangat kuat. Mungkin agak asing bunyinya, namun ia adalah masalah seks wanita yang telah lama wujud. Ia adalah satu keadaan yang menjejaskan keupayaan seseorang wanita menerima penetrasi melalui faraj termasuk penetrasi seksual, kemasukan tampon dan penetrasi ke faraj untuk tujuan pemeriksaan sakit puan seperti pap smear. Ini berlaku kesan tindak balas otot lantai pelvik seseorang wanita. Tindak balas ini menyebabkan otot bahagian tersebut mengalami kekejangan dan menghalang sebarang penetrasi termasuk kemasukan alat kelamin suami. Pemaksaan hubungan seks ketika itu akan menyebabkan kesakitan ataupun kadang-kala langsung tidak boleh dilakukan. Di negara barat, dua peratus daripada wanitanya mengalami masalah vaginismus dan dalam kalangan negara Islam peratusan tersebut mungkin lebih tinggi memandangkan seks adalah sesuatu yang tabu dan jarang diperbincangkan.

Tertekan

Ramai wanita yang mengalami masalah ini biasanya akan hanya memendam perasaan. Vaginismus boleh menyebabkan wanita berasa tertekan, resah dan rendah diri. Masalah ini boleh berlaku dalam pelbagai keadaan. Biasanya sebagai tindak balas pada perkara yang tidak diingini seperti perasaan sakit atau pengalaman yang menyakitkan semasa menjalani hubungan seks terdahulu.

Masalah vaginismus terbahagi kepada dua iaitu vaginismus primer dan vaginismus sekunder. Vaginismus primer berlaku apabila seseorang wanita itu tidak boleh melakukan sebarang penetrasi seks atau apa juga penetrasi ke dalam vagina. Ia selalunya dialami oleh wanita muda pada awal usia 20-an, yang belum pernah melakukan hubungan seksual.

Vaginismus sekunder pula berlaku kepada wanita yang pernah melakukan hubungan seksl tanpa masalah tetapi kemudiannya mengalami masalah. Mereka selalunya tidak mengetahui keadaan tersebut sehinggalah percubaan untuk penetrasi faraj dilakukan ketika hubungan seks. Keadaan ini selalunya akan diikuti dengan perasaan cemas dan juga takut.

Punca vaginismus berlaku termasuk kepercayaan yang faraj itu kecil dan sempit serta perasaan serba salah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Punca lain, penderaan seksual yang pernah dialami, kecederaan faraj akibat kelahiran sebelum ini, hubungan seksual pertama kali yang begitu menyakitkan, takut hamil, kurang maklumat tentang fungsi seksual dan kepercayaan yang seks itu tidak suci dan hanya menguntungkan lelaki.

Pemeriksaan

Seseorang wanita perlu menerima bahawa penghayatan seksual ialah fitrah semula jadi makhluk Tuhan. Ia bukanlah suatu hukuman atau penyeksaan. Wanita perlu bertanggungjawab kepada kesihatan anggota seksualnya. Ini termasuk penjagaan dan penghayatan kepada anggota tersebut. Justeru, tidak perlu rasa malu atau kekok untuk memeriksa anggota kemaluan sendiri. Antaranya mengenali bahagian anggota tersebut seperti bibir besar (labia majora), bibir kecil (labia minora), klitoris (kelentit) dan pembukaan faraj. Mustahak untuk wanita yang telah baligh mengetahui anggota kemaluannya supaya dapat melakukan amalan sihat semasa membuang air serta memakai tuala pelekat atau tampon ketika haid. Ini dikenali sebagai pemeriksaan kendiri kemaluan wanita. Bagi wanita yang telah melakukan hubungan seksual, perlu amalkan pemeriksaan kendiri ini sekurang-kurangnya sebulan sekali dan apabila merasa kurang selesa pada bahagian itu. Tidak salah menyentuh bahagian yang mudah terangsang untuk mengenali keadaannya, setakat untuk mengetahui dan bukan untuk merangsangkan anggota secara sendiri atau beronani.

Ini akan membantu pasangan melakukan rangsangan kepada bahagian tersebut supaya memudahkan mereka menghayati orgasma. Semasa melakukan pemeriksaan kendiri dan mendapati ada perubahan yang dikhuatiri seperti kemelecetan, ruam, pengeluaran cecair atau keradangan pembukaan faraj yang menyebabkan perit semasa atau selepas bersetubuh - jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan bahagian kemaluan dan pelvik. Jangkitan sistem reproduksi wanita boleh berlaku bila-bila masa dan memberi tekanan kepada hubungan seksual dan mengakibatkan kesakitan semasa hubungan seks (dispareunia).

Hubungan seksual yang membina dan merangsangkan memberi nikmat hidup yang sejahtera. Jadi jangan biarkan masalah ini berlaku. Dapatkan bimbingan dan penyelesaian bersama pasangan melalui rawatan dan kaunseling dengan doktor atau pembimbing yang arif dalam hal seksualiti wanita seperti pakar terapi seksual, sakit puan dan pakar kaunseling.

Rawatan

Rawatan fizikal yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah vaginismus adalah dengan belajar teknik untuk menenangkan otot dan mengelakkan kejang. Ia termasuk mengembangkan faraj dengan cara memasukkan rod plastik kecil ke dalamnya. Senaman kegel juga boleh membantu menguatkan otot pelvik sekitar faraj. Ia akan membantu wanita mengawal otot yang berkontraksi secara paksa hingga mengejang.

Bagaimanapun wanita yang mengalami vaginismus masih boleh melakukan aktiviti seksual yang tidak melibatkan penetrasi vagina seperti kucupan, belaian mahupun oral seks. Anggapan bahawa wanita yang mengalami vaginismus langsung tidak mahu melakukan seks, tidak benar.

Teknik mengatasi vaginismus sendiri

Rileks. Ini hal terpenting yang dapat Puan lakukan. Mandilah, berlatih teknik pernafasan dan dengar muzik yang dapat membuat anda merasa rileks.

Fahami kelakuan tubuh badan dengan lebih baik. Latihlah otot faraj anda. Ini akan membantu mengawal respons anda. Pusatkan waktu untuk menikmati sensasi menyenangkan daripada sentuhan dan pastikan anda benar-benar terangsang sebelum mencuba untuk menerima penetrasi.

(Teknik seterusnya mungkin kurang disenangi oleh beberapa pihak). Ketika santai, cubalah melakukan sendiri penetrasi pada faraj anda. Mulainya dengan sesuatu seperti putik kapas atau hujung jari anda sendiri. Setelah kepercayaan diri makin tinggi, cuba satu jari penuh dan kemudian suruh pasangan anda memasukkan jarinya ke dalam faraj anda.

(Ingat! Kaedah ini mungkin pilihan terakhir). Gunakan prostesis berbentuk penis pelbagai ukuran dan gel pelincir untuk membantu ketika ia dimasukkan ke dalam faraj. Cuba ketika bersendirian bagi membangkitkan kepercayaan dan kemampuan anda.

Thursday, January 12, 2012

koc untuk wanita

Onar dalam tren

Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TIDAK PEDULI...penumpang lelaki seringkali memberi alasan tidak nampak tanda koc untuk wanita.
TIDAK PEDULI...penumpang lelaki seringkali memberi alasan tidak nampak tanda koc untuk wanita.
KUALA LUMPUR: Ramai wanita yang menggunakan perkhidmatan komuter rimas apabila ada warga asing yang bukan hanya menggunakan koc yang dikhaskan untuk mereka, tetapi juga mengambil kesempatan melakukan perbuatan tidak senonoh.
Pemantauan Metroplus selama dua minggu terhadap perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendapati lebih separuh pengguna perkhidmatan itu rakyat asing manakala warga tempatan ramai menggunakannya pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai pergi dan pulang daripada bekerja.
Perkara itu diakui Pegawai Operasi Utara Wilayah Tengah KTMB, Mohammad Fudzi Othman, yang berkata hampir 30 peratus pengguna tetap komuter ialah warga asing.

“Kami tiada masalah untuk memberikan perkhidmatan ini kepada sesiapa saja termasuk warga asing, namun kerap kali aduan diterima mengenai perilaku tidak sopan warga siang.
Click Here


“Seperti sekarang kemudahan koc wanita disalah guna lelaki yang kebanyakannya warga asing dan alasan mereka, tidak sedar atau terlepas pandang notis arahan yang ditampal,” katanya.

Pengangkutan awam terutama bas dan komuter menjadi pilihan utama warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Afrika disebabkan ia murah dan mudah untuk sampai ke destinasi.

Pengguna, Nurul Izzah Wahidul Azam, 23, berkata dominasi warga asing dalam penggunaan pengangkutan awam mungkin memberi keuntungan kepada penyedia pengangkutan, tetapi masalah yang ditimbulkan mereka perlu diberi perhatian.

“Bagi wanita, berhimpit dengan mereka ketika menggunakan komuter kadangkala merimaskan dan boleh membuat saya hilang sabar apabila ada di antara mereka yang suka melakukan perkara tidak senonoh seperti mencabul dan meraba,” katanya.

Mohd Rabiq Abdullah, 24, pula berkata ramai warga asing yang memilih menggunakan perkhidmatan awam kerana tambang murah.

“Saya terkilan kemudahan yang sepatutnya disediakan untuk kami menjadi pilihan warga asing, malah mereka lebih ramai yang menggunakan perkhidmatan ini sehingga kami berasa terpinggir.

“Saya berharap akan ada kelainan caj tambang terhadap warga tempatan dan warga asing supaya kemudahan ini dapat terus digunakan orang yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd Mustaffa Hamzah, berkata perlunya pengasingan kemudahan pengangkutan bagi warga tempatan dan warga asing dalam usaha menggalakkan kemudahan itu terus digunakan rakyat Malaysia.

“Tidak dinafikan ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan yang diberikan kerana mereka mengambil kesempatan terhadap wanita setiap kali keadaan di dalam koc atau bas sesak dengan cubaan mencabul dan meraba.

“Selain pengasingan koc untuk wanita, koc bagi warga tempatan juga ada baiknya diasingkan bagi memberi keselesaan terhadap mereka yang dibimbangi boleh menimbulkan masalah dengan sikap biadab segelintir warga asing,” katanya ketika dihubungi.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad), Azhar Ahmad, ketika dihubungi berkata masalah pengangkutan awam yang banyak digunakan warga asing di luar bidang kuasa pihaknya untuk menghalang.

“Kami sedar masalah ini banyak mengganggu pengguna warga tempatan yang tidak selesa kehadiran mereka, namun ini kemudahan paling cepat dan senang untuk mereka naiki kerana masing-masing tidak memiliki kenderaan.

“Perkara ini akan dibawa ke dalam kajian yang kami lakukan dengan satu cara akan mengusulkan kepada pengusaha pengangkutan awam untuk mengenakan tambang berlainan di antara warga asing dan tempatan dengan pengwujudan pas bulanan yang turut boleh mengesan data status seseorang.

“Selain itu, kajian mengenai kadar tambang yang digunakan sekarang juga dijalankan berikutan peredaran zaman kini dengan semua kadar barangan dan kemudahan semakin meningkat,” katanya.

saham 1m

Dapat RM13,000 dalam 5 tahun


Dari kiri: Megala Sengalaney, Nurul Ain Ismail, Julia Jasmi, Lee Chia Ling, Fazila Shafifi Syukri dan M. Nisha meniliti risalah Skim Saraan 1Malaysia (SARA) di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Jan. - Saringan bagi pemilihan 100,000 peserta yang layak bagi menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) akan dibuat oleh institusi kewangan yang menjadi ejen kepada Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) dan Bank Simpanan Nasional.
Bank-bank yang menjadi ejen ASNB ialah Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank dan RHB Bank.
Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pemilihan dibuat oleh institusi kewangan berkenaan kerana mereka yang akan memberikan pinjaman sebanyak RM5,000 kepada 100,000 pelabur Sara 1Malaysia.
Ini bermakna jumlah keseluruhan pinjaman yang bakal ditawarkan oleh kesemua institusi kewangan terbabit adalah RM500 juta.
''Bagaimanapun, kami akan memantau saringan tersebut bagi memastikan hanya para peserta yang betul-betul layak menyertai skim ini.
''Harapan kami ialah adalah lebih baik sekiranya setiap satu isi rumah yang berkelayakan terpilih menyertai skim itu,'' katanya ketika ditemui selepas pelancaran Sara 1Malaysia di sini hari ini.
Majlis pelancaran Sara 1Malaysia disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, peminjam yang berjaya menyertai Sara 1Malaysia perlu membayar balik pinjaman secara ansuran selama 60 bulan (lima tahun) dengan kadar faedah yang cukup minimum, bagaimanapun tidak menjejaskan institusi kewangan yang terlibat.
''Yang pasti bank-bank yang terlibat dalam skim ini masih boleh menampung kos (ke atas pinjaman yang diberikan,'' tambah beliau.
Dengan pelaburan yang dilaburkan dalam Amanah Saham 1Malaysia, para pelabur Sara 1Malaysia akan memperoleh pulangan sebanyak RM134 setiap bulan.
''Jika ditolak bayaran ansuran sebulan sebanyak RM84, para peserta Sara 1Malaysia masih mempunyai baki RM50 sebulan.
''Sekiranya pelaburan itu disimpan sehingga tempoh lima tahun, mereka mampu memperoleh sebanyak RM13,000 dan sekiranya RM134 itu diambil secara konsisten atau kadang-kadang setiap bulan, jumlah yang tertinggal pada akhir tempoh lima tahun adalah antara RM5,000 hingga RM13,000,'' katanya sambil menambah pemohon yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di bank-bank terlibat mulai 30 Januari ini.
Mengulas bagaimana PNB mampu memberi pulangan yang cukup kompetitif daripada pelaburan yang dibuat itu, Hamad Kama Piah mengakui skim itu adalah paling inovatif.
Jelasnya, Kementerian Kewangan melalui syarikat khas (SPV), Malaysia Development Holding Sdn. Bhd. yang akan melabur sebanyak RM100 juta dalam Amanah Saham 1Malaysia.

Wednesday, January 11, 2012

tidur xyah pakai seluar dri blog paapaadaa

Melepaskan pakaian dalam’ bukan bermaksud perlu tidur bogel, tidak, ia satu tindakan sangat bahaya, jika kena gigit lipan atau nyamuk di tempat sensitif tu pasti anda bangun pagi dibuai mimpi ngeri 2-3 hari.

‘Melepaskan pakaian dalam’ bermaksud tak perlu pakai seluar dalam, baju dalam dan apa-apa lagi yang sewaktu dengannya. Jadi anda boleh pakai pakaian tidur atau pakai kain pelikat/kain batik, tanpa pakaian dalam.

Ketika tidur tubuh mengalami pembaikan dan detoksifikasi (pengeluaran racun dari tubuh). Tidur juga memberi kesempatan bagi sistem kekebalan tubuh untuk memproduksi hormon-hormon imunitinya.

Jika tidur dengan mengenakan pakaian dalam, proses pembaikan dan pengeluaran racun dari tubuh akan tersekat. Jadi andalah yang rugi.

Oleh kerana itu, sebaiknya ketika tidur anda dianjurkan untuk menggunakan pakaian yang longgar atau lepaskan pakaian dalam korang ketika tidur, sehingga dapat mempercepat dan memperlancar kerja tubuh dalam proses pembaikan dan pengeluaran racun.

Bagi wanita, sebaiknya tidak menggunakan bra saat tidur. Penyelidik Sydney Singer dan isterinya Soma Grismaijer pada tahun 1991 pernah menulis dalam bukunya ‘Dressed To Kill: The Link Between Breast Cancer and Bras’, menasihatkan wanita yang ingin menghindari kanser payudara harus memakai bra dalam waktu sesingkat mungkin dan sebaiknya kurang dari 12 jam sehari.

Dan ketika tidur yang biasanya antara 6-8 jam itu, sila hindari dari memakai bra, ia sangat bahaya untuk wanita kerana ia boleh menyebabkan kanser payudara.

“Waktu yang paling tepat untuk merehatkan payudara adalah tanpa memakai bra ketika tidur. Jangan tidur dengan bra,” kata Sydney Singer, seperti yang tersiar dalam chetday pada 9/3/2011.

Menurut Sydney Singer, menggunakan bra terlalu lama dapat meningkatkan suhu jaringan payudara dan wanita yang memakai bra memiliki kadar hormon prolaktin (hormon yang berfungsi merangsang kelenjar air susu) yang lebih tinggi. Kedua hal ini dapat mempengaruhi pembentukan kanser payudara.

Selain itu, terlalu kerap menggunakan bra atau menggunakan bra terlalu ketat juga membahayakan kesihatan kerana boleh membatasi aliran darah ke payudara.

Sedangkan bagi lelaki, mengikut Grismaijer, sebaiknya gunakan seluar dalam yang longgar atau jangan pakai seluar dalam langsung ketika tidur. Ini untuk memberi kesempatan bagi testis (buah zakar) menurunkan suhunya dan menjaga kualiti sperma agar tetap baik.

Mengikut kajian itu, alat reproduksi lelaki berada di luar tubuh dan dengan itu ia sangat dipengaruhi oleh keadaan di sekitar dan pakaian yang digunakan seseorang. Jika lelaki menggunakan seluar ketat atau seluar dalam terlalu lama akan menyebabkan suhu di sekitar alat reproduksinya meningkat dan tentunya akan mempengaruhi produksi sperma yang boleh menyebabkan lelaki itu mandul.

Testis tidak dapat berfungsi dengan baik kecuali suhunya lebih sejuk dari bahagian tubuh lainnya. Jika suhu testis dinaikkan hingga 98 darjah F (36.67 darjah C), akan menyebabkan sperma terhenti pengeluarannya! Apa guna menjadi lelaki hebat tanpa sperma, tanpa zuriat untuk diwariskan?

Selain itu, tidur tanpa mengenakan pakaian dalam akan melancarkan sistem pusingan udara dalam tubuh. Sebaliknya tidur dengan mengenakan pakaian dalam dapat membatasi aliran udara di kulit dan mengganggu pengeluaran peluh, terutama di bagian intim baik pada wanita maupun lelaki.

Tuesday, January 10, 2012

jangan salah guna fb

Jangan salah guna Facebook
KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
January 10, 2012
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu
KANGAR - Semua rakyat Perlis terutama penjawat awam diminta berhenti daripada terus menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium menghentam pihak tertentu termasuk Kerajaan Negeri dan Pusat.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata, gesaan itu disuarakannya selepas melihat trend menghentam pihak tertentu menggunakan laman sosial itu semakin kerap berlaku kalangan penjawat awam sehingga membawa imej kurang baik terhadap Kerajaan Negeri.

Menurutnya, imej kurang baik dan komen menggunakan perkataan negatif dan lucah bagi meluahkan perasaan individu menyebabkan ramai pihak menyalahertikan sikap pegawai Kerajaan Negeri sebagai tidak sopan, walhal tindakan itu dilakukan oleh segelintir pihak.

“Saya harap Facebook dapat digunakan untuk tujuan positif, bukannya medium berunsurkan negatif termasuk dijadikan alat oleh mana-mana individu untuk menghentam pihak lain.

“Pada saya, tindakan menghentam pihak lain me-lalui Facebook langsung tidak membina baik kepada individu terbabit atau mana-mana pihak sekali pun. Sebaliknya ia hanya mencerminkan keburukan dan sikap negatif individu itu sendiri.

“Tambah buruk, tindakan terbabit tidak mustahil mampu membawa imej negatif kepada institusi penjawat awam sendiri, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kakitangan awam,” katanya ketika berucap sempena perhimpunan bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Warisan, di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid dan barisan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua jabatan kerajaan dan agensi swasta.

Ditanya sama ada gesaan dilakukan merujuk kemelut antara bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Rosley Mat yang berbalah disebabkan komen di Facebook, Md Isa menegaskan gesaan dibuat tidak menuding jari kepada sesiapa.

Sementara itu, Md Isa turut menggesa semua penjawat awam supaya lebih berperanan sebagai ‘pengurus’ dan bukannya bertindak seperti seorang ‘pentadbir’ semata-mata, dengan menjadikan konsep 5S sebagai medium pelaksanaan.

Menurutnya, konsep 5S meliputi Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal, bukan suatu perkara baru dalam perkhidmatan awam, namun keupayaan setiap warganya untuk menterjemah konsep terbabit masih diragui.

“Kita perlu sedar konsep 5S yang terbukti mampu mewujudkan suasana serta persekitaran tempat kerja yang lebih sistematik, teratur dan kemas bukan sekadar untuk diketahui saja. Sebaliknya, ia perlu dihayati dan diterjemahkan dalam setiap bidang tugasan dijalankan.

“Paling penting, lupakan setiap ruang perbezaan baik daripada segi latar belakang, pengalaman serta kemahiran antara satu sama lain dengan menjadikan ia sebagai bahan pelengkap memastikan perkhidmatan yang diberikan sebagai satu pasukan lebih mantap dan
berkesan,” katanya.

Monday, January 9, 2012

terlebih bayar boleh tuntut semula

Tuntut baki wang pengajian
WARTAWAN SINAR HARIAN
January 6, 2012
Tuntut baki wang pengajian
JOHOR BAHRU - Seorang kakitangan bank memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, semalam, bagi menuntut pengurusan sebuah kolej memulangkan baki yuran pengajian berjumlah RM4,423.

Ellyra Mohd Yatim, 25, berkata, dia menuntut di sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam dari 2005 hingga 2008 dengan kos pengajiannya termasuk caj penginapan adalah RM44,330.

"Saya bernasib baik apabila berjaya mendapat pinjaman sebanyak RM48,753, namun pembayaran itu dibuat secara terus melalui akaun bank pihak kolej.

“Selepas tamat belajar, saya diarahkan untuk mengisi borang tuntutan baki pinjaman oleh pihak kolej, mereka turut memaklumkan pembayaran akan dilakukan segera namun sehingga kini saya masih belum menerimanya,” katanya.

Menurutnya, walaupun telah banyak kali menghubungi pihak kolej untuk mengetahui status pembayaran balik baki wang pinjaman, jawapan diberikan tetap sama, selain memberikan pelbagai alasan untuk mengelak.

“Saya sudah beri mereka peluang. Lebih tiga tahun menunggu, saya sudah tidak mampu bersabar kerana khuatir pengurusan kolej akan ambil kesempatan kepada pelajar yang terlibat sama dalam masalah ini,” katanya.

Dalam prosiding itu, Presiden TTPM, Siti Naaishah Hambali dalam penghakimannya memerintahkan kolej berkenaan memulangkan baki wang Ellyra sebanyak RM4,423 dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.